KMK : Soalan dan Jawapan



Jawab tiga soalan sahaja: satu soalan daripada tiap-tiap Bahagian A, B dan C.
Markah untuk tiap-tiap soalan diberikan dalam tanda kurung [ ].


Bahagian A : PUISI
[ 25 markah ]

Jawab satu soalan sahaja.

1. Baca petikan puisi di bawah dengan teliti dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis bawaan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny.),2012.
Permata Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka, halaman 11)

(a) Nyatakan jenis puisi di atas dan huraikan ciri-cirinya [7]
(b) Jelaskan unsur kritikan sosial yang terdapat dalam puisi tersebut [12]
(c) Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam puisi di atas [6]

2. Baca sajak di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Seorang Jemaah
A. Wahab Ali
I
Pada setiap subuh bening
Sedang azan memancar di menara masjid
Kutemui dia tenang berjalan
Jubahnya putih, serbannya putih, kasutnya juga putih.

Sesekali aku berhenti
Mempelawanya menaiki kereta
Dia memberikan salam
Bersamanya menerpa wangi haruman.

Bila berjemaah
Sesekali kami bersebelahan
Sebelum takbir
Dia sibuk bersugi.

Sebaik imam selesai memberi salam
Dia berdoa singkat
Kemudian menerjah keluar
Melipat jubahnya
Dia ligat berjoging di asfalt
Putih topinya, putih bajunya, putih seluarnya
Putih kasutnya.

Setiap derap sepatunya
Dia menyebut kebesaran Allah
Setiap denyut jantungnya
Dia menyambung doa yang tertinggal
Minta umur dipanjangkan
Minta diselamatkan anak isteri
Minta selamatkan saudara seagama
Selamat yang hidup
Selamat yang telah mati
Selamat di dunia
Selamat di akhirat
Selamat semuanya.

II
Kini
Setiap subuh bening
Azan tetap memancar di menara masjid
Jalan tinggal sepi, pintu keretaku tertutup
Tetapi setiap kali lalu di tempat aku mengambilnya
dulu
wangi harumnya masih menerpa
putih jubah dan putih serbannya kubawa bersama.

Kini
Ketika aku berjemaah
Di sisiku dia tiada
Tetapi sugi dan usallinya
Memanjang di mataku.

Kini
Bila selesai imam memberi salam
Tidak kelihatan dia bergegas ke luar
Asfalt lama merindukan seretan kasut putihnya
Pejalan kaki pagi
Merindukan topi putihnya
Doanya masih mengambang
Tapi degup jantungnya sudah lama berhenti
Dia telah lama selamat
Berbaring bersama deretan pusara
Dato’ dan Tan Seri.

Kuala Lumpur – Kuala Terengganu
5–6. 12. 1991

(Dipetik Majlis Peperiksaan Malaysia [ peny ], 2012
Permata Sastera Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur Hal. 32-33 )

(a) Jelaskan maksud rangkap empat sajak ini. [ 04 ]
(b) Bincangkan tiga persoalan yang dikemukakan dalam sajak tersebut. [09]
(c) Kemukakan empat gaya bahasa yang digunakan dalam sajak di atas. [12]

Bahagian B : Prosa Tradisional
[ 25 markah ]

Jawab satu soalan sahaja.

3. Hang Tuah merupakan tokoh epik yang terkenal dan menjadi kebanggaan masyarakat Melayu. Berdasarkan kenyataan tersebut:
(a) Bincangkan sifat-sifat Hang Tuah sebagai tokoh epik
(b) Terangkan kepentingan tokoh Hang Tuah kepada diri anda

4. Pada suatu hari Tuan Syeikh Alam Dirimba bertitah kepada segala isi rimba itu katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, muafakatlah tuan-tuan; jangan aniaya menganiaya antara suatu dengan lain dan janganlah elat dan dengki dan janganlah berbuat fitnah kerana di dalam firasatku akan datang bala dan huru-hara menimpai tuan-tuan. Jikalau ada sesuatu perkara berlaku atas tuan-tuan, hendaklah segera beri tahu hamba. Dan lagi hendaklah tuan-tuan sekalian tujuh hari sekali datang kepada hamba dan bawa buah-buahan yang baik dan taruk kayu yang muda-muda jadi tanda kita bersahabat pada zahir dan batin. Janganlah tuan-tuan sekalian lupa akan pesanan hamba ini.”
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Nyatakan lima amanat yang terdapat dalam petikan di atas. [5]
(b). Berdasarkan keseluruhan cerita dalam “Hikayat Pelanduk Jenaka” yang termuat dalam Permata Sastera Melayu, huraikan 4 peristiwa bagaimana Tuan Syeikh Alam Dirimba mengalahkan gergasi. [ 8 ]
(c) Jelaskan nilai kemanusiaan yang terdapat pada watak Tuan Syeikh Alam Dirimba [ 12 ]

Bahagian C : Prosa Moden
[ 25 markah ]

Jawab satu soalan sahaja.

5. Baca petikan cerpen di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutnya.

“Orang tua memerlukan kasih sayang anak-anaknya. Mendapat tempat tinggal yang wajar yang mereka boleh melanjutkan ibadatnya, bukan tersorok bagai barang yang tidak berguna dalam bilik sempit dengan lampu 15 wat. Sebab kebanyakan orang yang sudah lanjut usia ingin menggunakan sisa-sisa hidup mereka untuk beribadat secara konsisten, mahu menebus ketinggalan pada masa mudanya,” kata Cikgu Baharum dalam suratnya yang agak panjang. “Kasih Sayang itulah yang mereka perlukan. Dan hanya orang tua yang tidak mempunyai anak sahaja yang patut disantuni di rumah kebajikan, tempat mereka boleh mendapat kasih Sayang yang jujur dan ikhlas di samping makan minum yang teratur.” Masya-Allah. Terlalu tinggi falsafahnya, Saya terlalu kagum dan mahu memeluknya jika dia ada bersama-sama waktu itu.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas. [ 4 ]
(b) Berdasarkan cerpen “Usia Emas”, huraikan tiga falsafah yang dipegang oleh watak Cikgu Baharum sehingga menjadikan watak “saya” terlalu mengaguminya. [12]
(c) Cerpen “Usia Emas” banyak menggunakan teknik imbas kembali dalam menggerakkan plot ceritanya. Nyatakan maksud imbas kembali dan huraikan empat peristiwa yang digambarkan melalui teknik imbas kembali. [ 9 ]

6. Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

ASIAH SAMIAH TUA: Pasti abang itu. Saya denar tapak kaki abang. Saya dengar dehem abang. Saya rasa hampirnya abang dengan saya. Saya rasakan nafas abang yang hangat itu. Nafas abang yang bernafsu. Yang menyesakkan saya. Yang menyelimutkan saya dalam rindu dan berahi.

