Pancapersada menyebutkan bahawa Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu. Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu. Secara ringkasnya, perbezaan antara tengkolok, destar dan tanjak ialah :
Tengkolok : Lilitannya meruncing ke atas, lilitan berlapis (tebal), kainnya bermutu.
Destar : Lilitannya rendah dan nipis.
Tanjak : Lilitannya macam tengkolok, tetapi lebih ringkas dan nipis.
Tengkolok, juga dikenali sebagai destar, setanjak/tanjak, bulang hulu dan setangan kepala, merupakan sejenis alas kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki. Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu. Pada zaman sekarang, tengkolok lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat, misalnya oleh kerabat diraja dan para hadirin dalam majlis istiadat diraja, dan oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan.
Tengkolok boleh dibuat dalam pelbagai jenis bentuk dengan jenis dan corak kain yang berbeza, mengikut taraf sosial pemakainya. Nama am bagi bentuk tengkolok yang berbeza-beza itu ialah "solek". Setiap solek tengkolok yang berbeza ini turut diberikan nama khas, misalnya: tengkolok yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong dalam majlis istiadat pertabalan sejak negara zaman kemerdekaan, dikenali sebagai "Solek Dendam Tak Sudah". Setiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus. Misalnya, Sultan Selangor memakai "Solek Balung Raja" berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.
Tengkolok Diraja merupakan sebahagian daripada pakaian kebesaran Melayu. Semenjak beberapa kurun lamanya, Raja-Raja Melayu telah memakai kain yang ditenun dengan sutera yang diikat dengan pelbagai solek di ulunya, sebagai pakaian kebesaran. Bentuk ikatan (solek) dan warnanya adalah berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Kain ulu itu di namakan Tengkolok dan Tengkolok yang dipakai oleh D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada hari Pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan. Pada bahagian hadapan tengkolok ini dipasang anak bulan pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.
BERIKUT adalah beberapa cacatan berkaitan dengan Tanjak Melayu. Ia sebagai imbauan dan nostalgia kita kepada khazanah seni budaya bangsa. Barangkali ia dapat memberi kita nafas dan renung, bahawa dalam jejak warisan bangsa terlalu banyak yang ada, tetapi banyak pula telah terkubur.
TANJAK MELAYU
Warisan Tanjak Melayu
TANJAK, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.
Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.
Tanjak belum lagi dicipta pada zaman sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, hanya sehelai kain digunakan dan diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas.
Ikatan kain ini lama kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.
Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah sehelai kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang.
Hanya yang berada sahaja pada ketika itu mampu memakainya dan tanjak juga merupakan sebahagian pakaian raja atau sultan.
Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat dari kain sutera dari China atau India manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak dari kain biasa.
Sejarah pemakaian tanjak di Perak pula dikatakan berasal dari sejarah lagenda kedatangan Sultan Muzaffar untuk ditabalkan di negeri Perak.
Mahkota raja yang dipakainya dibuang ke laut kerana perjanjian dengan penjaga laut untuk terus mudik ke negeri Perak. Pakaian kepala kemudiannya direka untuk mengantikan mahkota raja dan dipanggil tengkolok raja.
Rekaan dan Lipatan
Rekaan tanjak biasanya berkait rapat dengan status sipemakai. Apa yang dipakai oleh rakyat biasa berbentuk simpulan dan diubahsuai dari rekaan asal yang dipakai oleh raja. Rakyat tidak boleh memakai bentuk tanjak yang sama dengan bentuk tanjak raja atau sultan.
Kebanyakan tanjak sekarang dibuat dari kain songket. Untuk membuatnya, kain songket bersaiz 31 x 31 diambil dan dilipat dua kepada bentuk tiga segi bersama kertas keras, sebelum digosok dan dijahit. Untuk membuat bentuk tertentu, dawai atau lidi akan dimasukkan bersama lipatan supaya tanjak terbentuk keras dan cantik pada segi tertentu.
Dendam Tak Sudah
Belalai Gajah
Setanjak Balung Raja
Sarang Kerengga
Sekelungsung Bunga
Ketam Budu
Kacang Dua Helai Daun
Solok Timba
Mumbang Belah Dua
Sekolongsang Bunga
Cogan Daun Kopi
Balung Ayam
Ayam Patah Kepak
Pucuk Pisang
Buana
Sering
Getam Pekasam
Anak Gajah Menyusu
Pari Mudek
Lang Menyusur/Menyonsong Angin
Lang Melayang
Sumber
DALAM alam busana Melayu, pemakaian tanjak memainkan peranan yang cukup penting. Selain mempamerkan kehalusan berpakaian, tanjak juga menceritakan pelbagai kisah dan latar belakang si pemakainya.
