Perginya Sang Penyair

Kembalinya penyair surrealis
Oleh A. WAHAB HAMZAH


BAHAWA hidup dan mati tidak punya batasan, sebaliknya hidup dan mati wujud dalam suatu alam yang berterusan. Dan adapun kematian merupakan tujuan sebenar kepada kehidupan. Dan fungsi bagi kehidupan adalah untuk menyucikan diri, lahir dan batin".

Demikian tanggapan Suhaimi Haji Muhammad apabila memperkatakan tentang falsafah dan kehidupan yang melingkari karyanya, Wujud. Kumpulan Puisi Wujud yang diterbitkan pada tahun 1997 ditulis selama 15 tahun dari 1980 hingga 1995 mengandungi 206 puisi dianggap puncak dan mahakarya Suhaimi.

Dalam Wujud, Suhaimi tidak lagi membicarakan hal-hal kebendaan, tetapi membicarakan hal-hal keagamaan dan ketuhanan yang lebih luas. Puisi-puisi dalam kumpulan ini membicarakan tentang falsafah hidup, mati dan cinta yang dilalui dengan ketenangan dan kedamaian. Cinta dalam puisi ini adalah cinta pada tahap tertinggi, cinta manusia terhadap al-Khalik, penciptanya.


Puisi-puisi Suhaimi berada dalam aliran yang menyimpang daripada puisi-puisi sezaman dengannya. Dia tidak lagi terpesona dengan puisi realis tetapi dengan keyakinannya Suhaimi membawa kelainan dalam karya-karyanya. Mana Sikana pernah menganggap Suhaimi sebagai pelopor yang bertanggungjawab membawakan aliran surrealism khususnya dalam puisi Melayu yang dikatakan mendahului Latiff Mohidin.

Manakala pengkritik sastera Dr. Ramli Isin, menganggap Suhaimi sebagai reformis dalam perkembangan teknik perpuisian Melayu di Malaysia. Begitu juga Dr. Anuar Nor Arai ketika menganalisis kumpulan puisi Tulang (1986) bukan sahaja menganggap Suhaimi sebagai surrealis, tetapi juga “ahli sihir" dalam kesusasteraan Melayu Moden kerana karya-karya surrealismenya sukar dimengerti oleh khalayak pembacanya.

Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan pernah mengatakan bahawa bahasa puisi Suhaimi lembut dan bersahaja sangat menikam perasaan, diserati dengan perbandingan-perbandingan yang menarik dan indah, kerana itu puisi -puisi Suhaimi itu membawakan bentuk baru dalam dunia kepenyairan Melayu.

Puisi-puisi Suhaimi memang diketahui sukar untuk difahami. Seringnya Suhaimi menggunakan banyak perlambangan yang amat peribadi sifatnya. Hal ini dapat dilihat dalam karya-karyanya seperti Lilin Seinci, Wujud, Simfoni Perjalanan, At- Tariq, Tulang, Siluet dan Menganyam Bulan.

Bagi teman-teman yang mengenalinya, Suhaimi adalah antara penyair yang mempunyai cinta dan jiwa yang paling kental dalam dunia kepenyairan. Dia adalah penyair yang amat dedikasi dengan kerja-kerja sasteranya. Kerana itu pengkritik sastera Mohamed Daud Mohamed meletakkan Suhaimi sebagai seorang penyair besar dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.

Sebagai penyair, Suhaimi paling prolifik dalam menghasilkan dan dia menerbitkan tidak kurang daripada 26 buah kumpulan puisinya. Buku puisinya yang pertama ialah Jalan Ke Kotaku (1959), diikuti Tulisan di Kamar Tidur (1960). Kemudian dia menghasilkan 20 buah kumpulan puisi lagi sehingga tahun 2000 apabila terbitnya kumpulan At-Tariq.

Biarpun ramai pengkritik meletakkan Kumpulan Puisi Wujud sebagai mahakarya Suhaimi tetapi dia sendiri memilih dua kumpulan puisinya sebagai puncak “kreatif atas kreatif" iaitu Denyutkan Jantung (2010) dan Puisi-Puisi Terakhir Seorang Penyair (2011).

Suhaimi dilahirkan pada 8 Februari 1934 di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Kangsar mulai tahun 1940 hingga pendudukan Jepun dan selepas Jepun kalah, dia belajar di Sekolah Inggeris Clifford Kuala Kangsar, Perak dalam tahun 1945 hingga darjah IV. Kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Bukit Chandan hingga tamat darjah VI pada tahun 1949. Suhaimi melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris hingga tahun 1954.

