bas mini

Nostalgia bas mini ‘raja Jalan Raya’



BEBERAPA buah bas mini melalui Dataran Merdeka dan bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada Julai 1993.

SAHIDAN JAAFAR
22 September 2019 3:00 AM


BAS mini yang memulakan perkhidmatannya di Lembah Kelang sejak 1974 menjadi nadi kehidupan warga kota yang menggunakan perkhidmatan itu berdasarkan faktor antaranya tambangnya yang termurah, cepat dan melalui semua destinasi penting di Kuala Lumpur. Bagi dewasa tambang dikenakan cuma antara 30 sen hingga 50 sen manakala pelajar cuma 20 sen untuk satu destinasi laluan. Bagi rakyat bawahan dan golongan berpendapatan rendah bas mini suatu rahmat yang tidak ternilai yang boleh membawa mereka berjalan-jalan serata ibu kota.

Menurut Utusan Malaysia dalam laporan khas Selamat Tinggal Bas Mini yang disiarkan pada 30 Disember 1996, pada era 1980-an terdapat kira-kira 1,200 buah bas mini di lembah Kelang melibatkan seramai 320 pengusaha yang menyediakan pe­luang pekerjaan kepada 7,000 pemandu dan konduktor tiket bas.

“Sejak awal 1980-an, perkhidmatan bas mini dianggap antara pa­ling berkesan di pusat bandar Kuala Lumpur. Bukan sahaja ia bergerak pantas dan murah tetapi lebih penting ia juga mampu memberi kepuas­an kepada warga kota yang sentiasa kesuntukan masa.


MEMECUT

“Waktu itu perkhidmatan bas mini begitu berjaya kerana jumlah kenderaan dan keada­an lalu lintas agak terkawal di keseluruhan Lembah Kelang” Utusan Malaysia 30 Disember 1996.

Bagaimanapun, perubahan mendadak sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur serta bilangan jumlah kenderaan apabila negara mengeluarkan kereta sendiri (Proton Saga) menyebabkan perkhidmatan bas mini semakin terhimpit dalam kesesakan lalu lintas, pertambahan penduduk dan jumlah kenderaan yang me­ningkat.

Akibat faktor peningkatan kos kehidupan di Kuala Lumpur, mendorong segelintir pemandu bas mini bertindak agak ganas, memecut kenderaan secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.


SUASANA penumpang dalam bas mini berhawa dingin nombor 12 menuju ke Bangsar, Kuala Lumpur pada 18 Mei 1993.

KEMALANGAN

“Bermula dari 1980 hingga November 1996, kemalangan yang melibatkan bas mini memang tinggi. Perangkaan polis mencatatkan lebih 5,000 kes kemalangan melibatkan 20,000 penumpang sesungguhnya sa­tu jumlah yang tinggi.

“Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatatkan bagi tempoh yang sama (1980-1996) lebih 10,000 kesalahan lalu lintas dilakukan oleh pemandu bas mini di Lembah Kelang termasuk memandu laju, memotong giliran, melanggar lampu isyarat dan sebagainya.

“Jumlah itu tidak termasuk laporan bertulis dan aduan melalui telefon orang ramai yang tidak senang dengan cara pemanduan para pemandu bas mini.

“Memang diakui tidak semua pemandu berkelakuan se­­demikian tetapi jelas imej bas mini kini semakin menurun dan ada yang mengatakan ‘riwayat bas akan tamat pada bila-bila masa” (Utusan Malaysia 30 Disember 1996).

Utusan Malaysia pada 16 Jun 1996 menyiarkan laporan bertajuk “Permit ganti rugi bas mini” yang memetik kenyataan Menteri Pembangunan Usahawa Datuk Mustapa Mohamed.

Mustapa menjelaskan per­khidmatan bas mini yang telah beroperasi di sejak sekian lama di Kuala Lumpur perlu ditamatkan setelah kajian pihaknya mendapati perkhidmatan itu menimbulkan banyak masalah kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kebanyakan masalah yang ditimbulkan oleh bas mini berpunca daripada persaingan sengit sesama sendiri hingga menyebabkan pemandu bas mini tidak berdisiplin dan menjadi penyebab kesesakan jalan raya di ibu kota, ” jelas Mustapa (Utusan Malaysia 16 Jun 1996).

Permit bas mini mula ditamatkan secara beransur-ansur apabila bas Intrakota yang telah beroperasi pada 1994 mengambil alih perkhidmatan bas mini bagi meningkatkan mutu peng­angkutan awam di bandar raya Kuala Lumpur.

utusan


Comments