Putrajaya : Kota Pentadbiran Negara



Putrajaya bukan sekadar pusat pentadbiran
Wartawan Sinar Harian
16 Oktober 2014

Dari kiri: Abd Jalil, Aseh, Muhammad Nasir dan Hashim ketika sesi wawancara baru-baru ini. Dari kiri: Abd Jalil, Aseh, Muhammad Nasir dan Hashim ketika sesi wawancara baru-baru ini.


TAN Sri Aseh Che Mat jarang-jarang ada masa terluang untuk bersantai, baik di pejabat mahu pun di kediamannya. Sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), jadual hariannya sentiasa padat, tidak kira hari kerja atau hujung minggu. Beliau tidak percaya kerja hanya terhad 9 pagi hingga 5 petang, sebaliknya ada ketikanya beliau bekerja hingga lewat malam, bukan sahaja di pejabat tetapi juga di luar pejabat bersama warga Putrajaya.

Selepas waktu pejabat petang Jumaat itu, Tan Sri perlu menemui wakil-wakil persatuan penduduk, satu acara tetap yang mesti dihadiri. Walau padat dengan acara, beliau memberi waktu kira-kira sejam untuk berwawancara dengan Sinar Harian.

Dalam perbualan yang diselang-seli dengan beberapa panggilan telefon itu, Tan Sri menerangkan cita-citanya untuk mentadbir Putrajaya kepada Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Muhammad Nasir Hamzah; Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali; dan Pengurus Tugas-Tugas Khas, Hashim Anang. Berikut sebahagian perbualan tersebut:

Sejak mula diteroka dan dibangunkan pada 1995, sejauh mana Putrajaya telah menepati matlamat asal untuk menjadi pusat pentadbiran dan kawasan perumahan baharu, menggantikan Kuala Lumpur?
Sejak mula dibangunkan kira-kira dua dekad lalu, pada hemat saya boleh dikatakan semuanya sudah disiapkan seperti perancangan awal. Putrajaya yang dulu kawasan ladang getah dan kelapa sawit, kini tersergam menjadi bandar bestari, bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran tetapi juga tempat tinggal yang selesa dan serba moden.

Sebahagian besar pembangunan sudah siap, kini Parcel F sedang pesat dibangunkan, antaranya akan menempatkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila Parcel ini siap sepenuhnya nanti, lengkaplah Putrajaya seperti pelan induk asal, insya-ALLAH.

Sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Pusat, boleh dikatakan semua kementerian dan jabatan kerajaan yang dahulunya terletak di pusat bandar raya Kuala Lumpur, kini sudah berpindah ke Putrajaya, kecuali Kementerian Pertahanan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan Jabatan Kerja Raya yang dikekalkan di KL. Dengan semua operasi pentadbiran kerajaan terletak di satu tempat, tentulah perkhidmatan kepada orang ramai akan dapat ditingkatkan. Penjawat awam akan menjadi lebih cekap.

Selain pemindahan kementerian dan jabatan kerajaan dari KL ke Putrajaya, apakah pejabat-pejabat kedutaan asing juga perlu berada di sini?
Itulah harapan kita. Selain pejabat kerajaan, kami juga sedang berunding dengan pihak kedutaan asing supaya memindahkan pejabat masing-masing di sini. Sebenarnya pihak PPj memang memperuntukkan satu Kawasan Diplomatik Putrajaya yang akan menempatkan pejabat kedutaan-kedutaan asing.

Kami menyediakan lot-lot tanah yang boleh dibeli oleh kedutaan asing untuk mendirikan pajabat masing-masing. Tiap-tiap satu lot luasnya lebih kurang dua hektar, sekiranya perlu mereka boleh membeli lebih daripada satu lot.

Setakat ini, sambutan amat memberangsangkan. Antara kedutaan yang telah menempah lot-lot yang disediakan ialah Kuwait, Syria, Kazakhstan, Senegal, Vietnam, Indonesia, Nigeria, Afghanistan, Republik Guinea, Zambia, Brunei, Filipina, Qatar, Mesir, Pakistan, Iraq, Arab Saudi, Oman, Iran, Cambodia, Libya, UAE, Turki, Sri Lanka, Bangladesh, Nepal, Ghana, Sudan dan Yaman.

Saya percaya dalam waktu terdekat ini banyak lagi kedutaan asing akan menempah lot-lot yang disediakan. Apabila lebih banyak pejabat-pejabat kedutaan asing berpindah ke sini jalinan kerjasama dan networking akan menjadi lebih mudah.

