teater warisan

Figuratif karya teater warisan

Oleh HAIKAL RAMAN


PENTERJEMAHAN kehidupan istana dalam teater ini dilihat melalui cara pemakaian para pelakon.

UNGKAPAN Tak kan Melayu hilang di dunia sudah sebati dalam kalangan masyarakat di negara ini yang menjunjung budaya dan adat sejak zaman nenek moyang mereka lagi.

Apabila bercakap tentang budaya tersebut, pasti tidak akan lekang dengan pengaruh nilai bangsawan yang tertib tutur, gerak tingkah dan bersemadi dalam pekarangan mewah dengan tatahan emas dan jati asli.

Namun, pemandangan itu hanya dapat dilihat sekitar beberapa kurun lalu selain mampu dirasai dengan menyelak naskhah lama yang tertulis dalam karakter jawi dahulukala.

Ini kerana, saban hari nilai budaya itu semakin hilang bisa dalam meresap peribadi dan cara hidup anak-anak muda kini berikutan dimamah kuasa globalisasi. Dominasi itu serba sedikit mencipta zaman baharu yang dikenali sebagai melinia.

Melihat kemelaratan unsur itu dalam hati anak muda, cara yang paling efektif dalam mengembalikan elemen estetika itu adalah dengan mementaskan semula pembalikan lakonan teater bangsawan kepada generasi baharu.

Yang Dipertua Majlis Teater Negeri Selangor, Nazri Ahmad berkata, usaha penganjuran teater bangsawan sebagai sebuah warisan merupakan suatu inisiatif yang harus dipuji supaya ia tidak tenggelam dek zaman.

“Sewaktu bangsawan itu diangkat, barisan pelakonnya disanjung tinggi sehingga masih timbul gelaran permata bangsawan pada era moden ini. Begitupun tidak segemilang dahulu, tidak bermaksud elemen tradisi itu lenyap sebaliknya, ia masih ada lapisan muda yang memperjuangkannya.

“Penerimaan umum terhadap bangsawan kurang mendapat sambutan. Jadi, langkah untuk memupuk minat mereka terutama golongan muda adalah dengan menekankan lebih kepada pengisian cerita dan mesej. Golongan ini mahukan cerita ringkas tetapi menghiburkan,” jelasnya.

Penyeri

Nazri ketika ditemui selepas pementasan teater bangsawan, Awang Kudis Buta karya Milyana Arshad di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata, elemen penyeri seperti tarian serta nyanyian perlu disuntik supaya lebih menarik.

“Bagaimanapun, dalam masa untuk membuatkannya sedikit moden, jangan kita lewa untuk menjaga transisi skrip asal agar tidak merewang daripada tertib-tertib bangsawan itu sendiri.

“Proses bangsawan ini begitu rumit bagi era sekarang, namun sekiranya dalam mengekalkan keaslian protokol dan peraturan-peraturan ini, ia akan menimbulkan unsur kekaguman dalam sebuah penceritaan,” ujarnya yang mula aktif dalam kumpulan teater, Hidayah sejak remaja lagi.


Kekaguman bahasa Melayu klasik dapat dirasai daripada lontaran skrip lakonan.

Dalam pada itu, pelakon yang lahir dari pentas teater, Shahriza Mahmud mengakui, dia sangat meminati dunia bangsawan dan peluang untuk turut serta dalam menjayakan sesebuah naskhah itu akan digunakan sebaik mungkin.

“Minat ini didorong selepas menghayati lenggok bahasa tersusun rapi dan sebaik dilafazkan, ia berputik dengan begitu indah. Ia disampaikan dalam keadaan tenang, sekali gus memberi penterjemahan santun masyarakat dahulu.

“Bangsawan ini mempunyai aturan tersendiri dan kerangka yang berstruktur teliti serta undang-undang yang kukuh. Ia hiburan orang lama dan turun-temurun, menjadi kewajipan untuk kita kekalkan serta bukan pinggirkan,” katanya yang turut memegang watak dalam drama bersiri, Pendekar.

Menyentuh tentang pengolahan dalam kod bangsawan, Shahriza berkata, setiap daripada produksi pembawa naskhah perlu sedar ruang untuk berkarya dan mengetahui pantang larang yang sepatutnya diikuti dalam pementasan teater tradisi itu.

Penekanan

Sementara itu, seorang pementas muda teater, Muhammad Izzuddin Baharudin, 14, berkata, genre seperti ini seharusnya menjadi penekanan supaya anak muda seusianya kenal apa itu acuan bangsawan dan bahasa harian yang digunakan oleh mereka.

“Ia amat berbeza dengan teater kontemporari seperti lambakkan pada pentas lakonan sekarang. Apa yang ketara adalah daripada segi penggunaan bahasa Melayu lama yang kita sendiri tidak pasti guna sebagai bahasa bualan sekarang.

“Sedikit sebanyak skrip yang dilontarkan ini mengajar kami untuk memahami tutur ibunda dengan lebih mendalam dan memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik,” katanya yang kini menuntut di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor.

kosmonline

Comments