Pada zaman dahulu, pemakaian tanjak yang juga dipanggil tengkolok atau destar merupakan simbol yang melambangkan status sosial dalam masyarakat. Lipatan dan gubahannya dianggap 'pengenalan' kepada pemakainya.
Tanjak Ketupat Makasar dan Anak Gajah Menyusu misalnya menceritakan darjat dan kedudukan seorang pembesar. Lipatan seumpama itu pula tidak sesekali dipakai oleh orang-orang kebanyakan.
Apatah lagi jika tanjak tersebut dipadankan bersama dengan set persalinan pakaian yang dianugerahkan dari istana. Kekemasan dan kehalusan tenunan diraja sahaja sudah cukup untuk menceritakan kedudukan pangkat dan kebesaran yang dimiliki.
Selain melambangkan status, bentuk gubahan hiasan kepala itu juga banyak menceritakan asal-usul si pemakai. Lipatan Ayam Patah Kepak, Lang Menyongsong Angin dan Getam Budu merupakan sebahagian daripada jenis lipatan tanjak dari Pahang.
Di Perak pula, gubahan Mahkota Alam, Balong Ayam dan Nakhoda Trong adalah gubahan yang sering diketengahkan manakala Belalai Gajah dan Lang Melayang pula mewakili keunikan gaya Terengganu.
Pengerusi Persatuan Destar Alam Melayu (Perdam), Wan Ahmad Fariz Wan Mat Alli berkata, bukan sekadar lipatan, seni mengikat tanjak tidak dilakukan secara sembarangan. Sebaliknya dihasilkan mengikut kesesuaian sifat si pemakai.
Jelas beliau, antara seni paling 'halus' dalam penggubahan tanjak adalah keupayaannya menampilkan watak dan sifat si pemakai serta kebolehannya menepati kesesuaian pada majlis-majlis tertentu.
Menurut Wan Ahmad Fariz, tanjak biasanya digubah berdasarkan lima prinsip utama iaitu duka, tegas, teguh, megah dan garang dalam mencerminkan perwatakan pemakai.
"Bagi majlis kahwin kita guna gubahan berbunga. Untuk majlis kematian pula yang bersifat duka manakala untuk bertempur kita pakai yang nampak kuat dan garang.
"Ada juga gubahan yang direka untuk menaikkan watak seseorang berdasarkan permintaan mereka sendiri, kerana bentuk tanjak sangat mempengaruhi 'watak' pemakainya," katanya kepada Mega baru-baru ini.
Melihat pada fizikalnya, tanjak jelas membuktikan kehalusan cara orang Melayu berpakaian. Namun, kemahiran yang sudah lama luntur itu jarang dikuasai oleh generasi masa kini.
Bagi Khairul Hafiz Abd. Rahman, minat beliau terhadap seni menggubah tanjak yang dipelajari sejak tiga tahun lalu bukan sesuatu yang sia-sia bahkan kemahiran yang dimilikinya itu sudah membuahkan hasil.
Berbekalkan daya ingatan dan kreativiti yang tinggi, beliau kini mampu menghasilkan lebih 100 jenis ikatan tanjak tradisional yang dihafal berdasarkan bentuk dan lipatan.
Selain jenis-jenis ikatan yang dihafal beserta namanya, Khairul Hafiz juga berkebolehan menghasilkan sendiri ikatan tanjak yang ditempah oleh pelanggannya dari blog beliau www.kronikeltanjakmelayu.blogspot.com.
"Bagi memastikan jenis ikatan tidak dilupakan saya memberanikan diri untuk mengambil upah mengikat tanjak secara atas talian.
"Sambutan setakat ini sangat memberangsangkan kerana tidak ramai yang menyediakan perkhidmatan seperti ini," katanya selaku Timbalan Pengerusi Perdam.
Khairul Hafiz berkata, cabaran untuk menghasilkan tanjak yang kemas dan sesuai dengan perwatakan si pemakai bagaimanapun menuntut pengorbanan masa yang agak lama.
"Tempoh untuk menyiapkan tempahan tidak menentu kerana ada masanya kita kekeringan idea untuk memenuhi kehendak pelanggan.
"Kadang-kala untuk hasilkan tanjak yang berperwatakan garang, kita kena buat dalam keadaan marah," ujarnya.
