Gadis Kecil



GADIS KECIL
TUBUH itu mengingatkan daku
sebatang pinang di desa sepi
kurus dan tinggi
ketika ribut besar
pohon sekitarnya rebah terkapar
dan pohon pinang tegak menanti
sinar matari pagi

Demikianlah gadis kecil itu
kurus seperti sebatang pinang
bertahun berulang-alik melalui
penjara kawat duri menemui
ayahnya yang bertahun pula sendiri
menentang tiap penderitaan
tabah dan beriman.

Gadis kecil itu mengagumkan daku
tenang dan senyuman yang agung
dengan sopan menolak pemberianku
‘saya tak perlu wang, pak cik,
cukuplah kertas dan buku.’

Usianya terlalu muda
Jiwanya didewasakan oleh pengalaman
tidak semua orang mencapai kekuatan demikian
ketabahan yang unik, mempesonakan.
Bila aku menyatakan simpati dan dukaku
rasa pilu terhadapnya

sekali lagi dia tersenyum dan berkata:
‘jangan sedih, pak cik, tabahkan hati
banyak anak-anak seperti saya di dunia ini.’

Aku jadi terpaku
dia, si gadis kecil itu menenteramkan
mengawal ombak emosiku
jangan sedih melihat derita pahitnya.
Alangkah malunya hati seorang lelaki dewasa
yang mahu membela manusia derita terpenjara
menerima nasihat supaya tabah dan berani,
dari anak penghuni penjara sendiri?

Sepuluh anak seperti dia
akan menghapuskan erti seribu penjara.

Sasterawan Negara Usman Awang
1976




Barangkali kita jarang bertemu atau berhadapan dengan warna-warna suram dan gelap hidup. Jauh sekali dari merasa luka dan sakit mengusung hidup dalam belulang masa yang begitu panjang. Kita harus bersyukur kerana segala itu terhindar dari jalinan hidup kita.

Tidak semua menghirup manis dan meratah makmur dalam hidup mereka. Ada yang terpaksa berhempas pulas membeas diri dari belengu dan sarat penanggungan. Ada yang tak mampu mengakhirkan derita meski begitu lama tertanam di dalamnya.

Kita pun harus bersyukur, kita tidak lagi berada dalam zaman lusuh hidup. Zaman penuh sengsara dan kesakitan, kita hanya meronta tapi tidak mampu bebas. Zaman belengu dan sengsara ada yang menganggap hanya dongeng dan cerita pengisi masa. Bagaimana begitu kehidupan dulu? Tak mumgkin!!!. Sanggah mereka yang tak percaya bahawa ada dalam kalangan kita hidup dalam sengsara dan payah. Masa lalu tak dapat dikembalikan sebagai bukti. Tetapi masa lalu memiliki cerita dan tanda yang tidak semanis hari ini. Kepayahan dan kesulitan adalah tragedi yang dilalui oleh  mereka yang terdahulu. Ia mendatangi masa memenuh ruang. Kita harus sedar dan insaf bahawa kita pernah merasa kesakitan, kepayahan, dan kepapaaan yang lama.

Kerana itulah barangkali, perlu kita kembali kepada sastera untuk membugar pengalaman mengasuh minda tentang peristiwa, keinsanan, dan kehidupan. Sastera tidak berupaya membawa bungkal emas sebagai khazanah untuk kita menjadi mewah dan kaya raya. Sastera juga tidak berupaya memberi kita sesuap nasi kalaupun kepada mereka yang sedang kelaparan. Sastera hanyalah tulisan dan aksara membuka cerita dan kasih yang terlakar dari jiwa dan fikiran manusia. Sastera juga tidak menyelamatkan kita dari kenaikan harga barang atau kos hidup yang meninggi. Sastera hanya mampu memberi kias dan ibarat, teladan, dan kisah yang akhirnya terpulang kepada kita membuat renungan dan telahan.

Tetapi dalam sanggah dan lantang suara manusia, sastera harus tampil merombak kekusutan dan menegakkan tali kebenaran. Inilah keperluan karya sastera yang dapat membawa kembali manusia kepada kisah dan ibarat, teladan dan cerita yang tak pernah terpapar di depan mata. Ia barangkali imaginasi atau khayal manusia tetapi tidak semuanya tidak bertepatan dengan khalayak dan medan hidup sebagaimana cerita itu dikisahkan. Sastera lahir dari sirat masyarakat maka ia akan mengambil  dan menyerap segenap lendir dan buih hidup yang dialami masyarakat. Ia tidak mampu bebas dan menjadikan kelahiran dalam vakum tanpa rujukan mana-mana tampuk sosial. 

