Sinopsis Sulalatus Salatin Bab III



Sinopsis Sulalatus Salatin Bab III

Puteri Nila Pencadi Ke Singapura

Raja Jambunga Rama Mudaliar yang memerintah negeri Bijaya Negara di benua Keling mempunyai seorang puteri yang bernama Tuan Puteri Nila Pencadi. Raja Singapura, iaitu Seri Teri Buana pula mempunyai dua orang putera yang bernama Raja Kecil Besar dan Raja Kecil Muda. Berita tentang kecantikan Nila Pancadi telah menarik minat Seri Teri Buana. Baginda ingin menjodohkan putera baginda Raja Kecil Besar dengan Tuan Puteri Nila Pancadi. Jesteru itu satu rombongan (utusan) peminangan dihantar ke benua Keling. Akhirnya rombongan dari benua Keling telah datang ke singapura dan berlangsunglah perkahwinan antara Raja Kecil Besar dengan Tua Puteri Nila Pancadi. Raja Kecil Muda pula telah dikahwinkan dengan cucu Demang Lebar Daun yang bernama Raden Lasmi Puri.

Catatan penting:

• Pengaruh asing (keling) dalam mempengaruhi sistem pemerintahan raja-raja Melayu

Raja dan Bendahara Adik-Beradik

Setelah Seri Teri Buana mangkat, raja Kecil Besar ditabalkan sebagai raja Singapura dengan memakai gelaran Paduka Seri Pikrama Wira. Baginda kemudiannya telah melantik adinda baginda, Raja Kecil Muda sebagai Bendahara dengan gelaran Tun Perpatih Permuka Berjajar. Oleh itu peneraju Singapura terdiri daripada adik-beradik. Cucu Demang Lebar Daun pula telah dilantik menjadi Perdana Menteri dengan gelaran Tun Perpatih Permuka Jegalar. Tidak lama kemudian, Paduka Seri Pikrama Wira mendapat seorang putera yang dinamakan baginda Raja Muda.

Peristiwa Tatal dan Menarah Kepala Budak

Kerajaan Majapahit yang diterajui oleh Raden Inu Merta Wangsa merupakan kerajaan yang besar dan kuat. Seluruh tanah Jawa dan sebahagian negara di Nusantara berada di bawah kekuasaannya. Apabila mendapati Singapura tidak menyembah (tunduk) kepada pemerintahan Majapahit. Raden Inu Merta Wangsa telah mengirim suatu bingkisan berupa sekeping tatal (kelupasan kayu yang ditarah) kepada raja Singapura. Tatal dibuat daripada kayu tujuh depa panjang, ditarah tiada putus, menjadi nipis seperti kertas dan digulung seperti subang.

Paduka Seri Pikrama Wira menyambut baik utusan yang menghantar bingkisan itu. Tetapi setelah membuka bingkisan tersebut, tahulah baginda akan maksud sindiran Betara Majapahit tehadapnya, iaitu Betara Majapahit menafikan kelakian baginda.
Sebagai balasannya, Paduka Seri Pikrama Wira telah mengarahkan seorang tukang menarah kepala seorang budak dengan menggunakan sebilah beliung dengan disaksikan oleh utusan Majapahit.

Selepas itu baginda mengutuskan suatu bingkisan berupa beliung itu sendiri dan sepucuk surat. Kiriman itu menimbulkan kemurkaan Betara Majapahit yang sedar bahawa kiriman itu bermaksud raja Singapura hendak menarah kepalanya. Baginda mengambil keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Singapura. Walau bagaimanapun serangan tersebut gagal kerana dapat dipatahkan oleh angkatan Singapura

Selepas peristiwa tersebut, Paduka Seri Pikrama Wira telah mengahwinkan puteranya Raja Muda dengan anak Tun Perpatih Permuka Berjajar (perkahwinan sepupu). Raja Muda kemudiannya ditabalkan menjadi raja Singapura selepas kemangkatan ayahanda baginda dengan gelaran Seri Rakna Wikrama. Selepas kematian Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar, anaknya pula menggantikan beliau dengan gelaran Tun Perpatih Tulus.

Badang Beroleh Gagah

Badang, yang tinggal di sebuah kampung yang bernama Sayung merupakan seorang hamba yang ditugaskan oleh tuannya mengerjakan sebuah huma. Badang gemar menahan lukah . Namun Badang berasa tidak puas hati kerana lukah yang ditahannya tidak pernah mendatangkan hasil tangkapan, sedangkan sisik dan tulang ikan banyak ditemui di tepi lukahnya. Pada Suatu hari, Badang mengambil keputusan untuk mengintai kerana ingin mengetahui siapakah yang bertanggungjawab memakan ikan dalam lukahnya. Didapati seekor hantu sedang makan ikan dalam lukahnya. Bentuknya tubuhnya, besar dan panjang, badannya merah seperti api, matanya seperti matahari terbit, rambutnya seperti raga dan janggut sampai ke pusat.

