Cerita Jenaka

CERITA JENAKA

Definisi :
Sejenis cerita rakyat di dalam sastera lisan / sastera rakyat. Cerita yang mengandungi unsur humor atau lucu. Cerita yang membawa kesan yang menggembirakan dan gelihati kerana kelucuan. Terdapat unsur lucu dibawa melalui sifat watak-watak geli lucu, gelihati seterusnya membawa rasa gembira dan terhibur.

Hampir keseluruhan cerita jenaka menggambarkan kebodohan watak utama. Sifat bodoh akibat daripada membuat sesuatu tafsiran yang salah menyebabkan watak jenaka itu melakukan aksi-aksi yang menimbulkan kelucuan.

Selain watak bodoh, terdapat juga watak pintar dan watak yang selalu mengalami nasib malang. Terdapat lima watak jenaka Melayu yang terkenal iaitu Pak Pandir, Pak Kaduk, Pak Belalang, Si Luncai dan Lebai Malang. Watak asli jenaka Melayu ialah Pak Pandir, Pak Kaduk, dan Lebai Malang. Selainnya adalah pinjaman dari luar sama ada dari India mahupun Arab-Parsi seperti Pak Belalang, Si Luncai, Mat Jenin, Abu Nawas, dan Awang Kenit.

Jenis-Jenis Cerita Jenaka

Umumnya cerita jenaka terbahagi kepada dua jenis:

i. Cerita Jenaka Tempatan
Iaitu cerita jenaka yang lebih berorientasikan soal-soal yang berkaitan dengan isu tempatan dari segi watak, latar, persoalan dan sebagainya.
Contoh:
Cerita Pak Pandir, Cerita Lebai Malang, Cerita Pak Kaduk, Cerita Pak Belalang dan Cerita Si Luncai.

ii. Cerita Jenaka Pengaruh Asing / Luar:
Iaitu cerita yang mendapat pengaruh terutama Hindu dan Islam (Arab Parsi) kerana masyarakat Melayu pernah menerima pengaruh-pengaruh tersebut.
Contoh:
Cerita Mat Jenin ( Hindu ), Cerita Abu Nawas dan Cerita Musang Berjanggut (Islam )

Ciri-ciri Cerita Jenaka
Dari segi watak dan perwatakan. Cerita Jenaka berkisar pada watak dalam kalangan rakyat bawahan yang lucu. Nama watak melambangkan sifat-sifat watak berkenaan, contohnya : watak Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Si Luncai dan Pak Belalang.

Kelucuan cerita jenaka dilahirkan dari sifat dan tindakan yang dilakukan oleh watak itu sendiri.

Sifat terlalu bodoh hingga mendatangkan bencana melakukan kesilapan kerana kebodohan tetapi melucukan. Contohnya cerita Lebai Malang, unsur lucu timbul daripada sifat bodoh-sialnya. Beliau tidak dapat memilih tempat majlis kenduri yang lahir daripada sifat tamak dan haloba. Kelucuan bertambah apabila lempengnya digonggong oleh anjing.

Sifat terlalu pintar dan bijaksana. Tindakan watak itu tidak dapat kita jangkakan, mungkin secara sengaja tetapi amat melucukan. Contoh Si Luncai berjaya menipu saudagar Keling dengan mengatakan ia dimasukkan ke dalam guni sebab enggan berkahwin dengan puteri raja. Akhirnya saudagar itu mengambil tempatnya di dalam guni.

Sifat-sifat watak lucu dalam cerita dibahagikaan kepada tiga golongan iaitu :
(i) Watak bodoh-sial ( Cerita Lebai Malang dan Pak Kaduk)
(ii) Watak pintar-bodoh (Cerita Pak Pandir)
(iii) Watak pintar (Cerita Pak Belalang dan Si Luncai)

Dari aspek latar. Latar dalam Cerita Jenaka berlaku di alam nyata, dalam kalangan masyarakat manusia biasa, suasana masyarakat tani atau nelayan dan tidak bercampur dengan alam fantasi.

Dari segi plot cerita. Plot cerita jenaka bersifat sederhana, mudah, lurus, kronologi dan tidak berbelit-belit. Cerita atau peristiwa lebih tertumpu kepada watak utama sahaja. Dalam satu-satu cerita jenaka terdapat episod-episod kecil dan berasingan tetapi dapat berdiri sendiri sebagai sebuah cerita. Jalinan plotnya dimasukkan unsur-unsur ketegangan / konflik, klimaks serta penyelesaian cerita berakhir dengan ‘happy-ending’ atau ‘tragic-ending’.

