Lapan Dekad Novel


PERKEMBANGAN NOVEL DI MALAYSIA

Perkembangan Novel Tahun 1920-an

Novel dikenali oleh masyarakat Malaysia pada awal abad ke-20. Dalam kajian kesusasteraan Melayu Moden, perkataan novel pertama kali digunakan oleh Za'ba pada tahun 1940 dalam tulisannya berjudul "Modern Developments" iaitu apabila memperkatakan novel Hikayat Faridah Hanum. Sebelum itu bidang itu lebih dikenali sebagai `cerita', `karangan cerita' dan `hikayat'.

Novel berbeza dengan cerita hikayat, tetapi kehadiran novel-novel pada awal abad ke-20, jelas dipengaruhi oleh cerita hikayat. Justeru itu novel-novel awal didahului oleh hikayat seperti Hikayat Faridah Hanum (1925) (dikatakan novel pertama), Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927), Hikayat Anak Dara Ghassan (1928), Hikayat Cermin Kehidupan (1929), Hikayat Puteri Nurul Ain (1929), dan Hikayat Cinta Melara (1934). Antara ciri-ciri novel hikayat ialah bentuk cerita lipurlara yang masih ketara dalam perjalinan cerita. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh A. Bakar Hamid, “daripada berbagai-bagai bentuk cerita tradisi, cerita lipur lara yang paling dekat dengan bentuk novel dan paling besar potensi mempengaruhi bentuk novel Melayu.” Konsep novel Melayu ialah cereka yang temanya berunsur didaktik/pengajaran, disampaikan dengan teknik yang masih banyak dipengaruhi oleh cerita-cerita Hikayat. Hashim Awang, menamakan novel-novel tersebut sebagai "Novel Hikayat" kerana bentuk cerita lipurlara bernama hikayat ini yang banyak mempengaruhi proses penciptaannya.

Walaupun Hikayat Faridah Hanum (1925) karya Syed Sheikh Al-Hadi dikatakan sebagai novel pertama di Tanah Melayu, namun sebelum itu telah ditemui novel Hikayat Panglima Nikosa (1987) karya Ahmad Syawal Abd. Hamid dan Kecurian Lima Bilion (1922) karya Haji Muhamad bin Muhamad Said. Novel Hikayat Faridah Hanum menjadi batu tanda perubahan yang besar dalam sejarah perkembangan novel Melayu. Novel ini disampaikan secara lebih teratur dan membawa berbagai masalah dalam kehidupan manusia. Walaupun masih dalam bentuk hikayat, namun novel ini lebih realistik. Novel seterusnya ialah Iakah Salmah? (1928) karya Ahmad Rashid Talu yang menggunakan latar di Tanah Melayu dengan persoalan Salmah sebagai watak penting dan melambangkan wanita moden. Salmah dikatakan sebagai wanita Melayu yang mula-mula mengikut aturan Eropah dan pakaian Eropah. Antara lain novel-novel terawal yang menggunakan amalan perkataan hikayat ialah Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan (1927) oleh Ahmad Kotot dan Mencari Isteri (1927) oleh Muhammad Yusof Ahmad yang disiarkan secara bersiri. Untuk dekad 20-an ini telah terlihat beberapa kemajuan dalam penulisan novel seperti kelainan tema, pembinaan plot secara terbuka dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada watak.



Perkembangan Novel Tahun 1930-an

Dekad 30-an menyaksikan perkembangan yang lebih baik. Golongan wartawan merupakan pengarang yang penting dalam perkembangan dekad 30-an ini. Contohnya Raja Mansur bin Raja Abdul Kadir telah menghasilkan Tujuh Kali Beristeri (1935) dan Satu Kali Cium Tujuh Kali Tempeleng (1935). Pengarang lain ialah Shamsudin Saleh dengan novelnya Kasih Berbalas (1936) dan Tiga Bulan dalam Penjara (1939). A. .Samad Ahmad pula menghasilkan Setia Itu Jaya (1937) dan Ishak Haji Muhamad pula tajuk novelnya ialah Putera Gunung Tahan (1937) dan Anak Mat Lela Gila (1941). Novel Ishak yang awal merupakan cetusan aspirasi perjuangan kebangsaan manakala novel yang kemudian adalah citra daripada pengalaman pengarangnya dan cadangan-cadangannya kepada perpaduan seluruh bangsa Melayu. Kedua-dua novel ini penting dan dianggap mewakili dekad 30-an kerana memaparkan semangat dan wawasan bangsa dalam menuntut kemerdekaan.

