6 Mei : Istiadat Pertabalan Sultan Perak


Cuti Umum 6 Mei Sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak

29 April 2015 


Dr Zambry Abdul Kadir bersama Sultan Nazrin Shah (kiri).


IPOH: Kerajaan Negeri Perak mengumumkan cuti umum pada 6 Mei bersempena istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV (ke-35).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

"Berhubung upacara pertabalan nanti, hanya akan diumumkan oleh Tan Sri Bendahara (Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin)," katanya kepada pemberita.

Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak disusuli dengan pemasyhuran gelaran Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.

Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara Salim sebanyak tiga kali.

mstar online


1,500 anggota polis kawal Istiadat Pertabalan Sultan Perak
27 April 2015 


IPOH 27 April - Polis akan menempatkan sejumlah 1,546 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan serta lalu lintas bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV, Sultan Nazrin Shah yang berlangsung dari 3 Mei hingga 17 Mei ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, sejumlah 1,347 anggota dan 199 pegawai di negeri ini akan bertugas bersempena istiadat pertabalan itu membabitkan semua jabatan termasuk Pasukan Gerakan Am Briged Utara, Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh, Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5 Ipoh serta Polis Marin Kampung Acheh.

“Lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turut terlibat secara langsung bersempena istiadat pertabalan berkenaan iaitu Kuala Kangsar, Ipoh, Kampar, Perak Tengah dan Hilir Perak.

“Tanggungjawab dan penugasan PDRM bersempena istiadat pertabalan adalah bagi memastikan keselamatan kesemua VVIP (orang kenamaan) dan orang awam terjamin serta lalu lintas berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat berhubung istiadat pertabalan Sultan Perak ke-35 itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Osman berkata, pihaknya menugaskan pegawai dan anggota secukupnya untuk istiadat pertabalan itu, termasuk mendapatkan bantuan polis trafik daripada kontinjen negeri lain.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya belum menerima maklumat berhubung bentuk ancaman yang dijangka boleh mengganggu-gugat keselamatan negeri Perak dan istiadat pertabalan itu.

“Namun begitu, PDRM sentiasa berwaspada serta peka terhadap sebarang insiden yang berlaku dan sentiasa mengambil langkah yang pro aktif bagi menjamin keselamatan kesemua pembesar negara selain memastikan istiadat pertabalan berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran lalu lintas bersempena istiadat bersejarah berkenaan, Osman berkata, pihaknya menyediakan beberapa laluan protokol dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, hotel penginapan VVIP serta laluan ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Beliau berkata, pada 6 dan 9 Mei, beberapa lencongan jalan akan turut dibuat terutama di Ipoh bagi melancarkan perarakan kereta dan tiba mengikut protokol serta masa yang ditetapkan.

“Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dinasihati agar menggunakan Jalan Persekutuan dan tidak menggunakan lebuh raya tersebut dari Plaza Tol Ipoh Utara menghala ke Kuala Kangsar pada 6 Mei nanti bersempena istiadat pertabalan dari jam 7 hingga 9 pagi.

“Pada 7 Mei pula, laluan yang sama tidak boleh digunakan bagi memberi laluan protokol kepada pembesar negara menghadiri Majlis Santapan Diraja bersempena istiadat pertabalan tersebut,” katanya.

Osman berkata, orang ramai boleh menyertai Majlis Bersama Rakyat di Padang Sekolah Menengah Abdul Rahman Yaakub, Bota Kanan pada 11 Mei, Kampung Gajah (12 Mei) serta Arena Square di Teluk Intan (13 Mei), dan mereka dikehendaki mematuhi arahan dan panduan lalu lintas serta lokasi meletak kenderaan yang ditetapkan.

Beliau juga berkata, orang ramai yang ingin menyaksikan Larian Pertabalan dan Pertunjukan Tatu pada 16 Mei dinasihatkan supaya berkongsi kereta serta mematuhi arahan dan panduan pihak polis.

“Bagi mengelak kesesakan lalu lintas, orang ramai dinasihati hadir melihat raptai kedua-dua acara berkenaan pada 14 Mei,” katanya. - Bernama

bernama

Comments