Dari segi fungsi, Cerita Jenaka berfungsi sebagai hiburan dan sebagai alat kritikan sosial

Contoh Cerita Jenaka Melayu :

Bodoh-Sial (Pak Kadok)

Pak Kaduk menukar ayamnya Biring Si Kunani dengan ayam raja kerana mempercayai kata-kata raja. “Ayamnya” kalah dan ayam yang diberi kepada raja menang. Hasilnya, Pak Kaduk menang sorak tetapi kampungnya tergadai. Pak Kaduk pulang bertelangang bulat kerana baju kertasnya koyak akibat terlalu gembira sebab disangka ayamnya menang. Pak Kaduk terlalu tamak. Ia memilih jemputan yang disediakan dengan dua ekor lembu, tetapi terlambat sampai kerana terpaksa melawan arus. Setibanya dirumah, isterinya menyindir, dipukulnya sampai mati. Dalam pelayaran ke rumah kawan, dia memasang layar perahu, tetapi angina berhenti meniup. Pak Kaduk membiarkan perahu hanyut sahaja. Dalam cerita Pak Kadok, segala segi kebodohannya diringkaskan dalam gurindam:—

“Adohai Malang Pak Kadok
Ayamnya menang, kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran.
Mudek menungkah surut
Hilir menungkah pasang.
Ada isteri dibunuh
Nyaris mati oleh tak makan.
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandung duduk.”
(Lihat m.s. II. Cerita jenaka oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock)


Bodoh-sial (Lebai Malang)

Lebai Malang tidak dapat membuat keputusan yang betul bila beliau dijemput menghadiri kenduri orang mati, khatam Quran dan kenduri Maulud. Dia terlewat sampai untuk dua kenduri. Pada kenduri ketiga dia diberi lempeng untuk bekalan pulang. Dalam perjalanan pulang dia teringatkan nira kabungnya. Ditinggalkan bungkus lempeng di bawah pokok dan terus memanjat sigai. Lempeng dibawa lari oleh anjing. Semasa kejar mengejar dengan anjing, bajunya habis hilang dan dia pulang berbogel ke rumah. Dalam kisah Lebai Malang, perkara-perkara malang yang berlaku pun menimbulkan unsur kelucuannya. Kejenakaan mengenai Lebai Malang digambarkan dalam gurindam:—
“Ayohai nasib fakir miskin
Dapat sedekah sebungkus lempeng
Habis hilang baju dan kain
Penganan habis dibaham anjing
Penat bekerja tidak terkira
Ke sana ke mari tersera-sera
Punah golok bersama nira
Pulang ke rumah mendapat mara.”
(Lihat m.s. 58 Cerita jenaka oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock.)


Pintar-bodoh (Pak Pandir)

Kecerdikan Pak Pandir :
Ia dapat membunuh gergasi laki bini dengan menipu gergasi supaya mereka menyeberang sungai di dalam tempayan. Tempayan itu tenggelam dibawa arus. Pak Pandir yang inginkan kuih menipu Mak Andeh mengatakan ia hendak belayar. Mak Andeh menyediakan kuih dan Pak pander menghabiskan kuih itu di atas para rumah sahaja.

Kebodohan Pak Pandir
Mak Andeh menyuruhnya memancing menggunakan belalang rusa, dia menggunakan rusa yang sebenar, masakan mendapat ikan. Pak Pandir memandikan anaknya dengan air panas betul kerana Mak Andeh memesan memandikan anak itu dengan air suam kuku. Pak Pandir tidak dapat mengenal mayat anaknya yang terjatuh. Mayat itu dikatakan mayat anak orang lain.

Watak Pintar (Pak Belalang)

Pak Belalang dijadikan ahli nujum Negara. Pak Belalang boleh meneka jantina dua ekor itik setelah mengetahui rahsia daripada nahkoda kapal bahawa yang menyelam dulu itulah itik betina. Pak Belalang boleh meneka belalang di dalam genggaman raja secara kebetulan sahaja.

Watak Pintar (Si Luncai)

Si Luncai berjaya melekakan pesuruh-pesuruh raja yang diberi tugas untuk membunuhnya. Sedang mereka asyik menyanyi ia terjun ke dalam sungai dan berenang melepaskan dirinya. Si Luncai berjaya menipu raja setelah memakai pakaian saudagar Keling. Raja amat hairan. Si Luncai mengatakan dia baharu sahaja pulang dari akhiraty dan datuk nenek raja memberi pesan menyuruh raja datang ke sana. Raja terpedaya dan masuk ke dalam sebuah peti kaca yang dihulur ke dalam lubang. Bila raja mangkat, Si Luncai berkahwin dengan tuan puteri dan menduduki takhta kerajaan.




Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur pengaruh asing

Sebahagian besar dari cerita-cerita  jenaka yang bersifat Melayu asli, oleh orang-orang yang bukan Melayu dicari-carikannya persamaan-persamaan yang terdapat antara cerita-cerita ini dengan cerita-cerita dari bangsa-bangsa yang telah mempengaruhi alam Melayu saperti India, Arab dan Parsi. Winstedt berpendapat, bahawa ada persamaan antara cara, matinya Pak Belalang, Pak Pandir dan Si Luncai dengan bahagian-bahagian cerita dalam kitab-kitab tua Hindu saperti Kasa Sarit Sagara, Hitopa Desa dan Pancatantra. 

