Daulat Tuanku
Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35 merupakan detik penting dalam sejarah negara. Ia bukan saja momen istiadat yang penuh tradisi dan adat dilaksanakan tetapi menjadi satu peristiwa sejarah yang amat berguna dalam adat istiadat pertabalan diraja kesultanan Melayu.
Ia menjadi dokumen yang akan menjadi rujukan penting dalam lipatan sejarah serta menjadi saksi kepada generasi muda bagaimana adat dan istadat perajaan Melayu dilaksanakan dalam mengangkat daulat dan warisan raja-raja Melayu dalam sistem beraja yang kita amalkan.
Ia menjadi khazanah dan warisan bangsa dan negara untuk terus diabadikan sebagai nukilan pusaka adat dan budaya sistem raja-raja Melayu.
Daulat Tuanku
Asal mula kesultanan perak
Profesor Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh
03 Mei 2015
Dalam buku Biografi Bergambar DYMM Sultan Azlan Shah yang di terbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1990, saya membuka tirai buku itu dengan menulis seperti berikut:
“Institusi kerajaan beraja di alam Melayu bermula dengan kehadiran tiga orang putera bernama Nila Pahlawan (yang bergelar Sang Sapurba), Nila Utama (yang bergelar Sri Tri Buana) dan Krishna Pendita di Bukit Siguntang, di sekitar Tanah Andalas berhampiran dengan Muara Tatang dan Gunung Mahamiru dalam negeri Palembang Tua di Sumatera.”
Mengikut kitab Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, mereka adalah putera kepada Raja Suran bersama Permaisuri Mahtabul Bahari yang bertakhta di sebuah negeri bernama Andam Negara. Raja Suran diriwayatkan mempunyai susur galur zuriat keturunan dengan Raja Iskandar Zulkarnian Agung dari Makaduniah berketurunan bangsa Rom.
Dalam penulisan terbaru yang sedang dalam proses penerbitan, Nine Kingdoms, The Unveiling of Malay Sovereignty (UPNM dan Laman Lestari, 2015), saya selaku Ketua Penyunting kepada 10 jilid siri penerbitan itu telah melihat kembali fakta tentang susur galur keturunan Raja-raja Melayu dan merasakan ia perlu diberi tafsiran baru.
Pendapat baru menyatakan apa yang disebut sebagai Raja Iskandar Zulkarnain oleh Tun Sri Lanang itu besar kemungkinan ialah Cyrus the Great atau Raja Khurus Agung dari Parsi seperti yang terkandung dalam kitab suci al-Quran dan bukannya Alexander the Great putera kepada Raja Philips dari kerajaan Makaduniah.
Tentang tiga putera Raja Suran, mengikut Sejarah Melayu edisi A. Samad Ahmad, Nila Utama atau Sri Tri Buana berkahwin dengan Ratu Cendera Puri, anak kepada raja asal negeri Palembang iaitu Demang Lebar Daun. Akhirnya, baginda belayar merentasi Selat Melaka dan membuka serta bertakhta di negeri Temasik yang kemudiannya lebih di kenali sebagai Singapura.
Krishna Pendita mengembara dan akhirnya menjadi raja di Tanjung Pura. Sang Sapurba atau Nila Pahlawan pula dilantik sebagai raja bertakhta di tanah Minangkabau. Daripada jurai keturunan tiga orang putera Raja Suran inilah bermulanya institusi "Kerajaan Beraja" di salah satu wilayah di alam Melayu.
Dalam satu lagi penerbitan yang baru selesai kami usahakan, Asal Usul Rumpun Melayu-Induknya di Benua Sunda (Zaharah Sulaiman, Wan Hashim, Nik Hassan Shuhaimi, DBP, 2015), kami telah mengusulkan jurai kedua keturunan raja-raja dan pembentukan Kerajaan Melayu. Ia bermula dengan kedatangan putera kepada Nabi Ibrahim dengan isterinya yang ketiga Kauthara.
Putera ini atau anak cucunya tiba dengan kabilahnya di wilayah utara alam Melayu dan mengasaskan kerajaan Melayu kuno pada sekitar abad akhir Sebelum Masehi yang kini dikenali sebagai Kerajaan Funan.