MARGA TUA: Lihat! Itulah sebabnya kenapa saya harus melayani kegilaanya. Dia luar biasa – malah istemewa, kalian akan tahu nanti – dia perempuan yang cerdik – atau mungkin juga terlalu cerdik. Bukankah orang cerdik selalu kurang waras, kata orang ! Saya tak kata begitu. Tunggu, dengar apa katanya…

ASIAH SAMIAH TUA: Abang tahu saya menunggu abang bukan? Macam saya janjikan dulu. Di bawah tiang lampu ini, sewaktu senja begini, ketika lembayung dan cahaya matahari yang berbaki macam manik-manik yang berturutan – lalu meninggalkan warna kemilau yang indah, saya akan tetap menunggu abang.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Siapakah watak abang dalam petikan di atas. [ 1 ]
(b) Nyatakan dua perwatakan Asiah Samiah dalam petikan di atas. [ 4 ]
(c) Galurkan empat peristiwa uang menyebabkan Asiah Samiah menjadi tidak siuman [ 8 ]
(d) Jelaskan empat mesej yang terkandung dalam drama Asiah Samiah [12]


SKEMA PEMARKAHAN

1. Baca petikan puisi di bawah dengan teliti dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela
Harta habis bawaan tergadai
Mendengar gelagak dagang
Tak sedar bertelanjang
Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak
Gunting makan di hujung
Pak Pandir juga yang menanggung
Apa didengar gelagak dagang
Gelagak rambutan jantan
Orang berbunga, dia berbunga
Orang berbuah, dia haram
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny.),2012.
Permata Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka, halaman 11)

(a) Nyatakan jenis puisi di atas dan huraikan ciri-cirinya [7]
(b) Jelaskan unsur kritikan sosial yang terdapat dalam puisi tersebut [12]
(c) Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam puisi di atas [6]

Skema Jawapan Soalan 1
(a) Jenis puisi : Seloka Pak Pandir [1]

Ciri-ciri seloka
F1 : Dari segi bentuk.
H/C : Tergolong sebagai puisi bebas/tidak terikat seperti pantun dan syair. Bebas dari segi rangkap, jumlah baris dalam rangkap, jumlah kata dan sukukata dalam sebaris dan rima akhir. Contoh:
Rima akhir seloka tidak tetap atau bebas, iaitu a-b-c-a-a-d-e-a-f-a-a-a-e-b-g-c-e.

F2 :Dari segi tema/isi/persoalan.
H/C :Seloka Pak Pandir merupakan puisi yang merujuk kepada suatu bentuk sindiran/kritikan terhadap sikap masyarakat yang bersifat tamak serta mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Sebaliknya lebih mengutamakan orang lain/luar yang baru dikenali.
Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela

F3 : Rima akhir
H/C : Rima akhir seloka berbentuk bebas dan tidak terikat dengan pantun dan syair.
Anak dipijak dagang dijinjing -a
Kucing dibunuh tikus dibela -b
Harta habis bawaan tergadai -c
Mendengar gelagak dagang -a
Tak sedar bertelanjang -a
Mendengar guruh di langit -d
Air di tempayan dicurahkan -e
Mulut kena suap pisang -a
Buntut kena cangkuk onak -f
Gunting makan di hujung -a
Pak Pandir juga yang menanggung-a
Apa didengar gelagak dagang -a
Gelagak rambutan jantan -e
Orang berbunga, dia berbunga-berbunga - g
Orang berbuah, dia haram -h
Kilat memancar hujan tak jadi-c
Awak juga berkecundangan -e

F4 : Dari segi bahasa.
H/C :Seloka banyak menggunakan kias ibarat/peribahasa/kiasan; bahasa yang estetik/indah; perulangan kata dan satira.
Peribahasa
Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan

Perulangan kata/Peribahasa
Mulut kena suap pisang
Buntut kena cangkuk onak

F5 : Dari segi peranan/fungsi
H/C : Seloka bertujuan untuk memberi panduan supaya berpada-pada dalam melakukan kebaikan, seperti kata pepatah, “Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”Berbuat baik kepada seseorang harus dilakukan secara sederhana sahaja.

F6 : Lain-lain ciri seperti jumlah baris, jumlah perkataan, jumlah suku kata dalam baris boleh diterima sebagai fakta jawapan

Pilih 2 isi sahaja
1 isi = 3 markah (1 markah fakta dan 2 markah Huraian/Contoh)
2 isi x 3 markah = 6 markah

b) Jelaskan unsur kritikan sosial dalam puisi

F1 :Menyindir/mengkritik/menempelak individu atau masyarakat yang lebih mengutama/mementingkan orang luar/dagang yang baru dikenali berbanding dengan anak atau keluarga sendiri.
H/C :Mereka lebih menutamakan orang lain/dagang dan sanggup menabur budi atau berbuat baik kepada orang lain sehingga mengabaikan tanggungjawabnya terhadap orang yang berada di bawah tanggungannya, termasuk anak dan isterinya.
Anak dipijak dagang dijinjing
Kucing dibunuh tikus dibela

F2 :Menyindir /mengkritik/menempelak individu atau masyarakat yang mudah terpedaya dengan janji manis dagang yang baru dikenalinya.
H/C : Mereka sanggup menghabiskan harta yang mereka miliki, semata-mata untuk mengambil hati kerana terpedaya dengan gelagat dagang sehingga mereka tidak menyedari bahawa mereka telah diperbodohkan oleh dagang tersebut.
Harta habis badan tergadai
Mendengar gelagat dagang
Tak sedar bertelanjang