Maka pengisahan sastera adalah kimpalan realiti yang berbalut imaginasi dan emosi. Ia dapat menjadi rujuk dan pintu yang membuka masa lalu kepada meraka yang ingin tahu. Negara-negara maju yang sudah berkurun dalam keagungan dan puncak kejayaan tidak melepaskan ikatan rakyatnya dengan sastera. Sastera dipelajari dan dikaji sebagai khazanah penting yang dapat mendirikan keyakinan dan pengaruh terhadap masyatakatnya.  Kajian bukan bertujuan menghabis waktu atau menghilang jemu tetapi untuk melihat rupa manusia dan bangsa yang tertanam dalam laut sastera. Kerana yang tertanam dan terperap itulah warna-warni bangsa dan manusia yang mengkajinya. Mereka mempercayai sastera dapat membawa mereka kembali kepada akar, asal mula dan tabuh asal mereka.


Cermin dibawa sastera bukan kecil fungsinya. Cermin untuk membawa kita kembali kepada asal mula, titik awal, dan tanjung kelahiran sebelum kita jauh berkelana. Ingatan penting adalah supaya kita tidak menyanggah kebenaran dan realiti yang pernah terjadi dan dialami. Ada yang menyatakan sejarah adalah cerminan untuk kembali kepada pautan mula, Memang sejarah mempunyai fungsi dan  peranan untuk kita merenung masa yang hilang. Tetapi sejauh mana sejarah dapat menjelas denyut dan rangkul jiwa manusia dalam kehidupan mereka? Seupaya mana sejarah dapat memberitahu tentang emosi, hasrat, dan jiwa manusia?. Sejarah dan sastera memiliki kepentingan masing-masing. Ia harus hadir bersama. Dokumentasi dari sejarah harus berakhir dengan pancaran kejiwaan dan harapan manusia yang tertulis dalam karya sastera. Biarlah karya sastera menjadi cermin menyuluh kembali lorong dan jalan gelap masa lalu atau padang dan bukit kemakmuran masa sudah. 

Segala sirat pergolakan tentang sejarah, asal usul, keturunan, kehidupan, sosial, agama, kuasa, dan segala macam lagi dapat diperjelas oleh karya sastera. Kepayahan, kesusahan, kegetiran atau segala musibah lalu telah dirakam dalam pita karya sastera yang begitu banyak. Ambillah kembali segala yang banyak itu dan sadurkan menjadi emas berharga untuk dibaca dan dirasa oleh generasi sekarang. Mereka barangkali  merinduinya jika terhidang dalam lauk dan sayur yang lazat dan sedap. 

Kita janganlah menutup pintu sastera tetapi membuka seluasnya untuk menjadi jambaran penghubung masa lalu dan masa sekarang, sejarah dan realiti hari ini. Mustahil generasi sekarang menolak untuk membacanya atau merenungnya kembali jika terhidang dalam lauk dan sayur sastera yang lazat. Jarang kita dengar anak muda menolak karya-karya Tan Sri P Ramlee meski dalam bentuk dan wahana asalnya karya itu tertayang. Bukan kerana apa kerana laut dan sayur seninya begitu lazat dan sedap.

Sajak Gadis Kecil antara sajak penghasilan Sasterawan Negara Usman Awang yang seringkali mendapat sorotan dan kupasan para penulis. Apakah istimewanya sajak ini?

Barangkali inilah antara sajak terbaik penghasilan SN Usman Awang yang memiliki keistimewaan dari aspek isi dan bentuknya. Inilah pula sajak yang boleh dijadikan rujuk dan cermin untuk menatap kembali ke alam lampau atau menempa detik dalam sejarah. Ia adalah pengisahan kehidupan manusia antara tiang kepayahan dan sudut kecekalan jiwa manusia. Ia meronta dalam gugus bahasa yang santun dan indah. Ia menjerit tentang kepedihan, tetapi jeritan dan tangis itu tidak begitu terasa pada wajah dan inti bahasanya.

Inilah keistimewaan SN Usman Awang. Segala yang diungkap adalah suatu yang menikam sanubari dan mengusik sedar manusia. Setiap yang disebut adalah pernyataan manusia biasa yang menceritakan pula peristiwa dan watak manusia biasa. Segalanya mengalir persis air yang meninggalkan pegunungan dan tiba di muara. Tiada paksaan untuk kita merasa terharu atau pedih tetapi itulah yang dirasakan. Tiada paksaan untuk kita merenung ke dalam banir kemanusiaan melihat kembali diri dan anugerah Ilahi, tetapi itulah yang terjadi. Kita tidak dipaksa untuk merasa dukalara dan pedih sang gadis dalam garis dasar sajaknya tetapi jauh di bawah aliran bahasa yang sederhana dan halus kita terperangkap dalam krisis dan pergolakan jiwa hanya semata bermula dari seorang anak kecil biasa.

