Konflik dan Damai


Gajah, manusia ‘berdamai’ 
di Kuala Gandah
Pusat pemuliharaan gajah Kuala Gandah tempatkan semula gajah liar, elak konflik
LAUPA JUNUS
l
 25 Mei 2015


Penerokaan tanah dengan tujuan memenuhi keperluan hidup manusia berlaku sejak sekian lama. Pembukaan tanah ini sama ada secara terancang atau sebaliknya, menurut atau membelakangi undang-undang, mungkin dengan tujuan pertanian, penempatan, kawasan komersial dan juga pembalakan, penebangan hutan dan lain-lain lagi

Malangnya aktiviti ini kadangkala menimbulkan masalah kepada hidupan lain dan mengorbankan keselesaam mereka, menjejaskan habitat haiwan dan mendorong kepada kejadian ‘pemberontakan’ khususnya spesies bersaiz besar.

Satu daripada spesies haiwan yang diketahui sangat terjejas ialah gajah yang kini populasinya semakin berkurangan.

Anggaran populasi gajah di Semenanjung Malaysia kini adalah sebanyak antara 1,220 hingga 1, 670 ekor dengan taburan dari negeri Kedah di bahagian utara sehingga Johor.

Gajah juga didapati di Negeri Sembilan hingga Pahang, Terengganu dan Kelantan di bahagian timur. Populasi gajah paling tinggi adalah di Taman Negara iaitu anggaran antara 290 hingga 631 ekor.

Anggaran populasi gajah ini diperoleh melalui kajian populasi bersama Wildlife Conservation Society (WCS) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan juga pencerapan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menerusi aktiviti inventori hidupan liar yang dijalankan secara berjadual.

Namun kejadian gajah merosakkan tanaman dan mengancam penduduk kampung kerapkan dilaporkan dan ini adalah bukti `pemberontakan’ yang dimaksudkan.


Kejadian inilah yang juga disebut sebagai konflik antara manusia dan gajah yang menjadi antara tanggungjawab Perhilitan untuk menanganinya.

Untuk tujuan itu, sesuai dengan matlamat asal penubuhannya, Perhilitan yang bertanggungjawab dalam aktiviti pemuliharaan gajah di Semenanjung Malaysia sentiasa mencari jalan terbaik menangani isu tersebut.

Unit Gajah Perhilitan telah ditubuhkan pada 1974 yang antara lain menangkap dan memindahkan gajah jauh dari kawasan konflik.

Ketua Unit Gajah, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Lanchang, Pahang Nasharuddin Othman berkata, sejak unit tersebut ditubuhkan pada tahun 1974, hampir 800 ekor gajah liar telah berjaya ditangkap dan dipindahkan daripada kawasan konflik gajah ke habitat semula jadi yang selamat untuk kumpulan haiwan berkenaan.

Gajah pertama ditangkap di kawasan Felda Jengka, Pahang pada tahun 1974 menggunakan teknik melaisekar yang juga dibantu dengan pelatih berpengalaman daripada Assam, India.

“Walaubagaimana pun teknik berkenaan didapati tidak praktikal di hutan tropika Malaysia. Seterusnya teknik menjejak yang digunakan sekarang ditambahbaik dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika ditemui di Lanchang, Pahang baru-baru ini.

Beliau berkata, bukan mudah untuk menangkap dan memindahkan gajah kerana ia memerlukan kemahiran dan kecekapan selain kesabaran.

Katanya, pada peringkat awal dahulu, kakitangan Perhilitan terpaksa menginap dalam khemah dan bermalam di kawasan yang dikenal pasti berlaku konflik itu.

Itu antara kerumitan yang terpaksa dihadapi oleh petugas tersebut kerana kemudahan agak terhad pada masa itu.


Hanya selepas penubuhan PKGK pada tahun 1989, baharulah aktiviti tersebut lebih banyak membantu mereka melaksanakan tugas-tugas menyelesaikan konflik.

Pusat yang terletak di pinggir bahagian selatan Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang itu bermula sebagai pusat operasi bagi program tangkapan dan penempatan semula gajah liar yang menghadapi konflik di Semenanjung Malaysia.