F3 : Menyindir/mengkritik/menempelak masyarakat yang terlalu mengharapkan keuntungan yang belum pasti, sehingga sanggup menghabiskan harta yang sedia ada.
H/C : Oleh kerana terlalu mengimpikan keuntungan yang belum tentu akan tercapai, mereka sanggup melakukan tindakan secara terburu-buru tanpa berfikir secara rasional, iaitu mereka sanggup membazir atau mensia-siakan rezeki atau harta yang sedia mereka miliki.
Mendengar guruh di langit
Air di tempayan dicurahkan

F4 : Mengkritik/menyindir/menempelak individu atau masyarakat luar yang sanggup memperdaya masyarakat tempatan untuk kepentingan diri sendiri.
H/C : Golongan ini sentiasa mencari peluang dan pandai mengambil kesempatan dari kelemahan dan kebodohan masyarakat tempatan semata-mata untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan nasib orang lain.
Mulut kena disuap pisang
Buntut kena cangkuk onak

F5 : Menyindir/mengkritik/menempelak individu atau masyarakat yang malas bekerja dan ingin bersenang-lenang
H/C : Akhirnya setelah dagang berlalu pergi, mereka menanggung kerugian dan penyesalan yang tidak berkesudahan, kerana apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
Kilat memancar hujan tak jadi
Awak juga berkecundangan.

Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 4 markah (2 markah fakta dan 2 markah Huraian/Contoh)
3 isi x 4 markah = 12 markah

c). Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam puisi di atas

F1 : Asonansi.
H/C :Perulangan bunyi vokal dalam baris-baris puisi secara mendatar:
Anak dipijak dagang dijinjing-perulangan vokal ‘I’ (Baris 1)
Kilat memancar hujan tak jadi-perulangan vokal ‘a’ (baris 16)

F2 : Aliterasi.
H/C :Perulangan bunyi konsonan dalam baris-baris puisi secara mendatar.
Buntut kena cangkuk onak-perulangan konsonan ‘k’ (Baris 4)
Orang berbunga dia berbunga-perulangan konsonan ‘b’ (Baris 14)

F3 : Anafora.
H/C :Perulangan kata di awal baris secara berturutan
Orang berbunga, dia berbunga(Baris 14)
Orang berbuah, dia haram (Baris 15)

F4 : Perulangan kata dalam baris.
H/C : Perkataan yang sama diulang dalam baris yang sama.
Orang berbunga, dia berbunga (Baris 14)

F5 : Perulangan kata di tengah baris.
H/C : Perkataan yang sama diulang di tengah baris secara berurutan.
Mulut kena suap pisang (Baris 8)
Buntut kena cangkuk onak (Baris 9)

F6 : Peribahasa.
H/C : Ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu.
Mendengar guruh di langit (Baris 6)
Air di tempayan di curahkan (Baris 7)
Mulut kena suap pisang ( Baris 8)
Buntut kena cangkuk orang (Baris 9)

F7 : Citra.
H/C : Imejan/ gambaran tentang sesuatu diambil dari sumber alam atau alam sekeliling.
Pasir, batu, balam, ayam kundur, labu dll.

Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 2 markah (1 markah fakta dan 1 markah Huraian/Contoh)
3 isi x 2 markah = 6 markah

Skema Jawapan Soalan 2

a) Jelaskan tema sajak di atas [ 4 ]

F: kasih-sayang
H/C: penyajak mengambarkan perasaan kasih sayang ayahnya kepada keluarga terutama kepada penyajak. Sebagai tanda sayangnya, ayah memberikan sebidang tanah luas di kampung yang telah banyak memberi jasa sebagai sumber rezeki kepada keluarga.
Bila berdiri di antara pepohon rimbun
di Hyde Park
aku teringat sebidang tanah luas pemberian
ayah di kampung

1 Isi = 4 markah
2 markah fakta 2 markah Huraian/Contoh

b) Huraikan gaya bahasa dalam sajak di atas. [12]
F1: Asonansi
H/C: Perulangan bunyi vokal dalam baris yang sama
bila berdiri di antara pepohon rimbun ( perulangan bunyi vokal i)

F2: Aliterasi
H/C: Perulangan bunyi konsonan dalam baris yang sama
menanam anak getah ( perulangan bunyi konsoanan n)

F3: Metafora
H/C: Membandingan sesuatu yang bersifat konkrit dengan sesuatu yang bersifat abstrak yang membawa diluar kelaziman.
betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara

F4: Anafora
H/C: Perulangan perkataan di awal baris dan sepatutnya berturutan
atau semasa menghalau burung pipit
atau saja-saja santai antara panggilan emak

F5: Imej alam
H/C: Satu gambaran mengenai sesuatu kehidupan ia lebih terdiri daripada sekumpulan kata yang menggambarkan objek, kisah, fikiran, falsafah.
pepohon/burung pipit/,padi/getah

F6: Inversi
H/C: Pembalikan rangkaikata
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak
sepatutnya setelah pokok di tebang dan semak dibersihkan

Pilih 4 isi
1isi = 3 markah ( 1markah fakta, 1 markah huraian , 1 markah contoh )
4 isi x 3 markah = 12markah

c) citra watak ayah [ 9 ]

F1: prihatin
H/C: ayah prihatin terhadap masa depan anak-anaknya dengan memberi sebidang tanah
aku teringat sebidang tanah luas pemberian
ayah di kampung (R1B3&B4)

F2: gigih
H/C: ayah gigih meneroka , menebang dan membakar tanah hutan sehingga boleh ditanam padi huma
betapa sebelumnya ia adalah tanah hutan dara
setelah ditebang pokok dan dibersihkan semak
kemudian dibiarkan kering dan dibakar
dan setelah berkali-kali ditanam padi
menjadi huma bukit milik keluarga.

F3: rajin
H/C: Selain menanam padi huma, ayah rajin menanam getah dan lada.
menanam anak getah
atau membetulkan barisan tanaman ladanya.