Penulis lain yang berkarya dan menjadi tenaga penggerak kepada sejarah kesusasteraan untuk dekad ini ialah Harun Aminurrashid, Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar dan Muhammad Rashid Talu yang meneruskan bakat penulisannya. Antara karya Harun ialah Melur Kuala Lumpur (1930). Antara karya Abdullah Sidek ialah Bercinta Tak Berfaedah (1932), Duri Perkahwinan (1937) dan Iblis Rumah Tangga (1939). Manakala karya Ahmad Rashid Talu pula ialah Rahmah bt. Abdullah (1933) dan Siapa Jahat (1929 & 1932). Pada umumnya kebanyakan novel waktu itu mengemukakan persoalan yang membawa mesej didaktik atau pengajaran. Bagaimanapun Abdul Kadir Adabi menghasilkan novel sejarah negeri Kelantan iaitu Acuman Mahkota, yang bersifat novel dengan menukar beberapa fakta sejarahnya. Sebelas Rejab (1938/39 – DBP 1980) karya penulis yang sama menceritakan bagaimana pemerasan penjajahan terhadap bumiputera dilakukan. Walaupun persoalan novel ini akhirnya berunsur didaktik, namun ada variasi cara penyampaiannya.

Perkembangan Novel Tahun 1940-an

Tidak banyak perubahan ke arah pembaharuan dalam perkembangan novel-novel Melayu dekad 40-an. Struktur pembinaan masih terikut-ikut cerita hikayat yang tidak dapat meninggalkan ciri-ciri pengembaraan, walaupun disulam dengan rakaman pengalaman pengarang yang menjadi sebahagian besar penulisan novel tahap ini.

Antara tokoh penting dekad ini ialah Abdul Kadir Adabi bin Ahmad yang menyelesaikan novel Melati Kota Bharu pada pertengahan dekad 40-an. Novel ini menggunakan latar yang lebih terbuka iaitu seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura dan Thailand. Bagaimanapun novel yang memperlihatkan kebencian pengarang kepada orang asing seperti orang Siam dan golongan Syed ini masih ada campur tangan penulis seperti suara pengarangnya.

Tokoh lain dekad ini ialah Ishak Haji Muhammad dengan novelnya Anak Mat Lela Gila (1941). Novel ini masih juga memperlihatkan sifat pengembaraan tetapi menyatakan sesuatu idea – terutama mengenai kebangkitan nasionalisme Melayu. Sebuah lagi novel yang tidak kurang pentingnya dekad ini ialah Semangat Yang Terurai (1940) karya Abdullah Sidek. Walaupun novel ini memaparkan kisah cinta, namun ada tragedi akibat sumpahan di sini iaitu si pemuda menjadi batu. Selain mengarang novel, Abdullah Sidek juga menjadi penerbit. Untuk dekad 40-an ini, antara novel yang diterbitkan sendiri (dikarang sendiri) ialah Doktor Zahari (1948), Gara-gara Kahwin Paksa (1948) Rahsia dalam Rahsia (1948) dan Tersungkur (1948).

Zaman pemerintahan Jepun Disember 1941– Ogos 1945 menjadi semacam satu kesepian dalam dunia penerbitan novel. Hanya Berjanji di Keretapi oleh Abdullah Sidek, novel yang terbit sepanjang waktu itu. Kesan daripada pemerintahan Jepun ini terbit novel Nyawa Di Hujung Pedang (1946) oleh Ahmad Murad Nasaruddin yang mengisahkan kezaliman Jepun. Adibah Amin, satu-satunya penulis wanita yang muncul dekad ini dengan novel bertajuk Gadis Sipu (1949). Tokoh lain dekad ini ialah Ahmad Lutfi, antara novelnya ialah Terkorban di Bilik 69 (1949), Empat Kali Haram (1949) dan Ustazah (1950). Novel-novel Ahmad Lutfi ini membawakan kisah cinta, namun ada perbezaan dengan novel kisah cinta sebelumnya kerana telah meninggalkan unsur pengembaraan dan latarnya di kota. Tema cintanya juga diolah dengan pelbagai persoalan.

