Sang Intelektual bernama Pak Ungku

Prof. DiRaja Ungku Abdul Aziz
Vice Chancellor
Third Vice Chancellor
(October 1968-February 1988)
Decon, DipArts, BA, HonDLitth (Pitt), HonEdD (Chulalongkorn), HonLLD (Waseda), HonDLitt (Warwick), HonLLD (Strathclyde), DeEkon (Keh)(UKM), HonLLD (Buckingham)
1968
foto : um memory

"Seorang dari istana berkelakuan seperti orang istana itu perkara biasa. Seorang rakyat biasa berkelakuan seolah-olah ia orang istana itu luar biasa. Seorang dari istana berkelakuan seperti rakyat biasa, itulah Profesor Diraja Ungku Aziz".

Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar A. Hamid (The University in Pantai Valley: Glimpses of the past')


5 petua jadi individu cemerlang
Oleh SAHBULAH DARWI
22 Februari 2014


UNGKU Aziz Ungku Abdul Hamid melawat pameran gambar-gambar lamanya selepas menyampaikan Syarahan Perdana sempena sambutan Kolej Ungku Aziz (KUAZ) ke-15 tahun di Universiti Malaya, semalam. Turut sama Dr. Mohd Hamdi Abd. Shukor (kiri).

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkongsi lima petua untuk menjadi orang berilmu dan individu cemerlang yang antaranya mengamalkan rutin tidur kira-kira 30 minit pada waktu tengah hari.

Ungku Aziz yang mesra dengan panggilan Pak Ungku berkata, beliau telah mengamalkan rutin tersebut sejak lebih 50 tahun lalu setiap kali selepas makan tengah hari.

"Sistem tidur adalah penting... tidur dalam tempoh setengah jam pada tengah hari boleh memberi kerehatan dan memperbaiki badan kita agar menjadi lebih cergas pada waktu petang untuk membaca buku dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Anjakan Pemikiran Mahasiswa: Membentuk Minda Geliga di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor merangkap memangku Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohd. Hamdi Abd. Shukor.

Pak Ungku berkata, rutin seperti itu juga menyumbang kepada minda dan badan yang sihat bagi membolehkan pelbagai aktiviti pada sebelah petang dilakukan dengan badan yang lebih menyegarkan.

"Saya tidak kisah apa berlaku kerana sebaik sahaja lepas makan saya akan masuk bilik untuk tidur.

"Pada waktu petang saya boleh banyak membaca buku atau aktiviti lain dan sebelah malam saya akan menonton televisyen," katanya.

Menurut beliau, golongan mahasiswa khususnya perlu menjaga kesihatan dari segi jasad dan minda sebagai salah perkara asas untuk mencapai kecemerlangan diri.

Katanya, bagi menjaga kesihatan jasad, mereka perlu mengelak makanan dan minuman segera sebaliknya memperbanyakkan memakan ulam-ulaman.

Beliau berkata, petua lain adalah mengurus masa, ketenteraman dan mengelak tekanan, bersenam dan menguasai kaedah belajar yang betul.

"Perlu ada strategi untuk mengelak tekanan atau 'stress' kerana tekanan itu berpunca daripada perasaan bimbang atau ketegangan perasaan terhadap sesuatu," jelasnya.

Ditanya mengenai amalannya menajamkan minda Pak Ungku berkata, golongan mahasiswa perlu banyak membaca buku dan memiliki sikap ingin tahu yang tinggi serta gemar bertanya untuk mendapatkan maklumat.

Mengenai krisis air yang melanda negara, beliau berkata, masalah itu berpunca daripada tangan-tangan manusia sendiri yang melakukan pembalakan dan tidak menjaga alam sekitar.

utusan online

Syarahan Perdana Prof Ungku Aziz

Ungku Aziz: Pejuang Melayu tulen
Susunan oleh KEITH JONATHAN

PROFESOR Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid, pasti akan dikenang sebagai orang yang paling banyak memperjuangkan nasib orang Melayu.

