Kraf Malaysia


Definisi Kraf

“Keluaran Kraftangan” ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran batik; dan “keluaran batik” ertinya apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya.

sumber: Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979



Bidang Kraf

Aneka Kraf

Seni kraf berasaskan manik, kertas, siput, mutiara dan lain-lain lagi.

1. Kompang


Kompang mempunyai baloh berbingkai yang diperbuat daripada kayu jenis keras. Lazimnya dari spesis Nangka dan nama saintifiknya “Artocarpus Heterophylius”. Belulang daripada kulit kambing digunakan sebagai bahan bunyi yang dipasang pada permukaan balohnya dengan menggunakan bahan pelekat kemudian ditindih dengan paku supaya ketegangannya lebih terjamin. Kompang juga memerlukan rotan sedak sebagai alat untuk menghasilkan suara yang baik.

Permainan Kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan bersila, berdiri ataupun berarak mengikut keperluannya. Dalam teknik penghasilan bunyi, pemain akan menggunakan sebelah tangan untuk memegangnya dan menggunakan sebelah lagi tangan untuk memukulnya.

Selain dari Marhaban, peranan Kompang dalam kehidupan masyarakat masa kini, telah menjadi begitu penting khususnya untuk meraikan majlis perkahwinan atau menyambut pembesar-pembesar negara. Kini permaian Kompang telah mula diajar di sekolah-sekolah serta pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi kerajaan.

Dalam konteks persembahan kumpulan Kompang terdiri daripada tiga kumpulan mengikut peranannya. Kumpulan pertama terdiri daripada beberapa orang pemain yang akan bertindak sebagai “Pembolong” menggunakan istilah lokaliti untuk memainkan pola paluan yang khusus serta spesifik secara seragam iaitu “in unison” sebagai pukulan dasar. Kumpulan kedua bertindak sebagai Peningkah lazimnya terdiri daripada seorang sahaja ketua dalam permainan tersebut dan kumpulan ketiga akan bertindak sebagai penyilang yang memainkan rentak hias sebagai unsur pelengkap kepada keseluruhan pola paluan yang terjalin

2. Seni Kraf Orang Asli



Di  Malaysia terdapat 140 ribu org asli yang dibahagikan kepada 3 kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan juga Melayu Proto.

Suku kaum Mahmeri, dari kumpulan Senoi adalah antara pribumi yang turut menghasilkan ukiran kayu. “Mahmeri” bermaksud orang hutan manakala dalam istilah, mahmeri memberi maksud bersisik. mereka juga dikenali sebagai orang laut. sesuai dengan lokasi penempatan mereka yang berhampiran dengan laut iaitu di Pulau Carey, Selangor.

Seni ukiran kayu telah lama bertapak dalam masyarakat Mahmeri dan mereka turut dikenali sebagai pengukir yang mahir. Kreativiti mengukir patung-patung berbentuk dewa-dewa, figura manusia, alam flora dan fauna amat menakjubkan. Ada di antara ukiran-ukiran itu, pernah mendapat pengiktirafan UNESCO.

Kehebatan seni ukiran ini dapat dilihat melalui ukiran yang dihasilkan oleh Encik Pion ak Bumbong yang lebih mesra dengan panggilan Pak Pion. Minat yang mendalam terhadap seni ini telah membawa Pak Pion mempelajari kemahiran serta teknik pengukiran dari pengukir sebelumnya. Kepakaran dan ketelitian kerja Pak Pion boleh dilihat dari peringkat awal proses ukiran iaitu semasa pemilihan asasnya.

3. Serunai


Serunai adalah sejenis alat muzik dalam kumpulan muzik tradisional Melayu dan merupakan salah satu daripada alat utama dalam persembahan wayang kulit Kelantan. Badan serunai berbentuk kon dan terdiri daripada tiga bahagian yang diperbuat daripada kayu. Panjang badannya adalah di antara 12 – 18 inci dan mengandungi 7 lubang petik di atas dan satu lubang jerit di bawah.

4. Ukiran Halus


Seni ukiran yang terdapat pada senjata Melayu khasnya memperlihatkan rekacorak dan kehalusan seni ukiran Melayu. Penghasilan produk halus seperti hulu keris dan sarung keris ini bukan sahaja dihargai malahan ianya membawa pengertian falsafah yang tinggi nilainya. Bagi menghasilkan ukiran yang bermutu, penelitian dan penumpuan serta pemilihan bahan mentah yang sesuai dititikberatkan.