Shamsudin Saleh meneruskan pengkaryaannya pada dekad ini. Untuk tahun 1941 sahaja, enam novelnya berjaya diterbitkan iaitu Kesetiaan Perempuan, Nasib Seorang Pengarang, Perang Cita-cita, Perlumbaan Hidup Puteri Hutan Tanah Melayu dan Tanggungan Muda. Selain menjadikan pengalaman sebagai akar tunjang penulisan novel, ciri-ciri pengembaraan juga masih dikekalkan kecuali dalam novel-novel Ahmad Lutfi. Begitulah perkembangan novel dekad ini yang boleh dianggap tidak membawa banyak perubahan.

Perkembangan Novel Tahun 1950-an

Dekad-dekad 50-an menyaksikan perkembangan yang lebih mantap lagi, memperlihatkan penggunaan stail yang indah tersusun dan kreatif. Rumah Itu Dunia Aku (1951) atau nama asalnya Anak Gundik oleh Hamzah merupakan novel dekad 50-an yang penting dan memulakan penyimpangan yang ketara dalam perkembangan novel Melayu dari sudut struktur. Novel ini memaparkan pergolakan dalaman watak utamanya. Novel seterusnya oleh pengarang ini ialah Pemburu Kembali Ke Rumahnya (tanpa tarikh) yang menggunakan teknik surat, juga dianggap membawa penyimpangan daripada novel sebelumnya. Rumah Kosong (1965) juga novel terbaik Hamzah selepas Rumah Itu Dunia Aku. Novel ini boleh dilihat dari sudut psiko-analisis Freud dan tajuk ‘rumah kosong’ itu adalah simbol kepada watak utama yang ditonjolkan oleh Hamzah iaitu watak bernama Wan–yang kosong jiwanya walaupun tinggal di rumah serba mewah. Novel Hamzah yang lain tetapi kurang menarik ialah Hujan Air Mata (1958) dan Samseng (1959).

Rumaja Malaya (nama sebenar–Abdul Hamid Haji Hashim) yang juga menggunakan nama samaran Hamidy Anwar juga memaparkan perubahan daripada novel sebelumnya. Novelnya yang seiring kepentingannya dengan Rumah Itu Dunia Aku ialah Corak Masyarakat (1953). Novel lain karya penulis ini ialah Jalan Neraka (1953), Isteri Seorang Tentera (1953) Lintah Darat (1957) Habis Manis (1958) dan Sayang Sayang Buah Kepayang(1958).. Abdullah Sidek meneruskan kariernya sebagai pengarang dan penerbit pada dekad-dekad ini. Abdullah membawakan tema semangat juang kepada anak-anak muda terutama melalui novelnya Mari Kita Berjuang (1958). Novelnya yang lain ialah Berjanji Di Keretapi (1959) dan Kerana Dia (1959).

Penubuhan DBP (1956) memberikan erti penting dalam perkembangan novel Melayu. Salah satunya ialah mengadakan peraduan novel dalam tahun 1958 dan 1962. Novel-novel yang menang dalam peraduan ini ialah Musafir (1959) karya Hassan Ali, Desa Pingitan (1964) oleh Ibrahim Omar, Salina (1961) oleh A. Samad Said dan Lingkaran (1965) oleh Arena Wati.

Perkembangan Novel Tahun 1960-an

Ada pendapat yang mengatakan dekad 60-an adalah zaman kegemilangan penulisan novel. Perkembangan bertambah pesat apabila bahasa Melayu didaulatkan menjadi bahasa kebangsaan oleh pemerintah. Pengisian kemerdekaan membawa perubahan besar kepada politik, pertumbuhan ekonomi dan sosial dan ini memberi semacam kesedaran kepada pengarang-pengarang Melayu untuk terus mencipta novel. Untuk pengisian mendaulatkan bahasa Melayu, banyak buku-buku bahasa Melayu diterbitkan terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Institusi kesusasteraan juga banyak ditubuhkan seperti Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Jabatan ini mula memperkenalkan mata kuliah kritikan sastera dengan membuat analisis novel-novel Melayu. Jabatan ini didokong oleh tokoh-tokoh seperti Mohd. Taib Osman dan Ismail Hussein. Kritikan novel tersebut disiar dalam majalah Mastika dan Dewan Bahasa.