Walaupun usianya sudah mencecah 87 tahun, tidak pernah terlintas dihatinya untuk berhenti daripada mengkaji dan mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang melanda orang Melayu terutamanya masalah kemiskinan.

Oleh sebab itu setiap kali berbicara mengenai masalah pokok orang Melayu, jawapan ringkas yang pasti akan diberikannya ialah kemiskinan dan baginya jalan keluar daripada terus dibelenggu masalah ini pula ialah pendidikan.

Nama Ungku Aziz tidak boleh dipisahkan sebagai penggerak utama Dasar Ekonomi Baru (DEB), pengasas Lembaga Tabung Haji, iaitu salah sebuah oraganisasi yang menguruskan bakal jemaah haji terbaik di dunia dan Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (UM), yang telah melahirkan ribuan jurutera dan pakar perubatan tempatan.

Selain itu, sumbangan beliau yang lain termasuklah menjadi panel Majlis Perundingan Ekonomi Negara (MAPEN) II, pencetus idea penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa).

Sebagai seorang cendekiawan beliau tidak pernah gentar memberikan idea untuk memantapkan sistem pendidikan, mengkritik pentadbiran kerajaan, dan juga memberi pandangan untuk merubah cara hidup orang Melayu walaupun kadangkala mengundang kontroversi.

Ringkasnya Ungku Aziz adalah seorang yang mementingkan pembangunan ekonomi luar bandar, pemantapan sistem pendidikan negara dan juga penubuhan institusi masyarakat.


Latarbelakang Pak Ungku:



Naib Canselor Universiti Malaya yang paling lama berkhidmat iaitu hampir 20 tahun.
foto THE STAR oleh Victor K.K. Ng


Tokoh akademik dan ahli ekonomi yang disegani ini dilahirkan di London pada 28 Januari 1922, merupakan keturunan diraja Johor dan mempunyai salasilah dari keturunan keluarga Turki.

Bapanya Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid merupakan seorang Leftenan dalam pasukan tentera dan ibunya bernama Hamidah Abdullah.

Beliau merupakan anak saudara kepada pengasas Umno, Allahyarham Datuk Onn Jaafar. Ini bermakna beliau juga adalah sepupu kepada Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn dan bapa saudara pupu kepada Menteri Dalam Negeri sekarang, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau telah berkahwin dengan isterinya, Sharifah Azah Aziz dan telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang.

Ungku Aziz mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Pahat, kemudian menyambung pengajiannya di Raffles College.

Seterusnya beliau menyambung pelajaran di Universit Malaya (UM) dan lulus dengan Ijazah kelas pertama pada tahun 1951 dalam bidang ekonomi.

Pada 1964, beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Waseda University, Tokyo, Jepun.

Sewaktu di UM, beliau ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian di London School of Economic (LSE) tetapi menolaknya kerana lebih berminat memikirkan masalah kemiskinan orang Melayu.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada 1951, kemudian sebagai Pensyarah Ekonomi di UM, Singapura (dari 1952 sehingga 1961).

Pada tahun 1961 sehingga 1965, beliau telah dilantik sebagai Professor dan Dekan di Fakulti Ekonomi di UM, Kuala Lumpur.

Kemudian Ungku Aziz dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968 hingga 1988. Beliau merupakan Naib Canselor UM paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut iaitu kira-kira 20 tahun.


Prof Ungku Aziz ketika menerima anugerah Profesor Diraja daripada Canselor Universiti Malaya.
foto-THE STAR

Beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja pada 17 Jun 1978.

Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Putra Jamalullail.


Kemiskinan orang Melayu jadi keutamaan kajian


Beliau mengambil masa selama enam tahun melakukan penyelidikan mengenai kemiskinan orang Melayu. Bermula di Ulu Tiram, Johor pada tahun 1963 sebelum Kedah dan Perlis.

Kajiannya diteruskan hingga ke Pantai Timur iaitu di Beserah, Pahang. Selepas setahun berulang-alik dengan seorang pembantu, kajian diteruskan pula di Kemaman, Terengganu dan Kelantan.