Hasil Rimba

Seni kraf yang berasaskan kayu, buluh, rotan, mengkuang dan lain-lain lagi.

1. Anyaman


Anyaman merupakan seni kraf sejagat Malaysia wujud sejak 300 ratus tahun yang lampau. Hasil rimba seperti buluh, rotan, pandan, mengkuang dan ribu-ribu menyumbang kepada hasil utama kraf anyaman. Anyaman yang dihasilkan daripada bahan hasil rimba ini memaparkan barangan harian, hiasan dan hadiah.

Keunikan dan kesenian serta kreativiti masyarakat Malaysia menghasilkan kraftangan anyaman terserlah melalui penghasilan bakul, tikar, perabut, pengadang, bekas serbaguna, dinding rumah dan barangan hadiah dan cenderamata.

Kepelbagaian penghasilan produk ini memaparkan keadaan sebenar keunikan seni kraftangan Malaysia yang dianggap seni kraf yang unik di rantau Asia

2.  Daun Serdang

Produk kraftangan anyaman daun serdang banyak dihasilkan di Daerah Kota Belud oleh suku kaum Bajau. Pada asalnya ia digunakan untuk menutup makanan dan dikenali sebagai Tenduang dalam bahasa Bajau yang bermakna Tudung Saji. Kraftangan ini juga dihasilkan oleh suku kaum Brunei di Daerah Kuala Penyu yang mempunyai fungsi yang sama dan juga dipanggil Tudung Saji.

Tudung Saji atau Tenduang suku kaum Bajau Kota Belud mempunyai corak berjalur yang berwarna warni sementara suku kaum Brunei tidak mempunyai corak berjalur.

Anyaman Daun Serdang ini juga boleh dibuat produk lain seperti alas pinggan, bakul hamper, dan sebagainya.


3. Rinago



Kraftangan Anyaman Rinago (ribu ribu) adalah sejenis anyaman yang banyak dihasilkan oleh suku kaum Rungus di Daerah Kudat. Ianya juga dikenali sebagai Lingkong dalam bahasa Rungus. Ribu ribu atau nama saintifiknya Lygodium adalah sejenis tumbuhan paku pakis menjalar yang tumbuh di kawasan belukar. Bagi membuat produk kraftangan ribu ribu dianyam dengan rotan atau buluh bagi membuat produk kraf yang dikehendaki.

Antara produk kraf tardisional yang dihasilkan daripada ribu-ribu adalah seperti gasing, tinompok dan selapak. Walaubagaimanapun ianya boleh diperluaskan kegunaannya dengan dijadikan produk-produk kraf lain seperti alas pinggan, alas gelas, bekas buah, bakul dobi, bekas gula gula dan sebagainya.

4. Rombong


Seni anyaman Rombong merupakan satu seni kraftangan yang menghasilkan bakul serbaguna yang diperbuat daripada mengkuang. Seni ini sangat terkenal di kalangan kaum wanita negeri Melaka. Rombong boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan mengandungi motif-motif yang memaparkan saling berkaitan antara alam sekitar dan manusia. Kewujudan rombong adalah sebahagian hasil kemahiran kraftangan yang dipusakai sejak zaman berzaman. Melalui kemahiran tangan dan ilham daun mengkuang dianyam dengan teknik “anyaman gila”sehingga membentuk sebuah bakul serbaguna.

Kemahiran dan kreativiti tukang anyam terserlah di dalam penghasilan rekacorak dan saiz yang variasi. Keindahan warisan ini memaparkan hubungkait alam sekitar di dalam kehidupan manusia seharian. Penggunaan motif-motif yang berteraskan alam semulajadi seperti flora dan fauna menjadi sumber inspirasi di dalam penghasilan bakul rombong. Rombong boleh didapati dalam bentuk bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat. Ianya juga terdapat dalam set susunan tiga atau lima biji pada bentuk yang sama tetapi berlainan saiznya.

Gabungan sulaman dan anyaman rombong ini menampakkan keindahan dan kehalusan seni khazanah bangsa. Tidak hairanlah nilai estetika pada bakul rombong ini dikagumi dan diminati oleh masyarakat setempat dan para pelancong.

