Warisan : Hikayat Raja Pasai

 Hikayat Raja Pasai


Hikayat Raja Pasai (HRP) ialah sebuah hikayat tentang sejarah negara Pasai dan mencerminkan periodisasi yang terawal dalam historiografi Melayu Islam. Tarikh HRP masih belum dipastikan lagi. Walaupun dalam hikayat ini tidak tercatat sebarang tarikh, pengkaji dapat menganggarkan bahawa hikayat ini mencakupi jangka waktu kira-kira dari tahun 1280 hingga 1400 Masihi atau kira-kira dari tahun 680 hingga 800 Hijrah.

Versi yang lebih kurang telah tersusun dalam bentuk yang terakhir, mungkin disiapkan pada akhir abad yang ke-14, dan salinannya muncul di Jawa pada tahun 1797.

Terdapat tiga buah naskhah. Yang paling terkenal ialah naskhah MS Raffles Malay N. 67 yang tersimpan di The Royal Asiatic Society, London (Ms A). Naskhah yang kedua ialah naskhah yang disalin langsung daripada Ms A yang dilakukan oleh seorang sarjana Perancis yang bernama Edouard Dulaurier pada tahun 1838, yang tersimpan di Bibliotheque Nationale Paris, No. Mal.-Pol.50. Naskhah ini hampir tidak dapat dimanfaatkan untuk kajian perbandingan. Naskhah yang ketiga ialah naskhah yang baru ditemui pada tahun 1986 di London, yang dibeli oleh British Library pada tahun 1986 (Ms B).


Terdapat enam edisi teks Hikayat Raja Pasai seperti yang berikut:
1. Edouard Dulaurier. Collection des Principalec Chroniques Malayes. Premier Fascicule La Chronique du Royaume de Pasey. Paris, 1849.
Edisi Jawi bermutu tinggi, malah mungkin lebih baik daripada edisi-edisi yang diterbitkan selepasnya.
2. J.P. Mead. “A Romanised Version of The Hikayat Raja-raja Pasai dlm. JSBRAS, 66 Singapore. 1914 hlm. 1-55
3. Dr.A.H. Hill “Hikayat Raja-Raja Pasai, a Revised Romanised Version with an English Translation, an Introduction and Notes dlm. JMBRAS 33, Bhg. 2, 1960.
Edisi yang paling lengkap.
4. Teuku Ibrahim Alfiah. Kronika Pasai. Sebuah Tinjauan Sejarah. Yogyakarta, 1973.
5. Russel Jones. Hikayat Raja Pasai. Kuala Lumpur, 1987.
6. Hikayat Raja Pasai. Dikaji dan diperkenalkan oleh Russel Jones. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan & Penerbit Fajar Bakti, 1999.

 Sinopsis Hikayat Raja Pasai

Hikayat Raja Pasai bermula dengan kisah dua orang raja yang bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Pada awalnya, mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Ketika menebas hutan untuk membuka negeri, Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dari sebuah pokok buluh. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya sebagai anaknya sendiri. Kanak-kanak itu dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula mendapat seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah. Anak lelaki itu dinamakan Merah Gajah. Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan. Mereka mendapat dua orang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau dan Merah Hasum.

Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang berwarna emas. Dia meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak mengizinkannya. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung sedang tidur. Akibat daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri Betung kemudian beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda sangat marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya, kedua-dua raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut.

Setelah perang selesai, Merah Silau dan Merah Hasum bersepakat untuk meninggalkan negeri Samarlangga dan berniat untuk membuka negeri lain. Merah Silau membuka negeri Samudera. Setelah diislamkan, Merah Silau menukar namanya menjadi Malikul Saleh. Baginda kemudiannya mengahwini puteri Sultan Perlak, iaitu Puteri Ganggang. Daripada perkahwinan itu, lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Malikul Tahir. Tampuk pemerintahan diambil alih pula oleh Malikul Tahil. Setelah baginda mangkat, kedua putera Malikul Tahir iaitu Malikul Mahmud dan Malikul Mansur yang mengambil alih tugas bapanya. Malikul Mahmud memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri Pasai. Setelah Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Pemerintah negeri Pasai diakhiri oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal kerana berlakunya zaman kejatuhan Pasai.

