14 Jul 2015

Guru Di Pulau Terpencil

Pikul amanah mendidik anak bangsa
Oleh MUSTAPA LAKAWA


JAM baru menunjukkan pukul 4 pagi. Seorang pemuda bertubuh kecil bingkas bangun daripada tidurnya.

Dalam keadaan tergesa-gesa, pemuda itu sempat mengikat beberapa bungkusan plastik mengandungi bekalan makanan.

Beg, buku-buku dan pelbagai barangan mula dimasukkan ke dalam but kereta. Dalam kedinginan pagi, Teoh Alfred, 24, bertekad untuk memulakan perjalanan jauhnya.

Teoh akan memandu kereta selama tiga jam dari rumahnya di Penampang menuju ke daerah Kudat. Jarak yang dilalui adalah kira-kira 180 kilometer.

Tiba di Kudat, dia perlu menaiki feri penumpang untuk menuju ke Pulau Banggi yang mengambil masa hampir 70 minit. Perjalanan itu diteruskan dengan menyewa sebuah bot sebelum tiba ke destinasi terakhir iaitu Pulau Balambangan.

Pulau itu hanya berkeluasan 20 kilometer persegi dan terletak di kawasan terpencil di utara negeri Sabah. Namun, bagi Teoh, pulau itu cukup istimewa. Di sinilah tempat dia mencari rezeki sejak enam bulan lalu.

Paling penting, di pulau itulah segala amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang guru dicurahkan kepada anak bangsa.

Debaran pertama

Teoh merupakan salah seorang daripada 14 orang guru yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan. Sekolah ini merupakan satu-satunya sekolah yang terdapat di Pulau Balambangan dan mempunyai penduduk sekitar 800 orang.

Menurut anak kelahiran Sabah itu, dia tidak pernah terfikir akan ditempatkan di sebuah sekolah terpencil yang terletak di kawasan pulau.

“Saya menamatkan pengajian pada tahun lalu dan SK Balambangan merupakan sekolah pertama yang menjadi tempat saya mengajar.

“Pada mulanya, saya agak terkejut tetapi menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Saya terima cabaran ini dan sanggup berhijrah ke Pulau Balambangan demi mendidik anak bangsa,” katanya yang mengajar subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.


Sebahagian murid mendengar arahan daripada guru-guru pada perhimpunan pagi di SK Balambangan baru-baru ini.

Masih asing dalam kerjaya perguruan, Teoh merasakan dia tidak pernah terbeban dengan tanggungjawab sebagai seorang guru pulau.

Katanya, pengalaman mengajar di sekolah yang terletak dalam kawasan pulau merupakan pengalaman luar biasa dan sangat berharga.

“Kita sudah biasa dengar mengenai cabaran dan pengalaman yang dialami oleh guru-guru di kawasan pedalaman tetapi kita jarang mengetahui apa yang dilalui oleh guru-guru di kawasan pulau,” jelasnya.

Bagi seorang guru berpengalaman, Madris Asadan, 33, dia sudah lali dengan persekitaran Pulau Balambangan sejak kali pertama ditugaskan ke pulau itu kira-kira 11 tahun lalu.

Madris yang berasal dari Sikuati, Kudat berkata, segala kekurangan yang terdapat di pulau ini seperti ketiadaan bekalan air dan elektrik merupakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh para pendidik.

Jelasnya, setiap guru yang ditugaskan di sekolah itu perlu menyesuaikan diri dengan corak kehidupan penduduk selain kemudahan yang serba kekurangan.

“Bagi melaksanakan proses pembelajaran yang sempurna, ia mungkin agak terhad kerana sekolah ini tidak mempunyai bekalan elektrik.

“Kami perlu menggunakan pendekatan sendiri bagi menarik minat para murid agar mereka lebih seronok untuk menuntut ilmu," jelasnya.

Kata Madris, sesuatu yang menarik mengenai SK Balambangan adalah lokasinya yang sentiasa berpindah-randah disebabkan beberapa faktor.

“Sebelum bertapak di Kampung Selamat, sekolah ini terlebih dahulu dibina di Kampung Kok Simpul pada tahun 1980. Namun, ia tidak dapat bertahan lama kerana kedudukan sekolah yang tidak strategik selepas selalu menerima tiupan angin kencang.

“Pada tahun 1985, sekolah ini dipindahkan ke Kampung Tabunan, namun ia ditimpa musibah apabila terbakar lima tahun kemudian.

“Bagi meneruskan persekolahan pada masa itu, Balai Raya Kampung Selamat digunakan buat sementara waktu sebagai kelas pembelajaran sebelum bangunan baharu siap dibina pada 1991,” katanya.

Menurut beliau, data terkini sekolah tersebut merekodkan seramai 83 murid bersekolah di sekolah tersebut pada tahun ini dan ditempatkan di enam buah kelas iaitu darjah satu hingga darjah enam.

Berjalan kaki


Teoh (tengah) menggunakan lampu suluh yang dijana oleh pengecas kuasa bank sebagai inisiatif untuk mengajar kelas tambahan sekiranya bekalan petrol untuk enjin jana kuasa habis.

Katanya, jumlah tenaga pengajar pula adalah seramai 14 orang termasuk seorang guru besar.

“Kebanyakan murid di sekolah ini datang dari beberapa buah kampung iaitu Kampung Selamat, Kampung Kok Simpul dan Kampung Batu Sireh.

“Bagi murid yang tinggal jauh seperti di Kok Simpul, mereka terpaksa berjalan kaki selama dua jam untuk sampai ke sekolah,” jelasnya.

Tambah Madris, pada awal kehadirannya di sekolah itu, dia pernah membina bilik kecil di bawah kelas di bangunan sekolah itu semata-mata untuk dijadikan tempat tidur.

Jelasnya, dia berbuat demikian kerana kemudahan tempat tinggal yang agak terhad untuk guru-guru ketika itu.

“Sekarang, sudah ada beberapa buah rumah dibina di sekitar kawasan sekolah untuk guru-guru dan kebanyakan daripada kami akan berkongsi rumah,” ujarnya.

Sementara itu, pengalaman baharu dirasai oleh beberapa orang guru dari Semenanjung Malaysia yang ditugaskan untuk mengajar di sekolah ini.

Wan Nazreen Osman, 27 yang berasal dari Padang Besar, Perlis berkata, pada mulanya dia menganggap SK Balambangan itu terletak di tanah besar Sabah iaitu dalam daerah Kudat.

“Bayangan pertama saya ialah sekolah ini terletak di kawasan tanah besar tetapi selepas datang ke sini, rupa-rupanya sekolah itu berada di kawasan pulau.

“Banyak pengalaman baharu yang saya peroleh sepanjang mengajar di sini. Antara pengalaman yang sukar dilupakan ialah meredah ombak besar ketika menaiki bot.

“Penerimaan penduduk dan murid-murid di pulau itu juga sangat baik walaupun mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

“Kami saling memerlukan terutamanya untuk mendapatkan bekalan makanan dan minuman dari tanah besar. Begitu juga dalam soal kehidupan harian termasuk yang melibatkan murid-murid,” tambahnya.

Seorang lagi guru yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, Mohd. Baharudin Mat Hasan, 30 berkata, sebagai guru pulau, mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang cukup besar untuk mendidik anak bangsa di kawasan itu.

“Walaupun serba kekurangan, kami tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk mencurah ilmu kepada anak-anak pulau.

“Seperti murid-murid lain, mereka juga memerlukan pendidikan terbaik untuk sekurang-kurangnya mengubah nasib keluarga masing-masing,” tambahnya.

kosmoonline



 






No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.