F4: penyayang
H/C: ayah amat menyayangi penyajak, buktinya ayah telah memberi sebidang tanah luas di kampung kepada penyajak.
Bila berdiri di antara pepohon rimbun
di Hyde Park
aku teringat sebidang tanah luas pemberian
ayah di kampung

F5: bertanggungjawab
H/C: ayah bertanggungjawab mengusahakan tanah untuk mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga / ayah amat menekankan soal tanggungjawab menjaga dan memelihara tanah dan ayah mengharapkan agar penyajak meneruskan tanggungjawab itu.
di situlah ayah akan bercerita tentang erti
sebuah tanah
tentang tanggungjawab penjagaan dan
pemeliharaannya

Pilih 3 isi
1 isi = 3 markah ( 1 markah fakta, 1 markah huraian , 1 markah contoh )
3 isi x 3 markah = 9 markah

3. Hang Tuah merupakan tokoh epik yang terkenal dan menjadi kebanggaan masyarakat Melayu. Berdasarkan kenyataan tersebut:
(a) Bincangkan sifat-sifat Hang Tuah sebagai tokoh epik
(b) Terangkan kepentingan tokoh Hang Tuah kepada diri anda

Skema Jawapan Soalan 3

(a) Bincangkan sifat-sifat Hang Tuah sebagai tokoh epik

F1 : Berani menanggung risiko dan tidak takut mati/tidak gentar menghadapi bahaya.
H/C : Hang Tuah adalah seorang tokoh yang terkenal dibidang kepahlawanan dan tiada tolok bandingnya, serta mempunyai kekuatan dan keberanian yang luar biasa. Ketika berada di Majapahit mengiringi raja Melaka untuk meminang dan berkahwin dengan puteri Betara Majapahit, Hang Tuah menunjukkankan sifat beraninya apabila dia menyahut cabaran dan bertarung dengan semua perajurit Majapahit termasuk berjaya membunuh Taming Sari.

F2 : Kebijaksanaan akal dalam membuat tipu helah (muslihat atau tipu daya).
H/C : Ketika berada di Majapahit, Hang Tuah memperlihatkan kebijaksanaan akal mengatasi sebarang masalah, terutama rancangan-rancangan Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada menguji kekuatan atau kehandalan Hang Tuah dan percubaan untuk membunuhnya. Dengan kebijaksanaan akal yang ada pada Hang Tuah, kesemua cubaan atau ujian tersebut berjaya di atasi dengan mudah. Contoh, Hang Tuah menggunakan tipu helah untuk membunuh Taming Sari. Pada mulanya Hang Tuah gagal untuk mengatasi kehandalan Taming Sari, Kerana Taming Sari memiliki keris yang berkuasa ajaib dan istimewa yang menyebabkan tubuhnya kebal dan tidak lut oleh sebarang senjata. Oleh itu Hang Tuah memperdaya Taming Sari dengan mengajaknya bertukar-tukar keris kerana dia tahu kekuatan Taming Sari terletak pada keris tersebut. Tipu helah ini dibuat olehHang Tuah bertujuan untuk memperdayakan dan seterusnya mendapatkan keris Taming Sari. Tun Tuah mengajak Taming Sari bermuafakat untuk sama-sama mengamuk. Mereka akan bertindak membunuh Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada. Kemudian Taming Sari akan dilantik menjadi Betara Majapahit dan Tun Tuah pula akan memegang jawatan sebagai Patih Gajah Mada. Taming Sari terpedaya dengan pelawaan Tun Tuah lalu bertukar–tukar keris dengan Tun Tuah. Akhirnya Taming berjaya dibunuh oleh Tun Tuah.

F3 : Kesetiaan untuk sentiasa menjaga keselamatan rajanya.
H/C : Hang Tuah mempunyai sifat kesetiaan yang ideal, kesetiaaan yang tidak berbelah bagi, kesetiaan yang luar biasa, malah dia sanggup menyerahkan seluruh jiwa dan raganya semata-mata untuk raja Melaka. Tun Tuah memegang prinsip ‘Pantang Melayu Derhaka Kepada Tuannya’. Ketika berada di Majapahit, Tun Tuah telah menggunakan sifat kepahlawan dan kebijaksanaan akal untuk menjaga maruah dan keselamatan raja Melaka daripada dihina oleh Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada demi kesetiaannya kepada raja Melaka. Jika terjadi sesuatu perkara yang memalukan, sudah tentu akan memberi aib kepada raja dan negeri Melaka. Apabila berhadapan dengan musuh, hanya yang ada dalam fikiran Hang Tuah ialah dia perlu menjaga maruah dan nama baik rajanya. Oleh kerana konsep kesetiaan ini ada pada diri Hang Tuah menyebabkan dia sering mendapat kekuatan dalaman menyebabkan dia dapat mengalahkan kesemua musuhnya. Contoh, Hang Tuah berjaya membunuh Taming Sari, dan berjaya menggagalkan segala cubaan atau ujian yang dilakukan oleh Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada untuk menjatuhkan maruah raja dan negeri Melaka.

F4 : Memperlihatkan sifat luar biasa , iaitu pandai dalam ilmu firasat .
H/C : Hang Tuah juga mahir dalam ilmu firasat, iaitu ilmu pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka, badan dan lain-lain untuk mengetahui kelakuan atau nasib seseorang atau ilmu yang melibatkan perasaan hati akan terjadi sesuatu sesudah melihat gejala tertentu. Contoh, melalui tilikannya , keris yang dimiliki oleh Taming Sari mempunyai kuasa ajaib dan Hang Tuah percaya selagi keris tersebut berada di tangan Taming Sari, tubuhnya tidak akan lut oleh sebarang senjata. Oleh itu Hang Tuah berjaya memperdaya Taming Sari melalui helahnya mengajak Taming Sari bermuafakat dan bertukar-tukar keris dengannya. Dengan tipu helah tersebut Hang Tuah berjaya memperolehi keris tersebut dan akhirnya berjaya membunuh Taming Sari.

F5 : Ketangkasan dan kecekapan bermain senjata.
H/C : Hang Tuah adalah seorang tokoh pahlawan yang cekap dan mahir bermain senjata. Ilmu ini diperolehi oleh Hang Tuah setelah berguru dengan beberapa orang guru . Antara gurunya ialah Sang Persata Nala di Gunung Wirana Pura Majapahit dan Aria Putera di Bukit Pancalusa Singapura. Ketangkasan dan kecekapan Hang Tuah bermain senjata terbukti ketika berada di Majapahit . Contoh, Hang Tuah berjaya mengelakkan tikaman dan berjaya membunuh perajurit-perajurit Majapahit, termasuklah Taming Sari, sehingga dikagumi oleh Betara Majapahit dan Patih Gajah Mada.

