Keretapi Dah Tiba

Laluan kereta api Johor Bahru-Gua Musang dibuka
15 Julai 2015


TIGA orang kanak-kanak berjalan berhampiran kawasan landasan kereta api di stesen KTMB Kuala Krai, Kelantan, semalam. UTUSAN/Rosni Masri

GUA MUSANG 14 Julai – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyambung semula perkhidmatan bagi laluan Johor Bahru ke Gua Musang dengan membawa seramai 50 penumpang pertama ke Stesen KTMB Gua Musang di sini hari ini.

Operasi KTMB bagi laluan tersebut tergendala selama 201 hari akibat banjir besar yang melanda negeri ini sehingga merosakkan sebahagian besar laluan dan prasarana kereta api pada penghujung tahun lalu.

Yang turut serta menaiki tren Ekspres Senandung Timuran itu ialah Presiden KTMB, Leftenan Kolonel (B) Sarbini Tijan dan disambut oleh Pengurus KTMB Wilayah Timur, Sadun Abdullah.

Sarbini berkata, kereta api itu memulakan perjalanan pada pukul 9 malam tadi dari Stesen KTMB Johor Bahru dan tiba di Stesen KTMB Gua Musang pada pukul 10 pagi ini.

Beliau berkata, pembukaan laluan ke Pantai Timur membuktikan komitmen KTMB memberikan kemudahan kepada orang ramai yang sangat memerlukan perkhidmatan kereta api untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan.

“Hasrat kita adalah untuk mengutamakan rakyat dengan menyediakan perkhidmatan yang efisien, murah, cekap dan selamat selepas perkhidmatan tren tergendala sejak tujuh bulan lalu.

“Mengikut jangkaan kita juga dalam tempoh masa lapan bulan lagi laluan keseluruhan untuk ke Pantai Timur akan beroperasi selepas jambatan Kemubu di Kuala Krai siap dibaik pulih sepenuh­nya,” katanya kepada pemberita di Stesen KTMB Gua Musang.

KTMB turut menyediakan sebanyak tiga buah bas untuk penumpangnya menyambung perjalanan ke Kuala Krai, Wakaf Bharu dan Tumpat secara percuma.

Sementara itu, seorang penumpang KTMB, Naemah Muha­mad, 30, berkata, dia gembira apabila dapat pulang ke kampung halaman di Gua Musang menggunakan perkhidmatan kereta api.

“Saya bersyukur apabila perkhidmatan kereta api dapat memulakan operasi menjelang Syawal kerana setiap tahun saya akan pulang ke kampung menggunakan tren kerana mudah dan murah.

“Alhamdulillah perjalanan lancar dan terima kasih kepada KTMB kerana memudahkan perjalanan rakyat sempena musim perayaan,” katanya.

Seorang lagi penumpang, Siti Rohani Hassan, 46, yang turut pulang bersama tiga ahli keluarganya gembira apabila tiba lebih awal di kampung bagi menyambut hari raya kurang tiga hari lagi.

“Selepas menempuh perjalanan lebih 12 jam kami gembira apabila selamat tiba di Gua Musang,” katanya yang tinggal di Aring 2 di sini.

utusan online

Laluan tren ke Pantai Timur pulih


Sempena menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, laluan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke pantai timur bagi fasa pertama telah mula beroperasi sejak semalam selepas diberhentikan akibat banjir tahun lepas.

Presiden KTMB Lt Kol (B) Sarbini Tijan berkata laluan tren dari Kemubu ke Kuala Krai, Kelantan telah beroperasi mulai semalam manakala laluan Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan pula bermula hari ini.

Harga tiket bagi kedua-dua perjalanan itu adalah pada harga lama. Kerajaan pusat menerusi Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan KTMB amat prihatin dengan keperluan rakyat di Kelantan.

"Kami juga akan membantu mengembalikan kemudahan infrastruktur tren dengan segera dan tidak pernah meminggirkan rakyat Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua perkhidmatan tren di laluan pantai timur telah dibatalkan sejak 22 Dis lepas akibat banjir teruk yang melanda pantai timur tahun lalu.

Sarbini juga berkata fasa kedua pemulihan landasan kereta api di pantai timur dijangka pulih sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Beliau berkata pihak KTMB memohon maaf atas kelewatan pengoperasian fasa pertama yang sepatutnya bermula pada 10 Julai.

- Bernama

malaysiakini


Perkhidmatan pantai timur operasi semula
Oleh Ramli Ibrahim


Gua Musang: Lima puluh penumpang pertama laluan pantai timur tiba di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Gua Musang, di sini, hari ini dari Stesen KTMB Johor Bahru.

Ketibaan mereka pada 10 pagi disambut Pengurus KTMB Wilayah Timur, Sadun Abdullah.

Menurut Sadun, perkhidmatan kereta api itu adalah yang pertama selepas ia dihentikan selama tujuh bulan bagi kerja pembaikan landasan yang rosak akibat banjir, Disember lalu.


"Kereta api ini bergerak dari Stesen KTMB Johor Bahru pada 9 malam tadi. Ia adalah kereta api pertama selepas kita beroperasi semula.

"Malam ini, satu lagi kereta api akan bergerak ke Johor Bahru pada 9 malam," katanya.


Beliau berkata, penduduk Pantai Timur yang mahu pulang beraya ke kampung halaman, boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai jadual perjalanan boleh merujuk laman web KTMB.

Presiden KTMB, Leftenan Kolonel (B) Sarbini Tijan turut menaiki kereta api berkenaan dari Johor Bahru.

mymetro


Dalam Kenangan...







Comments