Menurut Nasharuddin lagi, sejak tahun 2010 hingga Mac lalu, sebanyak 25 ekor anak gajah di bawah umur enam tahun yang ditemukan, ditinggalkan kumpulan di kawasan konflik gajah.

Anak-anak gajah tersebut tidak dapat menyelamatkan diri jika dipindahkan ke habitat baru dan perlu dibawa balik untuk dipelihara oleh Perhilitan.

``Pada tahun lalu sahaja sebanyak 30 ekor gajah telah ditangkap dan dipindahkan di pelbagai lokasi konflik di negeri Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Johor,’’ujarnya.

Beliau memberitahu, habitat penempatan semula gajah konflik ialah di Taman Negara, Hutan Simpan Royal Belum, Taman Negara Endau Rompin dan Santuari Gajah Sungai Ketiar.

Penubuhan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah menjadi pemacu kepada banyak program berkaitan pemuliharaan gajah.

Sebagai contoh, pada tahun 2013 Perhilitan dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menyiapkan Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP).


Menurut ketuanya Nasharuddin Othman, pelan berkenaan menggariskan tindakan aktiviti pemuliharaan gajah untuk tempoh antara 2013 hingga 2022.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, antara perkara penting yang dinyatakan dalam pelan tersebut adalah memaksimumkan penggunaan central forest spine sebagai kawasan habitat yang utama dan menjadi koridor kepada populasi gajah bagi Semenanjung Malaysia.

Perkara lain adalah memperkukuhkan penguatkusaan undang-undang berkenaan dengan gajah dan meningkatkan pengurusan konflik gajah dengan manusia.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga katanya, telah menyalurkan peruntukan bagi konservasi gajah Semenanjung Malaysia berjumlah sebanyak RM27.4 juta dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk Program Kawalan Gangguan Gajah bagi usaha menyelesaikan konflik sepanjang tempoh antara 2011 hingga 2015.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM8.3 juta telah diperuntukkan bagi aktiviti pengawalan kes konflik gajah.

“Ini termasuk bagi kerja menangkap dan memindahkan gajah daripada kawasan konflik ke habitat baru dan aktiviti kawalan gangguan gajah liar terhadap penduduk di kawasan berlaku konflik,” ujarnya.

Sejumlah RM17.5 juta pula diperuntukkan bagi membangunkan dan menyelenggara sejumlah 17 projek pagar elektrik di seluruh Semenanjung 
Malaysia.

Dengan pembangunan tersebut katanya, sejumlah 284 kilometer (km) sempadan kampung tradisional yang bersempadan dengan kawasan hutan simpan yang menjadi kawasan utama gajah liar berkeliaran dapat dikawal.

Kawasan projek pagar elektrik itu tertumpu di Perak, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor.

Menurut Nasharuddin, dengan inisiatif pembangunan sistem pagar elektrik dan peruntukan bagi aktiviti tangkapan dan kawalan gajah liar itu, bilangan kes aduan konflik gajah liar didapati berkurangan.

Angka pengurangan mencecah sebanyak 35 peratus bagi tempoh antara 2011 hingga 2014 iaitu purata bilangan kes sebanyak 625 setahun berbanding dengan tempoh antara 2006 hingga 2010 sebanyak 960 kes 
setahun.

Sementara itu, purata kos kerugian akibat konflik gajah juga dapat dikurangkan sebanyak 20 peratus atau RM1.05 juta setahun bagi tempoh antara 2011 hingga 2014 berbanding tempoh antara 2006 hingga 2010.

Secara purata kos kerugian akibat konflik gajah setahun bagi tempoh adalah antara 2011 hingga 2014 adalah sebanyak RM2.8 juta.

Dalam pada itu pembangunan konservasi gajah di PKGK Kuala Gandah juga diberi tumpuan bagi meningkatkan mutu penjagaan dan husbandri gajah.

Untuk tujuan itu kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 15.3 juta bagi tempoh RMK-10 bagi membina kemudahan bagi meningkatkan keselesaan gajah serta persekitaran pekerjaan di pusat ini.

utusan online

Comments