Daripada penyelidikan tersebut, beliau mendapati penduduk di Ulu Tiram yang rata-ratanya menoreh getah bernasib baik jika dapat makan nasi sehari sekali. Selebihnya mereka hanya makan lempeng sebagai pengalas perut. Keadaan yang sama turut dialami oleh masyarakat di negeri-negeri utara.

Manakala di Pantai Timur, pengalamannya lebih dahsyat apabila wujud kebuluran di Kemaman. Beliau mendapati, masyarakatnya menangkap ikan untuk dijual dan hasil jualan tersebut digunakan membeli barang keperluan terutamanya beras.

Menerusi kajian tersebut, lahirlah teori Indeks Sarong yang digunakan beliau sebagai pengukur tahap kemiskinan di Kelantan dan Terengganu.

Melihat dan memahami gaya hidup masyarakat desa membuatkan beliau sedih dan berfikir bagaimana mahu melepaskan orang Melayu daripada belenggu kemiskinan.

Caranya ialah menerusi pendidikan. Namun dapatan kajian komuniti itu juga menunjukkan bahawa faktor pemakanan mempengaruhi saiz tumbesaran penduduk.

Makanan yang tidak seimbang membawa kepada masalah cacing dan anemia dan tentu sahaja mempengaruhi kecerdasan mereka.

Selain kajian tersebut, Ungku Aziz turut menulis rencana berkaitan sebab-sebab orang Melayu terjerumus dalam kemiskinan.

Antaranya ialah masalah perpindahan mangsa banjir. Menurut beliau hingga ke hari ini, mangsa banjir masih lagi melibatkan 95 peratus orang Melayu.


Dasar Ekonomi Baru (DEB)


Menurut Prof Ungku Aziz, beliau sudah membaca lebih daripada 70,000 buah buku sepanjang hidupnya.
foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussin.

Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata.

Dasar ini telah digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pada 1991. Walaupun begitu elemen-elemen dasar ini masih lagi wujud dan akan diganti secara beransur-ansur apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri.

Ungku Aziz terlibat secara langsung dalam pelaksanaan DEB.

Menurut beliau, generasi pertama era DEB mula diperkenalkan telah mencapai kejayaan. Banyak pencapaian telah diperolehi terutamanya dalam bidang pendidikan dimana ramai doktor dan jurutera Melayu telah dilahirkan.

Dalam kajiannya,Ungku Aziz merumuskan orang Melayu masih belum bersedia untuk mengamalkan meritokrasi kerana jurang kemiskinan penduduk bandar dan luar bandar yang masih lagi begitu ketara.

Beliau dengan tegas mengatakan tujuan utama DEB ialah membasmi kemiskinan di luar bandar dan ia telah menyimpang jauh apabila peratus pemilikan saham bumiputera yang lebih diutamakan.

Ungku Aziz tidak pernah berganjak daripada pendiriannya mempertahankan DEB kerana baginya ia adalah satu-satunya cara supaya orang Melayu tidak hilang keyakinan dan dapat terus bersaing.

Tabung Haji

Tabung Haji ialah singkatan bagi 'Lembaga Urusan dan Tabung Haji' (LUTH) Malaysia yang peranan asalnya menguruskan perjalanan jemaah haji dari Malaysia pergi ke Mekah setiap tahun.

Perbadanan ini wujud hasil penerimaan kertas kerja Ungku Aziz bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji" pada tahun 1959.

Menerusi Tabung Haji, nama Ungku Aziz terkenal diseluruh dunia. Ia merupakan antara organisasi pengurusan bakal jemaah haji yang paling efisien di dunia.

Melalui Tabung Haji orang Melayu bukan sahaja telah dididik untuk mengumpul wang bagi menunaikan fardu haji tetapi juga bagi tujuan pelajaran.

Kini hampir setiap satu-satu musim, 30,000 rakyat Malaysia boleh pergi menunaikan haji.

Pusat Asasi Sains, UM

Atas kesungguhannya membasmi kemiskinan, Ungku Aziz turut memainkan peranan apabila mencetuskan idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM.

