Tokoh dan Pendekatan Kritikan Sastera Bahagian 1

TOKOH DAN PENDEKATAN KRITIKAN SASTERA


Pendekatan Kemasyarakatan

PADA dekad 1960-an Kassim Ahmad membawakan pendekatan kemasyarakatan secara serius dalam kritikannya. Tulisan awal Kassim Ahmad tersiar dalam majalah Bahasa (Januari 1957) berjudul Kesusasteraan Melayu Baru dalam Masyarakatnya. Kassim Ahmad tertumpu kepada pendekastan kemasyarakatan yang berteraskan aliran realisme sosialis dengan mengemukakan kritikan terhadap novel Musafir dan Srengenge. Dalam mengkritik novel Musafir Kassim Ahmad tidak bersetuju dengan kecenderungan penulis yang hanya menggunakan watak-watak Melayu sahaja. Dalam kritikan yang sama Kassim Ahmad banyak menggunakan istilah-sitilah sosiologi seperti kapitalis, proletaris, burjuis, reaksionar, dan radikal. Manakala dalam mengkritik novel Srengenge Kassim Ahmad menganggap kematian Imam Hamad dan kemenangan Srengenge bermakna penangguhan pemodenan kapitalisme akibat penentangan masyarakat kampung.

Kassim Ahmad turut mengkritik novel Salina karya A Samad Said dan menjelaskan bahawa terdapat perkaitan di antara isi sejarah dengan isi Salina itu sendiri. Kassim Ahmad tidak bersetuju dengan watak malang yang menimpa Salina dan mahukan watak Salina mendapat pembelaan. Sewaktu mengkritik novel Jalan Pulang karya Anas K. Hadimaja Kassim Ahmad tidak berpuas hati dengan watak Saufi yang memberontak menentang Tuhan kerana kemiskinannya.

Dalam membicarakan novel Ranjau Sepanjang Jalan, Kassim Ahmad menjelaskan kepentingan hubungan sastera dengan masyarakat. Kesusasteraan mempunyai peranan yang dinamis dan kreatif terhadap kewujudan sosial. Oleh itu Kassim Ahmad melihat Ranjau Sepanjang Jalan merupakan sebuah novel yang gagal kerana kegagalan Shahnon Ahmad dalam memahami hakikat manusia dan destininya yang agung. Meskipun novel ini mempunyai bentuk yang baik tetapi bentuk tidak dapat menggantikan isi. Kassim tidak bersetuju dengan wujudnya pertentangan di antara manusia dengan alam dalam Ranjau Sepanjang Jalan,

Kassim Ahmad telah mengkritik sajak-sajak Aku karya Chairil Anwar, Berdiri Aku karya Amir Hamzah, dan Seribu Harapan karya Masuri S.N. Menurut Kassim ketiga-tigsa sajak tersebut memperlihatkan perkaitan di antara karya dengan pergolakan masyarakat. Bagi Kassim sajak Aku adalah gamabaran masyarakat Indonesia pada zaman revolusi yang inginkan kebebasan dari segala ikatan tradisi dan ingin memberontak terhadap nilai-nilai usang.

Yahya Ismail turut menggunakan pendekatan kemasyarakatan dalam kritikannya terutama ketika membicarakan novel Iakah Salmah. Dalam kritikan berkenaan Yahya Ismail lebih memberi tumpuan terhadap persoalan kemasyarakatan dalam novel berkenaan. Yahya melihat bagaimana Salmah membawa sikap dan pemikiran moden dan bagaimana reaksi masyarakat ketika itu. Salmah dianggap oleh Yahya Ismail sebagai manusia berjiwa revolusioner.

M. Noor Azam merupakan pengkritik yang menggunakan pendekatan kemasyarakatan. Kecenderungan beliau adalah memperkatakan tentang tema dan persoalan dan mengupas karya berkenaan dari sudut hubungannya dengan kehidupan dan masyarakat yang melahirkan karya berkenaan. Di samping memperkatakan tentang karya sastera Melayu M Noor Azam turut memperkenalkan tokoh-tokoh barat seperti Goethe, Balzac, Thomas Mann dan sebagainya.

Pada dekad 1960-an pendekatan kemasyarakatan menduduki tempat kedua popularitinya selain pendekatan formalistik. Banyak tulisan yang dihasilkan memanfaatkan pendekatan ini sebagaimana yang dihasilkan oleh Kassim Ahmad, Asraf, Keris Mas, Ismail Hussein, dan M Noor Azam. Pengkritik pendekatan ini berkecenderungan untuk memahami keadaan sosial sesebuah masyarakat dan reaksi karyawan terhadap perubahan-perubahan di sekitarnya.

