Mendepani Tragedi

Kisah kru RTM saksi dua tragedi besar


SEBAIK selesai menunaikan solat Asar di hotel penginapan yang terletak satu kilometer dari Masjidilharam, Mekah, Arab Saudi pada 11 September lalu, Shahril Sarapudin, 27, memilih untuk beristirahat.

Tambahan pula, ketika itu cuaca di sekitar Mekah yang pada tengah harinya panas terik dengan suhu sekitar 40 darjah Celsius telah bertukar mendung berserta deruan angin kencang.

Di langit, guruh berdentum-dentam dan sesekali kilat memancarkan cahayanya sebelum hujan lebat membasahkan bumi.

Ketika asyik bersantai sambil menikmati minuman petang, wartawan yang juga pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu dikejutkan dengan bunyi ambulans keluar masuk ke Masjidilharam.

Situasi tersebut membuatkan dirinya tertanya-tanya, apakah yang sedang berlaku di tempat kiblat umat Islam di seluruh dunia itu?

Tepat pukul 6 petang waktu tempatan, Shahril mendapat perkhabaran duka dari Malaysia menerusi laman sosial, Facebook bahawa sebuah kren telah tumbang di Masjidilharam dan mengorbankan banyak nyawa.

“Sewaktu kejadian, kebanyakan jemaah Malaysia berada di tempat penginapan masing-masing. Hanya segelintir yang berada di sana (Masjidilharam) untuk beriktikaf dari waktu zuhur hingga asar.

“Walaupun jarak saya dengan Masjidilharam begitu dekat, namun berita mengenai kejadian itu diperoleh dari Malaysia. Ini kerana penyebaran maklumat di sana agak terhad dan kami juga tidak dibenarkan mendekati tempat kejadian,” ujarnya ketika ditemu bual Kosmo! di Wisma TV RTM, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja mendapat maklumat tersebut, anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu bersama empat lagi kru RTM bergegas mendapatkan maklumat terkini berkaitan kejadian terbabit termasuk menemu bual saksi-saksi kejadian.

Dalam kejadian tersebut dianggarkan 108 orang maut manakala tujuh daripadanya merupakan jemaah haji Malaysia.

Itulah sebahagian daripada situasi yang terpaksa dilalui oleh para petugas media sepanjang membuat liputan perjalanan jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

“Ia satu tragedi yang tidak diduga oleh ramai pihak termasuk kami sebagai petugas media. Saya difahamkan hujan pada hari berkenaan merupakan paling lebat sejak sedekad lalu di Mekah.

“Biasanya hujan di Mekah adalah dua atau tiga kali sahaja sebulan. Namun, sepanjang musim haji pada tahun ini, hujan turun sebanyak tujuh kali dan sebagai orang Islam saya percaya Allah mempunyai rencana tersendiri,” ujar Shahril yang berpengalaman ke Tanah Suci sebanyak empat kali ketika mengerjakan umrah.


SEBAHAGIAN daripada petugas media Malaysia yang membuat liputan sambil mengerjakan haji pada tahun ini.

Cabaran

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, membuat liputan perjalanan haji pada tahun ini mempunyai cabarannya tersendiri.

Selain terpaksa menempuh dua tragedi besar iaitu kren tumbang dan rempuhan di Mina, para petugas media juga terpaksa berdepan dengan penyebaran berita dan gambar palsu di laman sosial.

Pada 25 September lalu, sebuah hotel di Mekah yang menempatkan jemaah haji Indonesia terbakar dan imej yang disebarkan di laman sosial seolah-olah seluruh struktur bangunan tersebut hangus.

Rentetan itu, beliau telah ditugaskan oleh RTM untuk membuat liputan mengenai kejadian berkenaan.

Sebaik tiba di hotel yang terletak enam kilometer dari penempatan haji Malaysia itu, ternyata bangunan tersebut masih utuh dan tidak ada sebarang kesan kebakaran.

“Saya difahamkan kebakaran memang berlaku dalam sebuah bilik di hotel berkenaan dan semua jemaah terpaksa turun ke lobi.