Apakah kemudahan dan insentif yang diberikan kepada kedutaan-kedutaan asing untuk memindahkan operasi mereka ke sini, memandangkan sebahagian mereka sudah lama bertapak di KL?
Mereka berpindah untuk kemudahan jangka panjang. Tidak ada apa-apa insentif, tetapi kami menyediakan kawasan yang tersusun dan dengan suasana dan alam keliling yang lebih kondusif. Cuma mereka ada mencadangkan dan meminta dipertimbangkan beberapa kemudahan asas lain sebagai nilai tambah perpindahan ke sini.

Antaranya mereka meminta supaya ditambah sekolah antarabangsa (international school) untuk kemudahan anak-anak kakitangan kedutaan. Kita memang menyedari keperluan ini. Sebenarnya sudah ada sebuah sekolah antarabangsa di sini, iaitu Nexus.

Sebuah lagi sekolah antarabangsa, International Arab School telah pun beroperasi, dan kini menempatkan lebih 1,000 pelajar dari 39 buah negara. Untuk masa depan, sekiranya ada keperluan, kita akan mewujudkan lagi sekolah antarabangsa.

Mereka juga meminta ditambah hospital swasta di sini. Memang kami menjangka dengan penduduk yang terus bertambah, keperluan perkhidmatan kasihatan dan perubatan pasti meningkat. Ini pun sedang kami usahakan dengan beberapa penggendali hospital swasta.

Sekarang, selain hospital awam Putrajaya, kita ada Pusat Barah. Kita juga sedang berbincang dengan Johns Hopkins University untuk mendirikan sebuah lagi hospital swasta di sini. Salah satu sebab utama mewujudkan Putrajaya ialah untuk mengurangkan kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas yang dialami di KL. Kini kesesakan kenderaan mula dirasakan di Putrajaya, terutama waktu pagi dan petang.

Apa perancangan jangka panjang untuk mengatasi masalah ini?
Untuk mengekalkan keselesaan, kita kena seimbangkan pertumbuhan penduduk dengan prasarana, termasuk masalah pengangkutan awam. Sejak awal kita telah memberi perhatian kepada pengangkutan awam, untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Penduduk tetap Putrajaya sekarang ialah sekitar 89,700 orang, sementara setiap hari mereka yang masuk dan keluar untuk tujuan bekerja dan lain-lain urusan ialah sekitar 150,000. Dengan jumlah penduduk sekarang, masalah pengangkutan awam sebenarnya tidak wujud.

Untuk kegunaan awam kita ada lebih 100 buah bas untuk memenuhi permintaan. Itu sebenarnya lebih daripada cukup, tidak ada masalah untuk bergerak menggunakan bas. Tetapi biasalah orang kita lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri. Kita sediakan bas pun mereka naik kereta.

Sebab itu memang ada sedikit kesesakan waktu hendak ke pejabat pagi, dan balik dari pejabat petang. Tetapi keadaan ini tidak seteruk pusat bandar Kuala Lumpur, dan bukan cabaran utama kepada kita.
Kita menjangka dalam tempoh sepuluh tahun akan datang penduduk tetap di sini melebihi 200,000. Ini adalah cabaran buat kita. Sekiranya tidak dilakukan sesuatu dari sekarang, Putrajaya akan menjadi sesak seperti KL hari ini.

Kita telah merancang untuk mengatasi masalah pengangkutan, sama ada bagi mereka yang menetap di sini atau mereka yang berurusan di sini. Sekarang sudah ada perkhidmatan ERL yang menghubungkan Putrajaya dengan KL dengan pantas dan menepati waktu.

Tidak lama lagi akan ada pula MRT line 2 yang menghubungkan bandar ini dengan kawasan luar. Untuk menambahkan lagi keselesaan sistem monorail juga akan diperkenalkan. Malah kereta api laju hingga ke Singapura juga termasuk dalam rancangan jangka panjang. Semua ini adalah untuk mengatasi permintaan pengangkutan awam yang pasti akan meningkat.

Adakah pertambahan kenderaan serta pelepasan asap yang tidak dikawal akan menjejaskan kualiti udara dan alam sekitar di bandar ini?
Sejak diamanahkan mengetuai pentadbiran PPj, masalah asap kenderaan adalah antara perkara yang sentiasa ada dalam fikiran saya. Saya berazam untuk mengawal udara daripada dicemari teruk oleh asap kenderaan. Saya tahu ini bukan kerja mudah dan memerlukan kerjasama daripada semua orang.

Saya menggalakkan orang ramai, khasnya penjawat awam beralih kepada kenderaan elektrik. Kalau mereka hendak beli kereta baharu, bertukar kepada yang menggunakan elektrik, dan tidak lagi petrol atau diesel. Ada beberapa jenama kereta elektrik yang bagus dengan harga berpatutan.