Barangkali inilah sajian terbaik buat generasi muda. Hidangan yang lazat dengan sayur dan lauk yang enak. Bahasanya sederhana tidak diolah oleh kata yang bombastik dan sukar dimengerti. Semua yang membaca akan merasa dan memahami cerita dan kisahnya. Penceritaan sekadar pengisahan biasa tentang seorang gadis kecil yang terbiar dan terpinggir. Tetapi sesudah kita menghabiskan seluruh rangkap dan baris sajak ini, hati kita mula dijamah kesayuan dan keharuan. Pilu yang tiba-tiba datang tanpa sesiapa pun memaksa. Kita mula digenangi rasa hiba dan keharuan yang tak dapat dibatas.

Kalaulah kita mencari cermin ke alam kepayahan dan derita hidup manusia masa lalu. Inilah sajak yang dapat dibentangkan untuk membaca kehidupan dan periwayatan sejarah dan kehidupan kita. Kalaulah kita mahu mereka belajar dari kesengsaraan lalu inilah puisi yang dapat memberi bekas kepada jiwa dan kalbu untuk memahami bahawa sengsara dan pilu pernah meratah nasib, pengalaman dan denyut hidup kita. Ia bukan retorik atau ketakutan yang sengaja dibawa. Bacalah anak muda. Ini kisah hidup sang gadis dalam lubang kepayahan dan kesulitan hidup, dalam bara dan ketakutan di bawah genggaman kezaliman.


Ketenangan sajak Gadis Kecil ini tidak sebagaimana unggun emosi dan bara jiwa yang dipercikkan dalam inti sajak. Bahasa yang begitu tenang dan tersusun rupanya mengisahkan sebuah kelukaan dan kesakitan yang begitu dalam. Kita akan merasa amat terharu dengan bahasa mudah dan tenang itu kerana subjek penceritaan adalah kepayahan dan kesakitan hidup manusia. Bagaimana kesabaran dan keikhlasan gadis kecil menghambat kepayahan hidup. Bagaimana seorang manusia yang masih diawal usianya sudah menjalani hidup yang begitu tajam dan runcing. Tetapi kedukaan itu tak bergaris pada wajah dan tubuh kecil sang gadis. Ia tidak tercalar zahirnya tetapi batin dan jiwa gadis ini begitu dimamah kepahitan. Kehilangan orang yang tersayang di penjara. Usia muda menghabis hidup sendirian. Keperluan untuk buku dan ilmu. Keperluan untuk sesuap nasi dan hidup. Kemahuan untuk melayari hidup yang sakit. Ketabahan hati. Kesungguhan jiwa dan kekebalan emosi merempuh segala yang menghalang. Ini bukan cerita biasa tetapi luar biasanya manusia menghadapi gelombang dan taufan.

Sajak seperti ini harus dikembalikan kepada remaja dan anak muda kita. Biarlah mereka membaca dan merasa segala papar pahit yang dijelmakan. Kerana segala itu adalah realiti yang pernah dirasa dan dirintis oleh orang yang sebelum kita ada. Gadis Kecil ini mewakili kehidupan golongan manusia yang hidup dalam kurungan kemiskinan, kepayahan mencari rezeki, nasib malang, ketinggalan dari bangku sekolah, keazaman untuk mencari ilmu, keyakinan pada cahaya hidup, kekuatan jiwa, rohani yang cekal, dan segalanya menjadi obor yang harus terjalin dalam jiwa, emosi dan fikir anak-anak.

Biarlah mereka sedar tanpa paksa bahawa pernah ada dalan sejarah hidup kita di negara berdaulat ini zaman luka dan musim payah yang terpaksa diharungi. Barangkali pintu sedar akan terbuka lebar dan segala yang tidak berada dalam ruang pengalaman atau usik nasib mereka hari ini dapat dirasakan.

Alangkah sekiranyanya generasi muda memiliki segala kekuatan si gadis kecil ini.


Kita tidak memerlukan masa yang lebih lama menukil kejayaan sebuah negara.
Biarlah sebuah puisi sebegini membina pengertian dan sudut baru anak remaja dan anak muda kita.
Kita perlukan seribu anak muda memiliki jiwa dan emosi seumpama Gadis Kecil ini.

Salam kemerdekaan


Comments