F6 :Lain-lain sifat Tun Tuah sebagai tokoh epik ialah mahir bermain senjata dan pandai dalam ilmu persilatan, sanggup berkorban, bersifat patriotisme, iaitu semangat cinta untuk merpertahankan kedaulatan negara dan lain-lain.

Pilih 4 isi sahaja
1 isi = 4 markah (2 markah Fakta, 2 markah Huraian/Contoh)
4 isi x 4 markah = 16 markah

(b) Terangkan kepentingan tokoh Hang Tuah kepada diri anda.

F1 : Dapat menguatkan semangat sifat taat setia dalam diri sebagai suatu pegangan.
H/C : Sifat taat setia ini penting dijadikan sebagai suatu pegangan dalam semua aspek kehidupan kita, sama ada dari segi pemikiran atau tindakan. Contoh, ketika berada di Majapahit, Hang Tuah sanggup meletakkan dirinya dalam keadaan bahaya demi menunaikan perintah raja dan membuktikan ketaatan dan keselamatan raja Melaka. Sifat taat setia ini terkesan untuk saya untuk menjadikan sifat ini sebagai suatu ikutan dan pedoman dalam kehidupan dalam melakukan sesuatu, serta menghindarkan diri daripada melakukan pengkhianatan.

F2 : Dapat menjadikan contoh teladan tentang kepahlawanan dan keberanian wira.
H/C : Sifat kepahlawanan dan keberanian Hang Tuah dapat membangkit ( melahirkan) dan menanam sifat keberanian dalam diri saya dalam menghadapi sesuatu situasi yang penuh mencabar. Contoh, ketika berada di Majapahit mengiringi raja Melaka meminang puteri Betara Majapahit, Hang Tuah sanggup menghadapi segala rancangan untuk menguji kekuatannya sebagai pahlawan dan cubaan untuk membunuhnya dengan semangat keberanian yang ada padanya, termasuk bertarung dengan perajurit Majapahit yang paling handal, iaitu Taming Sari. Dengan adanya sifat keberanian dalam diri menyebabkan saya sanggup menghadapi apa juga situasi yang boleh membahayakan diri saya. Sebaliknya dengan berbekalkan semangat keberanian, saya sanggup menghadapi apa juga situasi dalam usaha untuk memperjuangkan hak dan maruah diri, bangsa dan negara daripada segala ancaman musuh.

F3 : Dapat memupuk dan menanam semangat patriotik dalam diri
H/C : Hang Tuah memang terkenal dengan semangat patriotismenya, iaitu semangat cintakan watan atau negaranya walaupun di mana dia berada dan semangat patriotik ini sudah sebati bertapak dalam jiwanya. Dengan berbekalkan sifat patriotik yang kental, Hang Tuah tidak mudah terpedaya dengan elemen-elemen yang cuba memesong semangat patriotismenya. Contoh, ketika berada di Majapahit,Hang Tuah melaksanakan tugasnya sebagai pengiring raja untuk menjaga maruah dan keselamatan raja Melaka. Saya juga terkesan dan bertanggung jawab untuk menyemai dan memupuk semangat patriotisme dalam diri agar saya dapat menjadi individu yang berguna kepada bangsa dan negara.

F4 : Dapat menaman kemahiran ilmu persilatan
H/C : Kemahiran Hang Tuah dalam ilmu persilatan memang tidak boleh disangkal lagi dan telah menjadi pedoman dan ikutan dalam diri saya. Hang Tuah berjaya menguasai ilmu persilatan secara zahir dan batin. Ilmu ini diperolehi oleh Hang Tuah melalui perguruannya dengan beberapa orang guru, termasuklah Sang Persata Nala dan Aria Putera sehingga berjaya menjadi pahlawan terkenal dan sukar dan sukar ditandingi. Contoh, ketika berada di Majapahit hang Tuah berjaya mengalahkan semua perajurit Majapahit termasuklah Taming Sari. Kemahiran Hang Tuah dalam ilmu persilatan berjaya memberi dorongan dan ikutan kepada saya untuk menguasai dan mewarisi ilmu tersebut dalam usaha untuk mempertahan dan menjaga diri, maruah bangsa dan negara.

F5: Kebijaksanaan
F6: Ilmu kebatinan dan lain-lain

Pilih 3 isi sahaja
1 isi = 3 markah (1 markah Fakta, 2 markah Huraian)
3 isi x 3 markah = 9 markah

4. Pada suatu hari Tuan Syeikh Alam Dirimba bertitah kepada segala isi rimba itu katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, muafakatlah tuan-tuan; jangan aniaya menganiaya antara suatu dengan lain dan janganlah elat dan dengki dan janganlah berbuat fitnah kerana di dalam firasatku akan datang bala dan huru-hara menimpai tuan-tuan. Jikalau ada sesuatu perkara berlaku atas tuan-tuan, hendaklah segera beri tahu hamba. Dan lagi hendaklah tuan-tuan sekalian tujuh hari sekali datang kepada hamba dan bawa buah-buahan yang baik dan taruk kayu yang muda-muda jadi tanda kita bersahabat pada zahir dan batin. Janganlah tuan-tuan sekalian lupa akan pesanan hamba ini.”
(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Nyatakan lima amanat yang terdapat dalam petikan di atas. [5]
(b) Berdasarkan keseluruhan cerita dalam “Hikayat Pelanduk Jenaka” yang termuat dalam Permata Sastera Melayu, huraikan 4 peristiwa bagaimana Tuan Syeikh Alam Dirimba mengalahkan gergasi. [ 8 ]
(c) Jelaskan nilai kemanusiaan yang terdapat pada watak Tuan Syeikh Alam Dirimba [ 12 ]

Skema Jawapan Soalan 4

a) Lima Amanat

F1 : Hendaklah bermuafakat antara satu sama lain

F2 : Jangan aniaya menganiaya antara satu sama lain

F3 : Janganlah elat / menipu / pembohong

F4 : Jangan dengki antara satu sama lain

F5 : Jangan berbuat fitnah kepada orang lain.