Dengan berbekalkan parang dan kapak, Badang menerpa dan memegang janggut hantu itu serta mengugut hendak membunuhnya. Hantu yang ketakutan memberi beberapa tawaran kepada Badang supaya dirinya tidak dibunuh. Antaranya, tawaran kekayaan, pangkat dan kuasa, kekuatan dan halimunan (ghaib). Badang memilih untuk menjadi kuat, lalu hantu meminta Badang memakan muntahnya.

Selepas memakan muntah hantu, Badang beroleh kekuatan luar biasa hingga dapat mencabut pokok-pokok besar sepemeluk dua pemeluk dengan tangan sahaja. Dalam masa sehari, Badang dapat membersihkan ladang tuannya. Kekuatan Badang telah menyebabkan tuannya menjadi kaya sehingga digelar “Orang Kaya Sayung”. Beliau kemudiannya telah memerdekakan Badang.

Kekuatan Badang sampai ke pengetahuan Seri Rakna Wikrama lalu baginda memanggil Badang mengadapnya. Badang kemudiannya dijadikan “Sandim Sani” oleh Seri Rakna Wikrama. Semasa mengambil ulam kuras di Sayung untuk dijadikan ulam

santapan Seri Rakna Wikrama, dahan pokok kuras terserkah menyebabkan Badang jatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu menyebabkan batu terbelah dua, sedangkan kepala Badang tidak mengalami apa-apa kecederaan. Badang juga telah berjaya menolak sebuah pilang “panjang lima belas” seorang diri. Akhirnya Badang dilantik menjadi hulubalang oleh Seri Rakna Wikrama.

Kegagahan Badang Diuji

Cerita tentang kegagahan Badang tersebar hingga ke benua Keling. Hal ini menarik perhatian raja benua Keling lalu baginda menghantar pahlawannya yang gagah bernama Nadi Bijaya Niakra ke Singapura untuk bergusti dengan Badang. Pemergian pahlawan Keling disertai oleh tujuh buah kapal yang sarat dengan isinya sebagai taruhan. Namun Nadi Bijaya Niakra berjaya ditewaskan oleh Badang dalam peraduan mengangkat batu besar di hadapan istana Singapura.

Selepas itu , seorang pahlawan Perlak yang bernama Benderang pula ingin menguji kekuatan Badang. Seri Rakna Wikrama bersetuju mempertemukan Badang dengan Benderang. Dalam satu majlis makan, tanpa diketahui oleh sesiapa pun, Badang dan Benderang saling menindih paha masing-masing. Ternyata Badang lebih gagah daripada Benderang kerana Benderang gagal mengangkat pahanya yang ditindih oleh Badang. Benderang meminta Tun Perpatih Pandak yang mengiringinya membatalkan pertarungan yang telah direncanakan itu

Catatan penting

• Legenda Badang
• Watak bukan makhluk manusia (watak hantu- boleh beri kekuatan kepada manusia)
• Kepentingan watak dalam menaikkan imej/martabat raja Singapura


Mula Kedatangan Islam Ke Alam Melayu

Di negeri Pasai, terdapat dua orang bersaudara, iaitu Merah Caga dan adindanya Merah Silu, yang suka menahan lukah. Namun yang selalu memasuki lukahnya ialah cacing gelang-gelang. Ini menyebabkan Merah Silu mengambil keputusan untuk merebus cacing tersebut. Apa yang menghairankan ialah cacing gelang-gelang yang direbus Merah Silu bertukar menjadi gelang-gelang emas, manakala air rebusannya pula bertukar menjadi perak. Ini menyebabkan Merah Silu menjadi kaya raya. Tempat Merah Silu merebus cacing dinamakan “Padang Gelang-Gelang”.

Kemudian berlaku permusuhan antara Merah Caga dengan Merah Silu. Ini kerana pada sangkaan Merah Caga, adindanya makan cacing dan perbuatan tersebut menjatuhkan imej keluarganya. Merah Caga cuba membunuh Merah Silu menyebabkan
adindanya lari ke Rimba Jurun. Semasa berburu, anjing Merah Silu yang bernama Si Pasai menyalak disuatu kawasan tanah tinggi. Di sana, Merah Silu menemui seekor semut sebesar kucing, lalu baginda memakan semut itu. Tempat tersebut telah dibuka sebagai negeri baru dan diberi nama Semudera, iaitu singkatan kata “Semut Besar”.