Pada dekad 1970-an pendekatan sosiologi lebih ditumpukan kepada pola bentuk kehidupan kota dan desa. Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan karya yang dihasilkan sama ada novel, cerpen, atau sajak banyak menyentuh kehidupan desa dan kota. Tokoh yang banyak memperkatakan aspek ini ialah Ramli Isin seperti melalui eseinya Imej Kota dalam Sastera Melayu Mutakhir dan kritikan terhadap novel Di Bawah Bayang Kemboja.

Pendekatan Formalistik

Pendekatan formalistik mendapat pelbagai istilahnya di Malaysia, Hashim Awang menggunakan istilah struktural manakala Yahya Ismail menyatakan sebagai pendekatan antologikal. Apa yang dilihat oleh para pengkritik berkenaan adalah aspek struktur atau bentuk karya mengikut lunas-lunas tertentu seperti tema, plot, watak, gaya bahasa dan beberapa unsur lain.

Yahya Ismail merupakan pengkritik yang mula-mula memberi tumpuan terhadap pendekatan formalistik. Bagi Baharuddin Zainal corak kritikan yang diamalkan oleh Yahya Ismail bersifat new criticism iaitu kritikan yang melihat karya sastera sebagai benar-benar suatu karya sastera. Namun begitu tulisan Yahya Ismail tidak secara menyeluruh menggunakan pendekatan formalistik. Dalam setiap tulisan Yahya Ismail bukan sekadar menggunakan kritikan praktis tetapi turut menyentuh tentang pengarang, serta menyebut latar masyarakat dan tempat peristiwa karya itu berlaku. Ketika mengulas Rentung Yahya Ismail menyebut bahawa Kampung Banggul Derdap adalah tempat kelahiran penulisnya dan mengupas persoalan yang terdapat dalam Rentung. Kritikan formalistik yang dihasilkan oleh Yahya Ismail banyak bercampur baur dengan sedikit pendekatan lain seperi biografi, sosiologi dan moral.

Dalam mengkritik novel Lambak Yahya Ismail memberi tumpuan terhadap isi cerita di samping menyentuh aspek simbolisme dalam karya berkenaan. Yahya menjelaskan bahawa dari aspek bahasa dan teknik novel Lambak begitu berhasil. Manakala ketika membicarakan aspek gaya bahasa novel Yahya Ismail menjelaskan bahawa gaya bahasa novel ini bersahaja.

Hashim Awang telah membicarakan novel Keluaraga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer dengan menekankan aspek plot dalam novel berkenaan. Hashim Awang telah membahagikan plot novel Keluraga Gerilya kepada tujuh peringkat : permulaan, pertikaian dan perumitan, perkembangan, tegangan, puncak, tegangan akhir dan peleraian. Menurut Hashim Awang bahagian permulaan novel ialah bahagaian pengenalanm terhadap watak-watak seperti Amilah dan sebagainya. Hashim Awang turut memperkatakan konflik yang terdapat dalam novel berkenaan adalah konflik antara manusia dengan manusia, manusia dengan perjuangan dan konflik jiwa manusia.

Mohd Affandi Hassan merupakan seorang pngkritik yang menggunakan pendekatan formalistik. Namun begitu Mohd Affandi Hassan merupakan pengkritik yang keras, tidak bertolak ansur, tidak simpati terhadap penulis, dan gemar menghukum. Ia berpegang kepada prinsip bahawa tiada tolak ansur dalam kritikan. Mohd Affandi Hassan ketika mengkritik novel Seroja Masih Di Kolam karya Adibah Amin menyatakan bahawa novel ini amat lemah kerana watak-wataknya terdiri dari golongan remaja. Ketika membicarakan novel Pertentangan karya S Othman Kelantan, Mohd Affandi Hassan membincangkan aspek teknik dan struktur novel yang sama. Mohd Affandi menganggap S Othman Kelantan gagal mengemukakan teknik dan struktur novelnya dengan baik. Peristiwa yang dikemukakan adalah melompat-lompat dan tidak ada perpaduan yang rapat antara sstu sama lain. Mohd Affandi Hassan turut memperkatakan aspek bahasa novel S Othman Kelantan yang dianggap terdapat penggunaan ayat tergantung. Mohd Affandi Hassan merumuskan bahawa novel Pertentangan adalah sebuah novel yang gagal.