Pilih 5 isi sahaja
1 isi = 1 markah
5 isi x 1 markah = 5 markah

b) Empat peristiwa bagaimana Tuan Syeikh Alam di-Rimba mengalahkan Raksasa

F1: Tuan Syeikh Alam pergi ke Sungai Tinam tempat raksasa dan mengarahkan isi rimba mencari rotan untuk membuat simpai ( gelung rotan )

F2: Tuan Syeikh Alam mengarahkan isi rimba bersembunyi dan segera datang apabila mendengar beliau bertempik

F3: Tuan Syeikh Alam menghidupkan api untuk membakar ikan dan apabila ditegur oleh raksasa, dia membuat helah dengan mengatakan untuk menyimpai tubuhnya yang sakit

F4: Raksasa mengatakan tubuhnya sakit dan meminta simpai untuk berubat tetapi Tuan Syeikh Alam mendakwa simpai itu ubat pesaka peninggalan nenek moyangnya.

F5: Raksasa meminta ikan daripada Tuan Syeikh Alam tetapi tidak diberi dengan alasan tidak elok makan ikan sebelum berubat.

F6: Tuan Syeikh Alam memasukkan simpai pada kedua-dua siku dan lutut sebanyak dua kali sehingga raksasa tidak dapat bergerak lagi.

F7: Tuan Syeikh Alam merenung muka dan kemudian mencakar mata raksasa sehingga pecah

F8: Kemudian Tuan Syeikh Alam bertempik menyebabkan semua isi rimba datang dan terkejut melihat keadaan raksasa yang sedemikian rupa.

F9: Akhirnya raksasa mati ditendang dan diterajang (disiksa ) oleh semua isi rimba.

Pilih 4 isi sahaja
1 isi = 2 markah
4 isi x 2 markah = 8 markah

c) Nilai kemanusiaan

F1: Bijaksana / cerdik / panjang akal
H/C: Tuan Syeikh Alam pandai membuat helah iaitu dengan menggunakan simpai dikatakan untuk berubat bagi menghilang rasa sakit sehinggakan raksasa tertipu dan tidak dapat bergerak lagi yang akhirnya dibunuh oleh semua isi rimba.

F2: Berani
H/C: Tuan Syeikh Alam walaupun bertubuh kecil tetapi berani berhadapan dengan raksasa yang bertubuh besar panjang dan menggerunkan sedangkan binatang lain seperti Sang Beruang, Sang Seladang, Harimau dan Sang Badak kecut perut dan melarikan diri apabila melihat raksasa.

F3: Bertanggungjawab
H/C: Tuan Syeikh Alam tidak mengabaikan tanggung jawabnya sebagai Raja di-Rimba apabila menolong isi rimba yang dianiaya oleh raksasa. Beliau bertindak membunuh raksasa melalui tipu muslihat agar keadaan rimba kembali aman.

F4: Prihatin
H/C: Tuan Syeikh Alam sebagai Raja di-Rimba bersifat simpati dan prihatin kepada segala isi rimba yang hidup tidak aman kerana diganggu oleh raksasa. Oleh itu apabila mendapat pengaduan daripada isi rimba dia berusaha mencari helah untuk membunuh raksasa.

F5: Gagah perkasa
H/C: Tuan Syeikh Alam dikatakan mendapat kekuatan daripada baginda Ali membolehkannya berjaya mengalahkan raksasa yang bertubuh besar panjang.

F6: Suka berterus terang
H/C: Tuan Syeikh Alam mengatakan bahawa tubuh badak yang luka-luka dan comot-comot bukan perbuatan raksasa seperti yang di dakwa badak tetapi kerana dikaitkan onak ketika melarikan diri menyebabkan Sang Badak malu

Pilih 4 isi sahaja
1 isi = 3 markah ( 1 markah fakta dan 2 markah huraian/contoh )
4 isi x 3 markah = 12 markah

5. Baca petikan cerpen di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutnya.

“Orang tua memerlukan kasih sayang anak-anaknya. Mendapat tempat tinggal yang wajar yang mereka boleh melanjutkan ibadatnya, bukan tersorok bagai barang yang tidak berguna dalam bilik sempit dengan lampu 15 wat. Sebab kebanyakan orang yang sudah lanjut usia ingin menggunakan sisa-sisa hidup mereka untuk beribadat secara konsisten, mahu menebus ketinggalan pada masa mudanya,” kata Cikgu Baharum dalam suratnya yang agak panjang. “Kasih Sayang itulah yang mereka perlukan. Dan hanya orang tua yang tidak mempunyai anak sahaja yang patut disantuni di rumah kebajikan, tempat mereka boleh mendapat kasih Sayang yang jujur dan ikhlas di samping makan minum yang teratur.” Masya-Allah. Terlalu tinggi falsafahnya, Saya terlalu kagum dan mahu memeluknya jika dia ada bersama-sama waktu itu.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas. [ 4 ]
(b) Berdasarkan cerpen “Usia Emas”, huraikan tiga falsafah yang dipegang oleh watak Cikgu Baharum sehingga menjadikan watak “saya” terlalu mengaguminya. [12]
(c) Cerpen “Usia Emas” banyak menggunakan teknik imbas kembali dalam menggerakkan plot ceritanya. Nyatakan maksud imbas kembali dan huraikan empat peristiwa yang digambarkan melalui teknik imbas kembali. [ 9 ]

Skema Jawapan Soalan 5

(a) Dua nilai murni yang terdapat dalam petikan di atas .

F1: Kasih sayang;
H/C : Orang tua memerlukan kasih sayang daripada anak-anak mereka untuk meneruskan sisa-sisa hidup mereka.

F2: Rajin beribadat.
H/C : Orang yang sudah lanjut usia (tua) ingin menggunakan sisa-sisa hidup mereka untuk beribadah kepada Allah secara konsisten bagi menebus ketinggalan pada masa muda mereka.

F3: Jujur/ikhlas
H/C: Orang tua memerlukan kasih sayang yang jujur daripada anak-anak dan anak-anak patut melayan ibubapa yang telah berusia tua dengan penuh kejujuran.

F4: Keprihatinan
H/C: Orang tua yang tidak mempunyai anak atau penjaga sepatutnya disantuni ke rumah kebajikan.


Pilih 2 isi sahaja.
1 isi = 2 markah ( 1markah Fakta , 1 markah H/C)
2 isi x 2 markah = 4 markah

(b) Tiga falsafah yang dipegang oleh watak Cikgu Baharum dalam cerpen ini sehingga dikagumi oleh watak ”saya”.

