Jejak dan Warisan : Tikar Mengkuang



Anyaman tikar berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Pengunaannya begitu meluas terutamanya golongan pesawah padi pada ketika itu. Antara kegunaannya ialah sebagai tikar pengalas, tempat duduk, bahan pembungkusan, alas dinding, layar membanting padi, tikar menjemur padi dan lain-lain kegunaan lagi.

Marilah bersama mengimbau kenang menyusur jejak warisan kita dalam seni anyaman tikar mengkuang. Segala yang menjadi anyaman indah seni dan tradisi kita.

TIKAR MENGKUANG

Tikar Mengkuang Masih Dekat Di Hati


KOTA BARU: Tikar, bakul dan bag yang diperbuat daripada mengkuang adalah antara produk kraf yang menjadi keperluan harian masyarakat suatu ketika dahulu, yang kini ia semakin terpinggir kegunaannya berikutan kemunculan barangan moden.

Bagi masyarakat kampung, barangan kraf begitu dekat dengan mereka umpamanya tempayan diletakkan di tepi tangga untuk mengisi air bagi membasuh kaki sebelum melangkah naik ke dalam rumah yang sudah tersedia dengan hamparan tikar mengkuang.

Sekarang ini amat jarang untuk melihat tempayan diletakkan di tepi tangga jika adapun sebagai perhiasan manakala tikar mengkuang sudah berganti dengan tikar plastik atau permaidani, yang pelbagai corak dan warna.

Tambahan pula tidak ramai lagi yang mahir untuk membuat tikar mengkuang atau bakul mengkuang sebaliknya adalah lebih mudah membeli barangan itu yang diperbuat daripada plastik di kedai runcit.

Disebabkan jarang melihat atau menggunakannya, ramai terutama generasi muda yang terpegun apabila melihat produk kraf diperagakan di sesuatu pameran kerana kehalusan seni pembuatannya.

Sama ada diperbuat daripada daun mengkuang, daun pandan, rotan, buluh dan tanah liat, produk kraf ini mencuit pandangan dan diakui pembuatnya seorang yang tekun dan kreatif.

"Tikar mengkuang ini sungguh cantik, seni anyamannya begitu halus, tentunya penganyamnya seorang yang sabar dan kreatif, " kata Mohamad Saiful Abdullah, 33, seorang pengunjung pada Promosi Kraf Malaysia di sebuah pasaraya di sini, baru-baru ini.

Tikar Mengkuang Masih Punya Tempat

Seorang pengusaha anyaman tikar mengkuang, Nik Asiah Chik, 48, dari Pasir Puteh berkata, tikar mengkuang masih mempunyai tempat termasuk sebagai hiasan bagi mereka yang cintakan seni kraf tradisional.

Bagi mengkomersialkan produknya, beliau mengikuti kursus dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) yang mendorong tempahan yang diterimanya "tidak menang tangan".

"Malah saya turut mendapat tempahan dari negeri luar seperti Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan Selangor," katanya yang sebelum ini hanya menjual tikar mengkuang kepada penduduk sekitar Pasir Puteh.

Ibu kepada lima orang anak ini berkata pendapatan bulanannya mencecah RM600 hingga RM1,000 sejak mengikuti program promosi kraf anjuran perbadanan itu.

"Sebelum ini pendapatan saya hanya antara RM200 dan RM400 sebulan tetapi sejak mengikuti program anjuran Kraftangan Malaysia, saya mula dikenali dan banyak tempahan diterima," katanya sambil menambah minat yang mendalam dalam bidang anyaman itu mendorongnya untuk mengikuti kursus anjuran perbadanan itu bermula pada 1985.

"Pada mulanya saya hanya menolong ibu menganyam tikar, dan dari situ timbul minat kemudian saya mengikuti kursus anjuran perbadanan," katanya.

Asiah menunjukkan antara produk yang dihasilkannya.

Tikar mengkuang yang ditawarkan adalah antara RM20 dan RM400 sehelai.

Pengusaha Era Seramik, Ahmad Cukri Mat Johor, 42, berkata sejak menyertai program anjuran Kraftangan Malaysia pada 2006 pendapatan tahunannya sentiasa meningkat.

"Pendapatan bulanan saya kini sebanyak RM12,000 hingga RM14,000 berbanding sebelum menyertai program anjuran Kraftangan Malaysia iaitu sebanyak RM1,300 hingga RM1,500 sebulan," katanya.

Usahawan dari Perak itu yang mengusahakan produk seramik antaranya labu sayong dan lampu hiasan seramik, berkata beliau menerima banyak tempahan daripada orang ramai ketika mengikuti program promosi kraf.

"Saya mengikuti promosi kraf di setiap negeri dan ketika itulah orang mula mengenali saya dan berminat untuk menempah dengan kuantiti yang banyak. Ada yang tempah sebagai cenderahati majlis perkahwinan dan ada yang tempah untuk dijadikan perhiasan rumah dan pejabat," katanya.