Baharuddin Zainal menggunakan pendekatan formalistik dalam mengkritik cerpen Melencong karya Azizi Hj Abdullah dan Jambu Anak Sungai karya Anwar Ridhwan. Baharuddin Zainal memberi tumpuan terhadap teknik penulisan cerpen berkenaan. Baharuddin Zainal melihat aspek watak, latar dan sudut pandangan dalam cerpen Jambu Anak Sungai. Beliau memperkatakan konflik yang terdapat pada watak Sujin yang kemudiannya menemui maut. Baharuddin memuji pelukisan latar cerpen ini dan menjelaskan bahawa cerpen ini memiliki kelemahan dari aspek sudut pandangan. Manakala cerpen Melencong dianggap oleh Baharuddin Zainal gagal menemukan bentuk artistiknya. Plot cerpen ini seperti dibuat-buat, watak-wataknya kaku serta persoalannya mendatar dan ringan. Dari aspek watak Baharuddin menganggap watak yang sengaja dibentuk serta tidak dapat diyakini dari aspek kejiwaannya.

Ramli Isin dalam mengaplikasikan pendekatan formalistik dalam tulisannya memberi tumpuan terhadap kritikan puisi yang melibatkan teknik termasuk gaya bahasa, perubahan vusial di samping tema dan persoalan-persoalan dalam karya. Dalam bidang cerpen dan novel Ramli melihat aspek plot, perwatakan dan bahasa. Ramli Isin melihat novel Lingkaran sebagai sebuah novel yang mempunyai kelebihan dari aspek tema dan persoalan. Plot novel Lingkaran didapati menarik kerana Arena Wati berjaya menampilkan teknik permainan catur untuk untuk mengembangkan konflik batin watak-wataknya. Ramli Isin mengaitkan aspek plot dan perwatakan novel Lingkaran sebagai novel yang mempunyai struktur yang kemas dan berjaya. Menurut Ramli Isin Arena Wati menggunakan gaya bahasa yang sederhana dan mudah difahami.

Ramli Isin turut memberi tumpuan terhadap karya-karya bercorak percubaan. Ramli Isin menganggap sajak Batu karya Juma’noh A Bunga mempunyai kelemahan di mana penyair tidak memberi tumpuan terhadap semantik pada kata-kata. Sajak Mohamad Awang berjudul ? dianggap tidak teratur dari aspek penyusunannya.

Pendekatan Kemanusiaan

Pendekatan kemanusiaan atau psikologi bermula dengan kritikan Baharuddin Zainal terhadap sajak Padamu Jua karya Amir Hamzah. Baharuddin Zainal melihat Amir Hamzah sebagai penyair mistik yang menggunakan lambang-lambang tradisional dalam bentuk sinis dan individualistik. Aspek psikologi yang diperkatakan oleh Baharuddin Zainal tidak hanya bersandar kepada karya sastera semata-mata tetapi me.lihat fakta-fakta sejarah peribadi penyair Amir Hamzah. Menurut Baharuddin Zainal Amir Hamzah menulis Padamu Jua sebagai mencari pelepasan dari realiti yang menekan keinginannya baik secara sedar atau tidak. Bagi baharuddin Zainal Padamu Jua adalah penjelmaan unconcious Amir Hamzah.

Hashim Awang memberikan sumbangan dan perubahan drastik dalam disiplin kritikan di Malaysia. Hashim Awang beralih kepada pendekatan psikologi di mana Hashim Awang telah menghasilkan penulisan berjodol Freud dan Kesusasteraan Melayu iaitu esei yang membicara aspek teori Freud. Tulisan ini menjelaskan bagaimana peranan pengarang terhadap karyanya. Hashim Awang menghubungkan pendekatan kemanusiaan dengan pendekatan psikoanalisis Barat yang dipelopori oleh Freud. Tulisan Hashim Awang ini mendapat perhatian pengkritik Malaysia untuk mengaplikasikan pendekatan ini dalam kritikan.