Untuk menarik minat umum kepada kenderaan elektrik, Putrajaya akan menganjurkan perlumbaan kereta elektrik atau FE. Ini adalah perlumbaan bertaraf dunia, sama seperti Formula-1. FE pertama diadakan di Beijing tahun lalu. Yang kedua akan diadakan di Putrajaya, November ini.

Gelanggang untuk FE sedang dibina, dan hampir siap. Kita adalah antara 10 negara yang diberikan hak untuk penganjuran FE. Selain meningkatkan minat umum terhadap kenderaan elektrik, FE juga akan menarik pelancong dan mempromosi Malaysia menerusi lebih 100 stesen TV seluruh dunia. Juga mempopularkan kenderaan elektrik, kita akan menyediakan kenderaan seperti ‘buggy’ bertenaga elektrik yang boleh disewa oleh pengunjung untuk bersiar dan melihat keindahan seluruh Putrajaya.

Sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Pusat, apakah Putrajaya mempunyai rumah yang cukup untuk warganya yang terus meningkat, khasnya bagi kakitangan awam yang berkhidmat di sini?
Di mana-mana pun perumahan memang selalu menjadi isu. Putrajaya tidak terkecuali. Saya menjangka menjelang 2020, perumahan akan menjadi satu masalah, terutama dalam kalangan kakitangan awam.

Saya bersimpati kepada kakitangan awam, termasuk yang berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli rumah di kawasan ini sebab harga yang tinggi. Kakitangan awam berpendapatan rendah sukar untuk memiliki harta di sini.

Menyedari hakikat ini saya mengemukakan cadangan dan telah diluluskan, untuk mewujudkan skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). Satu kawasan seluas 50 – 60 hektar telah dikenal pasti untuk tujuan ini. Kita menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding projek perumahan swasta. Kita betul-betul hendak membantu penjawat awam.

Untuk unit kediaman dengan keluasan 1,000 kaki persegi, kita tawarkan pada harga RM200,000. Kita akan membina 10,000 unit untuk jenis ini. Bagi yang berpendapatan rendah kita akan membina unit kediaman 800 kaki persegi, pada harga hanya RM90,000. Selain itu, ada 150 lot untuk banglo dan rumah berkembar.

PPA1M adalah skim yang membolehkan penjawat awam, termasuk yang berpendapatan rendah, memiliki harta di kawasan terbaik. Untuk mengelakkan spekulasi harga, pembeli tidak dibenarkan menjual rumah mereka untuk tempoh 10 tahun.

Sebagai Presiden PPj, apa hasrat Tan Sri untuk menjadikan Putrajaya berperanan lebih dari sekadar pusat pentadbiran Kerajaan Pusat?
Walaupun secara keseluruhan pembangunan dan prasarana Putrajaya menepati pelan induk asal, dari semasa ke semasa usaha mesti diteruskan untuk menjadikan kawasan ini sentiasa relevan dengan kehendak dan perubahan masa. Saya berhasrat untuk sentiasa menambah baik keadaan sedia ada.

Saya antara pegawai kerajaan yang mula-mula datang ke sini, iaitu ketika menjawat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Pada masa itu semua masih seadanya sahaja, sekolah hanya sebuah dua. Hari ini, kita sudah ada berpuluh sekolah, bangunan cantik di sana-sini. Tetapi bagi saya ini belum cukup.

Umum menganggap Putrajaya sebagai pejabat dan pusat pentadbiran yang hanya ‘hidup’ pada hari-hari kerja, dan menjadi lenggang pada hari-hari tidak kerja. Pada saya ini persepsi yang tidak tepat sama sekali. Putrajaya perlu hidup sepanjang masa. Ia bukan sahaja tempat kerja tetapi sebuah perbandaran untuk tempat tinggal dan komuniti yang aktif.

Bagi saya, sama ada waktu kerja atau tidak, tempat ini perlu diceriakan. Hal pembangunan dan prasarana memang telah disiapkan, tetapi hal-hal komersial perlu ditingkatkan. Ambil boulevard Putrajaya sebagai contoh, ruang sepanjang 4.2 kilometer (km) ini mesti digiatkan dengan pelbagai kegiatan komersial dan event.

Kita perlu adakan jenama-jenama terkenal antarabangsa di situ. Paris boulevard panjangnya 2.4km tetapi ceria 24 jam. Dari segi event, dataran sepanjang 4.2km itu sudah menampakkan kemajuan. Boleh dikatakan setiap hujung minggu dan musim cuti ada sahaja acara umum berlangsung di situ dengan ribuan pengunjung. Ada aktiviti riadah, jualan dan sebagainya.