Justeru kerana itu barangkali setengah pendapat mengatakan dekad 60-an ialah zaman kegemilangan novel Melayu. Ini ditambah lagi dengan kegiatan yang mendominasi novel seperti diskusi novel yang sering diadakan oleh persatuan penulis terutama PENA atau Persatuan Penulis Nasional yang ditubuhkan pada 1961. Antara penulis yang muncul ialah A. Samad Ismail, Ruhi Hayat, S. Othman Kelantan, Keris Mas, Shahnon Ahmad, Hamidah Hassan, Khadijah Hashim, dan Salmi Manja. Karya Shahnon Ahmad yang penting ialah Rentung (1965) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1966), (Buku ini pernah dijadikan teks STPM untuk mata pelajaran Bahasa Melayu II), Keris Mas novelnya Anak Titiwangsa (1967). Ruhi Hayat pula terkenal dengan Kembang di Taman Layu di Tangan (1966). Novel Salmi Manja ialah Hari Mana Bulan Mana (1960), Adibah Amin–Seroja Masih Di Kolam (1968), Khadijah Hashim pula ialah Jalan ke Kubur (1969). Persoalan yang dominan dipaparkan dalam novel-novel tahun 1960-an ini ialah masalah sosial yang membabitkan kemiskinan (ekonomi), masalah moral, masalah rumah tangga dan masalah pimpinan terutama di desa. Kekuatan dari segi gaya bahasa juga tidak dinafikan kemajuannya tercapai pada dekad ini. Selain itu perlukisan watak juga menunjukkan kemajuan. Terdapat juga novel yang bercorak sejarah atau sekurang-kurangnya ada unsur sejarah. Contohnya novel harun Aminurrashid – Gugur Di Lembah Kinabalu (1965). Dekad 60-an ini menyaksikan ramai pengarang Melayu yang mula menguasai teknik penulisan novel justeru pendidikan yang lebih tinggi dan pembacaan meluas kepada karya-karya agung dunia.


 Perkembangan Novel Tahun 1970-an

Dekad 70-an mempunyai rangsangan pertumbuhan yang bermakna apabila wujudnya Hadiah Karya Sastera (1971) oleh Kerajaan Malaysia dan sayembara oleh badan penulis seperti Sayembara Novel GAPENA YAYASAN SABAH. Namun jumlah penerbitan novel berkurangan dibandingkan dekad sebelumnya (kuantiti), tetapi dari segi kualiti, ramai peneliti menyebutkan nilainya jauh lebih baik. Satu sebab yang wajar pada kemerosotan ini ialah kurangnya penerbit novel kerana pasaran tidak memuaskan. Hal ini berkaitan pula dengan peralihan minat masyarakat kepada media elektronik seperti televisyen. Bilangan akhbar dan majalah dalam bahasa Melayu pula bertambah dan ini menarik minat pembaca memilih akhbar dan majalah daripada pembaca novel.

Dari segi pemilihan persoalan para pengarang dekad ini lebih luas dan mempunyai kepelbagaian. Pengarang mencanai persoalan dengan baik berakar tunjangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masyarakat sehari-hari. Dilihat daripada aspek-aspek pembangunan novel seperti bahasa, plot, watak dan teknik penyampaian, terdapat kemajuan yang jelas. Contohnya pemilihan kosa kata yang berbagai, watak yang dipersembahkan dengan cara tidak secara langsung dan perlukisan latar yang lebih jelas. Ini kerana dekad 1970-an adalah dekad yang lebih mencabar dalam usaha rakyat dan kerajaan mengisi kemerdekaan. Persoalan yang dikemukakan pengarang memperlihatkan daya keintelektualan dan kematangan pengarang dan disampaikan dengan stail yang mudah difahami. Dekad 70-an juga merupakan dekad penerusan pengarang dekad terdahulu mengukuhkan dan mengembangkan bakatnya.

Dua orang penulis yang meneruskan bakatnya dan menjadi penting dekad ini ialah Shahnon Ahmad dengan karyanya Srengenge (1973), Sampah (1974), Kemelut (1977) dan Seluang Menodak Baung (1978). Arena Wati pula dengan karyanya Sandera (1971) memenangi hadiah kedua Peraduan Mengarang Novel sempena Sepuluh Tahun Kemerdekaan anjuran pemerintah. Novel ini juga pernah dijadikan buku teks mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan (STP).