Kerajaan Funan atau "Kerajaan di Gunung" ini kemudiannya melahirkan Kerajaan Kemboja dan Kerajaan Champa di Semenanjung Indo-China serta Kerajaan Langkasuka di sekitar Segenting Kra meliputi negeri-negeri Melayu utara Semenanjung. "Kemboja" yang asal dipercayai nama daerah tempat lahirnya putera Nabi Ibrahim di sekitar tanah Arab-Parsi.
Salah seorang daripada putera Raja Suran itu telah menghasilkan keturunan yang melahirkan seorang putera bernama Parameswara atau nama gelaran yang lebih tepat, mengikut seorang sejarawan dan Pengarah Pusat Sejarah Negara Brunei Darussalam, Orang Kaya Dalam Pehin Jamil, ialah "Permai Suara"(ditutur dalam bahasa Inggeris menjadi ‘Parameswara’) kerana suara baginda yang amat merdu dan sedap didengar.
Pada mulanya Parameswara menuju ke Temasik, tetapi kemudiannya meninggalkan pulau itu kerana gangguan oleh kabilah Siam di utara dan akhirnya lebih selesa dan selamat membuka Kerajaan Melaka yang amat terkenal itu. Pada hari ini, hampir semua pengkaji sejarah Malaysia akan bersetuju bahawa Perak Darul Ridzuan adalah satu-satunya negeri Melayu yang mempunyai hubungan secara langsung dengan zuriat keturunan dan susur galur Kesultanan Melayu Melaka.
Sebelum wujudnya Kerajaan Negeri Perak pada suku pertama abad ke-16, iaitu kerajaan yang masih berdiri sehingga ke hari ini, sudah wujud beberapa kerajaan kecil seperti Manjung dan Beruas di sekitar pesisir pantai barat negeri itu. Di sekitar utara pula, terdapat daerah hulu Sungai Perak yang dikuasai oleh orang-orang besar seperti Tok Temong dan Tun Saban. Namun, Perak serta daerah-daerah ini lebih merupakan sebagai wilayah-wilayah yang bernaung di bawah kesultanan yang kemudiannya bertukar menjadi Empayar Melaka.
Hubungan Melaka dengan Perak
Setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, Sultan Mahmud Shah berundur ke hulu Sungai Muar serta membuat beberapa percubaan untuk menawan semula Melaka tetapi gagal. Antara pahlawan Melayu yang berjuang untuk mengusir penjajah Portugis keluar dari bumi Melaka, mengikut kajian Harun Aminurrashid melalui karya persuratannya ialah Panglima Awang.
Namun, Panglima Awang juga tewas dan ditangkap untuk dijadikan hamba oleh Alfonso D'Albuquerque, Gabenor Jeneral Timur Jauh ketika itu yang menyerahkan beliau kepada Fernando Magallen untuk dibawa pulang ke Portugal. Panglima Awang kemudiannya menjadi pembantu setia kepada Kapten Magallen yang mendapat biaya khas daripada Raja Sepanyol bersama-sama sebuah kapal utama Vittoria dan beberapa kapal iringan untuk belayar ke arah barat mencari jalan alternatif untuk sampai ke Timur Jauh.
Magallen terkorban kerana dibunuh oleh penduduk di sebuah kepulauan di Filipina, manakala Panglima Awang berjaya menyelamatkan diri serta belayar membawa Vittoria kembali ke Melaka dengan menjadikan beliau manusia yang pertama berjaya mengelilingi dunia pada sekitar 1515-1517. Sultan Mahmud kemudiannya terus berundur ke Pahang, dan dari sana ke Singapura dan akhirnya kembali semula ke Sumatera dan mangkat di Kampar. Ketika Sultan Mahmud bersemayam di Kampar, baginda dikunjungi oleh satu rombongan orang-orang besar Perak di bawah pimpinan Tun Saban.
Terdapat sumber yang menyatakan bahawa Tun Saban adalah salah seorang putera kepada Tun Perak, salah seorang bendahara Melaka yang masyhur serta pernah membawa Melaka ke puncak kegemilangannya. Akan permintaan rombongan dari Perak itu telah diperkenankan oleh Baginda Sultan Mahmud dengan menyerahkan salah seorang putera Baginda, Raja Muzaffar Shah kepada rombongan orang-orang besar dari negeri Perak itu. Pada ketika itu, negeri Perak masih belum mempunyai seorang raja yang berdaulat.