Pada suatu hari, Merah Silau pergi berburu dengan membawa anjingnya, Si Pasai. Apabila baginda melepaskan Si Pasai, anjing itu terus menyalak di atas sebuah bukit yang tinggi. Lalu Merah Silau melihat di sana terdapat seekor semut yang sangat besar, sebesar seekor kucing. Kemudian, Merah Silau menangkap semut tersebut lalu dimakannya. Merah Silau kemudiannya menyuruh para pengikutnya menebas hutan untuk menjadikan kawasan itu sebuah negeri. Setelah siap, Merah Silau tinggal di kawasan itu dengan membuat istana miliknya bersama-sama dengan segala hulu balang dan rakyat jelata. Lalu, baginda menamakan negeri itu sebagai Samudera, sempena semut besar yang ditemuinya.

Nama negeri Pasai pula diambil daripada nama anjing Sultan Malikul Saleh. Pada suatu hari, Sultan Malikul Saleh pergi berburu dengan para pengikutnya di tepi laut. Turut bersama baginda ialah anjang peliharannya, Si Pasai. Setelah tiba di tepi laut, Si Pasai dilepaskan lalu masuk ke dalam hutan. Kemudian, Si Pasai bertemu dengan seekor pelanduk yang sedang duduk berehat di atas suatu kawasan tanah tinggi. Si Pasai kemudiannya menyalak kepada pelanduk tersebut dan ingin menangkapnya. Sesuatu yang ganjil telah berlaku apabila pelanduk itu membalas salakan Si Pasai. Apabila Si Pasai mendengar salakan pelanduk tadi, ia pun kembali ke belakang iaitu di tempat asalnya. Setelah Sultan Malikul Saleh melihat kejadian yang berlaku itu, baginda pun cuba untuk menangkap pelanduk itu tadi. Namun, pelanduk itu dapat melarikan diri dari ditangkap oleh Sultan Malikul Saleh. Baginda kemudiannya menanyakan kepada semua hulu baling sama ada pernah melihat seekor pelanduk yang gagah sekali.

Setelah itu, terlintas di fikiran Sultan Malikul Saleh untuk membuka negeri baru khas untuk anakandanya, Sultan Malikul Tahir. Setelah kembali ke negeri Samudera, baginda memerintahkan agar kawasan tersebut dibersihkan, lalu baginda mendirikan sebuah istana di kawasan itu. Tidak berapa lama kemudian, maka selesailah semua pembinaan di kawasan tanah tinggi tersebut kemudian anjing baginda, Si Pasai pun mati. Baginda kemudian memerintahkan agar Si Pasai ditanam di negeri yang baru dibuka itu. Sempena kematian Si Pasai, maka Sultan Malikul Saleh menamakan negeri baru itu sebagai negeri Pasai.

Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan kepada seorang sahabat bahawa suatu hari nanti akan muncul negeri di bawah angin yang bernama Samudera. Apabila berlakunya hal ini, maka hendaklah dihantar orang untuk mengislamkan orang-orang di negeri ini kerana di sinilah akan melahirkan ramai wali-wali Allah. Rasulullah juga berwasiat supaya rombongan yang bakal pergi ke sana singgah terlebih dahulu di negeri Mengiri untuk mengambil seorang fakir untuk dibawa ke Samudera. Wasiat tersebut kemudiannya sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja yang memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Seorang ulamak yang bernama Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal bagi menjayakan wasiat Rasulullah itu. Beliau dan orang-orangnya pun kemudiannya berlayar ke negeri Mengiri seperti yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad, iaitu sebuah negeri yang terletak di benua Hindi.

Negeri Meringi ini diperintah oleh seorang raja yang bernama Raja Muhammad. Menurut cerita, Raja Muhammad adalah daripada keturunan sahabat baginda S.A.W iaitu Saidina Abu Bakar. Sebaik sahaja beliau mendapat tahu ada kapal hendak berlabuh di negerinya bagi memenuhi permintaan Sharif Mekah, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang anaknya sebagai Raja Meringi yang baru. Selain itu, baginda juga melucutkan pakaian bangsawan yang ada di tubuhnya lalu menukar kepada pakaian orang fakir. Raja Muhammad yang telah menjadi fakir ini membawa pula seorang anaknya yang muda untuk meninggalkan istana dan bersama-sama menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta supaya dibawa belayar ke Samudera untuk bersama-sama menunaikan wasiat Nabi S.A.W.