Adanya pengaruh bangsa-bangsa lain di alam Melayu tidak dapat dinafikan, tetapi kemungkinannya besar bahawa persamaan ini ialah secara kebetulan saja. Dengan adanya suasana dan gambaran masyarakat Melayu, lebih-lebih pula yang telah menjadi sebati dengan jiwa Melayu, cerita-cerita ini telah menjadi milik kita.

Cerita-cerita  jenaka yang lain yang tidak kurang digemari oleh masyarakat Melayu lama ialah cerita Mat Jenin, Musang Berjanggut dan Abu Nawas. Mat Jenin mengesahkan orang yang berangan-angan di atas pohon kelapa hendak membanyakkan hasil upahannya hingga hendak berkahwin dengan puteri raja dan akhirnya terjerumus jatuh dari pohon itu. Corak cerita Mat Jenin serupa dengan cerita dalam Pancatantra dan juga hikayat 1001 malam. Dalam Hikayat Kalilah dan Daminah (terjemahan Abdullah Munsyi 1835) terdapat cerita tentang angan-angan seorang Brahman dengan takar tepungnya, hingga akhirnya takar itu jatuh dan tepungnya terbuang. Tetapi cerita Mat Jenin dengan pokok kelapa, adalah sesuai dengan alam Melayu dan diterima oleh masyarakat Melayu.

Cerita Musang Berjanggut berasal dari Parsi, dianggap sebagai cerita Jenaka yang tinggi mutunya dan lebih menggelikan hati. Cerita ini mencampur-adukkan unsur-unsur kepintaran, kebodohan dan tipu helah untuk melepaskan diri. Cerita ini juga mengagungkan kaum wanita yang dengan kepintarannya dapat menewaskan beberapa orang lain. Jika diteliti ceritanya, timbullah kiasan dan tamparan hebat kapada kaum atasan dan pembesar-pembesar negeri supaya jangan melakukan sesuatu sewenang-wenangnya.
Cerita Abu Nawas berasal dari Parsi dan amat dikenal di kalangan masyarakat Melayu. Yang menjadi unsur hiburan dan gelak ketawa bukanlah hanya kepintaran Abu Nawas sahaja, tetapi ialah juga perbuatan dan tingkahlakunya, yang akhirnya dapat membodohkan sesiapa sahaja yang mengemukakan masaalah atau menguji kepintarannya. Antara cerita-cerita mengenai dia yang termasyhur, ialah Abu Nawas Membilang Bintang Di Langit, Abu Nawas Mencari Lembu Pandai Berkata-kata, Abu Nawas Mengangkat Masjid dan Menunjuk Pusat Bumi. Kononnya Abu Nawas benar-benar hidup di kota Baghdad dalam zaman gemilang kerajaan Parsi.


 Fungsi Cerita Jenaka

i. Fungsi utama cerita jenaka ialah memberi hiburan. Hal ini bermakna perkataan jenaka membawa maksud/makna lucu dan turut membawa kesan menghiburkan kepada pembaca/pendengar. Unsur hiburan yang terdapat dalam cerita jenaka jelas dilihat pada sifat lucu yang dimiliki oleh watak-watak dan daripada peristiwa lucu yang terjadi pada watak utama. Cerita Jenaka berupaya memberi ketenangan fikiran dan merehatkan. Unsur lucu pada sifat watak dan peristiwa lucu pada watak utama membawa kesan menggelihati dan gembira.
Contoh : Gambaran fizikal watak dapat dilihat pada Si Luncai “ Perutnya besar, punggungnya tonggek dan apabila berjalan menjemur dada”. Gambaran sifat-sifat watak yang melucukan. Contohnya, Pak Pandir membawa balik seekor kambing jantan kerana disuruh memanggil lebai untuk majlis kenduri

Kelucuan yang ditunjukkan dalam cerita Si Luncai. Dalam cerita ini, terdapat banyak sifat lucu dan peristiwa yang menghiburkan dan mengembirakan hati para pendengar. Sifat lucu ini jelas pada watak Si Luncai yang digambarkan mempunyai sifat yang melucukan iaitu seorang yang mempunyai paras fizikal yang pendek, gemuk, perut buncit, memakai kasut besar dan memakai serban besar di kepala. Cara pemakaiannya ini turut menimbulkan kelucuan dalam cerita jenaka tersebut.

ii. Cerita Jenaka berfungsi sebagai pengajaran. Cerita jenaka biasanya mempunyai pengajaran tertentu kerana sifat/peristiwa yang diberikan pada watak utama. Unsur pengajaran yang terdapat dalam cerita jenaka merupakan pengajaran yang boleh digunakan dalam kehidupan manusia.

Contohnya dalam cerita Pak Kaduk. Dalam cerita tersebut pengajarannya dapat dilihat pada watak Pak Kaduk iaitu jangan berjudi kerana berjudi akan menyebabkan kita menjadi papa kedana. Sifat suka berjudi ini menyebabkan Pak Kaduk telah kehilangan harta bendanya. Pak Kaduk bukan sahaja kehilangan harta benda tetapi turut mendapat malu kerana semasa dia melompat keseronakkan kerana menyangka ayamnya telah menang dalam pertandingan menyabung ayam sehinggakan baju kertas yang dipakainya telah koyak.