Dengan perkenan ayahanda Baginda Sultan Mahmud Shah, Raja Muzaffar menjadi pewaris segala alat kebesaran diraja yang dibawa bersama ketika meninggalkan negeri Melaka. Antaranya ialah Keris Taming Sari dan Pedang Cura Simanjakini untuk tujuan Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Sultan Perak yang pertama.
Ketika tiba di satu kawasan di muara Sungai Perak yang kini di kenali sebagai Beting Beras Basah, bahtera kenaikan Raja Muzaffar telah tersangkut di sebuah beting dan tidak dapat bergerak untuk meneruskan perjalanan mudik ke hulu Sungai Perak. Atas nasihat pawang diraja, Baginda pun memandang ke arah langit sambil mengeluarkan kata-kata seruan seperti berikut:
Sekongkong tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkung ular Saktimuna
Perpisahan Beta di Selat Melaka
Jika sah Beta Raja Berdaulat
Lepaskan sekelian malapetaka.
Sebaik-baik sahaja Raja Muzaffar Shah selesai melafazkan kata-kata ini, sekelian orang-orang besar Perak, didahului oleh Bendahara Tun Saban menyeru "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali. Dengan itu, terlepaslah bahtera kenaikan Raja Muzaffar daripada halangan di situ. Ini membolehkan baginda serta rombongan untuk meneruskan perjalanan belayar mudik ke hulu Sungai Perak. Akhirnya Baginda tiba di kawasan yang kini di kenali sebagai Tanah Abang.
Di sinilah istana yang pertama didirikan dan Istiadat Pertabalan Di Raja dizahirkan dengan mengikut segala upacara kebesaran dan adat istiadat Kesultanan Melayu yang dilaksanakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu pada tahun 1528 Masehi dengan mengambil gelaran Sultan Muzaffar Shah. Baginda mangkat pada 1549 dengan digantikan oleh putera baginda bergelar Sultan Mansur Shah I hasil perkahwinan Baginda dengan Tun Terang, iaitu puteri kepada Tun Ali. Sultan Mahmud Shah mempunyai dua orang putera pewaris kesultanan Melayu. Seorang lagi putera telah di serahkan kepada kerajaan Johor-Riau yang menabalkan baginda dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564).
Hari ini, genap sudah Negeri Perak mempunyai Rajanya yang ke-35 serta merupakan satu-satunya pewaris Kesultanan Melayu Melaka yang asalnya daripada keturunan Bukit Siguntang di tanah Palembang.
Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan akan terus kekal makmur dan rakyat jelatanya hidup dengan aman dan damai di bawah naungan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
PENULIS ialah Dekan, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Hampir semua pengkaji sejarah Malaysia akan bersetuju bahawa Perak Darul Ridzuan adalah satu-satunya negeri Melayu yang mempunyai hubungan secara langsung dengan zuriat keturunan dan susur galur Kesultanan Melayu Melaka...
utusan online
Istiadat Tabal Adat Sultan Perak XXXV Berlangsung Penuh Tradisi
KUALA KANGSAR, 6 Mei (Bernama) -- Istiadat Tabal Adat bagi pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini hari ini dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Perak.
Istiadat Tabal Adat yang menandakan kesinambungan teraju pemerintahan Perak itu bermula dengan para jejawat yang membawa masuk masing-masing 16 lembing dan payung kerajaan mengambil tempat di kiri kanan Balairung Seri.
Paluan Nobat yang memainkan lagu 'Raja Berangkat' serentak mengiringi keberangkatan tiba Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang masing-masing lengkap berpakaian songket kuning diraja.
Terdahulu Sultan Nazrin Shah menerima Hormat Diraja yang diiringi lagu kebesaran negeri Perak Darul Ridzuan oleh pasukan pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia di dataran istana pada pukul 9 pagi.
Baginda kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat pasukan Rejimen Askar Jurutera Diraja Divisyen 2 sebelum istiadat tersebut diteruskan di Balairung Seri.
Sultan Nazrin Shah segak dengan persalinan yang dilengkapi, antaranya, tanjak, Rantai Bunga Nyiur (rantai panjang berkerawang seperti bunga nyiur yang dipakai bersilang) dan Pontoh Bernaga (sepasang gelang yang disarung di lengan kanan dan kiri Sultan Perak) manakala Tuanku Zara memakai antara lain tiara, Agok (kalung emas), Dokoh (perhiasan emas berpermata) dan Pontoh Ular Lidi - kesemuanya merupakan Perkakasan Kebesaran Kerajaan Negeri.