Selepas itu berlaku peristiwa pengislaman Merah Silu. Syarif Mekah telah menitahkan sebuah kapal yang dinakhodai oleh Syeikh Ismail belayar ke Semudera. Dalam perjalanan, kapal singgah di negeri Muktabari untuk mengambil Fakir Muhammad, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. dahulu. Dalam perjalanan mencari negeri yang bernama Semudera, rombongan itu telah singgah dibeberapa negeri seperti Fansuri, Lamiri, Haru dan Perlak. Akhirnya, rombongan kapal sampai di Semudera dan mengislamkan raja Merah Silu

Pada sebelah malamnya,Merah Silu bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Merah Silu diminta supaya mengangakan mulutnya sebelum Rasulullah s.a.w meludah ke dalam mulut baginda. Setelah bangun keesokkan paginya ,Merah Silu dapati tubuhnya berbau harum. Kemudian Fakir Muhammad dan Syeikh Ismail naik ke istana Merah Silu. Mereka meminta Merah Silu membaca al-Quran. Berkat ludahan Nabi Muhammad s.a.w, Merah Silu dapat membaca al-Quran dengan fasih/lancar. Akhirnya Merah Silu ditabalkan sebagai raja Semudera dengan gelaran Sultan Malikul Salleh. Selepas pengislamannya, Merah Silu berkahwin dengan Puteri Genggang dari Perlak. Baginda telah dikurniakan dengan dua orang putera, iaitu Sultran Malikul Tahir dan Sultan Malikul Mansor.

Catatan penting:

• Mitos kemasukan Islam ke alam Melayu (Semudera)
• Mitos asal-usul nama tempat (Padang Gelang-Gelang)
• Menunjukkan Islam sebagai agama suci kerana masuk melalui golongan raja yang tinggi martabatnya dalam sesebuah masyarakat

Raja Pasai Ditipu dan Ditawan

Pada masa itu terdapat sebuah kerajaan besar dan kuat bernama Shahru’n Nuwi (Siam). Rajanya telah menitahkan Awi Dicu ke Pasai untuk menangkap Sultan Malikul Tahir. Awi Dicu telah membuat helah/muslihat untuk menangkap Sultan Malikul Tahir bagi mengelakkan daripada berlakunya pertumpahan darah. Empat orang pahlawan dimasukkan ke dalam empat buah peti yang berkunci di dalam sebagai hadiah kepada raja Pasai. Apabila sampai di balai penghadapan, mereka keluar dari peti terus menangkap Sultan Malikul Tahir. Baginda kemudiannya dibawa ke Siam dan dijadikan sebagai pengembala ayam.

Sidi Ali Ghiathu’d-Din berusaha menyelamatkan raja Pasai dengan tipu muslihat menyamar sebagai seorang pedagang Arab. Beliau mengadap raja Syahru’n–Nuwi dengan mempersembahkan berbagai-bagai hadiah. Kali pertama mengadap mempersembahkan sepohon kayu emas dan buahnya permata, tanpa meminta sebarang balasan daripada pemberian itu. Kali kedua, mempersembahkan papan catur emas dan buahnya permata, juga tanpa meminta apa-apa balasan daripada persembahan itu. Kali terakhirmempersembahkan sepasang itik emas dan pasu emas. Akhirnya Sidi Ali Ghiatu’d-Din berjaya menyelamatkan Sultan Malikul Tahir dan dibawa balik ke Pasai.

Catatan penting:

• Unsur tipu muslihat yang dibuat oleh Awi Dicu untuk menangkap Sultan Malikul Tahir dan muslihat Sidi Ali Ghiathu’ d-Din menyamar sebagai pedagang Arab untuk menyelamatkan Sultan Malikul Tahir.

Peristiwa Kerana Seorang Dayang

Sultan Malikul Mansor telah mengambil seorang dayang kepunyaan kekandanya Sultan Malikul Tahir. Peristiwa ini berlaku semasa Sultan Malikul menjadi tawanan raja Syahru’n Nuwi. Ini menyebabkan Sultan Malikul Tahir murka, dan bertindak menangkap Sultan Malikul Mansor dan Sidi Asma Yaumi’d Din semasa menghadiri majlis berkhatan Sultan Ahmad, putera Sultan Malikul Tahir. Sultan Malikul dijatuhkan hukuman dibuang daerah ke Manjung.

Keengganan Sidi Asma Yaumi’d Din mematuhi perintah Sultan Malikul Tahir agar tidak mengikuti Sultan Malikul Mansor ke Manjung menyebabkan dia dibunuh. Mayatnya ditanam di Padang Maya. Selepas tiga tahun adindanya dalam buangan, Sultan Malikul Tahir insaf dengan kesilapan yang dilakukan dan menitahkan pembesarnya menjemput adindanya pulang ke istana. Namun Sultan Malikul Mansor mangkat di sisi kubur Sidi Asma Yaumi’d Din dalam perjalanan pulang ke istana.

Catatan penting

• Unsur pathos/sedih tergambar dalam peristiwa pembunuhan Sidi Asma Yaumi’d Din dan Sultan Malikul Mansor yang dinafikan hak sebagai raja oleh kekandanya sendiri.
• Menggambarkan corak kehidupan dan pemikiran rakyat yang memiliki nilai-nilai kesetiaan kepada raja, sehingga sanggup bercerai nyawa dari badan.

Comments