Sementara itu, Nur Afifi Mohamad Taib selaku Yang Dipertua Persatuan Busana Melayu berkata, usaha mendokumentasi pakaian tradisional Melayu kini sedang dilakukan bagi memastikan warisan itu tidak luput.
"Salah satu usaha kita adalah untuk mengumpul seberapa banyak bahan berkaitan dengan busana Melayu.
"Setakat ini bahan banyak diperolehi daripada bukti-bukti bergambar dan secara lisan daripada orang-orang lama," katanya yang juga Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Usaha itu menurut Nur Afifi penting kerana peredaran zaman banyak mempengaruhi perubahan pakaian tradisional Melayu seperti baju Melayu, baju kurung dan baju kebaya.
"Kita sebenarnya sudah hampir hilang identiti berpakaian. Kalau kita lihat sekarang berapa kerat sahaja generasi muda yang memiliki set persalinan pakaian Melayu yang lengkap dengan tanjak," katanya.
Perdam yang bernaung di bawah komuniti induknya iaitu Keris Warisan merupakan salah sebuah daripada persatuan yang giat memartabat adat dan warisan tradisional Melayu.
Selain Persatuan Destar Alam Melayu, komuniti Keris Warisan yang ditubuhkan sejak Januari lalu turut dianggotai oleh beberapa buah persatuan yang dipecahkan secara khusus iaitu persatuan busana Melayu, silat, memanah, muzik, permainan dan makanan tradisional.
Komuniti yang disertai oleh golongan muda dari seluruh negara itu kini mempunyai kira-kira 600 ahli. - ABD. HALIM HADI
Sumber : Utusan Malaysia
REMBAU - Tengkolok, destar atau tanjak merujuk kepada sejenis hiasan kepala yang dipakai golongan lelaki sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu.
Namun pada masa sekarang, tengkolok hanya dipakai pada majlis-majlis tertentu sahaja seperti majlis adat istiadat di istana dan majlis perkahwinan.
Yang terkini ia dijadikan pula sebagai cendera hati dan hiasan hingga menembusi pasaran gedung beli-belah terkemuka Harrod, di London menerusi kerjasama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, ia lebih dikenali sebagai destar atau tanjak.
Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu.
Bagaimanapun ia boleh dibuat dalam pelbagai bentuk dengan jenis dan corak kain yang berbeza, mengikut taraf sosial si pemakainya.
Setiap solek tengkolok yang berbeza ini turut diberikan nama khas, misalnya tengkolok yang dipakai oleh Yang Di-Pertuan Agong pada majlis istiadat pertabalan sejak merdeka dikenali sebagai solek 'Dendam Tak Sudah'.
Manakala setiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus.
Misalnya, Sultan Selangor memakai 'Solek Balung Raja' berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.
Kemahiran dan kreativiti tukang lipat telah memberikan variasi kepada reka bentuk tengkolok yang terdiri daripada Kacang Dua Helai Daun, Dendam Tak Sudah, Sarang Kerengga dan Solok Timba.
Setiap lipatan dan takuk yang terdapat di tengkolok juga mempunyai falsafahnya yang tersendiri.
Menyedari potensi tengkolok ini, telah mencetuskan idea kepada seorang bekas pengurus ladang Mohd Ghazali Ibrahim, 70, dan isteri Norlaily Abdullah, 62, dari Kampung Senama Hilir, Rembau untuk menjadikan tengkolok sebagai barang hiasan atau cendera hati.
Mohd Ghazali berkata idea menjadikannya barang hiasan dan cendera hati bermula sejak 1997 dan mulai saat itu mereka melakukan pelbagai perubahan untuk menghasilkan tengkolok yang bermutu dan menarik.
"Kami mengusahakan perniagaan ini secara kecil-kecilan di rumah pada tahun 1997 sehingga kini telah berkembang dan masih lagi bertahan.
"Kami menjalankan penyelidikan selama setahun dan berjaya menghasilkan 10 tengkolok diraja. Dari situ kami perkenalkan hasil kerja tangan kami di samping mencari pasaran.
"Dari situ, kami mula bertapak dan menubuhkan syarikat Khidmat Tani Minang Sdn Bhd untuk menerima tempahan yang banyak dari dari jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan," katanya.
"Syarikat kami menerokai bidang ini dengan mengeluarkan tengkolok khusus untuk dijadikan cendera hati atau hiasan dalam peti kaca yang berukuran kecil dan besar dengan harga antara RM70 hingga RM900 setiap satu," kata Mohd Ghazali yang juga pengarah urusan Khidmat Tani Minang Sdn Bhd.