Pasangan diraja itu diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim menghadap Sultan Perak bagi memohon perkenan untuk memulakan istiadat disusuli bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Radhi Kamarul Hailan, yang merupakan tenaga pengajar al-Quran di Perak.
Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Datuk Dr Muhammad Afifi Al-Akiti yang menatang al-Quran diiringi seorang Panglima dan dua Bentara masuk ke Balairung Seri bagi mempersembahkan kitab suci itu kepada Sultan Nazrin Shah di singgahsana yang dihiasi bunga emas pada kiri dan kanannya.
Sultan Nazrin Shah kemudian mengucup al-Quran dan meletakkannya di atas tempat khas yang disediakan di sebelah kanan baginda.
Istiadat Tabal Adat diteruskan dengan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membaca Watikah Permasyhuran Pertabalan Sultan Perak yang ditatang oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim.
Sesuai pemasyhuran dibacakan, Raja Chik Muda Pawang Diraja mengambil peranan mempersembahkan Pedang Cura Simanja Kini kepada Sultan Perak, yang kemudian mencabut pedang itu daripada sarung sebelum mengucupnya.
Mohd Zahidi kemudian mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diikuti sekalian hadirin.
Sejurus itu, Nobat dipalu serentak dengan tembakan meriam 21 das dilepaskan.
Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik kemudian naik ke singgahsana mempersembahkan 'Mestika Embun' dan menyunting 'Cap Halilintar' (mohor yang diperbuat daripada perak) ke telinga kanan Sultan Perak sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' (asal-usul Sultan).
Selepas itu, istiadat Pemasyhuran Penganugerahan Gelaran Raja Permaisuri Perak diteruskan dengan bacaan watikah pemasyhuran oleh Mohd Zahidi.
Tuanku Zara Salim bangun menyembah Sultan Nazrin Shah yang kemudian menyemat 'Bunga Pencawa Pencara' di kepala Raja Permaisuri Perak.
Apabila selesai pengisytiharan dibacakan, sekali lagi Mohd Zahidi mengangkat sembah dan melaungkan 'Daulat' sebanyak tiga kali diikuti sekelian hadirin serta paluan nobat.
Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir masing-masing mempersembah ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan serta mewakili kerajaan dan rakyat. Sultan Nazrin Shah kemudian berkenan menyampaikan titah bersempena istiadat pertabalan baginda.
Istiadat Tabal Adat diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria diikuti Mohamad Othman menghadap Sultan Perak untuk menyembah istiadat selamat disempurnakan.
Turut berangkat menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Perak XXXV ialah bonda Sultan Nazrin Shah, Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman.
Keberangkatan keluar pasangan diraja dari Balairung Seri diiringi paluan Nobat lagu 'Raja Berangkat' menandakan Istiadat Tabal Adat Sultan Perak sempurna dijalankan.
Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak kemudian berangkat ke dewan santapan istana bagi majlis santapan tengah hari.
Pertabalan Sultan Perak XXXV, yang merangkumi enam istiadat utama iaitu Meletak Kerja, Tabal Adat, Tabal Pusaka, Menziarah Makam-makam Diraja, Mencecah Kaki di Beting Beras Basah dan Menutup Kerja, menonjolkan keunikan serta kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak 1528.
-- BERNAMA
Pertabalan penuh istiadat
07 Mei 2015
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengucup al-Quran di atas singahsana sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV di Istana Iskandariah, semalam. Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. bernama
KUALA KANGSAR 6 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selamat ditabal sebagai Sultan Perak Ke-35 dalam Istiadat Tabal Adat yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, sekali gus meneruskan legasi Kesultanan Melayu Perak yang terbina sejak 1528.
Istiadat pertabalan itu kembali berlangsung di Balairong Seri, Istana Iskandariah di sini selepas kali terakhir diadakan 30 tahun lalu ketika ayahanda Sultan Nazrin, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ditabal sebagai Sultan Perak Ke-34 pada 9 Disember 1985, selepas dimasyhurkan pada 3 Februari 1984.
Dalam Istiadat Tabal Adat yang bermula pukul 11.10 pagi itu, Tuanku Zara Salim turut dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak.