Seorang yang bodoh dan lurus selalu ditipu oleh orang lain. Contoh : Pak Kaduk diajak bertukar ayam dengan raja

Jangan terlalu percaya kepada nujum kerana sebahagian merekahanya tipu helah sahaja. Contoh, Pak Belalang menunjukkan kerbau yang hilang kepada orang kampung

Jangan terlalu mengikut hati yang marah kerana akhirnya kita juga yang menyesal. Contohnya, Pak Kaduk yang marah isterinya menyindir, memukul isterinya hingga mati
Jangan terlalu tamak . Contohnya Pak Kaduk dan Lebai Malang yang menghadiri kenduri.

iii. Sebagai sindiran/kritikan. Pada umumnya, cerita-cerita ini berfungsi sebagai alat kritik sosial kepada masyarakat. Sifat negatif seperti bodoh, tamak, mementingkan diri sendiri, menipu untuk melepaskan diri dan sebagainya dikritik menerusi cerita-cerita ini. Selain mengkritik tingkah laku yang buruk, institusi tertentu seperti institusi keagamaan (lebai) dan pemerintah (raja, pembesar, hakim, dan penghulu) turut menjadi sasaran kritikan atas penyelewengan yang dilakukan.

Jelas membawa masej kritikan yang ditujukan kepada golongan tertentu seperti golongan raja yang mempunyai kedudukan dan status yang tinggi dalam masyarakat Melayu. Kritikan ini ditujukan kepada golongan yang tidak adil dengan golongan miskin dan lebih mementingkan diri sendiri. Golongan raja yang menindas rakyat jelata dengan mengenakan kekerasan digambarkan sebagai kritikan kepada golongan atasan.

Contohnya jelas dalam cerita Pak Kaduk. Dalam cerita ini kritikan ditujukan kepada golongan atasan yang menindas golongan bawahan dengan menggunakan kekuasaan yang dimilikinya. Raja yang sememangnya mengetahui ayam Pak Kaduk lebih handal daripada ayamnya telah mengajak Pak Kaduk supaya menukarkan ayamnya. Raja juga telah merampas tanah Pak Kaduk setelah Pak Kaduk kalah dalam pertandingan menyabung ayam tersebut. Hal ini menunjukkan sifat raja yang zalim dan tamak serta sanggup melakukan kekejaman untuk menjaga status dan kedudukannya yang tinggi.

Mengkritik golongan lebai (golongan agama) yang tamak sehingga tidak tetap pendiriannya akan mengalami kerugian dan kemalangan nasib pada diri sendiri. Contohnya, cerita Lebai Malang, yang menerima jemputan di tiga tempat, kenduri kematian, kenduri khatam Quran dan kenduri maulud. Akhirnya ketiga-tiga kenduri itu tidak dapat dihadirinya.

Mengkritik golongan manusia yang hidup hanya bergantung kepada kemujuran nasib secara kebetulan semata-mata yang tanpa kebijaksanaan akal fikiran dan ilmu pengetahuan, tidak dapat mengekalkan kemewahan hidup. Dalam cerita Pak Belalang, dia terpaksa membakar rumahnya sendiri, sebagai alas an kepada raja yang alat-alat tilikan dan nujumnya telah musnah.

Mengkritik golongan manusia yang suka melakukan kerja-kerja membuang masa, melalaikan dengan kegembiraan yang merugikan itu akan membawa keruntuhan moral. Pak Kaduk hidup berjudi, menyabung ayam, akhirnya menang sorak, kampungnya tergadai.

Mengkritik golongan raja/ pemerintahan yang sanggup mengambil kesempatan untuk menipu orang bawahannya. Dalam cerita Pak Kaduk, raja telah menukarkan ayamnya dengan ayam Pak Kaduk yang lebih kuat.

Mengkritik golongan raja yang tertipu oleh golongan bawahan seperti dalam kisah Si Luncai sehinga raja terpedayaan dan akhirnya Si Luncai berjaya berkahwin dengan puteri raja.

iv. Cerita Jenaka Sebagai Gambaran masyarakat. Cerita jenaka memaparkan gambaran kehidupan masyarakat zaman dahulu. Masyarakat yang digambarkan adalah masyarakat yang mempunyai sifat bodoh-sial, pintar-bodoh dan pintar.

Contohnya jelas dalam cerita Pak Pandir yang dapat dikategorikan sebagai sebuah cerita pintar-bodoh. Hal ini kerana, kepintaran Pandir terserlah apabila berjaya menipu Mak Andih apabila dia terlalu ingin makan penganan dengan menyatakan bahawa dia hendak pergi berlayar. Mak Andeh telah menyediakan kuih untuk Pak Pandir sebagai bekalan. Namun, kebodohan Pak Pandir pula terserlah apabila dia menyorok di atas para bagi mengelakkan diri dari penipuannya diketahui oleh isterinya, Mak Andeh.