Pada saya, acara-acara hiburan pun tidak mengapa asalkan tidak terpesong daripada adat dan kesopanan Malaysia. Lagipun kita kena penuhi kehendak dan selera generasi masa kini dan kawal supaya tidak melampaui batas.

Satu lagi contoh ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Pihak Perbadanan mengambil alih pengurusan PICC dan kita buat secara komersial. Semua kemudahan ada di pusat ini. Siapa yang ingin mengadakan majlis boleh sewa daripada kita. Kita membuat pendekatan komersial, banyak tempahan daripada orang awam. PICC sekarang boleh buat duit.

Salah satu ciri utama yang ditekankan dalam program pembangunan Putrajaya ialah kehijauan alam sekitar. Apakah jaminan pihak Perbadanan bahawa pembangunan pesat masa depan tidak menjejaskan kehijauan kawasan ini?
Bagi saya mengekalkan kehijauan bukanlah satu isu, selagi kita mematuhi semua syarat yang ditetapkan dalam pelan asal. Seperti yang ditetapkan dalam pelan induk, 38 peratus dari keluasan Putrajaya adalah kawasan untuk taman dan kehijauan. Ini akan memastikan Putrajaya terus menjadi bandar dalam taman.

Kita serius dalam memastikan kehijauan sekeliling. Kita ada Taman Wetland yang menjadi tarikan pengunjung. Kita juga ada Taman Botani dan 13 taman tema yang lain. Semua ini dijaga dengan baik untuk mengekalkan kehijauan dan kelembapan ekologi.

Usaha menghijaukan memang telah lama dilaksanakan. Bagi saya hijau sahaja tidak cukup, mesti ada warna warni. Saya mahu banyakkan bunga-bungaan. Setiap bulan kita tukar bunga, supaya nampak berseri sepanjang masa. Saya pastikan bunga dan tumbuhan lain dijaga, daun yang gugur perlu dibersihkan.

Kita telah naik taraf Pesta Floria yang menjadi acara tahunan sebelum ini. Sekarang acara bunga-bungaan itu kita namakan ‘Floria Diraja’, dan sebuah tapak kekal seluas 29 hektar telah dikhaskan untuk kegiatan sepanjang tahun. Pesta ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Kita juga ada Tasik Putrajaya, iaitu tasik buatan manusia seluas 600 hektar yang berfungsi sebagai pengimbang suhu (climate moderator). Orang ramai boleh berkayak dan memancing di sini. Kita menjaga dan menguruskan begitu rapi untuk memastikan air tasik ini sentiasa jernih dan tidak tercemar. Kita tidak benarkan kegiatan mencuci kenderaan di kawasan sekitar tasik, bimbang kekotoran masuk tasik.

Apakah masalah dan isu orang ramai yang selalu diadukan kepada PPj, dan bagaimana Tan Sri melayani rungutan mereka?
Saya selalu percaya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kita perlu mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pelanggan. Dalam kes PPj, pelanggan kita adalah orang ramai, khasnya mereka yang menetap di sini. Saya kena tahu apa masalah mereka dan apa yang mereka harapkan daripada kita.

Sebab itu, saya adakan sesi pertemuan bersama mereka, saya namakan Hari Bersama Presiden PPj, yang diadakan setiap hari Rabu, jam 9.00 pagi sehingga tengah hari. Saya sendiri turun ke bawah dan bertemu mereka. Kita buat secara santai dan mesra, ada makan nasi lemak, ada teh tarik.

Kali pertama sesi ini diadakan, saya ada 36 temu janji dengan mereka. Saya layan seorang demi seorang, mendengar semua keluhan mereka. Macam-macam masalah yang mereka beritahu, termasuk hal-hal parit tersumbat, lampu jalan tidak menyala. Gangguan anjing jiran pun mereka adukan kepada saya.

Apa yang kita dengar dari mereka, kita bertindak segera. Masalah-masalah seperti longkang dan lampu kita atasi serta-merta. Kita telah tubuhkan satu pasukan khas yang bertugas 24 jam untuk menerima apa-apa aduan setempat. Saya diberitahu dari semasa ke semasa apa yang terjadi dan mencari jalan mengatasinya.

Sekarang sesi bersama orang ramai tidak lagi mengenai aduan parit, lampu dan sebagainya, sebaliknya mereka memberi berbagai-bagai cadangan kreatif, termasuk program-program yang patut dijalankan di sini. Pendek kata, sesi dengan orang ramai memberi manfaat bukan sahaja kepada PPj tetapi kepada orang ramai.