Terdahulu, Sultan Nazrin menerima hormat diraja dan memeriksa anggota kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Markas Dua Divisyen sambil diiringi lagu kebesaran negeri yang dimainkan oleh kumpulan Pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada pukul 9 pagi.
Baginda segak bergaya mengenakan persalinan rasmi lengkap dengan perkakasan kebesaran negeri termasuk tanjak, Pontoh Bernaga dan Rantai Bunga Nyiur manakala Tuanku Zara memakai tiara, Pontoh Ular Lidi, Agok dan Dokoh.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kemudian berangkat masuk serta bersemayam di atas singgahsana di Balairong Seri dengan didahului jejawat-jejawat istana membawa masuk kesemua 16 lembing dan 16 payung kerajaan berukir perak.
Sejurus itu, Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Ir. Mohamad Othman Zainal Azim dititah menghadap bagi memohon perkenan tuanku untuk memulakan istiadat.
Istiadat dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh Radzi Kamarul Hailan sebelum Timbalan Mufti, Zamri Hashim membawa masuk kitab suci al-Quran ke dalam Balairong Seri dan menyerahkannya kepada Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti untuk dipersembah kepada Sultan Nazrin lalu dikucup oleh baginda serta diletakkan di tempat khas.
Istiadat diteruskan dengan kehadiran Raja Chik Muda Pawang Diraja menatang Pedang Cura Si Manja Kini masuk ke dalam Balairong Seri dan dipersembah oleh Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin kepada Sultan Nazrin.
Sultan Nazrin kemudian berkenan menerima pedang tersebut yang dimiliki oleh Sang Sapurba dan diwarisi sejak Sultan Perak pertama, Sultan Mudzaffar Shah; lantas menghunus mata pedang serta mengucupnya.
Toh Seri Nara Diraja, Mohd. Shah Nong Chik kemudian menaiki singgahsana bagi mempersembah Mestika Embun serta menyunting Cap Halilintar ke telinga kanan Sultan Nazrin sambil membisikkan 'Rahsia Nisab Sultani' (asal-usul sultan) kepada baginda.
Selepas itu, Orang Kaya-Kaya Bendahara Seri Maharaja membaca pemasyhuran pertabalan Sultan Nazrin sebelum melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali berturut-turut diikuti sekalian yang hadir. Serentak itu, Nobat Tabal kembali bergema setelah hampir 30 tahun tidak dipalu seiring dengan 21 das tembakan meriam.
Istiadat diteruskan lagi dengan pemasyhuran Tuanku Zara sebagai Raja Permaisuri Perak setelah warkah pengisytiharan gelaran istiadat yang dibawa masuk oleh Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Ayob Hashim dengan diapit oleh dua bentara, dibaca oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.
Sultan Nazrin kemudian menyemat Bunga Pencawa Pencara ke rambut Tuanku Zara sebelum Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja melaungkan 'Daulat Tuanku' sebanyak tiga kali diikuti sekalian yang hadir serta diiringi oleh paluan nobat.
Sebaik sahaja selesai, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa mempersembah ucapan tahniah dan taat setia bagi pihak raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan sementara Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mewakili kerajaan dan rakyat.
Atur cara berkenaan diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria selepas Sultan Nazrin menyampaikan titah baginda selepas ditabal sebagai Sultan Perak.
Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda kemudian dititahkan semula menghadap bagi memohon perkenan untuk menutup istiadat tersebut.
Turut berangkat ke istiadat tersebut, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim dan Raja Permaisuri, Tuanku Bainun.
Istiadat berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri, Pengiran Anak Sarah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra; Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berangkat sama Tunku Besar Seri Menanti, Tengku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Tengku Seri Temenggong Terengganu, Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin
Sultan Badlishah, Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.
Yang turut hadir Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M. Jasni; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman dan menteri-menteri turut menyaksikan istiadat penuh bersejarah itu.
Pertabalan Sultan Perak Ke-35 melibatkan beberapa istiadat bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada Ahad lalu, diikuti Istiadat Tabal Adat, Istiadat Tabal Pusaka, Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak, Istiadat Menziarahi Makam-makam Diraja sebelum diakhiri Istiadat Menutup Kerja pada 17 Mei ini.