Menurut Hashim Awang karya-karya yang ditulis oleh Ahmad Lutfi dan Yahya Samah banyak mengandungi unsur seks sama ada secara langsung atau tidak langsung. Hashim mengkritik sajak Baha Zain “Menangguhkan Kebenaran” mengandungi imej-imej yang dikaitkan dengan kegelapan dan penelanjangan. Hashim Awang turut menyoroti cerpen Jalan Lain ke Syurga karya Yahya Ismail yang mengisahkan tentang fantasi seorang bapa yang memperkosa anak perempuannya. Anak itu mengambil keputusan untuk membunuh bapanya tetapi si bapa terlebih dahulu terjun dari bangunan.

Hashim Awang turut mengkritik novel Saga dari pendekatan kemanusiaan yang melihat aspek penggantian wujud dalam novel tersebut. Aspek penggantian dibahagikan kepada beberapa jenis seperti projeksi, introjeksi, regresi, lambang dan dekomposisi. Novel Saga kaya dengan aspek dekomposisi yang menumpukan perhatian terhadap konsep penduaan. Penduaan di antara Rahmat dengan Hashim. Keterangan mengenai watak Rahnmat dapat membantu pembaca untuk lebih memahami watak Hisham. Terdapat unsur penduaan yang memperlihatkan pertentangan sesama sendiri. Rahmat yang bersifat terbuka membiarkan isterinya bergaul bebas dengan Hisham bertukar menjadi suami yang cemburu dan sinis. Aspek penduaan diperlihatkan oleh Hashim Awang dalam menjelaskan bahawa terdapat hubungan di antara karya dengan pengarang. Abdul Talib Mohd Hassan merupakan penulis yang mencari pengekalan dirinya melalui penciptaan novel Saga. Ia dipancarkan menerusi watak Rahmat yang mahu berkekalan tinggal di desanya untuk memperjuangkan cita-citanya.

Dalam pembicaraan terhadap novel Juara karya S Othman Kelantan, Hashim Awang memilih penumpuannya terhadap cerita terutamanya hubung kait watak-watak penting dengan tindak tanduk mereka. Dalam Juara Hashim Awang melihat wujudnya unsur pemenuh keinginan. Peristiwa perlagaan lembu dalam novel ini memperlihatkan unsur simbolik terhadap watak Mamat. Mamat terpaksa mengalah kepada kehendak idnya untuk menjadi juara politik sebaliknya menjadi juara lembu. Hashim Awang juga menjelaskan bahawa novel Juara menjadi pemenuh keinginan penulisnya S Othman Kelantan untuk menjadi tokoh politik.

Sumbangan besar Hashim Awang dalam pendekatan kemanusiuaan begitu besar. Kemunculan pendekatan kemanusiaan Hashim Awang menambahkan lagi perspektif baru pengkritik terhadap pendekatan ini. Pendekatan ini berupaya meningkatkan tahap apresiasi audiens terhadap karya terutama yang berkaitan dengan watak yang digambarkan secara luar biasa.

Pendekatan Moral

Pendekatan moral banyak mengaitkan aspek yang berkaitan dengan norma, nilai-nilai serta sistem kepercayaan seperti agama bagi masyarakat yang memiliki dan mengamalkannya. Namun begitu kebanyakan pengkritik pendekatan moral hanya menyentuh secara sepintas lalu atau menyelitkan pandangannya terhadap aspek moral pada karya yang dikritik. Di antara kritikan yang benar-benar memenuhi keperluan pendekatan moral adalah “Mengerling Karya Erotik dalam Kesusasteraan Indonesia Moden dan Novel-Novel Erotik Motinggo Boesje oleh Ramli Isin, Novel-Novel Shahnon Ahmad : Satu Penilaian Semula oleh Mohd Anuar dan Novel Erotik Malaysia 1960-an : Satu Pembicaraan oleh Supardy Murady.

Pendekatan moral diaplikasikan dalam kritikan secara bercampur aduk dengan pendekatan sosiologi terutama melalui tulisan Baharuddin Zainal ketika mengkritik sajak Sidang Roh dan Penyairmu karya Kassim Ahnmad. Tulisan tersebut menekankan aspek kemasyarakatan seperti latar sejarah dan politik di samping menghuraikan mesej yang terkandung dalam sajak berkenaan.

Mohd Noor Azam menekankan aspek moral dalam kritikannya terhadap cerpen Racun Makan Tua karya Norzah. Mohd Noor Azam menjelaskan mengenai kejayaan Norzah mengemukakan betapa buruknya akibat yang ditimbulkan dari siaran-siaran akhbar mengenai tuduhan terhadap seseorang.