Wijaya Mala (Abu Yazid Abidin) menghasilkan dua novel penting dekad ini iaitu Sejuk-sejuk Tokyo (1973) dan Mata Di Jendela (1977). Abdullah Hussain pula menulis novel Noni (1976). A. Samad Ismail, tokoh wartawan Negara, berjaya menghasilkan Hussein Zet (1970) dan Sutinah (1975). Ada persamaan persoalan novel Sutinah ini dengan novel-novel Yahya Samah yang mengisahkan pelacur dan perbuatan maksiat. Novel tersebut bertajuk Air Yang Diminum (1974) dan Kelkatu (1976). A. Shukor Harun menggarap penderitaan hidup golongan nelayan melalui novelnya Sehingga Jatuhnya Matahari (1974). Azizi Hj. Abdullah adalah penulis baru yang penting dekad 70-an. Beliau memenangi Hadiah karya Sastera pada tahun 1971 dengan novelnya berjudul Senja Belum Berakhir. Novelnya yang lain ialah Gadis Itu Bernama Ina (1972), Sami Mekong (1976), Bila Hujan Malam (1976), Tini (1977), Ayah Bonda (1978) dan Di Kolam Mulhamah (1978).

S. Othman Kelantan meneruskan penciptaannya dengan novel Perjudian (1973) dan Juara (1976). Sementara seorang penulis muda yang muncul dekad ini ialah Anwar Ridhwan, apabila novelnya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) mendapat hadiah pertama Sayembara Mengarang Novel GAPENA – Yayasan Sabah (1979). Novel Saga (1976) karya A.Talib Hassan juga memenangi hadiah utama sayembara yang sama pada tahun 1976. Hadiah Kedua pula dimenangi oleh penulis dekad 70 ini iaitu Zahari Affandi dengan novelnya Bulan Merah Di Tiga Kuala (1976). Bila Lagi Kompang Berbunyi (1980), novel karya Marwilis Hj. Yusof pula memenangi hadiah penghargaan tahun (1979) sayembara yang sama.

Di Negeri Sabah, peraduan menulis novel juga menampilkan bakat-bakat baru. Amil Jaya, memenangi hadiah pertama peraduan anjuran Biro Bahasa Sabah dengan novelnya bertajuk Ngayau (1979). Novel ini mengisahkan konflik mengenai adat ngayau setiap musim mahu mendirikan rumah panjang di kalangan masyarakat peribumi di Malaysia Timur. Novel ini mengemukakan tema yang lain dan berbeza dengan novel-novel dekad 70-an yang lain.

Penulis wanita juga tidak ketinggalan giat berkarya pada dekad 70-an ini. Fatimah Busu menghasilkan novel Ombak Bukan Biru (1977), Zaharah Nawawi dengan novelnya Sebelum Berhujungnya Musim Bunga (1972) dan Khadijah Hashim menampilkan novel Pelangi Pagi (1971) dan Merpati Puteh Terbang Lagi (1972). Persoalan yang dikemukakan oleh penulis-penulis wanita ini mengitari kehidupan yang lebih tercitra kepada ketabahan watak-watak wanita-wanita dalam novel-novel tersebut. Kesemua novel-novel tersebut menampilkan watak wanita sebagai watak utama.


Perkembangan Novel Tahun 1980-90-an

Dekad 1980-90-an merupakan penerusan kegiatan dekad-dekad sebelumnya. Pengarang dekad ini berjaya mengangkat idea-idea baru dengan penggunaan teknik yang lebih sofistikated.
Anugerah Sasterawan Negara diadakan oleh kerajaan pada awal dekad ini dan pengarang novel seperti Keris Mas, Shahnon Ahmad, A. Samad Said dan Arena Wati menerima anugerahnya pada tahun-tahun 1981, 1982, 1985, 1987. Daerah Zeni (1985) karya A. Samad Said mendapat Hadiah Sastera Malaysia untuk penilaian tahun 1984/85, di samping novel Arus (1985) karya Anwar Ridhwan. Hujan Pagi (1986) pula menerima hadiah Karya Sastera tahun 1986/87.