Selain itu, Santapan Pertabalan bagi meraikan raja-raja, pembesar-pembesar negeri dan sahabat baginda dari dalam dan luar negara akan diadakan pada 9 Mei ini.
utusan online
Panca Persada elemen penting istiadat pertabalan
7 Mei 2015
Panca Persada Perkerja kontrak giat membuat persiapan dan menghias Panca Persada yang terletak di perkarangan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar. - Foto Bernama
KUALA KANGSAR - Selain keunikan perjalanan adat resam Kesultanan Melayu pada Pertabalan Sultan Perak XXXV, Panca Persada menjadi antara dua elemen binaan penting bagi penyempurnaan istiadat penuh bersejarah itu.
Panca Persada adalah lantai tinggi bertingkat atau bertangga yang menjadi tempat duduk raja, dan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV, ia dibina di pekarangan Istana Iskandariah di sini.
Ia bakal menjadi tempat berlangsungnya Istiadat Bersiram Tabal, satu elemen dalam susunan upacara pada Istiadat Tabal Pusaka, yang diadakan hari ini mulai 8.30 malam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dipertanggungjawab untuk membina Panca Persada dengan konsep piramid berdasarkan gambaran yang sama dengan istiadat pertabalan Sultan Perak sebelum ini.
Pengarah JKR negeri, Datuk Ir Dr Safry Kamal Ahmad ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata, pihaknya telah melakarkan satu konsep piramid dengan ketinggian 11 tingkat berukuran 19.50 meter persegi dan ketinggian 6.70 meter persegi.
"Setiap tingkat akan disasarkan dengan warna bendera Perak iaitu putih, kuning dan hitam. Pada setiap tingkat akan diletakkan lampu warna-warni untuk menghias Panca Persada, iaitu simbol adat pertabalan.
"Bentuk Panca Persada sama seperti sebelum ini, cuma konsep kali ini menggunakan kubah keemasan seperti bentuk di Istana Iskandariah yang disokong empat tiang seri," kata Safry Kamal.
Menyentuh pembinaan Panca Persada beliau berkata, piramid itu dibuat menggunakan keluli bagi memastikan reka bentuknya kuat.
Selain itu, katanya hiasan luar Panca Persada dibuat daripada lapisan kayu biasa.
"Hanya lapisan kayu serta hiasan lampu LED yang digunakan untuk mencerahkan atau mengindahkan Panca Persada," katanya.
Safry Kamal berkata lakaran serta reka bentuk Panca Persada itu dihasilkan oleh arkitek dan jurutera JKR sejak Februari lepas.
"Saya amat berbangga kerana ia (Panca Persada) dilaksanakan tanpa melibatkan pihak luar. Sejumlah 35 tukang mahir termasuk pegawai, arkitek, jurutera bahagian kejuruteraan JKR dari seluruh daerah di Perak terlibat dalam pelaksanaan itu," katanya.
Beliau berkata, sebelum membina Panca Persada, pihaknya terlebih dahulu merujuk kepada orang lama yang pernah terlibat dengan istiadat pertabalan Sultan Perak terdahulu bagi memastikan kedudukan dan orientasinya menjurus ke arah kiblat.
Istiadat Memasak Tiang Seri Panca Persada merupakan adat yang dijalankan sebelum tiang utama Panca Persada daripada kayu khas bernama 'Sungkai' dipasakkan.
Pada zaman dahulu, Panca Persada dibina di tengah-tengah Sungai Perak namun kini ia didirikan di pekarangan Istana Iskandariah berbentuk empat persegi setinggi sembilan atau 11 tingkat, dan ia dikisar sekelilingnya dengan tangga.
Di kemuncaknya, terletak tempat bersemayam Paduka Seri Sultan dan Raja Perempuan yang berbumbung manakala siling serta tiang dibalut kain kuning dengan sekeliling tingkat digantung daun budi manakala tingkat kemuncak diulas dengan kain berwarna keemasan. - Bernama
sinar harian
Istiadat Mengambil Air Untuk Bersiram Tabal Berlangsung Penuh Tradisi
Khamis, 7 Mei 2015 12:09 PM
KUALA KANGSAR: Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin Shah diteruskan dengan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh Kuala Sungai Perak pagi ini yang berlangsung dengan penuh tertib mematuhi adat dan tradisi.
Upacara dimulakan dengan tujuh kenderaan tentera yang dihiasi kain kuning membawa perkakas istiadat dan rombongan berkenaan berarak dari Istana Iskandariah, Bukit Chandan dengan diiringi paluan nobat menuju ke jeti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), terletak di dataran tepi sungai, dan tiba pada pukul 9.30 pagi.