Rombongan itu pun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi,mereka tidak pasti kedudukan negeri tersebut sehinggalah mereka tersasar ke negeri Barus, Lamuri dan Perlak. Walau bagaimanapun, rombongan ini turut singgah di negeri-negeri untuk mengislamkan raja dan penduduknya tetapi apabila disuruh membaca al-Quran yang dibawa dari Mekah, tidak ada seorang pun yang pandai membacanya.

Pada suatu malam, Merah Silau sedang tidur. Dalam tidur baginda bermimpi melihat seorang tua berjubah datang dan memegang dagunya. Kemudian, orang itu menutup mata baginda dengan tangannya. Orang dalam mimpi tersebut menyuruh Merah Silau mengucap dua kalimah syahadah. Merah Silau bertanya kepada lelaki tersebut cara untuk mengucap, lalu lelaki itu menyuruh Merah Silau membuka mulutnya lantas meludah ke dalam mulutnya. Orang itu kemudiannya mengisytiharkan bahawa Merah Silau sebagai raja, dan nama barunya ialah Sultan Malikul Saleh.

Orang itu juga berpesan kepada Merah Silau agar hanya memakan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram, iaitu memakan binatang yang disembelih sahaja. Selain itu, orang tua itu juga memberitahu Merah Silau bahawa baginda sekarang berada dalam syariat agama Isam, iaitu agama Allah. Orang tua itu juga sempat mengingatkan Merah Silau bahawa dalam masa empat hari sahaja lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, dan Merah Silau hendaklah mengikut apa sahaja yang dibawa oleh rombongan tersebut tanpa banyak bantahan. Merah Silau kemudian dapat tahu bahawa orang lelaki itu ialah Nabi Muhammad S.A.W. setelah terjaga, Merah Silau merasakan bahawa dirinya sudah dikhatankan. Kesan itu boleh dilihat nyata pada tubuhnya. Baginda juga sentiasa mengucapkan dua kalimah syahadah tanpa henti. Kemudian, baginda membaca al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga tamat. Semua menteri dan hulu balang merasa hairan mendengar perkataan demi perkataan yang disebut oleh raja mereka, kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendengarnya.

Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail sampai ke Teluk Terli lalu berlabuh di situ. Fakir Muhammad terjumpa dengan seorang lelaki yang sedang menjala ikan lalu bertanya nama negeri tersebut dan nama ketuanya. Lelaki itu menjawab bahawa negeri itu ialah Samudera dan rajanya ialah Merah Silau atau nama islamnya, Malikul Saleh.

Pada keesokan harinya, Syeikh Ismail pun turun ke darat lalu pergi menemui Sultan Malikul Saleh. Syeikh Ismail meminta Sultan Malikul Saleh mengucap dua kalimah syahadah. Lalu mengucaplah Sultan Malikul Saleh tanpa sebarang kesalahan. Pada keesokan harinya pula, Syeikh Ismail bersama fakir Muhammad datang kembali menemui Sultan Malikul Saleh dengan membawa al-Quran tiga puluh juzuk. Sultan Malikul Saleh membaca al-Quran itu dengan betul tanpa perlu diajar. Syeikh Ismail dan fakir Muhammad akhirnya bersyukur kerana telah menemui orang yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Syeikh Ismail kemudiannya meminta Sultan Malikul Saleh untuk menghimpunkan segala hulubalang dan seluruh rakyat yang terdiri daripada semua peringkat umur dan jantina. Setelah dihimpunkan, mereka diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Syeikh Ismail. Mereka mengucapkannya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Oleh sebab itu, negeri Samudera disebut juga sebagai Negeri Darulsalam. Hal ini kerana, setelah memeluk Islam, negeri itu berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera.

Setelah Sultan Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Sultan Ahmad dirajakan oleh Sultan Malikul Saleh itu sendiri di Pasai. Sultan Ahmad ini ialah seorang pemerintah yang zalim. Dia sanggup membunuh anaknya sendiri. Kezalimannya juga diketahui oleh kerajaan Majapahit.