Suhor Antarsaudara menekankan aspek agama dalam kritikannya. Pembicaraannya terhadap antologi sajak Penemuan karya A Wahab Ali mengupas mengenai nilai-nilai Islam di samping menegur A Wahab Ali terhadap aspek-aspek yang dianggap tidak sesuai dan bertentangan dengan Islam. Suhor Antarsaudara menganggap A Wahab Ali sebagai penyair kerohanian terutama melalui sajak Lagu Malam Hari. Suhor merumuskan bahawa sajak-sajak A Wahab Ali dapat dijadikan sebagai panduan hidup kerana berjaya menyingkap rahsia hidup yang sebenarnya.

Shahnon Ahmad pula menulis berkaitan dengan sajak-sajak Kassim Ahmad. Shahnon Ahmad melihat sajak-sajak Kassim Ahmad mengandungi unsur ketuhanan yang merujuk kepada kemurniaan, kesempurnaan, dan keluasan daerah dan keimanan. Ketika memperkatan sajak Sidang Roh Shahnon Ahmad menjelaskan bahawa sajak tersebut menjelaskan mengenai persoalan kesesatan hidup. Dalam membicarakan novel Salina Shahnon menjelaskan bahawa Salina menjadi pelacur bukan akibat peperangan tetapi disebabkan kekosongan iman. Salina telah kemabukan rasa dan sengaja menjerumuskan dirinya ke lembah pelacuran. Salina sanggup menjadi pelacur dan menyimpan jantan seperti Abdul Fakar.

Perkembangan pendekatan moral di Malaysia pada tahun 1970-an berkisar pada aspek sastera Islam. Pada dekad ini Shahnon Ahmad memperkenalkan pendekatan moral yang tertumpu kepada sastera Islam. Shahnon Ahmad menyeru kepada penghasilan karya kerana Allah dan berhikmah untuk manusia. Gagasan ini menghasilkan polemik di antara Kassim Ahmad dengan Shahnon Ahmad. Shahnon Ahmad menghasilkan buku Kesusasteraan dan Etika Islam sebagai garis panduan sastera Islam. Kassim Ahmad tidak bersetuju dengan pandangan Shahnon. Kerana bagi Kassim Ahmad sastera Islam harus dilihat dalam bentuk yang lebih terbuka dan bercanggah dengan idealisme Shahnon Ahmad.

Kesimpulan

Pada peringkat awal tradisi kritikan di Malaysia hanya dimulai oleh para peneliti dan pengkaji biasa dan kemudiannya berkembang dengan penglibatan kajian yang lebih saintifik yang dikuasai oleh para siswazah. Setiap genre sastera mempunyai pengkritik yang berwibawa. Kritikan novel banyak dikemukakan oleh Kassim Ahmad, Yahya Ismail, Ramli Isin, Hashim Awang, dan Sahlan Mohd Saman. Genre cerpen dikuasai oleh Hashim Awang, Ramli Isin, Shahnon Ahmad, Mohd Affandi Hassan dan Mohd Noor Azam. Bidang puisi dikuasai oleh Dharmawijaya, Ramli Isin, Shahnon Ahmad dan Baha Zain. Manakala bidang drama dikuasai oleh Hatta Azad Khan, Krishen Jit, Dinsman, dan Rahmah Bujang.

Pendekatan formalistik lebih digemari oleh para pengkritik. Pendekatan-pendekatan lain seperti moral, kemanusiaan, dan kemasyarakatan tidak begitu popular lantaran tuntutan ilmu, pengalaman, dan pengkhususan sebelum pengkritik melibatkan diri dalam bidang kritikan. Dekad 1970-an menyaksikan kemunculan pendekatan kemanusiaan serta pendekatan moral – Islam.. Dekad yang sama memperlihatkan bagaimana karya-karya besar dikritik. Kritikan terhadap karya-karya besar yang dihasilkan oleh Arena Wati, Abdullah Hussain, Suhaimi Haji Muhammad, A Latiff Mohidin, Keris Mas dan beberapa yang lain turut membawa kepada lahirnya karya-karya yang lebih besar.

                                                                                    

Comments

  1. Saya terima atas kelemahan saya itu, kerana itu adalah sifat manusia. Saya mwsih terus belajar untuk atasi kelemahan itu. Suka sekali jika ada insan yang bisa beritau saya, siapakah makhluk Allah hidup tanpa kelemahan.

    ReplyDelete

Post a Comment