5. Rotan


Rotan merupakan bahan utama membuat bakul. Terdapat berbagai-bagai jenis rotan yang boleh digunakan untuk dijadikan bakul. Di antaranya ialah rotan sega. Terdapat juga rotan-rotan lain yang telah dibentuk seperti rotan isi atau dikenali sebagai rotan pulor, rotan kulit dan rotan ikat tanpa kulit. Bilah-bilah rotan ini akan diwarnakan mengikut corak bakul yang dikehendaki. Jalinan warna digabungkan akan menghasilkan bentuk bakul yang begitu menarik.

Penyediaan Bahan dan Peralatan

Bahan dan peralatan perlu disediakan sebelum kerja-kerja pembuatan bakul dimulakan. Di antara bahan yang digunakan adalah seperti berikut:

Rotan pulor 2mm – digunakan untuk membentuk jalinan di permukaan bakul.
Rotan pulor 3mm – digunakan untuk dijadikan asas tiang atau rangka bakul.
Rotan sega – digunakan untuk pembentukan bingkai dan tangkai.

Manakala peralatannya pula terdiri daripada penebuk, plier memotong, plier lonjong, pisau, pembaris atau pengukur, penukul besi dan gunting besi.

Proses Menganyam Bakul

Terdapat 3 peringkat kerja yang mesti dilakukan di dalam proses pembuatan bakul, iaitu:

Tapak bakul
Badan bakul
Bingkai / Tangkai bakul

Sebelum peringkat-peringkat ini dimulakan, perlulah dikenalpasti rekaan bakul yang meliputi ukuran tinggi, lebar, ukuran garispusat dan bentuknya

6. `Tempurung


Kraf tempurung merupakan salah satu di antara terbuang yang diperkenalkan. Setiap peringkat dalam proses membuat kraf tempurung hendaklah menitikberatkan tentang kawalan mutu supaya dapat menghasilkan keluaran yang cantik, eksklusif dan bermutu.

Bahan Utama:

Antara bahan-bahan utama yang diperlukan ialah tempurung tua dan tempurung muda dengan pelbagai ukuran (mengikut rekaan yang diperlukan). Kayu Jelutong digunakan sebagai tapak. Kulit rotan dililitkan di kulit tempurung sebagai hiasan dan untuk kelihatan kemas lagi. Tawas diperlukan sebagai bahan pengawetan. Bahan lain yang digunakan ialah pewarna.

Hasil Tanah

Seni kraf berasaskan tembikar, kristal, kaca dan batu marmar.

1. Tembikar Labu Sayong


Kegiatan perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung Malaysia telah mula dikenali sejak zaman-berzaman dan kini perusahaannya masih hidup di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia. Melalui kudrat tangan dan ketajaman ilham manusia, maka terbentuklah tembikar yang memaparkan keindahan warisan tradisi yang sebahagian besarnya disempurnakan oleh kaum wanita. Seni tembikar ialah hasil seni kraftangan yang diperbuat dari tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan serta dibakar untukmenghasilkan satu rupabentuk yang sungguh berseni dan unik.

Tembikar yang lebih dikenali sebagai Labu Sayong berwarna hitam banyak terdapat di Sayong, daerah Kuala Kangsar, Perak. Malah sebut sahaja Sayong, maka tergambarlah keindahan bentuk seni labu yang berwarna kehitaman. Wujudnya labu hitam ini dari buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.

Suatu masa dahulu, labu hitam adalah alat penting yang digunakan sebagai bekas menyimpan air minuman di majlis kenduri. Keistimewaan labu hitam ini ialah airnya yang sejuk dan dipercayai boleh menawarkan beberapa jenis penyakit seperti batuk dan demam panas. Ia juga digunakan sebagai bekas air sewaktu menziarahi tanah perkuburan.

Labu Sayong menekankan sifat semulajadi iaitu tanah liat serta teknik penggunaan tangan. Rekaan corak permukaannya dihiasi dengan motif alam sekitar seperti motif bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan juga calaran-calaran geometrik yang harmoni.

2. Pasu Iban


Ciptaan tangan manusia dengan adunan tanah dan air telah membawa bersamanya kisah yang berusia 1,000 tahun sebelum masihi. Kisah ini mengimbas kembali kehidupan dan kreativiti manusia zaman Neolitik. Reformasi tamadun manusia telah membawa perubahan demi perubahan kepada seni kerjatangan seramik. Penemuan pasu Iban di Gua Niah Sarawak membuktikan kerjatangan ini telah wujud sejak beratus tahun yang lampau.