Kejenakaan Pak Pandir

CERITA ini ialah cerita dua orang suami isteri iaitu Pak Pandir dan Mak Andih. Jadi, suatu hari itu, mereka hendak bekerjalah hendak membuat ladang bertanam padi. Jadi, kalau begitu dia hendak mencari kerbau. Hendak membeli kerbau, disuruhnya Pak Pandir membeli kerbau untuk mem-bajak tanah. Pak Pandir ini orang yang bodoh-bodoh tetapi ada kalanya bijak juga. Bijaknya bijak bodohlah. Jadi, kata dia, "Macam mana rupa kerbau itu?" Dia tidak tahu.

Datang kata Mak Andih ini, "Mana yang makan rumput itu nanti, itu kerbaulah," katanya. Jadi, Pak Pandir pergi mencari kerbau. Dia pergi, pergi ditengoknya seorang petani tengah menajak, merumput di sawah padi itulah. Zaman dahulu tidak ada tajak. Di sawah padi itu ada satu alat namanya keri. Alat itu gunanya untuk memotong rumpudah. Menajak rumput pada pangkal-pang-kal padi itu. Jadi, Pak Pandir ini datang kepada petani itu. Katanya, "Hai, saudara!" katanya. "Ini hendak jual ke apa ini, kerbau ini?"
"Ah?" kata petani itu. "Ini bukannya kerbau!" katanya. "Ini keri buat memotong rumput," katanya.
"Ah! Yalah! Asalkan makan rumput bolehlah. Tidak kiralah apa-apa," katanya.

Jadi, petani itu bersetuju untuk menjual keri tersebut. Apabila petani bersetuju hendak menjual, dibelinyalah. Jadi, dibelinya keri tersebut. Sambil itu, Pak Pandir teringat pesan Mak Andih tadi, "Bila kerbau itu hendak dibawa balik ikat dengan tali."

Jadi, tali yang dibawanya itu diikatnyalah keri itu tadi. Jadi, keri ini macam tajak yang kecil itulah. Jadi, sudah di-ikatnya keri itu tadi lalu diseretnyalah. Jadi, bila diseretnya keri ini memantul-mantullah. Ia memantul pada tanah dan kadangkala terkena kakinya, kena tumitnya menyebabkan luka. Dalam pada berjalan itu dia pun bersungutlah, "Celaka, kerbau ini!" katanya. "Kaki aku pulak ditanduknya. Tengok, sudah berdarah-darah ini," kata Pak Pandir.

Jadi, dibawanya balik 'kerbau' itu balik ke rumah. Bawa balik, bawa balik sampailah dekat pokok mempelam ditambatnyalah keri itu tadi. Jadi, Pak Pandir pun balik lalu masuk ke rumah. Sampai di rumah dia pergi berjumpa Mak Andih. Kata Mak Andih, "Mana dia kerbau? Sudah dapat?"
"Dapat sudah."
"Mana dia?"
"Aku tambat dekat pokok mempelam," kata Pak Pandir. Jadi, apabila ditengok-tengok oleh Mak Andih dia pun terperanjat lalu marah. "Ini bukannya kerbau!" "Bukan kerbau?" kata Pak Pandir. "Ah! Ini keri!" kata Mak Andih.
"Ah! Aku tidak tahulah. Engkau kata yang makan rum-put," katanya. "Benda ini makan rumput juga." Kemudian keri itu ditukarkan semula dengan kerbau oleh Pak Pandir.

Selain seorang yang bodoh, Pak Pandir ini juga memang seorang pemalas. Dia tidak suka pergi ke ladang. Jadi, Pak Pandir dengan Mak Andih ini ada seorang anak kecil. Umur anak mereka ini dalam dua tiga bulanlah. Suatu hari, Mak Andih bercadang hendak pergi ke ladang. Jadi, Pak Pandir disuruhnya menunggu rumah. Dia pesan dengan Pak Pandir, "Pak Pandir! Pak Pandir! Aku hendak ke ladang ini. Budak itu nanti, anak kita, kalau bangun dari tidur, engkau mandi-kan," katanya. "Tetapi, dimandikan biar mandi air panas. Air suam-suamlah. Air panas itu masuk campur dengan air sejuk. Mandikan dia budak ini air panas." Kata Pak Pandir, "Yalah!"

Jadi, Mak Andih pergilah ke ladang. Pergi, pergi, Pak Pandir ini teringatkan budak ini disuruh mandi dengan air panas saja. Jadi, dimasukkannya anaknya dalam besen itu. Dibuat sudah dan dimasaknya air panas dan dijirusnyalah. Jadi, budak ini kena air panas, mati. Jadi, Pak Pandir ini tidak tahulah budak itu sudah mati. Budak ini ditengoknya, budak ini tersengeh.
"Tertawa anak kita ini, mandi air panas," katanya.

Jadi, rupanya dalam pada dia tengok-tengok itu Mak Andih pun balik. Balik-balik, ditengok Mak Andih anaknya itu terjeringai sahaja. Ertinya macam tersengeh sahajalah. Rupa-rupanya anaknya itu sudah mati. Sudah mati habislah ceritanya.
Kata Mak Andih, "Sudah mati apa hendak buat? Pergilah tanam."