“Penyebaran gambar kebakaran di laman sosial adalah sama sekali tidak benar dan ia merupakan sebahagian daripada usaha pihak tertentu bagi menakut-nakutkan umat Islam melakukan ibadah haji,” katanya dalam nada kesal sambil menunjukkan perbezaan antara gambar yang viral di laman sosial dengan keadaan sebenar.

Rumah mayat

Berbeza pula pengalaman dilalui oleh jurukamera RTM, Mohamad Zamzy Othman, 43, yang berpeluang memasuki Rumah Mayat Muassim di Mekah.

Rumah mayat tersebut menempatkan 800 mangsa kejadian rempuhan di Mina yang berlaku pada 24 September lalu.


Seramai 108 jemaah haji maut dalam kejadian kren tumbang pada 12 September lalu di Masjidilharam, Mekah.


Cerita anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, sewaktu kejadian rempuhan di Mina, beliau bersama jemaah haji Malaysia yang lain masih berada di Muzdalifah dan dijadual melontar jamrah pada keesokan harinya.

Selepas kejadian tersebut berlaku, pihak Tabung Haji telah melakukan proses semakan di semua khemah yang menempatkan jemaah dan tiada waris mahupun rakan mengadu sebarang kehilangan.

Disebabkan itu, pihak Tabung Haji mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa tiada jemaah Malaysia yang terbabit dalam tragedi yang mengorbankan 834 nyawa itu.

Selang sehari kemudian, baru Tabung Haji mendapat maklumat bahawa seorang jemaah haji Malaysia telah hilang selepas dimaklumkan oleh isteri mangsa, Suria Hanim Abdul Hamid.

Mangsa, Allahyarham Zulkifly Samad, 40, dipercayai berjalan kaki ke Mina sejauh 3.5 kilometer bersama jemaah haji dari Indonesia bagi mengikut sunah Rasulullah.

“Sewaktu proses membuat pengecaman mangsa oleh pihak Tabung Haji, saya berpeluang untuk masuk ke bilik mayat berkenaan.

“Keadaan dalam bilik tersebut cukup sistematik dan bau busuk mayat hampir tiada,” kata Mohamad Zamzy yang bertugas di RTM sejak sedekad lalu.

Beliau juga memuji semangat kental yang ditunjukkan oleh isteri arwah walaupun dalam keadaan bersedih.

Tambah Mohamad Zamzy, dia masih teringat ucapan yang diungkapkan oleh isteri mangsa: “Arwah seorang yang baik. Dia seorang yang begitu menyayangi Rasulullah dan selalu menceritakan kisah-kisah Baginda.

“Saya melihat sendiri arwah disembahyangkan dalam berpakaian ihram. Bagi saya, arwah amat bertuah dan tidak ramai yang mendapat peluang sedemikian.”

Selain itu, sebagai jurukamera, bapa kepada tiga cahaya mata itu juga berdepan dengan larangan merakam gambar dan video di sekitar Tanah Suci seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi walaupun berlaku tragedi-tragedi besar.

Situasi tersebut, memaksa beliau mengambil inisiatif sendiri dengan merakam gambar dan video menggunakan kamera telefon pintar serta GoPro.

“Secara jujur, kualiti video yang dirakam menggunakan telefon bimbit tidak begitu memuaskan. Begitupun, ia sudah cukup untuk tatapan penonton di Malaysia,” ulasnya lagi.

Bertuah

Sementara itu, bagi Mohd. Yunus Mohd. Nor yang juga wartawan RTM memanjatkan syukur kerana berjaya melaksanakan haji dengan sempurna walaupun berdepan cabaran tugasan sebagai seorang pengamal media.

Anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu menyifatkan, beliau sebagai insan bertuah kerana berjaya melaksanakan tuntutan Rukun Islam kelima pada usia 31 tahun.

“Bertugas sambil beribadat sangat mencabar. Namun, mujurlah pihak Tabung Haji banyak membantu saya dalam tugasan dan ibadat.

“Misalnya, sewaktu berwukuf di Padang Arafah, masa sangat singkat iaitu dari waktu zuhur hingga maghrib. Namun, kami masih boleh beribadat dengan sempurna sambil membuat liputan secara langsung khutbah di Arafah,” jelasnya.

kosmo

Comments