Ada peningkatan yang jelas daripada segi kualiti dan kuantiti pada dekad 80-an. Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja berjaya menghasilkan/menerbitkan sejumlah 301 buah novel dalam masa 10 tahun (dekad 80-an). Penerima Anugerah Sastera Negara seperti yang tersebut di atas terus berkarya seperti Keris Mas dengan novelnya Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (1985) dan Rimba Harapan (1986). Shahnon pun menghasilkan novel berjudul Al-Syiqaq I (1987), Tok Guru (1988) dan Sultan Baginda (1989). Arena Wati menghasilkan trilogi Eropah, Belanda dan Jepun dengan tajuk-tajuk Bunga Dari Kuburan, Kuntum Tulip Biru dan Sakura Mengorak Kelopak yang terbit pada tahun 1987.

Menyentuh tentang persoalan novel-novel dekad ini, banyak aspek yang diterokai seperti pendidikan, nasionalisme, kemajuan sosio-ekonomi, kesedaran politik, kepimpinan, kemiskinan, psikologi dan novel-novel keagamaan. Ada juga novel yang mengemukakan persoalan yang remeh-temeh, ringan dan popular.

Azizi Hj. Abdullah terus berkarya dengan novelnya Seorang Tua Di Kaki Gunung (1982). Novel ini memenangi Hadiah Sayembara Novel GAPENA-Yayasan Sabah. Walaupun plot novel ini kelihatan mudah, namun novel ini memancarkan semangat yang gigih melalui watak seorang tua bernama Tuk Ya. Novel ini penuh dengan unsur suspen, konflik, imbas muka dan imbas kembali.

Dekad 80-an ini juga menyaksikan agama (Islam) dijadikan persoalan novel. Antaranya novel Hidayah (1984) karya Harun Haji Salleh. Novel ini secara tegas berfungsi ke arah memperkembangkan keunggulan Islam dan keagungan Allah. Novel lain, memaparkan persoalan yang sama oleh pengarang yang sama ialah Di Sebalik Sebuah Kubah (1986). Novel ini memenangi hadiah pertama Peraduan Mengarang sempena Abad ke-15 Hijrah, anjuran Jabatan Ketua Menteri Sabah.

Novel lain yang dianggap penting untuk dekad 80-an ini ialah Senjakala (1986) karya Baharuddin Kahar, Gugurnya Langit Hijau Naga Tiga (1986) oleh Jong Chian Lai, Bagaton (1987) karya Amil Jaya, Di Negeri Belalang (1989) karya Anwar Ridhwan dan Ruang Perjalanan (1989) karya S. Othman Kelantan.

Antara novel penting di awal dekad 90-an ialah Wajah Seorang Wanita (1990) karya S. Othman Kelantan. Novel ini mengisahkan seorang wanita yang gigih menempuh berbagai dugaan dalam zaman perang dan berjaya mendidik anak-anaknya. Inilah satu-satunya novel oleh penulis lelaki yang memberikan citra begitu baik dan murni kepada seorang wanita. Novel lain ialah Empangan (1991) karya Zakaria Ali, Patriarch (1991) karya Shahnon Ahmad, Panrita (1993) karya Arena Wati dan Imam (1995) karya Abdullah Hussain. Keempat-empat novel ini telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia. Panrita karya Arena Wati adalah satu-satunya novel oleh pengarang Melayu yang memaparkan persoalan begitu rupa. Memaparkan watak seorang tokoh bernama Tun Tan Sri Khamis bin Rabu yang koma sewaktu berada di tanah suci Mekah. Rupanya sepanjang koma itu dia memalui kembara yang lebih kepada alam metafizik.

Azmah Nordin merupakan seorang penulis novel wanita yang menjanjikan. Dekad 90-an telah menyaksikan novel penulis wanita ini terpilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Malaysia pada 1992/1993 iaitu novel Dari Dalam Cermin (1991) dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/1997) melalui novelnya Menongkah Lumrah (1996). Novel penulis wanita ini berjaya juga kerana diangkat oleh bahasa yang kemas, banyak menggunakan metafora dan warna daerah. Pengarang juga menggunakan simbol-simbol kepada beberapa watak sejajar dengan sifar peribadi yang digambarkan.

Novel-novel seperti Generasi (1996) karya Norzah dan Begawan (1997) karya Arena Wati juga antara novel yang penting untuk dekad 90-an. Dekad 90-an ini sebenarnya berjaya menampilkan novel-novel yang mempunyai keaslian persoalan, ditampilkan secara matang, memperlihatkan keindahan moral, kemurniaan nilai, ada inovasi dan kreativiti di samping mempunyai keseimbangan estetik bahasa dan persoalannya.

Comments