Jadi, Pak Pandir pergilah membawa cangkul satu. Jadi, sudah dikapankanlah budak kecil ini tadi. Tidak ada apa yang dipakai, dibungkusnya budak ini dengan tikar sahaja. Habis dipikulnya dan dengan tajak satu. Dalam pada dia berjalan-jalan ini, budak dalam tikar ini tidak disedarinya terjatuh. Jadi, tikar itu dipikulnya juga dengan cangkul. Habis, sampai sahaja ke kubur digalinya kubur itu dimasukkannya tikar sahaja. Kata Pak Pandir, "Anak kita sudah masuk sekali dengan tikar-tikar sekali."
Pak Pandir pun balik. Bila hendak balik, tengah jalan di-jumpanyalah satu budak mati tengah jalan.

Jadi, dia pun berfikir dalam hatinya, "Bukanlah-anak aku sahaja yang mati," katanya. "Anak orang lain pun ada juga yang mati. Tidak apalah," katanya. "Bukan anak aku seorang sahaja, anak orang lain pun mati juga," kata Pak Pandir.
Dia pun balik. Balik, balik, Pak Pandir cerita dengan Mak Andih. Kata Mak Andih, "Sudah tanam?"
Katanya, "Sudah! Tapi tidak usahlah Mak Andih susah hati," katanya. "Kita, dalam dunia ini bukan anak kita sahaja yang mati. Aku tadi jalan balik, tengah jalan itu aku jumpa anak orang ada juga yang mati," katanya.

Jadi, kalau begitu dia baliklah. Mak Andih ini pun pergi hendak menengok kubur anaknya. Ditengoknya tengah jalan itu anak dia yang dibawanya tadi oleh Pak Pandir tercicir jatuh di tengah jalan. Jadi, diambilnya dan ditanamnyalah semula. Itu satu lagi kisah Pak Pandir.

Tersebutlah balik kisah Pak Pandir ini tadi. Apabila anaknya yang sudah mati itu sudah sampai hari; dahulu ada yang tiga hari kenduri, tujuh hari kenduri, empat belas hari kenduri. Jadi, Mak Andih ini teringatlah, "Ini sudah tiga hari anak aku mati ini. Hendak buat kendurilah."

Jadi, hendak kenduri dia pun siaplah memasak-masak, apa semua gulai. Kalau begitu disuruhnya Pak Pandir, "Eh! Nanti engkau pergi jemput orang. Pukul 4.00, lepas sembahyang asar narrti kita kenduri. Jadi, engkau panggil Pak Biial, engkau panggil Pak Imam, engkau panggil Tuk Siak, apa semualah."
"Jadi, yang mana satu Pak Imam ini?" kata Pak Pandir.
"Pak Imam itu nanti, bila ada yang berjanggut saja panjang itu," katanya, "Itu Pak Imamlah. Mana yang songkoknya putih itu nanti," katanya, "Itu Pak Bilallah. Engkau panggillah nanti," katanya. "Lain-lain orang pun panggillah." Jadi, dia pergilah hendak menjemput orang.

Pergi, pergi, pergi dia tidak tahu mana rumah Pak Imam. Tidak tahu mana rumah Pak Bilal. Dia ingat, asalkan yang janggut panjang itu nanti Pak Imamlah. Asalkan yang putih sahaja kepala songkok itu, songkok putih, songkok ketayap itu, bilallah katanya. Jadi berjalan, berjalan, ditengoknya bu-rung pipit, pipit uban. Pipit uban ini masa itu, bulu kepala-nya itu putih. Pipit ini ada dua tiga macam. Pipit uban ada, pipit pinang ada, pipit genting ada, pipit tuli ada. Jadi, pipit uban ini kepalanya putih. Jadi, kalau begitu dipanggil-pang-gilnya tetapi tidak mahu datang, dikejarnya. Dikejarnya di-dapatnya satu ekor burung pipit ini tadi. Dibawanya balik.
"Ini bilallah ini," katanya, "Yang bersongkok putih ini." Lepas itu nanti hendak mencari Pak Imam pula.

Pergi, pergi, cari, carinya, ternampaklah kambing jantan yang berjanggut panjang. Jadi, dikatanya ini, "Aaa! Ini Pak Imamlah, ini berjanggut ni."
Jadi, apabila sampai sana, dikejarnyalah kambing itu di-tangkapnya, dibawanya baliklah. Jadi, kambing ini pun dibawanyalah balik. Dalam pada balik berbunyilah, "Bek! Bek! Bek!"
"Ah! Engkau jangan buat pembohonglah," katanya. "Nasi aku tiada lembik," kata Pak Pandir. Habis pipit ini pun ber-bunyi, "Pit! Pit! Pit!"
"Ah! Rumah aku tiada sempit," katanya. "Engkau buat pembohong sahaja, Pak Bilal." Dibawanya balik.
Sampai di rumah, kata Mak Andih, "Dapat? Mana Pak Imam? Ini tadi semua datang? Ada Pak Bilal?"
"Ada sudah ini. Semua dibawa balik," kata Pak Pandir. Jadi, dibawanya. Ditengoknya oleh Mak Andih burung pipit dengan kambing, sudahlah tidak jadilah kenduri itu.

