membaca

Showing posts with label membaca. Show all posts
Showing posts with label membaca. Show all posts

15 May 2021

PUISI HARI GURU : DEMIKIAN KAU ADA



 



DEMIKIAN KAU ADA


demikian kau ada
pada garis-garis hidupku
pada ketika aku tak pernah tahu
bagaimana garis itu bermula
kauyang pertama mengatur gerak
memberi yakin
semakin aku mengerti
bagaimana garis itu
melingkari danau hidup
memayungi jantung harap
tak pernah pergi
tak pernah berhenti
menjadi rujuk
menjadi hangat semangat
perjalanan itu jauh, katamu
garis-garis yang pergi
adalah pengalaman indah
untuk kau lebih yakin berlari
lihat di atasmu bintang mengerdip
itulah kejayaanmu bersinar terang
gapailah meski begitu payah
kau barangkali akan terjatuh dan luka
tangis tak membawa kita ke mana-mana
bangkitlah dengan tekad perkasa
masa depanmu di hujung hatimu
begitu kata-katamu

kaubiakkan keyakinan
kauyakinkan aku adalah matahari
memberi sinar membawa warna
dan hingga kita berpisah
kauhilang dari tatap mataku
kejauhan mengasingkan
tapi tak pernah kulupakan
segala yang telah kaumulakan
kerana dalam hidupku
kau pernah ada
menguatkan aku
dalam gelombang perjuangan ini
demikian kau ada
menjadi segala yang terbaik
buat hidupku

cikgu, terima kasih ini
bukan cukup untuk membalas ukir jasamu
terlalu banyak kauberikan
tapi aku akan selamanya
berterima kasih padamu
semoga kau dalam bahagia
dan menjadi garis-garis baru
buat murid-muridmu

6 Mar 2021

20 Nov 2020

22 Sept 2020

begitu kau pergi



 



BEGITU KAU PERGI


segalanya bakal termuat 

dalam kapal kenangan

helai-helai waktu yang luruh

dan aku tak lagi berada di situ

bukan menyungguhkan perpisahan

tetapi biarlah sebelum segalanya tiba

aku ingin bermohon setulusnya darimu

kusedari, akan ada guris rasa

dan calar jiwa dari segenap lakuku

atau tutur dan tingkah

begitu berbekas dan tidak pula kausebutkan

tetapi aku mengerti

pertemuan akan tertanda dengan tintanya

lakaran kecil bahagia

atau guris-guris pedih ngilu

kalau luka aku tak mampu menyembuhkan

kalau bahagia aku tak mampu meneruskan

maafkanlah khilaf dan salah

menjadi tanda sebaris pertemuan

muram dan memurungkan waktumu

janganlah pada waktu aku tak mampu melafazkan

kata maaf ini lagi

terulang sakit itu di kelopak sukmamu

aku tak mampu membawanya

jauh ke dalam kurungan kenangan

 

jangan menangis

kalau terasa pemergian ini ketiadaan

bukankah pada detik kita bertemu

sudah tertulis pula pamitan

kita tak bisa menjaring waktu

dan menatapnya kembali pada detik yang kita mahu

persis sungai mengalir pergi

kitapun akan begitu

31 Aug 2020

21 Jul 2020

15 Apr 2020

jom bercerita





JOM BERCERITA DALAM TALIAN SEMPENA
SENI DALAM TALIAN @#dudukrumah / ARTS ONLINE @#stayhome

1.0 Pengenalan
Jom Bercerita Dalam Talian merupakan aktiviti manifestasi berbentuk pertandingan menggunakan teknik penceritaan yang hanya boleh disertai oleh penggiat seni dan tokoh budaya. Sebagai contoh, rakaman video cerita penglipurlara oleh Awang Batil, Pak Romli atau cerita rakyat oleh tokoh budayawan atau penggiat seni yang mengisahkan Pak Pandir, Hang Tuah dan sebagainya yang mempunyai unsur nilai - nilai murni dengan durasi video selama 5 minit hingga 10 minit.