Memang kerja kita nampak semakin banyak, tetapi saya tidak menambah kakitangan. Saya percaya boleh melakukan dengan staf yang ada. Kita suntikkan semangat dan motivasi kerja, terapkan nilai-nilai murni bekerja sebagai amanah. Walaupun kerja bertambah mereka rasa seronok.

sinar harian


Perutusan Upacara Menandatangani Perjanjian Penubuhan Putrajaya

Ucapan oleh: Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad.
Tempat : Pejabat Perdana Menteri, Kuala Lumpur
Tarikh : 20 Julai 1995
Tajuk : Upacara Menandatangani Perjanjian Penubuhan Putrajaya.

Syukur alhamdulillah, berkat kemakmuran yang dikecapi oleh negara selama ini, satu lagi lembaran sejarah tercipta apabila Kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru di Daerah Sepang, Selangor.

2. Keputusan Kerajaan ini sebenarnya telah dibuat pada 2 Jun 1993 apabila Jemaah Menteri bersetuju untuk memindahkan pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan yang pada masa ini berselerak di sana sini di sekitar ibu negara ke satu kawasan lain di mana perancangan pembangunannya dapat dibuat dengan lebih teratur dan berkesan.

3. Beberapa faktor utama telah mendorong pihak Kerajaan untuk membuat keputusan tersebut.

4. Kuala Lumpur, ibukota Malaysia, adalah sebuah bandaraya yang telah berkembang pesat dan mencapai pelbagai kemajuan. Walaupun ia dibangun sejak dahulu lagi sebagai pusat pentadbiran, hari ini ia sudah menjadi pusat dagangan yang terbesar di Malaysia. Dalam pada itu ia masih perlu berlumba dan bersaing dengan ibukota- ibukota negara-negara jiran untuk menarik lebih banyak syarikat dagangan yang besar mendirikan `regional headquarters' mereka di sini.

5. Memandangkan bahawa Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan mempunyai kawasan yang terhad, adalah sukar baginya membesar untuk memberi tempat dan keselesaan kepada aktiviti-aktiviti komersil yang semakin rancak. Kualiti hidup di Kuala Lumpur juga akan menurun jika ia terlalu sesak dengan bangunan-bangunan dan kenderaan- kenderaan.

6. Aktiviti komersil tidak mudah dipindah-pindah kerana ini adalah bidang swasta. Lagipun Kerajaan berpendapat tumpuan kepada Kuala Lumpur oleh syarikat-syarikat gergasi adalah penting jika ianya hendak mendapat pengiktirafan oleh dunia antarabangsa sebagai satu daripada bandar dagangan terkemuka di Asia.

7. Sebaliknya Kerajaan lebih mudah membuat keputusan berkenaan dengan lokasi pejabat-pejabatnya. Pada masa ini pejabat-pejabat Kerajaan Pusat berkecamuk di banyak lokasi di Kuala Lumpur. Dan banyak pula daripada pejabat ini disewa daripada swasta. Dengan itu kementerian-kementerian umpamanya terpaksa berkongsi ruang dengan penyewa-penyewa lain. Dengan sensitifnya urusan-urusan Kerajaan, keadaan ini tidaklah begitu baik.

8. Pada tahun 1993, setelah beberapa tahun perbincangan, Kabinet membuat keputusan untuk memindahkan beberapa aktiviti pentadbirannya ke satu pusat khas. Keputusan juga dibuat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibukota dagangan atau `commercial capital' bagi Malaysia.

9. Daripada beberapa tempat yang dikaji dan ditinjau di Selangor, Negeri Sembilan dan Perak, Kerajaan telah memilih Perang Besar kerana ianya dekat dengan Kuala Lumpur dan terletak di antara Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang yang baru di Sepang, dengan jarak yang lebih kurang sama.

10. Perancangan yang teliti telah dibuat oleh satu konsortium empat belas arkitek Malaysia dengan diketuai oleh arkitek Jabatan Kerja Raya. Ibukota pentadbiran ini dirancang untuk menjadi sebahagian daripada `Multimedia Super Corridor' yang menyambungi lapangan terbang antarabangsa baru di Selatan dan Kuala Lumpur di Utara dengan mempunyai semua kemudahan yang tercanggih dan terkini.

11. Pembiayaan projek ini tidak akan membebankan negara kerana cara-cara `financing' yang tertentu akan digunakan. Sebahagian daripada wang yang diperlukan sudah pun diadakan kerana beberapa projek bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur telah ditangguh untuk dibina di Pusat Pentadbiran baru ini.

