Pengelana Waktu


PENGELANA WAKTU
RUZAINI YAHYA

MAKSUD RANGKAP
BAHAGIAN 1
Bahasa Melayu telah digunakan oleh golongan pedagang yang berdagang di sepanjang pantai Melaka. Bahasa Melayu suatu masa dahulu menjadi bahasa Lingua Franca (bahasa perhubungan antarabangsa) dan berkembang di seluruh nusantara dan merentasi pelbagai benua. Bahasa Melayu juga telah digunakan oleh pendakwah untuk menyebarkan Agama Islam .Albuquerque telah memuji kehebatan Bahasa Melayu tetapi dalam masa yang sama menipu rakyat menggunakan bahasa. Mudaliar dan Kitul menggunakan kebijaksanaan berkata-kata untuk menabur fitnah sehingga menimbulkan persengketaan. Bahasa Melayu juga telah digunakan dalam pelbagai bidang dan urusan seperti menyampaikan perintah raja. Tun Teja menggunakan bahasa untuk menyampaikan keresahan jiwanya. Tun Fatimah menggunakan bahasa untuk menyampaikan rasa marahnya kepada raja Melaka. Hang Tuah menjunjung kedaulatan dan kesantunan Bahasa untuk menunjukkan taat setia kepada raja. Jelas Masyarakat Melayu lembut budi bahasanya yang tercermin melalui penggunaan bahasa mereka.

BAHAGIAN 2
Bahasa Melayu telah melalui sejarah yang panjang sehingga negara berkembang maju. Bahasa Melayu berkembang sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa yang memangkin perpaduan rakyat selepas peristiwa berdarah yang berlaku pada tahun 1969. Proses memartabatkan bahasa melayu telah melalui jalan sukar sehingga wujud tunjuk perasaan yang dipanggil keranda 152. Perjuangan ini akhirnya berhasil apabila Bahasa Melayu termaktub sebagai bahasa Kebangsaan yang menyatukan semua kaum .

BAHAGIAN 3
Bahasa Melayu telah berkembang mengikut peredaran masa seiring dengan pembangunan negara. Bahasa Melayu telah berjaya menawan hati semua lapisan masyarakat, berjaya membentuk jati diri dan menjadi medium perpaduan rakyat. Rakyat berbangga apabila menggunakan bahasa melayu yang penuh dengan kesantunan.

BAHAGIAN 4
Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu telah melalui pelbagai cabaran tetapi perjuangan tetap diteruskan tanpa henti selagi masa beredar. Perjuangan akan diteruskan sehingga Bahasa Melayu sebati dalam diri rakyat yang akan sentiasa menjunjung kedaulatannya walau apa jua rintangan yang terpaksa ditempuh.


MAKSUD KESELURUHAN
Sajak ini menggambarkan sejarah perkembangan Bahasa Melayu bermula dari zaman kesultanan Melayu lagi. Bahasa pada masa itu berkembang sebagai bahasa antarabangsa dan digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam urusan seharian mereka. Bahasa Melayu menjadi cerminan budi masyarakat Melayu pada masa itu. Seterusnya perkembangannya mengalami pelbagai rintangan dan halangan walaubagaimana pun pejuang-pejuang bahasa tidak pernah berhenti mempertahankan kedaulatannya sehingga akhirnya Bahasa Melayu diterima sebagai Bahasa Kebangsaan yang bukan sahaja digunakan dalam komunikasi tetapi sebagai medium untuk menyatupadukan pelbagai golongan masyarakat. Bahasa Melayu akan terus diperjuangkan martabatnya.
Contohnya : apabila nafasmu menelusuri setiap denyut nadi
menjunjung mengahnya bahasa seharum mawar
sekalipun durinya menusuk diri

TEMA
Bertemakan kedaulatan Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu berkembang semenjak zaman Melaka dan berkembang sehingga kini walaupun telah menempuh pelbagai cabaran dalam proses pemantapannya.
Contoh : dengan satu bahasa
kau bebat luka bernanah.



