Teksdealisme

Teksdealisme punya potensi besar
Oleh AZMAN ISMAIL


KEHADIRAN teori teksdealisme oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) pada tahun 1994 sebenarnya membuka lambaran besar dalam perkembangan teori dan kritikan sastera tempatan.

Meskipun teori ini merupakan pengubahsuaian daripada teori-teori Barat yang dianalisis oleh Mana Sikana, teksdealisme berpotensi dikembangkan ke peringkat yang lebih luas.

Teksdealisme mampu diguna pakai dan diterapkan dalam semua genre sastera hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun menurut Pegawai Bahagian Teori dan Kritikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jaafar Abdul Rahim, teori tersebut memerlukan proses inovasi bagi disesuaikan dengan situasi setempat.

``Teksdealisme adalah `penciptaan daripada sesuatu yang sedia ada' bukan berdasarkan sesuatu yang tidak ada.

``Teori ini sebenarnya tidak menyentuh aspek kreativiti radikal yang mencetuskan penciptaan teori teksdealisme,'' katanya.

Menurut beliau, apa yang diketengahkan oleh Mana Sikana telah melengkapi ciri-ciri sebuah teori sehingga tidak mustahil teksdealisme menjadi teori yang kuat.

Ini kerana Mana telah `mengisi' teorinya dengan data, hipotesis dan prinsip kehadirannya, pelanggaran, pengukuhan dan individualisme. Justeru, teksdealisme mempunyai ciri-ciri keunggulan dari aspek teks, idealisme dan khalayak.

``Prinsip kehadiran dan pelanggaran bagi saya cukup menarik. Antara lain dengan tafsiran Mana Sikana terhadap karya Usman Awang, Matinya Seorang Pahlawan telah memberi makna baru kepada kisah dalam teks Hikayat Hang Tuah.

``Dari sudut pemaknaannya, ia berupa satu nilai dan pandangan baru terhadap konsep heroisme dan memberi impak yang besar serta kukuh dalam konsep kewiraan orang Melayu,'' tambahnya.

Tegasnya, teori itu mempunyai potensi besar jika ada usaha memperkasanya dengan strategi ilmu, pemahaman yang betul terhadap teori dan aplikasinya dalam teks sastera.

``Saya tertarik dengan penyataan Mana Sikana yang menyatakan sesebuah teori sastera di Barat akan hanya mantap dan dimantapkan selepas 20 tahun.

``Cuma apa yang diharapkan, ia tidak mengalami nasib yang sama dengan sesetengah teori sastera Barat. Oleh itu, strategi memberi kefahaman harus diusahakan,'' tegasnya.

Penulis Mawar Shafei menerusi kajian terhadap karya Anwar Ridhwan berpendapat, teori bukan hanya unggul dari aspek aplikasinya tetapi juga menepati empat ciri utama sesebuah teori.

Mawar yang meneliti beberapa karya Anwar seperti Sangkar, Di Negeri Belalang dan Naratif Ogonshoto berpendapat, teori ini harus menepati ciri kehadiran, pengukuhan, pelanggaran dan individualiti.

``Daripada penelitian, saya dapati teksdealisme dapat mengesan perkembangan kepengarangan seseorang bermula daripada karya awal hingga mutakhir bagi meletakkan kedudukan pengarang itu.

``Teori ini turut memperkatakan kecenderungan kebanyakan pengarang yang mencapai individualitinya akan sering bergerak dari akar budaya dan tradisinya,'' jelas beliau.

Berdasarkan `kemampuan' teksdealisme menelusuri karya-karya ini, Mawar menegaskan tidak mustahil teori ini mempunyai potensi besar dalam persejagatan sastera tempatan mahupun antarabangsa.

utusan online


Teksdealisme - Perlu dimatangkan
Oleh AZMAN ISMAIL

KELAHIRAN teori teksdealisme oleh Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) membuka lembaran baru dalam perkembangan teori dan kritikan sastera tanah air.