2.0 Syarat-Syarat Penyertaan

2.1 Umum

i. Penyertaan adalah PERCUMA dan TERBUKA kepada TOKOH/PENGGIAT SENI SENI BUDAYA sahaja.
ii. Kakitangan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan agensi di bawahnya TIDAK DIBENARKAN.
iii. Karya mesti bertemakan cerita-cerita rakyat yang menampilkan unsur nilai-nilai murni dalam penceritaan.
iv. Idea kreatif dalam penghasilan video adalah bonus dalam pemarkahan.
v. Hasil karya dan kreativiti adalah ASLI (ciptaan sendiri) dan BELUM PERNAH diterbitkan.
vi. Karya mestilah menggunakan BAHASA KEBANGSAAN sahaja dan tidak boleh sama sekali menyentuh isu-isu sensitiviti, perkauman, politik dan agama.
vii. Peserta hanya boleh menghantar SATU PENYERTAAN sahaja,
viii. Hanya 30 video yang berkualiti dan terbaik serta menepati syarat kelayakan sahaja akan dinilai, disiarkan serta menerima honorarium berjumlah RM300 bagi setiap 1 video.
ix. Durasi video adalah antara 5-10 minit.
x. Sasaran penceritaan hendaklah bersesuaian untuk golongan kanak-kanak dan remaja.
xi. Rakaman video hendaklah di lokasi kediaman masing-masing.
xii. Semua hasil karya yang diterima akan menjadi hakmilik JKKN dan berhak menggunakan karya tersebut bagi sebarang tujuan pelaksanaan program dan aktiviti jabatan.
xiii. Setiap penyertaan hendaklah disertakan dengan:
a) Borang penyertaan yang lengkap; dan
b) Salinan karya Jom Bercerita seperti butiran berikut:
- Rakaman video yang mempunyai kualiti video dan audio yang baik berdurasi antara 5-10 minit.
- Video mestilah berformat video mp4 resolusi 720p – 1080p menggunakan telefon bimbit.
xiv. Pertandingan bermula pada 14 April hingga 22 April 2020.
xv. Penyertaan boleh dihantar kepada pihak urus setia pertandingan di alamat e-mail seperti berikut:
- Puan Suraya binti Omar: dhia12adib09@gmail.com
- Puan Zuria’h Mohamad: zuriahmohamad@yahoo.com
- Puan Noor Seela binti Noor Sulaiman: seela.77@gmail.com

2.2 Proses Penilaian Juri

i. Setiap penyertaan akan melalui proses penilaian juri yang terdiri daripada juri profesional yang dilantik dan pihak pengurusan atasan.
ii. Penjurian adalah berdasarkan kepada penggunaan bahasa, kandungan, kreativiti penceritaan serta penyampaian secara keseluruhan serta menepati tema yang telah ditetapkan.
iii. Keputusan panel juri adalah muktamad dan sebarang bentuk bantahan tidak akan dilayan.
iv. Pemenang akan dimaklumkan melalui emel dan panggilan telefon. Hadiah akan disampaikan kepada pemenang pada masa-masa yang difikirkan sesuai oleh pihak pengurusan MOTAC/JKKN.
v. Sekiranya peserta tidak mendapat maklum balas daripada pihak urus setia selepas satu (1) minggu dari tarikh tutup penyertaan maka peserta dianggap tidak berjaya.


13 Jan 2020

metafora


Metafora

Mulanya tidak kukenal ia metafora. Ia hanya kata-kata yang suka kugarap dan tulis kononnya menulis puisi. Biarlah apapun terjadi aku belum berhenti menulis puisi. Dari zaman bangku sekolah hingga kini. Dari tulis di majalah sekolah hingga facebook begini. Penting aku bisa menulis ... baranagkali tak dibaca sesiapa, Biarlah puisi bukan untuk dijual tetapi ditulis dalam kapasiti terbaik diri...

Yang membuat aku dekat demgan puisi kerana metafora rupanya. Kata-kata yang memberi banding antara abstrak dan konkrit itu metafora.... wahhh

baru kutau setelah memasuki sekolah dan berguru ada metafora dalam puisi ada paradoks dan ada personifikasi. Semua itu bahasa puisi...

cintaku seluas lautan
pohon-pohon harap yang tumbuh perlahan

itulah metafora

cuma sekarang ini bagaimana mendekatkan semua ini kepada jiwa remaja dan muda belia agar cinta puisi. Tak terjaswab tanya ini...

metafora tak terbandingkan barangkali


11 Jan 2020