Antara kaum peribumi yang mewarisi kerjatangan ini adalah Iban, satu-satunya kaum yang demokratik dalam kehidupan seharian. Penghasilan pasu Iban dipercayai mempunyai unsur-unsur kerohanian kerana fungsinya lebih ke arah upacara-upacara rasmi kaum Iban. Gahnya “Nuan” satu rencana yang menggambarkan keunikan penghasilan pasu secara traditional dan keunikan ini digabungkan dengan cara hidup masyarakt suku kaum Iban.

 Logam

 Seni kraf berasaskan besi, emas, perak, pewter, tembaga dan lain-lain lagi

1. Tembaga


Tembaga merupakan logam terawal digunakan oleh manusia. Di Malaysia penggunaan tembaga dipercayai bermula sejak zaman pra-sejarah. Menurut sejarah, penggunaan tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa masuk oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negeri tersebut.

Menurut sejarah, teknik pembuatan barangan tembaga secara tuangan berasal dari Funan pada zaman Dong-Son. Apabila berlaku kekacauan di negara tersebut, satu penghijrahan telah berlaku. Masyarakat Funan dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa bersama kemahiran yang ada.

Seni kerjatangan tembaga masih giat dijalankan terutama di Terengganu. Teknik pembuatan masih dikekalkan walaupun penggunaan beberapa peralatan baru diperkenalkan. Barangan yang dihasilkan melalui teknik tuangan ini seperti tepak sireh, kaki lilin, tempat bara, pahar dan sebagainya.

2. Pandai Besi


Pandai besi merupakan satu gelaran bagi individu yang terkenal dan mahir di dalam bidang pertukangan besi. Seseorang yang menunjukkan ketokohan dan terbukti kebolehan biasanya diakui sebagai pakar di dalam bidang tersebut. Kemahiran “Pandai Besi” tertumpu kepada usaha menempa senjata tradisonal seperti keris, kelewang chalung, parang, pedang dan sebagainya di samping menghasilkan peralatan pertanian tradisional. Peralatan menempa, motif dan ragam pertukangan serta cara membentuk senjata memperlihatkan kepakaran “Pandai Besi” itu sendiri.

3  Filigree


Seni pertukangan perak adalah satu daripada cabang kesenian orang-orang Melayu yang amat terkenal di negeri Kelantan. Kemahiran pertukangan logam dipercayai telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga

Barangan perak yang dihasilkan terbahagi kepada 3 jenis iaitu:

Barang-barang kasar (serbaguna)
Barang-barang dapur seperti pinggan mangkuk, teko dan sebagainya.
Barang-barang filigree seperti aksesori wanita dan cenderahati.
Barang-barang perhiasan ikatan permata.

Bagi masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filigree atau turut dikenali dengan dawai pintal, mengakui bahawa seni perak filigree mempunyai keindahannya yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan pada penciptaan suatu motif yang terselindung disebaliknya mengikut daya imaginasi jiwa pencipta itu sendiri.

Kebanyakan barangan filigree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi kegemaran kaum wanita.

Pelbagai motif bunga-bungaan terdapat dalam pertukangan perak filigree seperti bunga matahari, bunga cempaka, bunga orkid, bunga mawar dan lain-lain motif moden dalam rekacorak pertukangan barangan filigree.

Rekaan motif pada barangan perak filigree bukan sekadar hiasan sahaja tetapi juga adalah manifestasi falsafah budaya Melayu melalui hasil cipta yang penuh simbolik.

Penggunaan & Fungsi Filigree

Penghasilan barangan perak filigree tidak sahaja untuk kegunaan perhiasan diri, malah dibuat dalam bentuk cenderahati, hiasan pada alat senjata dan alat kebesaran diraja.

Barangan eksklusif seperti anting-anting, rantai leher, kerongsang, kancing baju kebaya dan replika wau semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan dan menarik minat pelancong luar negeri.

Tekstil

Seni kraf yang meliputi batik, tenunan, songket, tekatan, sulaman dan lain-lain.