Rombongan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal yang diketuai oleh Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik membawa perkakas istiadat kemudian masuk ke dalam dua bot yang dihiasi kain kuning.
Selain Sungai Kangsar, air bersiram tabal diambil dari enam kuala sungai lain iaitu Sungai Chempias, Sungai Saiyong, Sungai Hitam, Sungai Chermin, Sungai Buaia dan Sungai Menora yang kemudian dimasukkan ke dalam geluk.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim bagaimanapun tidak menyertai istiadat mengambil air bersiram tabal.
Terdapat 16 biji geluk yang digunakan untuk mengisi air bagi Istiadat Bersiram Tabal. Geluk adalah buyung kecil yang diperbuat daripada emas dan perak, dan bagi upacara ini sebanyak lapan buyung perak dan lapan buyung emas digunakan.
Kesemua geluk diiringi dengan daun-daun kelapa muda berbentuk jari lipan, bekas perasap, bekas beras kunyit, bekas beras basah, bekas bertih, bekas tepung tawar, bekas air sintuk, bekas air limau dan bekas air bunga panca bicara.
Lagu 'Nobat Khamis' dipalu mengiringi pergerakan rombongan membawa perkakasan itu untuk Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dari anjung istana sehingga tiba di jeti MPKK yang dihiasi kain kuning dan bendera negeri Perak.
Istiadat mengambil air di kesemua tujuh kuala Sungai Perak disempurnakan dalam tempoh dua jam, dan selepas itu, 16 geluk yang berisi air berkenaan diarak ke Istana Iskandariah dengan iringan paluan nobat oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak.
Kesemua geluk terus dibawa ke Panca Persada 11 tingkat di perkarangan Istana yang menjadi tempat berlangsungnya Istiadat Bersiram Tabal pasangan diraja Perak pada malam ini, iaitu selepas selesai Istiadat Tabal Pusaka.
mstar online
Pasangan Diraja Perak Jalani Istiadat Tabal Pusaka
Jumaat, 8 Mei 2015
Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara Salim ketika upacara 'Adat Bersiram Tabal' di puncak Panca Persada sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, malam Khamis. - fotoBERNAMA
KUALA KANGSAR: Balairung Seri Istana Iskandariah sekali lagi menjadi saksi detik bersejarah berlangsungnya Istiadat Tabal Pusaka malam Khamis sempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV di sini.
Istiadat Tabal Pusaka adalah upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin Shah.
Upacara dimulakan dengan 16 jejawat perempuan membawa lilin masuk mengambil tempat di Balairung Seri diikuti Bentara perempuan membawa masuk Perkakas Istiadat Merenjis untuk diletakkan di atas meja khas di kiri dan kanan tempat persemayaman.
Ia disusuli dengan Istiadat Membawa Masuk Perkakas Kerajaan yang diketuai cucunda Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Yang Mulia Abdul Latif Datuk Seri Mohd Salleh, yang juga anakanda saudara Sultan Nazrin Shah, diikuti sida-sida dan biduanda-biduanda.
Kemudian jejawat-jejawat yang membawa masuk Lembing dan Payung Kerajaan mengambil tempat di Balairung Seri.
Suasana hening menyelubungi Balairung Seri sebaik Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melangkah masuk ke dalam Balairung Seri diiringi paluan nobat.
Istiadat diteruskan dengan Abdul Latiff menghadap dan mempersembahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Perak yang kemudian meriba pedang itu.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim berangkat menuju ke Bilik Kesenangan selepas selesai Istiadat Bersiram Tabal di Panca Persada, Istana Iskandariah di sini, malam Khamis. - fotoBERNAMA
Raja Chik Muda Pawang Diraja Raja Rosli Raja Mohamad mengangkat sembah pohon limpah perkenan Sultan Perak untuk memulakan istiadat memulih perkakas kerajaan dan perkakas nobat diraja.
Kemudian Istiadat Merenjis Tepung Tawar dimulakan oleh Raja Rosli yang merenjis tepung tawar Sultan Perak dan Raja Permaisuri, disusuli terhadap perkakas kerajaan.