Teori yang berpegang pada prinsip dan ciri-ciri sastera tempatan ini menjadi pelengkap kepada teori-teori tempatan seperti Puitika Melayu (Prof. Muhamad Salleh), Takmilah (Dr.Shafie Abu Bakar), Persuratan Melayu Baru (Affandi Hassan) dan Rasa-Fenomenologi (Dr.Sohaimi Abdul Aziz).

Teori ini berpegang kepada prinsip yang menggabungkan nilai-nilai keunggulan sesebuah teks sastera dan idealismenya yang merangkumi sifat dan ciri-cirinya.

Maksudnya, teksdealisme mengarah kepada pensasteraan, pengarang, teks, khalayak dan dunia kesusasteraan yang unggul. Namun, kedudukan teksdealisme sebagai sebuah teori sastera tempatan perlu diperbaiki.

Beberapa sarjana tempatan berpendapat, teori ini perlu dimatangkan supaya mampu berdiri kukuh, di samping benar-benar mantap bagi mentafsir sastera tempatan dan luar negara.

Dr. Sohaimi Abdul Aziz dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada Seminar Teori Sastera Teksdealisme di Kuala Lumpur, baru-baru ini menekan perlunya pengukuhan teori ini.

Menurut beliau, sebagai sebuah teori sastera yang dihasilkan sarjana, ia perlu `matang' untuk meletakkannya sebagai sebuah teori iaitu dengan berdiri di atas lima rangka dasar sesebuah teori sastera moden.

Lima kerangka dasar tersebut menurut Sohaimi adalah teks sebagai kesusasteraan, teks dan pengarang, teks dan pembaca, teks dan bahasa serta teks dan realiti.

``Saya melihat teksdealisme adalah percubaan Mana Sikana untuk menjelaskan tentang kesusasteraan yang tidak terikat dengan mana-mana kesusasteraan. Sungguhpun beliau memberikan contoh tempatan untuk menjelaskan pemikirannya, namun beliau tidak mengatakan teksdealisme hanya untuk sastera tertentu sahaja.

``Cubaan menjadikan teksdealisme sebagai teori sastera boleh dimantapkan dengan memperlihatkan keselarasan pengertian unsur-unsur yang dihuraikan,'' katanya.

Beliau turut menekankan supaya teksdealisme tidak mengetepikan unsur-unsur kontradiksi di dalamnya. Ini kerana keselarasan unsur-unsur yang dikemukakan maka huraian tentang hakikat kesusasteraan seperti yang dilakukan oleh mana-mana teori sastera.

Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Hassan berpendapat, teksdealisme harus diperkasakan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai produk tempatan.

Menurut beliau, Mana Sikana sebenarnya telah memberi sumbangan besar dalam pembentukan teori dan kritikan sastera di negara ini. Beliau (Mana) menekankan tentang keunggulan teks sebagai susunan idea dan pengalaman yang mengandung makna yang berlapis-lapis.

Mana Sikana dalam memperkukuhkan teorinya ini telah mengaplikasikannya ke dalam Hikayat Hang Tuah untuk melihat lambang keunggulan teks dan idealisme yang tidak terikat dengan tempat dan zamannya.

``Ternyata teori ini dapat diaplikasikan dalam teks moden seperti puisi, cerpen, drama dan novel serta sastera tradisional.

``Dalam pada itu, teori ini mengajak para pengarang supaya berani dalam menampilkan sesuatu yang baru supaya tidak klise sifatnya dan bijaksana dalam keilmuan. Ini memperlihatkan dimensi pengarang ke arah lebih positif,'' katanya.

Mohamad Mokhtar berpendapat, meskipun teori ini masih muda, namun telah mendapat pengaruh, apabila beberapa penuntut di pelbagai peringkat berani mengaplikasinya ke dalam beberapa teks sastera.

utusan online

Comments