1. Batik


Perkataan batik merujuk kepada proses menghasilkan kain dengan menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan reka corak yang kemudian dicelup dengan pelbagai warna yang menarik. Reka corak serta penggunaan bahan-bahan baru telah menyemarakkan lagi pengeluaran batik. Batik yang dihasilkan di negara ini telah berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa. Kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.

Reka corak batik ini diaplikasikan ke atas batik menggunakan teknik canting, batik blok dan batik sutera saring. Di Malaysia kini batik telah diangkat sebagai salah satu daripada seni warisan bangsa yang menjadi kebanggaan negara. Perusahaan batik dipercayai bermula pada awal abad ke 12 iaitu di Kepulauan Jawa dan kemudiannya berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Semenjak itu seni kemahiran batik terus berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia. Batik di negara ini dihasilkan dengan teknik dan reka corak yang beridentitikan Malaysia. Kini Malaysia menjadi salah sebuah negara pengeluar utama batik di dunia yang mengiktiraf kehalusan dan kemahiran kerja tangan pengeluar batik tempatan.

Jenis-Jenis Batik

Batik Blok

Merupakan antara teknik pembuatan batik yang terawal di negara. Blok yang diperbuat daripada sebongkah kayu atau logam diukir dengan motif-motif bersesuaian untuk mengecap kain yang dikenali scbagai batik blok atau cop. Selain daripada kain kapas, penggunaan kain sutera dan organza dalam pengeluaran batik blok telah menghasilkan tekstil batik yang sesuai untuk rekaan fesyen, perhiasan serta kelengkapan rumah yang eksklusif.

Batik Canting

Dikenali juga sebagai batik lukis. Proses batik bermula dangan lilin cair dilakar menggunakan canting dan diwarna mengikut kesesuaian reka corak. Selain dari kain kapas, kain rayon, voile, organza dan sutera turut digunakan. Reka corak yang menarik dengan pilihan warna yang ceria menampilkan batik bukan sahaja sesuai untuk fesyen pakaian malah boleh juga dijadikan sebagai kelengkapan dan hiasan rumah serta hadiah dan cenderamata yang eksklusif.

Batik Skrin


Dikenali juga sebagai batik stensil atau batik sutera saring. Batik jenis ini merujuk kepada teknik lakaran corak dan terapan warna dilakukan di atas skrin yang diperbuat daripada poliester diregang di atas pemidang. Motif-motif dilukis atas skrin yang telah ditetapkan ukurannya. Kebiasaannya beberapa keping pemidang dengan reka corak yang berbeza disediakan. Ini adalah kerana satu pemidang hanya untuk satu warna sahaja. Skrin kemudian dilekapkan di atas sehelai kain putih bagi melakukan proses pewarnaan. Proses pewarnaan ini dilakukan beberapa kali bagi melengkapkan corak dan warna sehelai kain batik.

Batik Blok


Batik ialah salah satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal di Malaysia. Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan pencelupan warna. Sejarah perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke 15 Masehi. Perkembangan awal memperlihatkan kesan dan pengaruh batik daripada jawa. Mulai tahun 1930-an hingga selepas Perang Dunia Kedua, perusahaan batik di Malaysia telah berkembang dengan pesat. Para pengusaha batik di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini. Hasil-hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya. Ini melambangkan satu kemahiran kerjatangan yang kreatif di kalangan pembuat-pembuat batik tanah air. Daya tarikan batik bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk tempatan malah ia turut mendapat sambutan dari pelancong-pelancong asing yang datang dari luar negeri.

Di Malaysia, batik dihasilkan melalui beberapa teknik, proses dan gaya tertentu, Salah satu teknik ialah Batik Blok. Di Pantai Timur ia lebih dikenali sebagai Batik Cap atau Batik terap. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang blok kayu untuk mengecap sejenis bahan pewama hitam semulajadi. Teknik awal ini dipanggil ‘Terap Hitam’. Pada tahun 1920-an, penggunaan lilin di dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di Pantai Timur.Sejajar dengan itu, blok-blok yang diperbuat daripada kepingan keluli mula mengambil alih tugas blok kayu sebelumnya. Corak-corak blok keluli ini lebih kemas dan halus buatannya. Blok-blok khas disediakan untuk menerap lilin pada bahagian Kepala Kain, Kapit Kain dan Badan Kain.

