Keberhasilan 14 inisiatif PPPM

14 inisiatif PPPM capai hasil positif
Oleh Suzianah Jiffar


Kota Kinabalu: Sebanyak 14 inisiatif yang menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan dalam pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, menampakkan hasil positif.

Inisiatif yang menjadi keutamaan itu membabitkan penyediaan infrastruktur asas di semua sekolah, mengoptimumkan pengurusan kewangan untuk keberhasilan program, pelaksanaan piagam guru dan Kemahiran Berfikiran Aras Tinggi (KBAT).

Yang lain ialah peningkatan pencapaian Jawatankuasa Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) serta Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) dan peningkatan prestasi literasi bahasa Inggeris (LINUS 2.0), program transformasi daerah dan peningkatan enrolmen serta kualiti prasekolah.

Turut dilaksanakan ialah perluasan pembabitan ibu bapa serta komuniti dalam ekosistem sekolah, pengukuhan fungsi teras organisasi dan penstrukturan semula Kementerian Pendidikan, peningkatan penyertaan dalam vokasional, penyediaan 1BestariNet serta perisian ke sekolah, penguasaan bahasa Inggeris untuk guru dan pelaksanaan piagam pemimpin sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pada akhir tahun 2013, sebanyak 14 inisiatif ini menjadi keutamaan KPM selaras dengan Indeks Prestasi Utama (KPI) menteri berteraskan lima aspirasi sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

"Kita mendapati inisiatif itu menunjukkan hasil positif termasuk inisiatif penyediaan infrastruktur asas di semua sekolah. Sebanyak 1,598 sekolah dalam peruntukan Penyelenggaraan Kecil Bangunan dan 1,694 sekolah dalam peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PRK) sudah dikenal pasti bagi pembaikan serta penyediaan kemudahan asas tahun ini.

Pro-ELT

"Sehingga pertengahan tahun ini, sebanyak 1,491 sekolah sudah selesai dibuat pembaikan. Bagi Program Peningkatan Profesional Kemahiran Guru Bahasa Inggeris (Pro-ELT) pula, latihan sudah mula dijalankan secara berperingkat kepada 9,000 guru tahun ini, manakala 5,000 guru dilatih pada tahun lalu.

"Kita mensasarkan kira-kira 85 peratus guru yang dilatih program Pro-ELT meningkat sekurang-kurangnya satu band mengikut tafsiran Common European Framework of Reference for Languages (CEFR).


Dalam memastikan perluasan akses kepada murid, salah satu inisiatif utama ialah peningkatan penyertaan dalam vokasional di peringkat menengah atas," katanya.

Dr Khair berkata, KPM kini sudah mencapai sasaran 5.17 peratus atau 22,079 murid lepasan Tingkatan Tiga didaftarkan mengikuti pendidikan vokasional, meningkat daripada 4.7 peratus atau 20, 289 pada tahun 2013.

Katanya, hasil positif itu menunjukkan kementerian komited memastikan pelaksanaan inisiatif itu berada di landasan betul dan bakal mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Pada tahun ini, kita meneruskan latihan untuk meningkatkan kemahiran guru untuk KBAT, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Selain itu, kementerian beriltizam memastikan kebajikan dan kemahiran guru sentiasa dipertingkat kerana mereka adalah nadi kejayaan PPPM," katanya.

Sekolah sukan

"Keberhasilan murid bukan merujuk kepada bilangan A yang diperoleh, tetapi kita perlu melihat keberhasilan secara holistik sejajar Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Sebagai contoh, bagi murid Tingkatan Tiga, tahun ini pentaksiran merangkumi empat komponen iaitu pentaksiran sekolah, psikometrik, aktiviti sukan dan kokurikulum serta pentaksiran pusat yang dijalankan pada Oktober lalu.

"Pentaksiran pusat juga lebih holistik kerana murid berpeluang menjalankan kaji selidik bagi subjek Sejarah dan Geografi. Ini satu cara untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran berfikir, memimpin, dwibahasa, etika, kerohanian dan identiti nasional, selaras dengan Aspirasi Murid dalam PPPM," katanya.

Dalam usaha memperkasakan sekolah seperti sekolah sukan dan seni, katanya, ada sekolah sudah mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum dan sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

"Contohnya Sekolah Seni Malaysia, Kuching menjadi juara peringkat dunia dalam International Folkdance di Timisoara, Romania.

"Kerjasama dalam kalangan ibu bapa juga bertambah baik, dan antara kesannya ialah kehadiran murid di sesetengah sekolah meningkat daripada 85 kepada 95 peratus.

"Akses menggunakan 1BestariNet juga dilihat berkesan dalam meningkatkan perkongsian maklumat antara murid dan guru," katanya.





bh online







Comments