Sejurus itu sida-sida dan biduanda yang membawa perkakas kerajaan bergilir-gilir menghadap Sultan Perak dan Raja Permaisuri, diikuti Toh Setia Guna bersama Orang Kalor membawa masuk perkakas nobat menghadap pasangan diraja itu.
Upacara merenjis tepung tawar diakhiri dengan bacaan doa dan Raja Rosli menghadap serta mengambil Pedang Cura Si Manja Kini daripada Sultan Nazrin Shah.
Kemudian Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara beredar ke kawasan Panca Persada untuk memulakan Istiadat Bersiram Tabal.
Seusai istiadat itu pasangan diraja berangkat ke Bilik Kesenangan di dalam istana.
Istiadat Santapan Nasi Berastakona di Balairung Seri mengakhiri Istiadat Tabal Pusaka.
Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak kemudian berangkat ke dewan santapan untuk menghadiri majlis santapan malam.
mstar online
Sultan Nazrin Shah, Tuanku Zara Ziarah Makam Tok Temong
Jumaat, 8 Mei 2015
KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat menziarahi makam Tok Temong di Kati di sini, Jumaat bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.
Pasangan diraja itu tiba di lokasi makam pertama pada kira-kira 9 pagi.
Majlis tahlil dan bacaan doa selamat serta kenduri arwah diadakan dengan dipimpin Orang Kaya Imam Paduka Tuan Dr Muhammad Aifi Al-Akiti.
Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri kemudian menyiramkan air mawar serta menaburkan bunga ke atas makam berkenaan.
Tok Temong, atau nama asalnya Tok Perabu, adalah seorang pembesar wanita yang berkuasa memerintah Temong di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I (1528-1549) dan dipercayai berkuasa sebelum pemerintahan sultan berkenaan.
Sementara suaminya ialah Tok Pelanduk dan abangnya Tun Saban adalah pembesar yang berkuasa memerintah Hulu Perak.
Menurut Hikayat Perak, semasa pertabalan Sultan Muzaffar Shah I di Tanah Abang, Tok Temong menghadiahkan 'Geliga Embun' kepada sultan dan ia kini menjadi antara alat kebesaran diraja Perak.
Menurut hikayat itu lagi, tarikh sebenar kematian Tok Temong tidak diketahui tetapi dipercayai meninggal dunia dan dimakamkan di Temong.
Sehingga kini makam beliau menjadi antara makam yang perlu diziarah oleh Sultan Perak yang baharu ditabal.
mstar online
Tuanku Zara Salim Bergelar Raja Permaisuri Perak
6 Mei 2015
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyematkan 'Bunga Pencawa Pencara' di kepala Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada Istiadat Pertabalan Adat di Istana Iskandariah hari ini. - Foto BERNAMA
DILAHIRKAN pada 22 Mac 1973, di Ipoh, Perak, Tuanku Zara merupakan anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan Datuk Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Tan Sri Syed Omar Shahabudin.
Tuanku Zara mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Ipoh dan peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Ipoh sebelum meneruskan pengajian peringkat A-Level di Prime College, Kuala Lumpur.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham, United Kingdom dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Sekembalinya dari United Kingdom pada 1995, Tuanku Zara bertugas di Petronas selama enam tahun sebelum berkhidmat di Formis Malaysia Berhad, sebuah syarikat teknologi maklumat.
Pada 2005, baginda menjawat jawatan Pengarah Urusan di Forthwave Consulting Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding hidrokarbon.
Tuanku Zara merupakan seorang yang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan sewaktu di bangku sekolah, pernah mewakili Perak dalam sukan renang.
Baginda telah diijabkabulkan dengan Sultan Nazrin Shah pada 17 Mei 2007 dan pada 18 Mei 2014, Tuanku Zara dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak.
Baginda dikurniakan dua orang cahaya mata, seorang putera iaitu Raja Azlan Muzaffar Shah dan seorang puteri, Raja Nazira Safya.
Sejenis orkid hibrid berwarna ungu telah dinamakan ‘Dendrobium Tuanku Zara Salim’ bersempena keberangkatan lawatan baginda ke Festival Orkid Antarabangsa ketujuh pada 9 Julai 2007.
Pada 1 Jan 2012, Tuanku Zara dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan baginda juga adalah Penaung Persatuan Kesihatan Keluarga Perak, Convent Girls Alumni serta Pandu Puteri Negeri Perak.- BERNAMA
mynewshub
nice sharing
ReplyDelete