Hadiah Sastera Perdana 2013 : Memartabatkan Sastera

Anwar Ridhwan Ungguli Hadiah Sastera Perdana 2013

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan mengungguli Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2013) menerusi hasil karyanya bertajuk 'Tercipta dari Tanya'.

Buku itu memenangi Kategori A iaitu Buku/Kumpulan Karya.

Selain itu, esei beliau berjudul 'Media Elektronik Mengancam Persuratan' turut memenangi Kategori B iaitu karya eceran yang disiarkan dalam pelbagai media.

Anwar membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM12,000 bagi kemenangan kedua-dua kategori itu.

Selain beliau, empat penulis turut memenangi Kategori A yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 iaitu Sri Rahayu Mohd Yusop (Kalam Kalbu), Rebecca Ilham (Hujan Hujung Januari), Hatta Azad Khan (Teater, Filem dan Pengurusan Seni) dan Amir Hassan (Memoir Hasrat Menyala).

Hadiah disampaikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Penyampaian HSPM 2013 di sini Jumaat malam.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Awang Sariyan.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia merupakan pengiktirafan yang diberi kepada karya sastera kebangsaan pelbagai genre yang memperlihatkan mutu penciptaan yang tinggi.

Pada tahun ini sejumlah 38 karya sastera diiktiraf sebagai penerima HSPM 2013.

Sebanyak 24 orang dipilih sebagai Kategori B (karya eceran yang disiarkan dalam pelbagai media) yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Selain itu, lima orang dipilih sebagai pemenang bagi Kategori C (buku sastera kanak-kanak dan remaja) yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

BERNAMA

 


Sebar karya klasik
Oleh Hairulazim Mahmud



Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan hasil karya klasik disebarluaskan kepada masyarakat dengan pendekatan kreatif menggunakan teknologi multimedia dan digital.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil karya akan lebih menarik dan dapat menarik minat masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur untuk membaca serta menghayatinya.

“Dalam konteks ini, elok juga kebijaksanaan yang terdapat dalam persuratan klasik kita yang kaya itu dinilai dan diungkapkan semula.

“Keupayaan mengenal dan memahami ini akan membantu dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) Datuk Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaaffar.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia dianjurkan DBP sejak 1997.

Pada majlis itu Muhyiddin menyampaikan hadiah kepada 33 pemenang berdasarkan Kategori A (Buku) yang menerima hadiah wang tunai RM10,000, Kategori B (Eceran) dengan hadiah wang tunai RM2,000 dan Kategori C (Kanak-kanak dan Remaja) menerima wang tunai RM5,000.

Muhyiddin berkata, pembinaan tamadun bangsa memerlukan penghasilan karya persuratan yang membawa pemikiran tinggi.

“Para pemikir kita dulu dapat menghasilkan karya agung yang mengangkat peradaban dan tamadun tinggi bangsa dengan menggunakan nilai bahasa Melayu tinggi seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Misa Melayu,” katanya.

Kata beliau, walaupun pasaran buku ilmiah tidak seghairah buku fiksyen popular, namun karya ilmiah masih perlu dihasilkan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menyarankan DBP melaksanakan pemberian anugerah bahasa kepada Tokoh Bahasa Negara yang sama tarafnya dengan Anugerah Sastera Negara.

Ini kerana, kata beliau, karya sastera yang baik terletak pada penggunaan bahasanya yang baik dan mampu menyampaikan kisah, pesan, falsafah serta kebijaksanaan kepada pembacanya.

“Kemahiran berbahasa sama pentingnya dengan penggunaan bahasa yang baik dan berkesan kerana ahli bahasa dan ahli persuratan saling memerlukan dalam pembinaan tamadun bangsa,” katanya.

MyMetro


Penulis muda ungguli HSPM 2013
Oleh Mohd Hamizar Hamid dan Siti Haliza Yusop


KUALA LUMPUR : Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2013 yang diumumkan malam ini menyaksikan kebangkitan penulis muda apabila mereka mengungguli hadiah utama dalam acara yang memberi pengiktirafan kepada karya sastera kebangsaan dalam pelbagai genre itu.

Qalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop yang mengetengahkan tema kasih terhadap ibu dan khazanah warisan Melayu, mengungguli Kategori A (Buku) bagi genre Novel, mengalahkan enam karya lain yang bersaing dalam peringkat akhir bagi kategori sama.

Kemenangan itu membolehkan Sri Rahayu menerima hadiah bernilai RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Penyampaian HSPM 2013 di Hotel Pullman, di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Madinah Mohamad; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar; Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Awang Sariyan; Duta Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno dan Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar.


TAN Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama pemenang pada Majlis Penyampaian HSPM 2013 di Kuala Lumpur malam ini. - Foto Yazit Razali

Antara penulis muda lain yang turut memenangi HSPM 2013 ialah Rebecca Ilham untuk Kategori A bagi genre Kumpulan Cerpen melalui Hujan Hujung Januari; Roslan Jomel untuk Kategori B bagi genre Cerpen Eceran (Kasut); dan Ariff Mohammad dan Ainunl Muaiyanah Sulaiman untuk Kategori C iaitu Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja masing-masing melalui E-Mel Dari Shinjuku dan Sepetang di Kafe Biblioholic.

Penilaian dibuat berdasarkan tiga kategori iaitu buku atau kumpulan karya perseorangan sebagai kategori A yang membolehkan pemenang menerima hadiah bernilai RM10,000; karya eceran bagi kategori B (RM2,000) dan buku sastera kanak-kanak serta remaja bagi Kategori C (RM5,000)

Tiga lagi penerima Kategori A yang turut membawa pulang hadiah bernilai RM10,000 ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan bagi genre Kumpulan Puisi melalui Tercipta dari Tanya; Prof Dr Hatta Azad Khan bagi genre Kumpulan Esei/Kritikan (Teater, Filem dan Pengurusan Seni) dan Amir Hassan bagi genre Biografi/Autobiografi (Memoir Hasrat Menyala).



bhonline


Iktiraf karya ilmiah bahasa Melayu
22 November 2014

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar penulisan karya ilmiah dalam bahasa Melayu diberikan pengiktirafan yang tinggi, setaraf dengan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wajar melaksanakan pemberian anugerah bahasa kepada tokoh bahasa negara, yang sama tarafnya dengan Anugerah Sastera Negara.

Katanya, hasil karya klasik bahasa Melayu juga perlu disebar luaskan kepada masyarakat dengan pendekatan nilai kreatif menggunakan teknologi multimedia dan digital untuk ditampilkan lebih segar dan menarik sehingga mampu menarik minat pembaca daripada pelbagai kaum serta peringkat umur.

“Karya sastera yang baik terletak pada penggunaan bahasanya yang mampu menyampaikan kisah, pesan, falsafah dan kebijaksanaan kepada pembacanya. Kemahiran bahasa sama pentingnya dengan penggunaan bahasa yang baik.

“Ahli bahasa dan persuratan saling memerlukan dalam pembinaan tamadun bangsa yang hanya dapat dibangunkan dengan bahasa sendiri. Jasa dan sumbangan tokoh dan ahli bahasa ini wajar diberikan penghargaan serta pengiktirafan yang tinggi,” katanya ketika berucap dalam majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching; Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan dan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar serta Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Salleh dan Datuk Anwar Ridhwan.

Seramai 33 individu dipilih sebagai pemenang hadiah itu yang terdiri daripada tiga kategori iaitu buku, eceran serta kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu, Muhyiddin menyeru para penulis untuk bangkit menghadapi kebejatan tamadun kerana dalam realiti dunia ketika ini, kadar pembacaan buku di Malaysia masih rendah manakala penerbitan karya sastera yang membawa falsafah serta pemikiran tinggi masih kurang.

Tegas beliau, usaha dan sokongan kerajaan tidak bererti sekiranya masyarakat tidak menghargai karya yang dihasilkan justeru, suasana serta rasa kepunyaan terhadap karya yang bermutu perlu diwujudkan.

utusan online

Comments