Kegunaan Kain Batik Blok

Kain Batik Blok merupakan kegemaran penduduk tempatan. Ianya dijadikan sebagai kain batik sarung dan batik ela. Selain dijadikan pakaian, kain batik ela boleh diubahsuai untuk menghasilkan kain cadar, langsir, alas tilam, sarung kusyen, sarung bantal, beg tangan dan berbagai-bagai jenis barang kegunaan seharian yang indah dan cantik.

Motif dan Rekacorak Hiasan

Motif-motif yang sering digunakan pada kain batik blok adalah berupa corak tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga tempatan seperti Bunga Mawar, Bunga Orkid, Bunga Cengkih, Bunga Cina, akar-akar menjalar, paku-pakis dan corak-corak geometrik terutamanya motif Pucuk Rebung. Motif-motif ini pula diterapkan dalam berbagai susunan dan tataletak, seperti melintang, tegak, serong, tompok-tompok dan susunan batu-bata.

Batik Canting


Batik, memang sudah terkenal sebagai salah satu bidang kraftangan tradisional yang unggul di Malaysia.Sejarah perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke 15 Masehi. Pada tahun 1920-an, penggunaan lilin telah diperkenalkan oleh pengusaha-pengusaha batik di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya negeri Kelantan dan Terengganu, yang merupakan perintis kepada sejarah perkembangan batik di negara ini. Hasil-hasil batik tempatan yang tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya melambangkan satu kemahiran kerjatangan yangg unik dan kreatif di kalangan tukang-tukang batik tanah kita.

Kini, batik bukan sahaja diminati di kalangan penduduk tempatan, malah ia turut digemari dan popular di kalangan pelawat-pelawat asing yang datang dari luar negeri. Di Malaysia, batik dihasilkan melalui beberapa teknik dan proses. Setiap teknik mempunyai cara dan identiti tersendiri. Teknik batik yang biasa dihasilkan ialah Batik Blok, Batik Skrin, dan satu lagi teknik membatik yang begitu popular dewasa ini ialah Batik Canting.

Kegunaan Kain Batik Canting

Kain Batik Canting amat digemari oleh peminat-peminat fesyen pada hari ini. Ia dapat dipadankan dan disesuaikan dengan kehendak dan kegunaan mengikut arus peredaran zaman. Selain dijadikan pakaian, kain Batik Canting sesuai dibuat selendang, skaf, beg tangan, alas tilam, selimut, hiasan dinding, sarung kusyen dan berbagai—bagai jenis barang kegunaan seharian yang cantik dan menarik.

Motif dan Rekacorak Hiasan

Warna-warna yang segar dan eksklusif serta motif-motit yang dihasilkan melalui lakaran bebas, merupakan satu ciri keistimewaan tersendiri yang terdapat pada kain Batik Canting. Motif-motif yang sering menjadi tumpuan rekacorak hiasan kain batik contcng adalah berupa corak tumbuh-tumbuhan, bunga, unggas dan corak-corak moden yang abstrak.

Batik Skrin

Batik merupakan salah satu bidang Kraftangan Tradisional yang unggul di Malaysia. Corak dan kombinasi warnanya yang segar dan sentiasa mengikuti arus perkembangan semasa tanpa mengabaikan ciri-ciri tradisi, telah beriaya memikat hati para pengguna dari dalam dan luar negeri. Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung, khususnya negeri Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada sejarah perkembangan batik di Malaysia. Hasil-hasil batik di Malaysia tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya. Ini melambangkan satu kemahiran seni kerjatangan yang kreatif di kalangan tukang-tukang batik tempatan. Terdapat beberapa cara dan teknik menghasilkan batik. Pada asalnya, batik dihasilkan melalui proses penerapan bahan lilin dan pencelupan warna. Dua teknik utama yang menggunakan lilin dan pewarna ialah Batik Conteng dan Batik Blok.Terdapat satu lagi teknik yang agak unik iaitu Batik Cetak Sutera Saring atau dikenali sebagai Batik Skrin. Batik Skrin dipercayai telah dipelopori oleh sekumpulan pembuat batik di negeri Kelantan, di mana teknik penggunaannya dikatakan telah dibawa masuk daripada negeri Siam pada awal tahun 1900.