Suatu hari, Pak Pandir dengan Mak Andih ini ada di rumah dan hari pula hujanlah. Jadi, hujan dia tidaklah boleh turun ke ladang apa semua. Jadi, dia duduklah di atas rumah itu. Jadi, apabila duduk di atas rumah, kata Pak Pandir, "Aku ini lapar sangat Mak Andih," katanya. "Baiklah engkau," katanya, "Apa yang hendak dimasak, masaklah. Ada apa-apa pun masaklah. Biar aku makan hujan-hujan ini."
Jadi, kata Mak Andih, "Yalah! Nantilah! Ada pisang muda dekat dapur itu biarlah aku bakarkan," kata Mak Andih.

Jadi, dalam pada dia mengupas kulit pisang semua itu Pak Pandir berkata, "Ai! Lama benar! Perut aku sudah laparlah. Lekas! Lekaslah sikit! Memasak itu kalau apa-apa pun hendak dimasak, masaklah lekas! Kalau pisang, pisanglah." katanya.
Lama-lama Mak Andih ini panas hatinya. Ditengoknya Pak Pandir ini sudah hendak makan sangat, tidak sabar hen¬dak makan. Diambilnya pisang muda yang dikupas itu tadi dilumurkannyalah pada punggung kuali. Jadi, hitam sahajalah. Jadi, sudah hitam apa semua diangkat dibawanyalah pada Pak Pandir. Jadi, Pak Pandir ini makan, makan, "Ai! Picang ni," katanya, "Angus ada tapi macak idak," katanya. "Angus ada macak idak," katanya.

Dia ini pelat. Maknanya belum masak lagi pisang itu, muda lagi. Jadi, hitam pada arang buntut kuali itu sahaja. Jadi, itulah ceritanya orang sudah gelojoh hendak makan sangat. Jadi, Mak Andih ini disapukannyalah pisang itu pada buntut kuali. Jadi, itulah ceritanya.

Kemudian, suatu hari itu, pagi itu, Mak Andih sudah masak nasilah. Habis sudah masak nasi, habis dia kata lauk tidak ada. Habis, dicakapkannya dengan Pak Pandir.
"Pak Pandir! Pak Pandir!" katanya. "Engkau ambillah taut bawah rumah itu. Engkau pasanglah dekat sungai itu. Mana tahu dapat ikan nanti, bolehlah kita bawa baliklah. Boleh kita makan sama."
Jadi, Pak Pandir ini kata, "Yalah! Habis, umpan tidak ada. Apa hendak diumpankan ini?"
Datang kata Mak Andih, "Engkau ambillah, cari beialang rusa itu," katanya, "Buat umpan!"
Jadi, kata Pak Pandir, "Yalah!"
Jadi, taut ini sejenis kail yang gunanya hendak menang-kap ikan ini tadi.
Jadi, dibawanyalah taut itu. Dibawa, dibawanya, dicari-nyalah beialang rusa. Beialang rusa itu tidak ada didapatnya. Lama dia berjalan, berjalan, berjalan dijumpanya rusa. "Ah! Ini pun dia rusa," katanya. Kalau begitu rusa itu tengah tidur. Dicangkuknyalah rusa itu pada mata taut tadi. Dicacakkan-nyalah ke sungai. Ah! Lepas itu dia pun baliklah. Balik sekejap lagi lebih kurang dalam dua tiga jam dia pun hendak pergilah hendak menengok tautnya itu balik, sama ada sudah mengena atau tidak. Habis, dia pun pergi, ditengoknya rusa itu sahaja yang ada. Habis dia balik ke rumah jumpa Mak Andih.
"Macam mana Mak Andih?" katanya. "Tidak ada di-makan ikan," kata Pak Pandir. "Umpan kita itu ada juga."
"Apa engkau umpankan?" kata Mak Andih.
"Aku umpan rusa. Aku dapat dekat hutan tadi. Aku cangkukkan."
"Ah! Kalau begitu, rusa, marilah kita tengok," katanya.
Jadi, pergilah Pak Pandir dengan Mak Andih ini.
"Ah! Ini?" katanya. "Rusa betul ini," kata Mak Andih. "Jadi, kalau begitu," kata Mak Andih. Rusa ini sahajalah kita sembelih buat lauk. Tidak payahlah kita mencari ikan lagi," kata Mak Andih. Itu sahajalah ceritanya.