Ahmad Cukri yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pembuatan seramik berkata produk kraf adalah barangan unik yang mampu dimiliki kerana harga yang ditawarkan adalah berpatutan.

"Saya menawarkan harga antara RM1 hingga RM70 mengikut saiz dan jenis seramik seperti labu sayong dan lampu hiasan seramik," katanya.

Citarasa Terkini

Rata-rata pengusaha kraf yang ditemui pada pameran itu mengakui Kraftangan Malaysia berjaya membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan di samping memperkenalkan produk dari negeri yang berlainan kepada masyarakat dalam program yang dianjurkan sepanjang tahun.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan Mohd Razis Md Said berkata pelbagai aktiviti diatur setiap tahun di bawah program Kraftangan Malaysia kepada lebih 300 ahli kraftangan.

"Usahawan di bawah Program Kraftangan Malaysia ini akan diberi latihan yang mencukupi dalam penghasilan produk-produk terkini. Mereka diberi latihan dalam penghasilan produk baharu yang bersesuaian dengan keadaan pasaran," katanya.

Beliau berkata pelbagai program disediakan secara menyeluruh bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan mereka di samping memperkenalkan produk mereka di seluruh negeri.

"Kita adakan aktiviti khas seperti program bahagian usahawan, program rekaan, dan program bahagian promosi," katanya.

Razis berkata walaupun tiada dana khas disediakan untuk usahawan di bawah program Kraftangan Malaysia tetapi mereka turut dibantu secara menyeluruh iaitu dari peringkat pengeluaran hingga promosi produk. - BERNAMA

Sumber


Mengkuang Jana Pendapatan

PAGOH 1 Ogos - Golongan muda biasanya sering menganggap kerja-kerja anyaman mengkuang adalah sesuatu yang rumit dan anggapan itu menyebabkan mereka kurang berminat untuk menceburi seni anyaman tersebut.

Ini menyebabkan produk tikar dan tudung saji mengkuang semakin sukar ditemui kerana bilangan individu yang meneruskan aktiviti menganyam kini terdiri daripada mereka yang sudah bergelar warga emas di kawasan luar bandar.

Justeru, tidak hairanlah kita kini terpaksa menyaksikan tikar getah dan tudung saji plastik mengambil alih peranan tikar serta tudung saji mengkuang sebagai alas lantai dan penutup hidangan dalam masyarakat kerana sukar untuk mendapatkan kedua-dua barangan tersebut di pasaran.

Namun Zaharah Abdul Majid, 58, membuktikan bidang anyaman mengkuang mampu menjana pendapatan lumayan melalui kepelbagaian produk warisan seperti tikar, bakul rambung, tudung saji dan ketumbu.

Dia yang berpengalaman lebih 40 tahun menghasilkan anyaman mengkuang berkata, bidang itu jika diusahakan boleh dijadikan industri yang berkembang maju kerana permintaan terhadap produk-produk tersebut masih tinggi.

"Saya sendiri satu ketika dahulu pernah menjadikan bidang ini sebagai punca rezeki bagi menyara tujuh anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong dekat sini, semalam.

Membuat barangan daripada mengkuang katanya tidaklah serumit mana, hanya memerlukan sedikit kesabaran dan ketelitian terutama ketika proses mengambil daun kerana daun mengkuang berduri.

Masa paling sesuai untuk mengambil daun mengkuang adalah pada awal pagi atau lewat petang agar daun yang diambil tidak mudah layu dan patah sewaktu proses menyukat dan melurut dilakukan.

Menurutnya, hanya daun yang cukup tua sahaja boleh diambil dan kemudian dipotong sama panjang dengan membuang bahagian hujung yang tirus sebelum dilayur di atas api bagi melembutkannya agar tidak patah semasa proses membuang duri dilakukan.

Proses seterusnya disebut sebagai menyukat iaitu satu proses menjadikan daun tersebut kepada beberapa lembar yang lebih kecil, kira-kira satu sentimeter dengan menggunakan alat khas yang diperbuat daripada kepingan kayu dicucuk beberapa batang besi kecil dalam jarak sama sebagai mata pemotong.

Kemudian daun tersebut dilurut bagi sebelum diikat menjadi berkas dan diketuk bagi melembutkannya sebelum direndam di dalam bekas besar atau sungai selama tiga hari bagi membuang warna asal daun mengkuang.

"Cukup tempoh daun tersebut bolehlah dikeluarkan daripada rendaman dan perlu dicuci dengan bersih agar tidak berbau busuk dan dikeringkan dengan cara menjemurnya. Untuk mengetahui daun itu sebetul-betulnya kering, warnanya bertukar dari warna coklat kehitaman kepada lebih cerah keputihan.

