Warna Yang Bersuara


Warna Yang Bersuara

Bagi mereka yang baru bertemu dengan sastera, akan merasakan bahawa sastera memiliki keanehannya. Keanehan itu yang kemudian melingkarkan kesukaran. Kesukaran pula menjadikan mereka terasing dan jauh. Tidak dapat berpijak pada peta dan warna yang berbangkit dari ramuan sastera.


Sebagai memudahkan bicara, dengarkanlah muzik di bawah ini dengan dalam dan tajam indera :
hijab kekasih - m nasir




Muzik adalah warna yang bersuara. Darinya datang nada dan tone. Datangnya bunyi dan irama yang mengocakkan warna jiwa dengan hanya bunyi-bunyian. Tetapi indera dapat menapis dan merumus makna dari segenap yang berdegung dan berdetik dalam lantun muzik. Terasa ada sayu, bahagia, luka, gembira, sakit atau semangat terlahir dari muzik yang beralun. Cepat dan perlahan memberi tempo dan ritmanya.

Sastera adalah warna yang bersuara. Kita bertemu pengalaman manusia yang beracuan dalam rungkai karya sastera sama ada sajak, novel, cerpen, atau drama. Apa yang diatur dalam karya sastera adalah saringan kehidupan yang dijelmakan dalam karya berkenaan. Persis foto yang merakam citra, demikian dalam karya sastera ia merakam segala rupa warna manusia. Dari apa pun inti hidup, dunia kemiskinan dan kesakitan hidup, manusia dan perang, gelora sosial manusia, pertikaian dalam kuasa, keadilan, ketuhanan dan segala warna lagi yang menjadi hakikat hidup manusia menjadi dasar dalam karya sastera.


Karya yang terhasil dari renungan, intuisi, kesedaran, dan kemahuan pengarang berbentuk menjadi karya sastera. Kewujudan pelbagai genre karya adalah disesuaikan dengan hasrat dan keinginan pengarang menukilkan karya mereka. Dalam sajak, kata-kata yang ringkas dan tersusun memberi warna dan gambaran yang lebih simbolik, puitis dan menarik. Dalam drama, hubungan karya dan audien berdasarkan dialog dan tuturan yang menjelaskan segala pertikaian, pergolakan, dan idea pengarang. Dalam cerpen, watak yang begitu ekonomis bergerak dalam ruang latar yang begitu terhad tetapi menyajikan sebuah gambaran manusia  dalam zaman dan kehidupannya. Setiap genre memiliki kelebihan dan keistimewaan dalam menuturkan keperihalan manusia sebgai inti karyanya.

Sastera adalah warna yang bersuara. Darinya terambil realiti manusia, khayalan atau imaginasi, renungan, harapan dan segala macam rencah yang dibancuh dalam karya sastera. Apabila tercipta karya sastera realiti dilenyapkan oleh imgaginasi. Imaginasi pula tak terkesan oleh gambaran warna-warna penceritaan yang mecatatkan hidup manusia. Terbawa di dalamnya segala macam warna manusia yang sebenarnya adalah warna realiti kehidupan ini. Ia menjadi latar karya yang memerihalkan sikap, pemikiran, adat, budaya, falsafah dan sebagainya yang melingkari alam manusia. Lingkaran inilah dikenali sebagai latar dalam karya sastera.

Sebuah karya sastera bertolak dari kesedaran, hasrat atau kemahuan pengarang. Ada kalanya watak-watak yang ditampilkan adalah untuk menjadi simbol dan konotasi terhadap sesuatu yang berlaku dalam masyarakat. Watak-watak yang tersaji dalam karya adalah mewakili segala lapis manusia dalam masyarakat. Ia kemudiannya bergerak dalam tali cerita yang panjang. Bermula dari satu perisitiwa kepada peristiwa yang lain atas alur perisitiwa yang dikenali sebagai plot. Ia menjadi tali panjang yang menghubungkan segala episod, peristiwa atau kejadian hingga menuju klimaks dan peleraian.


Sepanjang tali panjang inilah termuat kepelbagaian rencah fikir pengarang yang diselitkan dalam taburan perisiwa. Ia membawa persoalan cerita yang mendukung karya berkenaan. Ia kemudian membina tema cerita. Atas segala konflik, pertikaian, dan segala kejadian itu terjalin persoalan dan tema dalam penceritaan. Ia menyelitkan pemikiran, hasrat dan intuisi pengarang. Begitu juga dengan segala warna-warni yang terkupas dalam penceritaan akan membawa kepada pengajaran atau mesej yang mahu diupayakan oleh pengarang. Semuanya terhasil dari rentetan kata dan bahasa yang disusun menjadi karya sastera.

Kepentingan karya sastera adalah kebahasaannya. Bahasa yang menjadi nadi menggerakkan roh dan jiwa dalam segenap baris ceritanya. Bahasa akan memberitahu tentang latar dan manusia, warna-warna wataknya, kehidupan dan zamannya. Bahasa mendirikan keteguhan karya sastera. Kehalusan bahasa, keindahan kata dan segala macam yang terukir melalui bahasa memberikan penjelasan terhadap cerita. Karya sastera terisi dengan mainan bahasa. Garapan yang indah untuk menarik indera dan mencabar fikir.

Demikian sedikit kupasan ringkas tentang rupa dan warna karya sastera. Ia warna yang bersuara tentang kehidupan dan manusia.


Mereka yang merenung dan berfikir akan selalu mendapat kebaikan darinya.


Comments