Sultan Ahmad Perumudal Perumal ini sangat menyukai perempuan dan akan mengahwini mana-mana sahaja perempuan yang baginda inginkan. Oleh sebab itu, baginda mempunyai anak seramai 30 orang. Lima orang anaknya ialah seibu dan sebapa, iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Anaknya Tun Beraim Bapa itu merupakan seorang pahlawan yang sangat kuat dan tidak ada bandingnya pada zaman tersebut. Manakala, Tun Abdul Jalil merupakan seorang lelaki yang sangat kacak rupa parasnya. Tun Abul Fadil pula seorang anak yang kuat agama dan bijaksana dalam soal keagamaan. Dua orang anak perempuannya Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara sangat cantik dan tidak ada tandingannya pada zaman itu.

Kezaliman Sultan Ahmad dapat dilihat apabila baginda berahikan kedua-dua anak kandungnya sendiri dan memberitahu para pembesarnya bahawa dia ingin mengahwini dua puteri kandungnya tersebut. Setelah Tun Beraim Bapa mendengar berita tersebut, segera baginda melarikan kedua-dua adiknya ke Tukas. Apabila Sultan Ahmad mengetahui akan hal tersebut, baginda sangat marah. Sultan Ahmad bertambah marah apabila mengetahui puteranya bergurau senda dengan seorang dayang yang cantik bernama Fatimah Lampau. Oleh sebab itu, baginda kemudiannya merancang untuk membunuh anaknya Tun Beraim Bapa. Pelbagai cara yang dibuatnya untuk membunuh Tun Beraim Bapa, namun semuanya gagal kerana keperkasaan Tun Beraim Bapa.

Raja Ahmad kemudiannya menghantarkan makanan beracun kepada Tun Beraim Bapa. Tun Beraim bapa memberikan makanan tersebut kepada anjing lalu anjing itu pun mati. Baginda memberikan pula kepada ayam, ayam tersebut juga mati. Oleh sebab Tun Beraim Bapa tidak mahu menderhaka, maka dia juga turut memakan makanan itu. Lalu gatal-gatal seluruh tubuhnya. Adik-adik perempuannya juga meninggal dunia kerana memakan makanan itu. Akhirnya, Tun Beraim Bapa mati dan dikuburkan di Bukit Fudul Allah.

Kezaliman Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak berhenti setakat itu sahaja. Baginda kemudiannya membunuh puteranya Tun Abdul Jalil. Baginda membunuh anak-anaknya hanya kerana puteri Majapahit jatuh cinta dengan anaknya. Puteri itu bernama Tuan Puteri Gemerencang. Puteri Gemerencang jatuh hati setelah melihat gambar Tun Abdul Jalil yang sangat kacak. Oleh sebab itu, Tuan Puteri Gemerencang pun pergi belayar ke negeri Pasai. Apabila Sultan Ahmad mengetahui Tuan Puteri Gemercangan ingin datang ke Pasai kerana mahu berkahwin dengan Tun Abdul Jalil, maka Sultan Ahmad sangat cemburu lalu membunuh puteranya itu. Apabila Tuan Puteri Gemercangan mendengar berita kematian Tun Abdul Jalil, dia pun berdoa agar dimatikan oleh Allah. Lalu, kapalnya tenggelam dalam laut Jambu Air, tempat mayat Tun Abdul Jalil dibuang. Angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan pulang kembali ke benua Jawa. Apabila mendengar berita kematian Tuan Puteri Gemercangan, Sultan Ahmad berasa sangat menyesal.

Setelah angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan sampai ke benua Jawa, mereka memberitahu akan hal yang berlaku. Oleh sebab itu, maka Sang Nata sebagai raja Majapahit mengambil keputusan untuk menyerang Pasai. Oleh sebab panglima perang Pasai yang handal, iaitu Tun Beraim Bapa sudah tiada, maka Pasai pun kalah. Akhirnya, Sultan Ahmad melarikan diri ke Menduga dengan penuh sesalan. Akhirnya, negeri Pasai berjaya ditawan oleh Majapahit.