12. Pembinaan Pusat Pentadbiran ini adalah juga satu pelaburan yang besar oleh Kerajaan Pusat dan akan membawa banyak manfaat kepada Kawasan Perang Besar dan sekitarnya. Bersama dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang ia akan membawa pembangunan yang pesat kepada wilayah yang terpencil ini. Hari ini pun penduduk berdekatan sudah menikmati banyak rahmat.

13. Memandangkan bahawa Putrajaya adalah sebahagian dari ibukota sebuah negara maka Kerajaan berpendapat ianya eloklah diberi nama yang ada kaitan dengan sejarah Malaysia yang merdeka. Dengan itu pusat pentadbiran Malaysia ini diberi nama Putrajaya bagi mengingati Bapa Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

14. Justeru itu, pada hari ini, 20 Julai 1995 bersamaan 22 Safar 1416, segala hasrat Kerajaan ini akan dimetrikan di Upacara Menandatangani Perjanjian Berhubung Dengan Penubuhan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor. Perjanjian ini juga merupakan satu detik sejarah yang mana persetujuan yang dicapai mengikut Fasa (8) perkara 83 Perlembagaan Persekutuan, akan membolehkan Putrajaya di dalam Daerah Sepang di Negeri Selangor diwujudkan sebagai satu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baru.

15. Melalui perjanjian ini juga satu perbadanan yang diberi nama Perbadanan Putrajaya akan ditubuhkan di bawah Akta Parlimen untuk mentadbir dan menguruskan segala usaha pembangunan serta perkara-perkara yang berkaitan bagi pihak Kerajaan Persekutuan. Perbadanan Putrajaya akan mempunyai fungsi-fungsi eksekutif, tanah, pembangunan, protokol dan fungsi-fungsi pihak berkuasa tempatan bagi memastikan Putrajaya dapat dibangunkan selaras dengan hasrat dan aspirasi Kerajaan untuk menjadikannya bandaraya terunggul serta mencapai matlamat Wawasan 2020.

16. Segala usaha untuk memakmurkan negara memerlukan pengorbanan serta penggemblengan tenaga yang menyeluruh. Untuk itu, Kerajaan Persekutuan merakamkan terima kasih yang tidak terhingga serta sembah takzim kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj, Sultan Selangor Darul Ehsan, atas kesudian Baginda untuk memperkenankan perjanjian ini dimetrikan. Kerajaan Persekutuan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh rakyatnya atas segala kerjasama serta kerelaan berkongsi pelbagai kenikmatan yang bakal wujud dengan termetrinya perjanjian ini serta terbangunnya Putrajaya.

17. Sesungguhnya, majlis yang penuh makna ini adalah satu ukiran sejarah yang akan merealisasikan pembangunan Putrajaya sebagai antara kemuncak pencapaian negara menjelang abad ke-21 dan ini adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan ke arah memenuhi Wawasan 2020.

wikisource

Foto Sejarah Putrajaya


Signing ceremony between Federal Government and State of Selangor Darul Ehsan


Kelihatan Presiden pertama Perbadanan Putrajaya(PPj), YBhg Tan Sri Datuk Seri Azizan Zainul Abidin dan juga Presiden PPj kedua, YBhg Tan Sri Samsudin Osman bersama mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed. — with YBhg Tan Sri Samsudin Osman and YBhg Tan Sri Datuk Seri Azizan Zainul Abidin at Perbadanan Putrajaya.



Tun Mahathir memasukkan kapsul masa yg disimpan di Mercu Tanda Taman Putra Perdana




Masjid Putra dalam pembinaan




foto-foto dari : perbadanan putrajaya

PUTRAJAYA @ PERANG BESAR

Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999. Putrajaya, bandar raya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur merupakan sebuah bandaraya futuristik yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan . Ia adalah Wilayah Persekutuan ke-3 di Malaysia.

Dari sebuah tempat terpencil yang dikenali dengan nama Prang Besar, kawasan ini melonjak membangun dengan nama Putrajaya mulai 12 Oktober 1994. Berbanding dengan Kuala Lumpur, sebuah bandar tinggalan penjajah, Putrajaya dibangunkan oleh anak bangsa sendiri dengan bercirikan budaya tempatan.

Mula dibina pada 16 April 1995, Putrajaya akan menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT). Dengan terbinanya Putrajaya, suatu hari nanti Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjadi Bandar gergasi standing dengan Tokyo dan Yokohama di Jepun.

Untuk mencapai matlamat ini, Wetland Putrajaya telah dibina untuk menyingkirkan sedimen dan membersihkan aliran permukaan yang tercemar sebelum ia memasuki tasik. Sesuai dengan lokasinya di tengah-tengah bandaraya, Wetland Putrajaya menjadi titik penting dalam membawa rakyat untuk bersama-sama mencapai matlamat dari segi rekreasi, pendidikan dan penyelidikan.

