Kongres Maruah Melayu


Dr Mahathir berkata perhimpunan mengumpulkan orang Melayu itu bukan bermotif politik walaupun dihadiri ramai pemimpin politik. - NSTP/Sairien Nafis


Kongres Maruah Melayu bukan bermotif politik, perkauman - Tun M
Oleh Rafidah Ahmad Ruzki; Rohaniza Idris dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bh.com.my


SHAH ALAM: Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di sini hari ini bukan perhimpunan bermotif politik dan perkauman, malah tidak dijadikan tempat untuk mengecam bangsa lain.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perhimpunan mengumpulkan orang Melayu itu bukan bermotif politik walaupun dihadiri ramai pemimpin politik.


Sebaliknya, beliau berkata, kongres itu turut menghimpunkan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi mewakili orang Melayu untuk bersama-sama memulihkan maruah dan semangat bangsa berkenaan.

“Ini (kongres) tiada politik kerana yang hadir adalah semua pihak, ada parti politik dan NGO Melayu dan semua pihak yang ada kepentingan Melayu. Kita semua yang datang ini sebagai orang Melayu.

“Mereka sudah tahu apa yang jadi pada maruah Melayu dan kali ini datang untuk mencari jalan bagaimana hendak memulihkan maruah orang Melayu. Ini bukan rasis kerana kita bukannya mengecam orang (bangsa) lain.

“Kita tidak kecam orang Cina, kita tidak kecam orang India, tetapi kita kecam orang Melayu yang tidak buat apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan maruah orang Melayu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada kongres berkenaan bagi mengulas kebimbangan sesetengah pihak dengan perhimpunan itu yang didakwa bermotif politik dan perkauman.


Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri menegaskan, kehadiran wakil pelbagai parti politik pembangkang dalam kongres itu adalah kerana mereka rasa bertanggungjawab dengan pemulihan maruah orang Melayu, bukan untuk bercakap mengenai parti.

“Kita datang ke sini untuk bercakap mengenai kedudukan orang Melayu, kedudukan kita dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Kita mahu tahu di mana kesilapan kita sehingga menyebabkan orang Melayu ketinggalan berbanding bangsa lain,” katanya.

Mengenai saranan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang sebelum ini meminta penganjur tidak meneruskan kongres itu, Dr Mahathir berkata, ada pelbagai kongres dianjurkan selama ini.

Malah, katanya, beliau sendiri pernah menghadiri dan merasmikan perhimpunan Cina Hakka yang mengumpulkan masyarakat itu dari seluruh dunia tanpa kehadiran seorang pun orang Melayu.

“Saya juga pernah hadir dan merasmikan perhimpunan bangsa lain, tidak ada yang menghalang atau membangkitkan (menjadikan isu) mengenai kehadiran saya.

“Malah dalam perhimpunan dengan orang Hakka pun, tiada orang halang dan kata saya tidak patut hadir, kata saya hanya patut hadir majlis anjuran orang Malaysia sahaja.

“Saya menyampaikan mesej yang diterima baik masyarakat Hakka dalam kongres bertaraf dunia itu,” katanya.

Mengenai percanggahan Kongres Maruah Melayu dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan semalam, Perdana Menteri berkata, perkongsian kemakmuran bermakna semua orang di negara ini berkongsi kemakmuran.

“Jika orang Melayu tidak merebut peluang daripada wawasan itu, maka mereka tidak mendapat kemakmuran bersama itu,” katanya.

Mengenai resolusi hasil kongres terbabit, Dr Mahathir berkata, beliau mengambil maklum semua permintaan, gesaan dan teguran yang dibuat, namun tidak semua akan dipenuhi kerana ia bergantung kepada kemampuan dan keperluan semasa.

Ditanya cadangan mewujudkan sekolah satu aliran, iaitu aliran kebangsaan di negara ini, Perdana Menteri berkata, memang ada permintaan sedemikian, tetapi tidak bermakna ia boleh terima begitu sahaja.

"Kita kena tengok apa boleh dibuat dan tidak boleh di buat," katanya.

Mengulas kandungan ucapannya pada kongres berkenaan mengenai kelemahan dan kurangnya kuasa orang Melayu pada masa ini, beliau berkata, orang Melayu kini bercakaran sesama sendiri.

"Kita berkelahi, itu sebab kita jadi lemah, kita suka sangat berkelahi, sebab itu kita lemah sekarang. Kita terbelah kepada enam (enam parti politik Melayu).

“Jawatan Perdana Menteri hanya satu, ini enam nak jadi Perdana Menteri. Kalau ada enam Perdana Menteri, boleh kongsi seorang satu," katanya dalam nada berseloroh.

bharian


Comments