Selain itu, syarikat berkenaan mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Tempahan besar yang pernah diterima syarikat adalah daripada syarikat penerbangan MAS beberapa tahun lepas.
"Masa itu kami terpaksa menambah pekerja untuk memenuhi tempahan dan diserahkan pada masa yang ditetapkan. Cendera hati tengkolok diraja yang dihasilkan syarikat kami turut mendapat tempat di hati pemimpin negara luar serta pernah dihadiahkan kepada 25 pemimpin negara luar ketika persidangan APEC di negara ini tidak lama dulu," katanya.
Mengenai perancangan jangka panjang syarikat, beliau berhasrat untuk membimbing mereka yang berminat menceburi bidang tersebut.
"Perusahaan ini adalah perusahaan keluarga dan kita buat semuanya dengan tangan... tanpa menggunakan mesin.
"Bidang ini memerlukan kemahiran tangan. Saya akan merasa sedih jika ia tiada pewarisnya," katanya. -- Bernama
Sumber : Sinar Harian
Populariti Tengkolok Dendam Tak Sudah
TANJAK, tengkolok atau destar merupakan penutup kepala tradisional lelaki Melayu yang berkait rapat dengan istana, kepahlawanan atau sinonim dengan adat istiadat bangsa Melayu. Lazimnya, ketiga-tiga penutup kepala itu dipakai bersama baju Melayu yang dilengkapi kain samping, keris dan capal.
Pada zaman dahulu, tanjak, tengkolok dan destar dipakai oleh golongan yang berbeza-beza dan mengikut status meskipun fungsi utamanya menutup kepala untuk aspek keselamatan serta tampil kemas.
Misalnya, golongan petani sentiasa memakai destar sewaktu bekerja kerana ingin melindungi kepala daripada panas terik.
Segelintir pihak menyifatkan tanjak biasanya digunakan oleh golongan berpangkat tinggi dan pertengahan seperti laksamana serta bendahara.
"Daripada hasil pembacaan saya dapati sultan, raja, pembesar negara dan golongan bangsawan lebih cenderung memakai tengkolok yang diperbuat daripada kain berkualiti dari China dan India. Sementara itu, golongan bawahan pula seperti hulubalang dan rakyat jelata menyarungkan destar.
"Lagipun ikatan ketiga-tiga penutup kepala ini juga berbeza. Jika diperhatikan dengan teliti tengkolok dan tanjak mempunyai ciri lilitan dan lipatan yang hampir sama. Destar pula lebih kepada kain pengikat kepala tanpa perlu dijahit," terang pembuat tengkolok Mohd. Yatim Mustaffa, 34, ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah.
Tambah Yatim sambil menggosok kain samping songket untuk dijadikan tengkolok, bagaimanapun kini antara destar, tanjak dan tengkolok tiada lagi perbezaan yang ketara.
Cuma tengkolok sinonim dalam kalangan raja-raja Melayu dan kerabat diraja. Masyarakat biasa pula hanya mengenakan tengkolok pada majlis perkahwinan dan ketika menghadiri majlis adat istiadat yang melibatkan raja.
Bicara lanjut bekas penuntut teknologi fabrik dan jahitan di Giat Mara, Kedah itu, tengkolok terdiri dalam bermacam-macam jenis namun, tengkolok koleksi Dendam Tak Sudah paling popular dan digemari ramai. Bukan saja cara pembuatannya mudah, malah ia selesa untuk digayakan serta rekaannya yang ringkas.
"Tahun 1998 merupakan fasa baharu dalam hidup saya apabila menceburkan diri dalam bidang pembuatan tengkolok.
Padahal, saya langsung tidak memiliki pendidikan secara formal membuat tengkolok. Namun, dek minat mendalam dan tertarik dengan seni rekaan penutup kepala ini, saya berusaha mencari guru yang arif.
"Malangnya, saya gagal bertemu golongan yang pakar membuat tengkolok sehingga saya terpaksa belajar sendiri. Peringkat permulaan saya membeli sebiji tengkolok Dendam Tak Sudah yang berharga RM40. Saya buka satu persatu ikatan dan melipatnya semula sehingga mahir," jelas Yatim yang kini turut mengusahakan jahitan tengkolok dan pakaian pengantin bersama isterinya, Mariah Shahban, 31.
Hampir 15 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Yatim yang suka bereksperimen dengan bermacam-macam lilitan dan lipatan gemar membuat tengkolok pada pukul 11 malam ke atas. Tutur bapa kepada empat cahaya mata itu, suasana malam yang tenang menjadikannya lebih fokus memikirkan konsep rekaan tengkolok yang menarik dan unik.