Lokasinya yang berada ditengah-tengah Koridor Raya Multimedia, Putrajaya seluas 4,931 hektar ini dibangunkan dengan kos RM20.5 bilion mengandungi Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Perumahan, Kemudahan komersial, kemudahan sosial dan kemudahan keagamaan.

Pada 10 Mei 1999, Kompleks Pejabat Perdana Menteri mula beroperasi di Putrajaya. Putrajaya menjadi penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Sejarah Putrajaya

Putrajaya Holdings Sdn Bhd adalah pemaju utama pembangunan Putrajaya. Ditubuhkan pada 19 Oktober 1995, pemegang-pemegang sahamnya adalah Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS – syarikat petroleum kebangsaan (64.4%); Khazanah Nasional Berhad – syarikat pelaburan Kerajaan Malaysia (15.6%); dan Kumpulan Wang Amanah Negara (20.0%).

Untuk mewujudkan Putrajaya, Rang Undang-undang Perbadanan Putrajaya 1995 dan Pindaan kepada Perlembagaan untuk menjadikan Putrajaya sebuah Wilayah Persekutuan dibahaskan di parlimen pada Ogos 1995 dan Disember 2000 masing-masing. Berdasarkan rekod awam yang ada, Putrajaya Holdings juga telah mengeluarkan bon yang bernilai RM4.5 bilion bagi pembangunan Putrajaya yang kini merupakan mercu tanda bagi kejayaan Malaysia.

Dari segi akar bahasa, istilah Putrajaya berasal dari putera yang sangat berjaya. Ini bermaksud warga Malaysia yang berjaya. Lebih khususnya lagi, Bumiputra yang telah berjaya menerajui negara Malaysia. Bagi pelancong asing yang melawat Putrajaya, ia seakan-akan Washington, D.C. di Amerika Syarikat, Canberra di Australia, dan Brasilia di Brazil.

Secara kebetulan atau tidak, Datuk Kelana Putra pernah menguasai jajahan Serdang. Jadi Putrajaya ini dalam lingkungan jajahan Serdang.

Dari segi politik, Putrajaya adalah dirancang sebagai pusat pentadbiran Malaysia yang akan datang. Ini secara sekaligus akan menjadikan Putrajaya sebagai nadi penting kepada kerajaan Malaysia.

Putrajaya diwakili oleh seorang Ahli Parlimen iaitu YB. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga seorang Setiausaha Agung UMNO.

hazis



Monumen terbaru Putrajaya

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN


Monumen Alaf Baru mengangkat keistimewaan bunga raya yang menjadi lambang perpaduan dan kredibiliti Malaysia dalam pelbagai bidang yang telah diterokai.


SEBAIK sahaja mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra aI-Haj melahirkan hasrat untuk mencari bunga yang sesuai bagi diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu. Justeru, beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian agar mencadangkan bunga-bunga yang terdapat di negara untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan.

Setelah melalui proses pencarian yang agak lama dan berakhir pada hujung tahun 1958, Kementerian Pertanian mengetengahkan tujuh jenis bunga iaitu bunga kenanga, bunga raya, melor, teratai, mawar, cempaka dan tanjung.

PENCAKAR langit setinggi 68 meter ini berdiri teguh di tepi sebuah tasik di Presint 2, Putrajaya.

Dalam bunga-bunga yang tersenarai itu, akhirnya pada 28 Julai 1960, bunga raya telah diumum secara rasmi sebagai bunga kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu oleh beliau yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama. Pemilihan itu dibuat berdasarkan keunikan bunga itu sendiri berbanding dengan bunga-bunga lain.

Bunga berwarna merah itu dilihat sebagai lambang keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian rakyat dalam menempuh pelbagai cabaran. Manakala, lima kelopaknya pula membawa maksud lima prinsip Rukun Negara.

Sementara itu, bunga raya yang juga mempunyai banyak warna, bentuk dan ukuran yang berbeza mencerminkan bangsa, agama dan budaya rakyat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Menyedari keunikan reka bentuk Bunga Kebangsaan, sekumpulan arkitek tempatan telah memilih Hibiscus rosasinensis (nama saintifik bunga raya) untuk rekaan sebuah monumen baru di Malaysia. Keistimewaan bunga itu telah menarik perhatian kumpulan arkitek tersebut untuk mereka bentuk monumen yang terletak di Putrajaya itu.

WARNA tembaga yang dipilih menjadikan bangunan ini kelihatan seperti sebuah artifak lama.