Kegunaan Kain Batik Skrin

Kain batik jenis cetak skrin ini amat popular di kalangan kaum wanita tempatan. Kain batik sarung merupakan yang paling banyak dan sesuai dihasilkan melalui teknik cetakan skrin ini. Selain dijadikan pakaian, kain Batik Skrin sesuai dibuat topi, beg, alat aksesori wanita dan sebagainya.

Motif dan Rekacorak Hiasan

Tumbuh—tumbuhan, binatang dan unggas, terutamanya bunga, kupu—kupu dan burung merupakan motif—motif yang sering menjadi pilihan pencipta-pencipta batik untuk dijadikan corak dan ragamhias pada kain Batik skrin.

2. Kain Sulaman Pis


Kain Sulaman Pis adalah sejenis kain yang berukuran lebih kurang satu meter persegi yang mempunyai dua belah atau bahagian yang disulam dengan motif yang berwarna warni. Kebiasaanya kain ini dilipat dan dipakai sebagai ikat kepala lelaki bagi suku Kaum Rungus.

Ia merupakan sejenis kerja tangan sulaman suku kaum Binadan dari Daerah Kudat. Ianya diusahakan oleh kaum wanita sebagai kerja sambilan dan diperturunkan dari satu generasi kesatu generasi. Kain Sulaman Pis ini dibuat dengan menggunakan kain kapas sebagai kain latar yang kebiasaan warna hitam dan oren atau hitam dan merah, atau merah dan oren atau kuning dan oren.Ianya berukuran lebih kurang satu meter persegi.

Kain ini ditegangkan diatas pemidang. Secara tradisi motif yang diperlukan dilukis diatas kertas terlebih dahulu. Kemudian kertas yang mempunyai motif ditebuk dengan jarum bagi mendapatkan lubang lubang halus. Kemudian kertas bermotif berkenaan diletakan diatas kain dan ditaburkan dengan bedak diatasnya. Kertas kemudianya di alihkan dan didapati garisan garisan motif terbentuk diatas kain. Garisan corak atau motif yang terdapat dikain berkenaan menjadi panduan untuk menyulam. Garisan corak atau motif dimulakan dari sudut ketepi dan terus kebahagian tengah kain, ini adalah untuk mempastikan corak atau motif berada dalam keadaan seimbang pada semua sudut.

Apabila keseluruhan kain telah dilukis, kain sedia untuk di sulam. Sulaman dibuat mengikut motif yang dihasilkan dan dibuat dari tepi ke tengah. Apabila semuanya telah disulam ianya dicantumkan menjadikan ianya boleh digunakan kedua-dua belah permukaan kain. Pada masa sekarang garisan motif dilukis menggunakan kertas karbon atau dilukis tangan dengan menggunakan pensil. Benang kapas berwarna terang digunakan sebagai bahan motif, biasanya tidak melebihi tujuh warna. Bagi menyiapkan satu helai kain ini ianya mengambil masa sehingga tiga bulan bergantung kepada motif, warna dan saiz yang dihasilkan. Kebanyakan Kain Sulaman Pis ini dihasilkan oleh suku kaum Binadan, salah satu kelompok etnik Sulu dan Bajau di sekitar Kudat.

3. Seni Telepuk


Seni telepuk adalah satu bentuk seni tekstil Melayu yang hampir pupus. Kewujudannya dianggarkan bermula pada kurun ke-17 atau ke-18 dan dipercayai dibawa masuk oleh pedagang-pedagang Bugis dari Sulawesi.

Telepuk menurut sastera lama bermaksud bunga-bungaan dan lain-lain yang diperbuat daripada emas. Seni telepuk adalah proses menekap hiasan bunga menggunakan perada emas kepada kain sarung benang halus atau kain Bugis. Cara menghias kain ini menggunakan kepingan atau prada emas (serbuk berwarna emas) yang dilekatkan ke atas kain untuk diberikan motif. Kadangkala ada juga perada perak digunakan.

Biasanya telepuk digunakan bagi menghias kain sarung yang dipakai sebagai kain dagang luar bagi perempuan dan samping ataupun kain persegi bagi lelaki yang dijadikan tengkolok atau setanjak terutama ketika istiadat perkahwinan. Kain telepuk jika digayakan dengan betul amat menarik kerana pancaran kilauan cahaya perada emas menampakkan suatu keunikan kepada fabrik dan pemakaiannya.

4. Kain Songket


Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.

Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket mula berkembang dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.

Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.

Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenunan atau kek, motif dan ragamhiasnya serta cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.

5. Sulaman Nyonya


Sulaman nyonya adalah antara pengisian keharmonian budaya Malaysia. Sorotan sejarah menyatakan bahawa masyarakat baba nyonya telah berada di bumi ini sejak zaman Kesultanan Melaka lagi. Melaka yang ketika itu yang menjadi pusat perdagangan telah menggamit pelbagai bangsa untuk bertapak di situ termasuklah golongan baba nyonya.

Kebolehan mereka menyerap dan menyesuaikan diri dengan budaya setempat menjadikan mereka unik. Keunikan hasil gabungan budaya setempat dan budaya negara asal mereka. Kini masyarakat baba nyonya berada di seluruh malaysia terutama di Pulau Pinang dan Melaka. Kehadiran mereka bersama kemahiran bersulam telah memperkayakan lagi khazanah seni kraf negara.

Kekayaan seni kraf ini dapat dilihat melalui kebaya sulaman nyonya. Baju kebaya sulaman nyonya masih mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia. Keindahan sulam adalah mercu kepada kehalusan kerja tangan. corak-corak sulamannya juga menjadi sumber status dan menyerlahkan pemakainya.

6. Tenunan Dastar


Tenunan dastar merupakan tenunan asli Sabah yang terkenal dari suku kaum Bajau dan Iranun di daerah Kota Belud, Kudat dan Samporna. Kemahiran menenun kain dastar ini dipercayai telah dipelopori daripada Kota Batu, Filipina Selatan. Tenunan dastar biasanya digunakan oleh kaum lelaki sebagai tanjak (tengkolok) dan dipakai semasa upacara kebesaran atau majlis perkahwinan. Sebelum menenun, benang-benang dikanji dan dicelup warna terlebih dahulu. Kemudian, benang-benang tersebut diikat dan diberus dengan sabut kelapa untuk membersihkan daripada sisa-sisa kanji serta melicinkannya.

Sejenis alat iaitu bekara, digunakan untuk menerai benang. Kemudian, lebar dan panjang kain yang hendak ditenun ditentukan melalui proses pangsud (menganing). Semasa proses pangsud, kerja-kerja penunggit (menyampuk) pada alat surud (gigi loseng) serta kerja bibitan (mengarak) dengan menggunakan benang nylon putih dilakukan secara serentak.

Apabila selesai kerja mengarak benang, barulah proses menenun yang sebenar dapat dimulakan. Proses menenun ini dilakukan serentak dengan proses menyolek atau menyongket. Proses ini memerlukan kreativiti serta ketelitian penenun untuk menghasilkan tenunan yang menarik dan bermutu tinggi. Benang-benang yang beraneka warna pula digunakan untuk menenun rekacorak dan motif hiasan pada permukaan kain. Motif tenunan dastar biasanya berbentuk tumbuh-tumbuhan, binatang atau corak geometrik.

Kini, tenunan dastar bukan sahaja digunakan untuk upacara kebesaran tetapi telah dijadikan dalam berbagai bentuk barangan seperti beg, bingkai gambar dan sebagainya.

7.  Tenunan Pua


Kehalusan dan keindahan seni kraftangan Sarawak jelas terpancar melalui warisan pelbagai hasil kraftangan kaum etnik yang terdapat di Sarawak. Pua, tenunan ikat-lungsin yang diwarisi turun-temurun oleh suku kaum Iban memaparkan identiti dan pegangan kuat kaum tersebut kepada adat dan tradisi hidup.

Kombinasi warna coklat kemerah-merahan yang terdapat pada tenunan pua cukup harmonis dan menarik. Motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan lambang makhluk seperti corak cicak (engkarong), buaya, lembaga manusia (engkaramba) dan sebagainya memaparkan keunikan rekacorak tradisi tenunan pua. Namun demikian, penenun pua kini lebih tertumpu kepada motif moden seperti bentuk tumbuh-tumbuhan dan geometrik.

Selain daripada kegunaan di upacara adat istiadat dan keagamaan, tenunan pua juga boleh dijadikan pelbagai jenis pakaian tradisi. Antaranya ialah bidang (skirt), sirat (cawat), kalambi (jaket) dan dangdong (kain selempang).

kraftangan

Comments

Post a Comment