Dia akan duduk di depan cermin sambil meletakkan kain batik atau kain songket di kepala. Kemudian dengan perlahan-lahan, jari-jemarinya mula membentuk konsep tengkolok yang ditempah atau mengikut cita rasanya sendiri.
"Biasanya idea rekaan tengkolok inspirasi daripada flora dan fauna. Dari segi fabrik pula saya gunakan songket kain samping yang dibeli dari Pekan Rabu, Kedah atau Pulau Pinang. Bagi sehelai kain samping boleh menghasilkan dua biji tengkolok.
"Harga tengkolok pula bergantung pada kualiti dan rekaan lilitan. Jenis kain yang murah dijual pada harga antara RM60 hingga RM90, manakala tengkolok daripada kain berkualiti bermula RM400 ke atas," jelas Yatim sambil menunjukkan tengkolok konsep ayam teleng, gagak di rimba dan solek ketam batu iaitu tengkolok Kelantan.
Akuinya, tengkolok solek ketam antara tengkolok yang paling sukar dihasilkan kerana lipatannya sangat rumit. Kongsi Yatim lagi, menyentuh mengenai tempahan sambutan yang diterimanya adalah sangat baik terutama ketika musim perkahwinan.
Dia yang turut aktif dalam Persatuan Seni Silat Bunga Negeri Kedah memberitahu, dia pernah bersengkang mata selama tiga hari berturut-turut untuk menyiapkan 150 biji tengkolok.
Walau tempoh yang diberikan sangat singkat, tetapi dia melakukan dengan teliti kerana ia dipakai sempena sambutan Jubli Emas Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Selain itu, Yatim yang kini giat menghasilkan 200 tengkolok yang akan dipamerkan di muzium mini tengkolok miliknya, turut menerima tempahan daripada pihak istana, institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan silat dan kumpulan kebudayaan.
Ikut jejak bapa
Dalam pada itu, anak sulung Yatim, Omar Dani, 9, sudah menunjukkan minat pada bidang menghasilkan tengkolok. Acap kali selesai menyiapkan kerja rumah dan mengulangkaji pelajaran, Omar akan meluangkan masa membantu Yatim menyiapkan koleksi tengkolok.
"Biasanya saya membantu ayah membuat tengkolok cenderamata yang bersaiz tapak tangan. Setakat ini, saya hanya mahir melipat atau menghias tengkolok saiz kecil dan sedang belajar sebelum melangkah ke fasa yang seterusnya," terang Omar yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Alor Setar.
Omar yang bercita-cita menjadi polis memberitahu dia sentiasa memegang pesanan ayahnya yang berbunyi, 'jika tengkolok diabaikan maka tidak mustahil suatu hari nanti identiti Melayu ini akan pupus'.
Sementara itu, anak muda bernama Farabi Sheikh Said Al Jabri, 29, mengakui bertuah kerana berpeluang memakai tengkolok sewaktu menghadiri acara istiadat Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-64 di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan.
"Sebelum ini dalam kebanyakan majlis formal saya hanya berbaju Melayu lengkap bersongkok atau memakai sut bersama tali leher. Ini disebabkan acara yang dihadiri melibatkan para jemputan dalam kalangan orang kebanyakan saja.
"Tapi, acara ini berbeza kerana ia melibatkan adat istiadat diraja yang memerlukan saya tampil kemas dan sesuai dengan institusi istana. Atas faktor itu, saya memilih untuk berbaju Melayu bersama tengkolok bagi menggantikan songkok," terang Farabi yang dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Bercerita detik manis memakai tengkolok, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memberitahu, tengkolok kain songket nuansa hitam dan benang warna perak menjadi pilihannya pada hari itu.
Ia sepadan apabila digayakan bersama baju Melayu rona putih dan kain samping yang menggabungkan warna hitam, kelabu dan putih.
"Bagi saya, tengkolok signatur yang melambangkan semangat dan jati diri bangsa Melayu. Saya berharap penutup kepala tradisional ini dikekalkan supaya setiap generasi baharu mengenali dan menghormati tengkolok. Lagipun tengkolok sinonim dengan kedaulatan raja-raja Melayu yang memayungi rakyat jelata," jelas Farabi.
Sumber : Kosmo Online
Izinkan hamba mengenali tengkolok yang dibentuk berwarna merah oleh kain batik ?
ReplyDeleteApakan gelaraannya tuan hamba ?
berminat untuk mempelajari lipatan destar,tanjak dan tengkolok
ReplyDelete