PERSOALAN-PERSOALAN
Persoalan sikap manusia yang suka bersengketa
Contohnya mengiringi Kitul menabur fitnah memutik sengketa

Persoalan cabaran dalam perjuangan bangsa
Contohnya : kau selusuri sepantai Nusantara
menantang gelora

Persoalan bahasa sebagai alat perpaduan
Contohnya : yang melarik silaturahim pada kanvas

Persoalan bahasa sebagai medium perhubungan
Contohnya : dari pesisir pantai Melaka kau ialah Lingua franca

Persoalan ketinggian budi masyarakat Melayu
Contohnya : manifestasi budi Melayu memilin lembut bahasa

Persoalan kecintaan terhadap Bahasa Melayu
Contohnya : yang menitiskan madu cinta pada tanah yang kontang

Persoalan bahasa sebagai lakaran budi bahasa dan sopan santun penuturnya
Contohnya : menitip salam rindu di kalbu anak-anak generasimu
kau membina santun dari aksara yang tersusun



BENTUK
Puisi ini mempunyai 4 rangkap

Bilangan baris dalam rangkap tidak sama
Contohnya : rangkap 1 – 20 baris, rangkap 2 – 13 baris

Jumlah perkataan dalam baris tidak sama
Contohnya 1 hingga 10 perkataan sebaris

Jumlah suku kata dalam baris tidak sama
Contohnya 4 hingga 21 suku kata sebaris

Rima akhir dalam baris bebas atau tidak sama
Contohnya rangkap 1 - abcdddddeeefeddddddd

Kesimpulannya, puisi ini merupakan puisi berbentuk bebas


GAYA BAHASA
Diksi yang indah
Contohnya : di tanganmu pendayung membelah segara

Sinkof
Contohnya : kau, mu, ku, tak
Kata ganda
Contohnya lorong-lorong, anak-anak

Metafora
Contohnya segara ilmu, gapura jiwa, madu cinta

Asonansi
Contohnya penyampai titah dan perintah raja (pengulangan bunyi vokal a)
Alitersi
Contohnya menebar harum wangi agama samawi (pengulangan bunyi konsonan m)
Personifikasi
Contohnya : di tanganmu pendayung membelah segara

Anafora
Contohnya: yang menyuburkan rindu pada tanah kontang
yang mencambahkan benih kasih pada pohonan kering dan daunan layu

Alusi
Contohnya Mudaliar, Albuquerque, Tuah, Teja

Imejan/ perlambangan
Contohnya wali, mawar, darah
152 melambangkan Akta Bahasa Kebangsaan

Bahasa asing
Contohnya : lingua franca

NADA SAJAK
Sajak bernada patriotik.
Penyajak bersemangat menyeru supaya masyarakat mempertahankan kedaulatan Bahasa Melayu
Contoh : yang memilin jati diri
daripada peribadi pertiwi
ialah kau yang membuka gapura jiwa.


PERASAAN DAN SIKAP PENYAJAK
Perasaan cinta akan bahasa
Contohnya : bahasaku
kau ialah pengelana
yang menitiskan madu cinta pada tanah yang kontang

Kebencian penyair akan sikap hipokrit manusia
Contoh : memuji dalam terang membelit dalam diam

Bersemangat untuk memartabatkan bahasa
Contoh : Kau ialah pengelana
yang membina kota kukuh
daripada puing yang runtuh

Kagum akan keindahan bahasa
Contoh : Kau adalah pengelana yang tidak peduli pedih peri

Menghargai bahasa
Contoh : kembaramu tanpa henti
noktah menjadi tidak bererti

Semangat juang yang tinggi
Contoh : yang luka di kaki yang luka di hati
melangkah tak henti selagi ada hari



 
NILAI

Cintakan bahasa
Contohnya : menjunjung megahnya bahasa seharum mawar

Semangat perjuangan yang tinggi
Contohnya : Kau ialah pengelana yang tidak peduli pedih peri

Jati diri
Contohnya yang memilin jati diri

Menghargai warisan
Contohnya menitip salam rindu di kalbu anak-anak generasimu

Kegigihan
Contoh : melangkah tak henti selagi ada hari

Keberanian
Contoh : di gigi Mudaliar kau bermain api

Berbudi bahasa
Contoh : kau membina santun dari aksara yang tersusun


PENGAJARAN
Kita hendaklah bangga akan Bahasa Melayu
Contohnya menjunjung megahnya bahasa seharum mawar

Kita mestilah memupuk semangat perpaduan
Contohnya Kaudakap rapat si hitam manis

Kita hendaklah menjaga warisan bahasa
Contohnya menitip salam rindu di kalbu anak-anak generasimu

Janganlah kita mempunyai sikap hipokrit
Contohnya di gigi Mudaliar kau bermain api

Kita hendaklah memiliki jati diri
Contohnya yang memilin jati diri

Kita hendaklah berani mempertahankan hak
Contoh : dengan satu bahasa
kaubebat luka bernanah

Kita mestilah menghargai para pejuang bahasa
Contoh : Kau ialah pengelana yang tidak peduli pedih peri

Comments