F1: Suka berterus terang
H/C: Cikgu Baharum seorang yang suka berterus terang. Apabila beliau bercakap agak kasar , tidak munafik dan apa yang diucapkan itulah yang terselit di hatinya.

F2: Mementingkan disiplin.
H/C: Cikgu Baharum sentiasa bangun awal pagi seawal jam 5.00 pagi dan sentiasa mengamalkan senaman. Beliau juga selalu pergi kerja pada waktu pagi dalam suasana yang masih gelap dan pulang agak lewat petang..

F3: Mengutamakan kesihatan.
H/C : Cikgu Baharum sangat mementingkan kesihatan .Sejak zaman mudanya beliau sentiasa mengamalkan senaman radio taiso sehingga pada usia emas pun masih kelihatan awet muda dan dalam keadaan sihat.

F4: Setiakawan.
H/C: Hubungan persahabatan antara Cikgu Baharum dan watak Saya sentiasa terjalin erat kerana beliau sering menziarahi penulis dan menghubungi penulis samada melalui surat atau poskad.

F5: Berpegang pada ajaran agama.
H/C : Beliau sentiasa merujuk kepada ayat-ayat Al Quran dan Hadis Nabi apabila memperkatakan sesuatu hujah. Misalnya tentang umur tua dirujuk kepada Hadis Rasulullah yang minta berlindung dari umur yang tua ganyut.

F6: Mementingkan ilmu
H/C: Cikgu Baharum seorang yang luas pengetahuannya dan kuat membaca menyebabkan penulis sentiasa mengunjungi beliau untuk berhujah dan mendapatkan ilmu daripada beliau. Beliau juga pernah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke MPSI Tanjung Malim tetapi terbengkalai.

Pilih 3 isi sahaja.
1 isi = 4 markah ( 2 markah Fakta , 2 markah H/C)
3 isi x 4 markah = 12 markah

(c) empat peristiwa yang digambarkan melalui teknik imbas kembali yang terdapat dalam cerpen ini.

Maksud Imbas kembali
- Mengingat / mengenang / mengimbau / menyorot peristiwa yang telah berlaku melalui pemikiran / lamunan
(1 markah)

F1: Penulis ketika membaca akhbar Utusan Malaysia tentang Cikgu Baharum yang terpilih sebagai seorang tokoh warga emas di daerahnya penulis teringat ucapan Cikgu Baharum lima tahun dahulu , ketika mereka sama-sama merayakan hari lahir yang ke - 75.

F2: Setiap kali menjelang tanggal 25 Mac, penulis teringat Cikgu Baharum yang merupakan seorang yang berterus terang, walaupun agak kasar tetapi dia tidak munafik dan kelantangannya menyebabkan dia tidak banyak kawan.

F3: Penulis teringat saat dia berkenalan dengan cikgu Baharum melalui akhbar. Penulis yang meminati cikgu Baharum sebagai penulis yang produktif melalui akhbar Warta Malaya di Singapura.Pada waktu itu telah menghantar poskad untuk berkenalan dan telah mendapat balasan daripada cikgu Baharum.
.
F4: Penulis masih ingat pada masa dulu dia suka ke rumah cikgu Baharum bersama dengan anak-anaknya dan Cikgu Baharum juga selalu berkunjung ke rumahnya, mereka selalu bercakap tentang politik, ekonomi, sosial, bahasa dan sastera.

F5: Penulis teringat pada zaman mudanya ketika otaknya masih segar dia dapat berfikir dan berhujah dengan cikgu Baharum yang tabiatnya suka meninggalkan masalah untuk diselesaikan.

F6: Penulis juga teringat tentang warga emas di Jepun di mana anak-anak Jepun selalunya enggan memelihara orang tua mereka yang sudah lanjut usia.

F7: Cikgu Baharum menceritakan kisahnya sebagai seorang guru kepada wartawan yang menemuramahnya dan rencana itu turut dibaca oleh penulis. Semasa menjadi guru beliau hanya berbasikal Raleigh tua untuk ke sekolah.

Pilih 4 peristiwa sahaja.
1 peristiwa = 2 markah
4 peristiwa x 2 markah = 8 markah
Maksud 1 markah + 8 markah = 9 markah

6. Baca petikan di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

ASIAH SAMIAH TUA: Pasti abang itu. Saya denar tapak kaki abang. Saya dengar dehem abang. Saya rasa hampirnya abang dengan saya. Saya rasakan nafas abang yang hangat itu. Nafas abang yang bernafsu. Yang menyesakkan saya. Yang menyelimutkan saya dalam rindu dan berahi.

MARGA TUA: Lihat! Itulah sebabnya kenapa saya harus melayani kegilaanya. Dia luar biasa – malah istemewa, kalian akan tahu nanti – dia perempuan yang cerdik – atau mungkin juga terlalu cerdik. Bukankah orang cerdik selalu kurang waras, kata orang ! Saya tak kata begitu. Tunggu, dengar apa katanya…

ASIAH SAMIAH TUA: Abang tahu saya menunggu abang bukan? Macam saya janjikan dulu. Di bawah tiang lampu ini, sewaktu senja begini, ketika lembayung dan cahaya matahari yang berbaki macam manik-manik yang berturutan – lalu meninggalkan warna kemilau yang indah, saya akan tetap menunggu abang.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2012.
Permata Sastera Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)

(a) Siapakah watak abang dalam petikan di atas. [ 1 ]
(b) Nyatakan dua perwatakan Asiah Samiah dalam petikan di atas. [ 4 ]
(c) Galurkan empat peristiwa uang menyebabkan Asiah Samiah menjadi tidak siuman [ 8 ]
(d) Jelaskan empat mesej yang terkandung dalam drama Asiah Samiah [12]

Skema Jawapan Soalan 6

(a). watak abang ( 1 markah )
ialah Anas Samanda
(1 markah)

(b). Nyatakan dua perwatakan Asiah Samiah (4 markah)

F1: Luar biasa
F2: Istimewa
F3: Cerdik
F4: Setia
F5: Kurang waras
F6: Sasterawan / pandai berbahasa

(c). Galurkan empat peristiwa

F1: Hubungan Asiah Samiah dengan Anas Samanda mendapat tentangan daripada ibu bapa Asiah Samiah kerana mereka berdua tidak setaraf.