Karya zaman Islam kaya nilai estetika

Dalam konteks ini, teks agung seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain termasuk Hikayat Inderaputera, Syair Bidasari menonjolkan nilai-nilai ini dengan begitu ketara.

Konsep estetika yang terlihat pada teks-teks ini banyak berteraskan kepada unsur-unsur Hindu - Jawa dan Parsi. Ia agak berbeza dengan karya-karya sastera tradisional yang dilahirkan pada era selepas teks ini yang menonjolkan nilai-nilai keislaman yang lebih luas.

Menurut Prof. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Universiti London, asas keislaman inilah menjadikan teks-teks abad ke-18 kaya dengan nilai-nilai estetik.

Dalam erti kata lain, teks-teks selepas era Sejarah Melayu menggambarkan cakupan Islam yang lebih luas sama ada kelompok feudal mahupun rakyat jelata. Kedudukan inilah yang membezakan teks agung tersebut dengan naskhah-naskhah yang lebih terkini yang memperlihatkan pengaruh Islam yang lebih jelas.

Pada Seminar Teori Sastera Islam anjuran DBP baru-baru ini, Braginski menegaskan karya-karya terbaharu seperti Hikayat Maharaja Ali lebih menonjolkan nuansa Islamnya.

"Meskipun hikayat ini tidak menunjukkan fungsi penulisannya yang jelas tetapi berbanding dengan teks-teks tradisional yang lain, ia begitu dari aspek estetik dan nilai-nilai keislamannya.

"Antara lain mengungkapkan tentang kisah kematian Nabi Isa dan pelbagai kejadian selepas kematian yang dikaitkan dengan kebesaran-Nya,'' ujar Braginski.

Selain itu, teks ini juga menurut Braginski lebih menonjolkan aspek-aspek keislaman dalam keluarga istana dan birokrasi yang jelas.

Dalam beberapa aspek, Hikayat Maharaja Ali juga berbeza dengan hikayat-hikayat Melayu di Nusantara iaitu menentang kisah-kisah kecurangan wanita yang tersebar luas dalam sastera-sastera Islam umumnya dan sastera Melayu khususnya.

Jelasnya penerapan nilai-nilai Islam seperti percakapan Nabi Isa dengan tengkorak Maharaja Ali seperti yang termuat di dalam hikayat ini menjadikannya begitu menonjol dengan nilai-nilai estetika Islam.

"Dengan memaparkan aspek-aspek ini, Hikayat Maharaja Ali merupakan sebuah karangan yang menandai Islamisasi secara definitif atas genre 'hikayat pertualangan ajaib' dan yang menggunakan estetika serta puitika genre untuk mengungkapkan nilai-nilai asasi etika Islam, baik kenegaraan mahupun perseorangan.

"Nilai-nilai ini dinyatakan oleh pengarang dengan kemahiran sastera yang menakjubkan. Cara pengisahan padat, lakonik dan penuh dengan pembangunan kisah yang seimbang dan simetris,'' ujar Braginski.

Braginski juga menegaskan Hikayat Maharaja Ali menjadi sebahagian daripada 'perubahan' nilai-nilai estetik sastera Islam hasil pemahaman Islam masyarakat yang lebih merata di Nusantara terutama pada abad tersebut.

Dasar keislaman yang kukuh ini meletakkan sastera Islam di Nusantara umumnya dan Malaysia khasnya sebagai ideologi pengarang untuk mewadahi masyarakatnya yang Islam.

Di sisi lain, naskhah ini secara langsung mampu diletakkan sebaris dengan teks-teks agung lain seperti Hikayat Bakhtiar, Hikayat Raja Jumjumah dan Kisas al-Anbiya.

Hasil daripada 'kesungguhan' ini muncul pendekatan seperti Puitika Melayu oleh Prof. Muhammad Salleh, Pengkaedahan Melayu oleh Prof. Datuk Dr. Hashim Awang, Takmilah oleh Dr. Shafie Abu Bakar, Pendidikan Estetika Dalam Kerangka Tauhid oleh Dr. Affandi Hassan, Teksdealisme oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rahman napiah (Mana Sikana) dan Rasa Fenomenologi oleh Dr. Suhaimi Abd. Aziz.