Suatu masa orang kampung pergi menebang untuk membuat kebun. Pak Pandir pun turut sama pergi menebang. Asaikan pagi dia membawa bekal nasi, asal pagi membawa bekal nasi dibuat oleh bininya untuk pergi menebang.
"Ah! Yalah," katanya. "Bawa! Bawa bekallah!" kata Pak Pandir.
Bawa bekal pergi menebang. Jadi, bukan dia menebang cuma dia duduk dalam hutan itu termenung sahaja. Petang orang balik dia balik, orang pergi dia pergi. Pergi membawa bungkus nasi tapi orang menebang dia tidak menebang.
Sampailah masa menuai. Jadi, kata Mak Andih, "Sudah siap dah ladang?"
"Sudah! Besok bolehlah kita menuai," kata dia. Tapi, dia cakapnya sahaja.
Jadi, satu hari itu, Pak Pandir dibawanya sekeping kerak nasi itu. Kerak ini tadi dibawa, dibawanya ke dalam hutan tadi digantungnya atas pokok. Ah! Pak Pandir duduk di bawah pokok itu tadi. Jadi, apabila petang, orang hendak balik, orang yang tadi pergi menebang hutan pun lalu. Mereka pun bertanya, "Apa engkau buat, Pak Pandir?"
"Alah! Duduk-duduklah," kata dia. "Badan sudah letih," kata dia.
"Aaa! Itu apa pulak dekat atas pokok itu?" "Ah, kerak nasi!" kata dia.
"Ah! engkau Pak Pandir! Engkau ini buat pembohong sahaja," kata orang tadi. "Ada pulak kerak nasi berkilat-kilat begini?" katanya. Kata orang itu, "Lebah!"
Kata Pak Pandir, "Tidak! Rak acik!" Dia mengata kerak nasi itu "rak acik" sebab dia pelat. Kata dia, "Rak acik!"
Kata orang itu, "Eee! Eh! Lebah!" "Rak acik apa? Asal betul-betul kerak nasi, aku bertaruh, aku bertaruh ladang pun aku jadi," kata orang itu. "Kalau ladang, kalau betul kerak nasi ambillah, ambillah ladang aku itu. Tapi, kalau sarang lebah, betul lebah, engkau aku kerjakan," kata dia. "Aku hambakan engkau," kata orang itu lagi. "Ah, yalah!" kata Pak Pandir.

Ditengok, dipanjatlah ditengok. Ditengok, betullah kerak nasi. Dapatlah Pak Pandir ladang orang itu. Ah! Balik tadi itulah bukan main sukalah Mak Andih. Mak Andih menyang-kakan dia, betullah Pak Pandir berladang. Pada hal, dia main nasib-nasib, main nasib-nasiblah itu. Mengakalkan orang. Mengakalkan orang! Bukan sengaja hendak mengakalkan orang pun tidak. Memang sengaja digantung kerak nasi.

Kemudian, tidak lama selepas itu, Mak Andih ini sudahlah marahkan Pak Pandir. Dia tidak ada kerja. Dia asyik duduk di rumah. Hendak makan tidur, makan tidur sahaja. Kalau begitu, bila dimarah-marah oleh Mak Andih ini, dia terfikir di hatinya. "Kalau macam ini," katanya, "Baiklah aku buat satu helahlah."
Kata Pak Pandir kepada Mak Andih, "Engkau gaduh-kan aku tidak bekerja. Baiklah! Aku ini hendak pergi belayar. Hendak belayar seminggu. Hendak kerja. Hendak cari duit. Jadi, engkau siapkan aku bekal; bekal kuih-kuih ke, nasi apa semua selama seminggu. Jadi, biar aku pergi belayar," kata Pak Pandir.

Jadi, Mak Andih ini siapkanlah nasi, lauk semua, ketupat, apa yang ada, kuih bekalan dalam seminggu. Jadi, sudah siap bungkus apa semua, Mak Andih pun pergi turun ke bawah. Turun ke bawah hendak pergi menengok-nengok kebunnya-lah. Jadi, Pak Pandir ini naik atas para, tidak ada pergi bela¬yar. Orang zaman dulu, ada rumah pakai para. Di atas rumah itu, ada satu lantai lagi, ada para tempat simpan barang. Jadi, Pak Pandir tidak pergi belayar, dia naik atas para itu.

Jadi, dalam pada seminggu ini Pak Pandir duduk atas para itu makan sahaja. Makan, makan, berak pun tidak, ken-cing pun tidak. Jadi, hendak berak diambilnya gabus, disum batnya duburnya tadi. Dia duduk di atas para itu.
Jadi, apabila sudah sampai seminggu, Mak Andih ini pun berkata, "Ah! Hari ini sudah sampai seminggu. Aah! Pak Pandir ini hendak balik dari belayar ini," katanya. "Baiklah aku berkemas-kemas."
Jadi, disapunyalah lantai, sawang-sawang apa semua dekat para itu, bawah para. Ditengokkannya, "Ada gabus pulak," katanya. "Ini apa pulak gabus ini pada para ini?" katanya. Jadi, dia hendak membersihkan para itu. Dicabutnyalah gabus itu oleh Mak Andih. Jadi, Pak Pandir pun terberaklah. Jadi, kenalah muka Mak Andih.


Sumber: Disesuaikan daripada penceritaan Haji Talib Bulat dan Haji Abdul Manan Puteh, 1995. Teluk Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

Comments

  1. ble tahu sumber rujukan berkaitan kritikan sosial cerita jenaka?

    ReplyDelete

Post a Comment