F2: Misa Sagaraga yang berkunjung ke rumah Asiah Samiah telah berkenan melihat kecantikan Asiah Samiah.

F3: Kedua-dua ibu bapa Asiah Samiah menerima lamaran Misa Sagaraga biarpun Asiah Samiah sebenarnya tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut kerana kekayaan, pengaruh dan kuasa yang ada pada Misa Sagaraga.

F4: Asiah Samiah meminta bantuan Sari Saribiru untuk berbuat sesuatu bagi menyelesaikan masalahnya tetapi ditolak kerana takut dengan tindakan yang akan diambil oleh Tuan Setiawan Tanjung.

F5: Anas Samanda pula telah meninggalkan Asiah Samiah sewaktu dia memerlukannya kerana menyertai gerakan perjuangan mempertahan hak.

F6: Asiah Samiah juga turut meminta bantuan Marga Muda bagi membantunya mencari jalan penyelesaian tetapi Marga Muda tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut dengan pengaruh dan kuasa yang dimiliki oleh Misa Sagaraga.

F7: Asiah Samiah dan Misa Sagaraga telah berkahwin walaupun tanpa kerelaanya dan dia telah diperlakukkan dengan ganas dan kejam pada malam pertama perkahwinannya.

F8: Asiah Samiah berasa tertekan dengan apa yang terjadi, menyebabkan dia terlintas untuk membunuh diri tetapi dia masih percayakan agama.

F10: Asiah Samiah juga mahu membunuh Misa Sagaraga tetapi hasratnya tidak diteruskan kerana bimbang keselamatan anggota keluarganya.

F11: Asiah Samiah akhirnya memberanikan diri dan bertindak lari dari rumah Misa Sagaraga pada malam itu juga.

F12: Selepas 12 hari melahirkan Laila Anurisah yang tidak dapat diterimanya Asiah Samiah seperti orang hilang ingatan, ketawa, berteriak dan menyanyi.

Pilih 4 peristiwa sahaja
1 peristiwa = 2 markah
4 peristiwa x 2 markah = 8 markah

(d). Mesej dalam drama

F1: Kekayaa, pengaruh dan kuasa tidak menjamin kebahagiaan dalam perkahwinan
H/C: Perkahwinan yang hanya berlandaskan materialistik tidak menjanjikan kebahagian, Perkahwinan Asiah Samiah yang dipersetujui oleh Tuan Setiawan Tanjung dan Puan Suari Alimin hanya kerana Misa Sagaraga memiliki segala-galanya tetapi ditolak oleh Asiah Samiah yang tidak menilai itu semua.

F2: Ketidakadilan sosial terutama perbezaan darjat masih menjadi ukuran dalam memilih pasangan hidup.
H/C: Kedua-dua ibu bapa Asiah Samiah tidak menerima Anas Samanda kerana menganggap Anas Samanda tidak setaraf dengan mereka kerana Anas Samanda hanyalah anak seorang petani yang miskin yang tidak akan membahagiakan Asiah Samiah.

F3: Perlu menghormati dan akur dengan kehendak orang tua
H/C: Anak-anak sewajarnya menghormati dan mengikut kata orang tua demi untuk kebaikan mereka. Asiah Samiah biarpun tidak setuju dengan lamaran Misa Sagaraga tetapi kerana menghormati dan menyayangi kedua-dua orang tuanya dia akhirnya akur dengan kehendak mereka untuk berkahwin dengan Misa Sagaraga.

F4: Kita hendaklah mempunyai perasaan belas kasihan terutamanya kepada kanak- kanak.
H/C: Simpati dengan nasib yang menimpa Laila Anurisah yang dibuang oleh Misa Sagaraga kerana menganggapnya memalukan maruahnya, Marga Muda telah mengambil Laila Anurisah dan menjaganya serta mencarikan Asiah Samiah untuknya.

F5: Hendaklah amanah dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan
H/C: Marga Muda telah mengabadikan dirinya dalam pekerjaan selama 20 tahun dan dia tidak pernah merungut dan sentiasa patuh dan setia melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya malah dia juga sanggup melakukan apa sahaja yang disuruh oleh majikannya.

F6: Keprihatinan dan rasa tanggungjawab bersama perlu ada pada anggota masyarakat.
H/C: Anggota masyarakat perlu ada rasa tanggungjawab untuk mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku, Siti Bunirah dan Pak Leh Lak Lak prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap apa yang menimpa Laila Anurisah, mereka berdua telah menjaganya kerana Asiah Samiah tidak siuman.

F7: Sikap terburu-buru dalam mengambil tindakan akan membawa padah
H/C: Terburu-buru membuat keputusan akhirnya akan memberi kesan yang negatif, Asiah Samiah yang bertindak melarikan diri dari rumah Misa Sagaraga kerana tidak dapat menerima apa yang berlaku ke atasnya akhirnya mengalami tekanan perasaan dan menyebakan dia menjadi tidak siuman.

F8: Pendidikan amat penting dalam kehidupan
H/C: Tuan Setiawan Tanjung amat mementingkan pendidikan biarpun Asiah Samiah tidak dibenarkan bergaul bebas, tetapi dia tetap memberi pendidikan yang sempurna menerusi khidmat guru yang datang mengajar di rumahnya, termasuklah Marga Muda yang dibayar sebagai munsyi.

F9: Maruah dan hak perlu dipertahankan.
H/C: Gambaran tentang kedudukan seseorang atau sesebuah keluarga, Anas Samanda tetap dengan pendiriannya berjuang untuk mempertahankan maruah dan harga diri keluarganya daripada Misa Sagaraga yang telah menghalau bapanya dari rumah yang telah didiaminya selama 50 tahun.

F10: Perjuangan memerlukan pengorbanan
H/C: Pengorbanan ayah Marga berjuang menuntut haknya menyebabakan ayahnya dianggap penjenayah sehingga ayahnya terpaksa meringkuk di penjara dan akibatnya keluarga Marga berantakan.

Pilih 4 isi sahaja
1 isi = 3 markah (2 markah fakta , 1 markah Huraian/Contoh)
4 isi x 3 markah = 12 markah.


Comments