Menurut Dr. Jaelani Harun dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, dalam konteks kesusasteraan moden di tanah air hari ini, teori sastera berasaskan Islam wajar diberi peluang sebagai 'pengganti teori-teori Barat'.

Jelasnya, di samping teori-teori tempatan yang sedia ada, para sarjana harus lebih giat menggali kepada beberapa aspek terutamanya khazanah kesusasteraan Islam dalam usaha penciptaan teori.

"Teori kesusasteraan Islam yang berasaskan genre adab ketatanegaraan misalnya boleh diaplikasikan ke atas karya moden: novel dan cerpen.

"Saya berkeyakinan bahawa sebarang teori yang lahir pada asas falsafah, prinsip dan ciri-ciri genre adab ketatanegaraan boleh memberi manfaat kepada kesusasteraan Melayu klasik atau moden,'' katanya.

Ketika membentangkan kertas kerjanya pada Seminar Teori Sastera Islam di Putrajaya baru-baru ini, beliau yakin dalam konteks kesusasteraan Melayu dan Islam, teori berasaskan Islam akan mendapat tempat.

"Gabungan antara idealisme dengan ciri-ciri tradisi kesusasteraan Islam yang pelbagai yang merangkumi genre prosa dan puisi akan melahirkan suatu teori kesusasteraan Islam yang lebih mantap dan berwibawa,'' tegas Jaelani.

Bagi pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar, teori sastera yang berasaskan Islam akan dapat menganalisis secara lebih tuntas aspek falsafah dan nilai-nilai estetik dalam karya-karya Melayu dari pelbagai genre.

Ini kerana menurutnya sastera Islam khasnya dan sastera Melayu umumnya sejak sebelum merdeka begitu jelas membawa citra estetika Islam. Oleh itu, satu pendekatan yang berasaskan Islam perlu untuk mengkritik dan menganalisisnya.

"Keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan penulisan para intelektual dan sasterawan,'' katanya.

Dr. Abdul Rahman Napiah dari Jabatan Persuratan Melayu UKM, menegaskan perlunya sarjana tempatan melakukan ijtihad, melahirkan sebuah pendekatan kritikan Islam untuk menganalisis sastera Melayu.

"Sebenarnya dalam sejarah Islam telah lahir tradisi kritikan Islamnya sendiri. Jadi di sini, ada kemungkinan yang terbuka untuk kita mengambil semula konsep daripada prinsip kritikan Islam yang sudah sedia ada itu.

"Kita kemudian boleh menyesuaikannya dari sudut metodologinya dengan situasi dan kondisi kesusasteraan zaman ini di Malaysia,'' jelasnya.

Meskipun begitu menurutnya, penggalian teori sastera Islam harus didasarkan kepada beberapa kriteria. Antara lain ia harus membawa kebaikan kepada khalayak dan kejayaan untuk memperkukuhkan iman dan pembentukan akhlak Islamiah.

"Dalam amalannya, sesebuah teori kritikan Islam harus sebenar-benarnya menjalankan fungsinya menurut kehendak Islam dan segenap ajarannya,'' tambah Abdul Rahman.

Di sisi lain, Abdul Rahman melihat teori kritikan Islam dalam konteks ini harus diberi tempat yang sewajarnya dalam kemeriahan perkembangan kritikan dan penghasilan karya di negara ini. Meskipun begitu ia bukanlah bertujuan untuk sama sekali menafikan teori-teori Barat.

Sementara itu, Prof. Madya Lutfi Abas dari Universiti Brunei Darussalam menekankan perlunya teori kritikan sastera berasaskan Islam diguna pakai secara lebih meluas dalam menganalisis kesusasteraan tempatan (Malaysia) dan Nusantara.

"Kita boleh berbangga dengan teori kita sendiri yang dibina di atas dasar pemikiran dan kepercayaan kita. Nilai-nilai estetika yang terkandung di dalam sastera tempatan hanya lebih tepat jika dilihat dengan kaca mata Islam.

"Keindahan yang terkandung di dalam sastera Islam misalnya hanya boleh dinilai dengan pendekatan Islam. Oleh itu, teori sastera Islam ini perlu diketengahkan dengan sebaik mungkin,'' tegas Lutfi.

utusan online

Comments