Selepas tamat di MPSI Suhaimi mengajar di beberapa buah sekolah di negeri perak, antaranya Sekolah kebangsaan Padang Ampang, Kuala Kangsar; Sekolah Kebangsaan Tanah Kebun Parit Buntar, Sekolah Menengah Inggeris Menglembu dan Sekolah Kebangsaan Tambun, Ipoh. Suhaimi meletakkan jawatan guru dan berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1975. Sewaktu di DBP beliau pernah menjadi anggota redaksi majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa sebelum dipindahkan ke Bahagian Penyelidikan Sastera, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera DBP.

Zaman Suhaimi bertugas di DBP adalah zaman kegemilangan DBP dengan berkumpulnya tokoh-tokoh penulis dan sasterawan yang berwibawa yang turut bertugas di situ. Di situlah bertugasnya Dr. Hassan Ahmad, Keris Mas, Noor Azam, Baha Zain, Usman Awang, Kemala, Anwar Ridhwan, Hamzah Hamdani, Ajikik, Ali Majod, AM Thani, Zakaria Ariffin, Johan Jaffar, Jaafar HS, Sutung Umar RS, Othman Zainuddin, Jaaffar Abd. Rahim, A. Rahim Abdullah, Shamsuddin Jaaffar dan ramai lagi.

Bukan sahaja tokoh yang bertugas, tetapi DBP ketika itu adalah juga tempat tumpuan penulis, sasterawan dan budayawan. Hubungan dan interaksi dengan mereka ini turut membentuk dunia kepengarangan Suhaimi. Suhaimi sebenarnya tidak sahaja menulis puisi tetapi turut menulis cerpen, drama dan esei/kritikan.

Selain pengalamannya yang panjang dalam dunia penulisan, hubungannya yang rapat dengan teman-teman penulis di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, Suhaimi juga sering menganggap Imam Al Ghazali, Jalaluddin Rumi, Iqbal, Ibn Arabi dan Haji Maaruf Yaakub sebagai gurunya dalam berkarya. Bagi Suhaimi, mereka ini telah memimpinnya ke jalan kerohanian terutama dalam penulisannya.

Minat dan cinta Suhaimi terhadap puisi amat kuat sekali. Bukan perkara yang luar biasa jika Suhaimi sanggup mempertahankan keyakinannya terhadap puisi-puisi yang ditulis atau aliran surrealis pegangannya. Atas sebab itu Suhaimi juga dikatakan mempunyai pegangan yang keras dan egoistik. Secara peribadi Suhaimi seorang yang lembut, mudah mesra, hormat dan cukup menarik melayan perbualan dengannya. Apabila Suhaimi telah menghasilkan sesebuah buku karyanya maka dia akan meminta kawan-kawan membaca dan memberi pandangan terhadap karyanya.

Saya sendiri pernah mempunyai pengalaman yang indah dengan Suhaimi. Dia pernah meminta saya mengadaptasi kumpulan buku puisinya ke pentas selepas saya mengadaptasi puisi Al-Amin tulisan Sasterawan Negara A. Samad Said ke pentas pada tahun 2001. Tetapi entah kenapa usaha adaptasi itu tidak terhasil meskipun saya amat menyenangi dan mengagumi karya-karya Suhaimi.

Suhaimi memenangi Hadiah Karya Sastera (sekarang Hadiah Sastera Perdana Malaysia) pada 1971 melalui puisinya Bumi Hijau dan selepas itu memenangi lagi buat beberapa kali HSPM. Pada tahun 1981, Kumpulan puisinya Di Malam Gelita Ini memenangi hadiah ketiga Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam. Suhaimi juga sebenarnya penulis drama yang berbakat apabila karyanya Bulan Jingga mendapat hadiah penghargaan dalam peraduan yang sama.

Pada tahun 1987 Suhaimi dikurniakan Anugerah Penulis Negeri Perak Darul Ridzuan. Pada tahun 1995, Suhaimi dianugerahkan S.E.A. Write Award sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam penulisan puisi. Pada tahun 1998, Suhaimi sekali lagi dikurniai Anugerah Yayasan Kesenian Perak oleh Kerajaan Negeri Perak kerana jasanya dalam bidang seni sastera.

Jumaat lalu, 3 Januari pada usia 80 tahun, Suhaimi kembali menemui penciptanya. Benarlah katanya, “adapun kematian merupakan tujuan sebenar kepada kehidupan". Sastera Melayu kehilangan seorang tokoh sasteranya, penyair besar yang sangat menyintai dunia puisinya, yang menulis puisi dengan jiwanya. Maka pergilah seorang penyair Malaysia yang dianggap cukup prolifik, kontroversial, tetapi konsisten dan keras dengan keyakinan dan konsep dalam penulisan puisinya.

utusan malaysia online

Comments