MENATAP KEPAYAHAN DALAM DENU

9 Aug 2025

MENATAP KEPAYAHAN DALAM DENU


 

Datuk Tamimi Serigar pengarah DENU

MENATAP KEPAYAHAN DALAM DENU

Pada permukaan, hidup ternampak biasa. Malam menjelma pentas Mak Yong menjadi sangat meriah. Audiens berkunjung datang untuk melihat gerak tari, lenggok badan, nyaring suara melantunkan nyanyi dan irama, dan busana yang bergemerlapan. Di tambah dengan kecindan bahasa dan tutur pemain Mak Yong audiens semakin terhibur dan merasa puas hati.
Begitu dunia di atas pentas di celah tingkah gendang dan gong. Tetapi jauh di dasar terbenam banyak kesulitan yang tidak dijelmakan di wajah atau dilantunkan dalam kata. Hasmah sebagai Pak Yong menjadi daya penarik utama persembahan, bukan semanis dan semanja wajah dipamerkan di pentas. Jiwanya kacau dan nanar, tapi sedikit tidak terpetakan pada tingkah dan lakunya. Sedang ada pemberontakan dan amukan yang menggeleggak dalam nuraninya. Perkahwinan yang bukan pilihannya dengan Pak Yeh. Perjanjian yang sengaja dibentangkan agar dirinya tidak begitu lemas dan kecewa.
Pertemuan dengan Amiruddin membongkar gerak baru dalam jiwanya. Hasrat yang lama terpendam untuk keluar dari Pasir Puteh menjadi realiti. Tetapi ia sedar bukan semudah itu perjalanan ke Kota Bharu kerana Amiruddin ada tuntutan dan kemahuannya tersendiri.
Pak Yeh tidak mudah menerima tawaran Amiruddin untuk membawa pasukan Mak Yong ke Kota Bharu. Apa lagi Amiruddin yang lebih berpaut kepada keuntungan mahu melakukan adaptasi ke atas Mak Yong. Jiwanya menolak dari dalam dan tidak pernah disebutkan kerana menghormati Datuk Nik.
Datuk Nik dalam menyelamatkan nafas politiknya berpaut kepada Mak Yong Pak Yeh untuk menyuarakan desak merdeka. Itu pun diterima Pak Yeh dengan cukup terseksa. Pengarah menyelitkan secara halus kritikan terhadap pengaruh dan desak politik yang terpaksa ditelan dan dipikul oleh seniman dalam berkarya. Tapi semua itu disuarakan dalam simbolik cahaya dan warna tanpa utas suara.


Amiruddin

Amiruddin pula terpaksa menggunakan Meli untuk mendekatkan dirinya dengan Asmah. Meli budak kampung yang menyimpan cita-cita besar mahu menjadi pandai dan mahu belajar di sekolah Inggeris, Hasrat itu dipandang remeh oleh Pak Yeh kerana baginya Mak Yong adalah kehidupan yang tak tergantikan. Meli berdepan dengan kesanggupan yang boleh melemaskan dirinya sendiri. Tetapi ia memiliki cita-cita besar. Secara berhemah pengarah menusukkan kesedaran ke dalam benak audiens agar menerima bahawa pendidikan adalah segala-galanya. Manusia harus pandai agar tidak mudah ditindas.
Amiruddin adalah egoisme manusia yang berpaksi kehendak dan keperluan. Ia membawa Mak Yong ke Kota Bharu kerana mahu membawa Asmah jauh dari Pak Yeh. Dia menggunakan Meli seolah-olah menyokong hasrat Meli. Bagi Amiruddin, orang-orang Mak Yong yang bodoh boleh dipermain-mainkan.
Begitu Denu dalam memperlihatkan manusia yang berdepan dengan kepayahan dan kesulitan. Ia adalah garapan emosi yang membuak dari dalam diri. Hinggalah akhirnya semua itu meledak dan terburai. Hanya mereka yang tabah bakal berdiri memikul kejayaan. Siapa?
Saksikan Denu bermula 21 Ogos 2025



0 comments :

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.