Monumen yang dikenali sebagai Monumen Alaf Baru itu merupakan satu lagi mercu tanda negara yang dibanggakan seluruh rakyat negara ini. Pencakar langit yang mempunyai ketinggian 68 meter itu berdiri teguh di tepi sebuah tasik di Presint 2, Putrajaya berhampiran dengan bangunan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Selain Cruise Tasik, Souq, Masjid Putra, Wetland, Taman Botani dan Taman Warisan Pertanian yang menjadi kebanggaan Putrajaya, kehadiran Monumen Alaf Baru sudah mula menarik tumpuan pengunjung yang melawat Putrajaya.

"Monumen ini seumpama sebuah hadiah istimewa kepada rakyat. Ia merupakan satu hadiah yang penuh bernilai dan berharga dan diberi kepada rakyat kerana pencapaian hebat seluruh masyarakat sehingga mencapai apa yang kita ada sekarang ini.

"Ia juga diharapkan dapat menjadi penghubung kepada generasi muda untuk memahami sejarah perjuangan, pengorbanan dan kejayaan para pemimpin negara sekali gus menjadikannya sebagai pendorong dalam mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa depan."


BENTUK bunga raya yang unik menjadi inspirasi rekaan Monumen Alaf Baru.

Demikian kata Pengarah Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya, Mohamad A. Shukor yang ditemui Urban baru-baru ini.

Menurut Mohamad, pembinaan monumen itu yang diinspirasikan daripada bentuk bunga raya memang unik. Ini kerana reka bentuknya melambangkan sesuatu yang luar biasa dan sukar dilihat di tempat lain.


Pembinaan monumen itu lahir daripada idea yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada 30 Ogos 2003, Dr. Mahathir telah merasmikan monumen tersebut. Menariknya, semasa pelancaran itu, beliau turut meletakkan perutusan khas di dalam kapsul masa untuk dibaca pada tahun 2020. Kapsul masa yang ada di dalam bentuk cip itu diletakkan pada dinding di dasar monumen berkenaan.


Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan jika dilihat dari sudut atas, kesemua pelantar pemandangan sebanyak lima aras pada monumen itu kelihatan seperti kelopak bunga raya. Manakala, menara di tengah-tengah pelantar pula diibaratkan sebagai bahagian tengah bunga tropika itu.

Monumen itu juga dibina dengan diameter yang berbeza. Misalnya, tiga meter di bahagian tapak dan empat meter di bahagian tengah yang terus meruncing sehingga ke puncak. Di bahagian puncak pula, terdapat lampu suar yang berputar 360 darjah untuk bertindak sebagai rumah api. Cahaya lampu itu akan menjadi panduan kepada bot-bot yang belayar di tasik berdekatan.

Katanya, monumen itu dibina dengan menggunakan tiub besi waja yang diperkukuh dengan struktur-struktur besi. Bahagian tengah monumen itu pula ditutup dengan bahan aluminium. Manakala setiap satu meter bahagian tengah itu mempunyai ukiran yang menggambarkan detik-detik penting dalam sejarah Malaysia dan turut dipahat adalah Rukun Negara.

Selain kita dapat menghayati keindahan panorama indah di Putrajaya, pelantar pemandangan itu juga dibina dengan 142 panel kaca. Panel-panel kaca itu diukir dengan gambar dan fakta sejarah Malaysia dari kurun ke-15 (tahun 1400) sehingga tahun 2000. Fakta-fakta sejarah yang dipaparkan secara ringkas dan padat itu merupakan sumbangan sejarahwan, Profesor Emiratus Datuk Dr. Khoo Kay Kim.

Sementara itu, corak di bahagian bawah panel kaca itu diilhamkan daripada kain songket yang menonjolkan kreativiti dan kekayaan warisan serta kesenian masyarakat Melayu.

Dengan ini, para pengunjung yang melawat monumen itu dapat mengetahui insiden yang berlaku di dalam sejarah tanah air sejak zaman pemerintahan Parameswara dahulu kala sehinggalah perkembangan negara pada tahun 2000. Ini secara tidak langsung, dapat memantapkan pengetahuan orang ramai tentang sejarah negara.

Mohamad juga menjelaskan, monumen yang terletak di kawasan seluas 0.9 hektar itu turut menyerlahkan warna yang diilhamkan daripada tepak sirih. Warna tembaga daripada tepak sirih dipilih menjadikan bangunan itu kelihatan seperti sebuah artifak lama.

Monumen yang dibuka dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu, memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyaksikan pemandangan indah Putrajaya.


kosmo

 Monumen Alaf Baru





Comments