"Sementara proses mewarna pula boleh dilakukan selepas itu dengan cara mencelur daun tersebut di dalam air mendidih yang telah dicampur dengan warna selama 20 minit dan kemudian dibilas serta dijemur," katanya yang mampu menyiapkan sebiji tudung saji bersaiz sederhana dalam masa sejam.

Selepas kering, daun tersebut perlu dilurut kembali bagi melembutkannya sebelum disimpan dan disediakan untuk digunakan membuat tikar, tudung saji, bakul rambung mahupun ketumbu dan selalunya boleh bertahan sehingga bertahun lamanya.

Ujarnya, proses memulakan menganyam tikar mengkuang disebut menaja atau melagang iaitu memulakan anyaman pada bahagian tengah atau tulang tikar dan diteruskan ke bahagian tepi sehingga mencukupi saiz yang diperlukan.

Kemudian anyaman di bahagian tepi mesti dimatikan dengan cara melipatkan dan menyisipkan lebihan daun sebelum dipotong yang lebih dikenali sebagai proses membuat tulang belut supaya lebih kemas.

Bagi menyiapkan anyaman tikar selebar dua meter kali dua setengah meter, dia memerlukan masa sekitar lima atau enam hari bergantung kepada kelarai (corak) anyaman yang digunakan.

Harga tikar buatan Zaharah adalah antara RM50 hingga RM150 bergantung kepada saiz serta kelarai anyaman yang digunakan sementara bagi tudung saji yang dijual sekitar RM20 hingga RM50 bergantung pada saiznya.

Kata Zaharah, dia sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja terutama golongan muda yang berminat untuk mempelajari ilmu anyaman mengkuang yang dimilikinya bagi memastikan seni warisan tersebut tidak hilang begitu sahaja.

"Tapi sayang anak saya sendiri walaupun boleh menganyam mengkuang tidak berminat untuk meneruskan kerja yang dilakukan ini kerana telah mempunyai kerjaya lebih baik atau tertumpu kepada bidang lain," katanya lagi.

Sumber



Anyaman Mengkuang dan Pandan

Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan

Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan berwarna-warni.

Memproses Bahan

Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.


Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.


Menganyam

Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji

Sumber


Corak Anyaman Tikar

Corak lebih menekankan kepada penggunaan susunan warna pada sesuatu anyaman biasa atau ghadas. Warna-warna penting dalam menentukan corak. Corak dijalin secara selang-seli hingga meninggalkan kesan geometri asli. Namanya akan berbeza jikan dianyam dalam bentuk, ukuran dan susunan yang berlainan. Terdapat 11 corak yang dianyam iaitu:

1. Corak Tapak Catur – seringkali dianyam dalam dua atau tiga warna. Hasil cantuman warna cerah dan gelap

2. Corak Mata Bilis – menggunakan warna teang dan gelap. Warna gelap dianyam satu mata sahaja dengan warna cerah. Kedua-dua warna ini timbul seakan-akan beras patah.

3. Corak Beras Patah – menyerupai corak mata bilis tetapi warna cerah dianyam tiga mata diselangi dengan satu mata gelap. Hasil cantuman ini member gambaran seakan-akan beras patah.

4. Corak Palembang – berasal dari Palembang. Petak empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi jalur-jalur dua warna iaitu merah dan putih.

5. Corak Bugis – berasal dari Bugis dan penggunaan dua warna yang berdekatan hijau dan putih. Petak-petaknya lebih kecil dari corak Muar serta dianyam dalam bentuk berdiri dan serong.

6. Corak Muar – berasal dari Muar dan bermotif empat segi. Anyaman dua warna merah dan biru serta dikelilingi dengan jalur-jalur putih, hijau dan kuning. Antara petak-petak digunakan adalah campuran merah dan biru.

7. Corak Selang-seli – penggunaan warna gelap dan cerah. Kedua-dua bahagian dianyam mata sama banyak dan selari.

8. Corak Berdiri – kurang mendapat sambutan dari pengusaha. Penggunaan dua warna tetapi untuk mendapatkan corak yang betul-betul lurus amat sukar.

9. Corak Serong – corak yang mudah. Bermacam kelarai boleh dianyam melalui contoh ini serta amat digemari oleh para penganyam.

10. Corak Ketapang Gilir Kacang – seakan-akan corak selang-seli dan susunan yang rapat. Dianyam dengan dua warna iaitu cerah dan gelap.

11. Corak Malaysia – corak selang-seli, dikelilingi dengan warna merah, putih, hijau dan biru

Sumber

Sila Baca :
Cara Membuat Tikar Mengkuang
Proses Membuat Anyaman Mengkuang


Comments

  1. Sebuah kekayaan budaya yang sangat unik. Saya terkenang masa kecil di mana para tetangga membuat tikar tradisional semacam itu.

    ReplyDelete

Post a Comment