Asal penubuhannya masih lagi berpegang kepada falsafah membantu golongan miskin. Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya pada tahun 1970-an, kemasukan pelajar ke fakulti perubatan hanyalah seramai lima pelajar.

Melalui penubuhan institusi itu, pelajar yang ingin memasuki kursus perubatan, kejuruteraan dan sains akan dipilih dikalangan anak-anak orang kampung.

Halangan utama pada masa itu ialah mencari tenaga pengajar yang boleh mengajar dalam Bahasa Melayu kerana kebanyakan anak Melayu yang dipilih berfikir dalam bahasa Melayu.

Hasilnya, selepas tiga hingga empat tahun persiapan, pelajar Melayu tadi telah boleh menyerap istilah dan berfikir dalam bahasa Melayu.

Kemudian mereka juga mahir dengan istilah-istilah bahasa Inggeris setelah mendalami kedua-dua bahasa.

Hari ini, graduan Pusat Asasi Sains tersebut telah mencecah tujuh hingga lapan ribu orang. Malah ada yang telah menjadi pakar dan hampir mencecah usia persaraan.

Anugerah Merdeka

Sebagai mengiktiraf kecemerlangan sumbangan kepada negara, Petronas bersama Exxon Mobil dan Shell mewujudkan Anugerah Merdeka yang merupakan sebuah anugerah berprestij seperti mana konsep Hadiah Nobel di peringkat antarabangsa.

Anugerah tersebut merupakan anugerah paling berprestij di Malaysia. Ia diberikan kepada anak Malaysia yang mampu menghasilkan usaha yang luar biasa dan membentuk kesedaran baru di kalangan rakyat Malaysia.

Pada 24 November lepas, tokoh unggul, Ungku Aziz, telah dipilih sebagai penerima sulung Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.

Berikut merupakan petikan Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar A. Hamid dalam bukunya bertajuk 'The University in Pantai Valley: Glimpses of the past'.

"Seorang dari istana berkelakuan seperti orang istana itu perkara biasa. Seorang rakyat biasa berkelakuan seolah-olah ia orang istana itu luar biasa. Seorang dari istana berkelakuan seperti rakyat biasa, itulah Profesor Diraja Ungku Aziz".

Let's Talk About Peace 








“Saya tidak pernah sunyi”
19 Februari 2012


PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz UNGKU ABDUL HAMID merupakan tokoh ulung yang telah begitu banyak menyumbang bakti kepada negara. Berdasarkan idea-idea bernasnya ketika lebih 20 tahun menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya menjadi antara universiti terunggul di rantau ini sehingga sekarang. Beliau juga bertanggungjawab menubuhkan Tabung Haji dan ANGKASA.

Namun kini namanya semakin terpinggir mungkin kerana usianya agak lanjut tetapi tiada sesiapapun boleh menafikan sumbangan dan jasanya pada negara.

Walaupun mungkin agak terlewat, beliau sebenarnya baru sahaja menginjak ke usia 90 tahun pada 28 Januari lepas. Namun pada usia sedemikian, beliau yang lebih selesa dipanggil Pak Ungku masih tetap cergas, sihat dan lebih mengagumkan memorinya masih tetap kukuh dalam ingatan.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid dan Khairunnisa Sulaiman, Pak Ungku begitu ceria berkongsi pengalaman hidup dan rahsia beliau panjang umur.

Namun bagi beliau tidak ada perkara yang beliau sesalkan dalam hidup kerana bagi Pak Ungku, beliau puas dan bersyukur dengan apa yang telah dilalui dalam hidup. Dan seperti biasa apabila diajukan soalan mengenai nasib orang Melayu, semangatnya begitu membara mempertahan dan menjelaskan, apa sebenarnya yang orang Melayu perlu lakukan.

MINGGUAN: Apa rahsia yang diamalkan Pak Ungku walaupun sudah berusia 90 tahun namun masih tetap sihat dan cergas?

UNGKU AZIZ: Bagi saya nombor satu kita kena jaga pemakanan. Perkara kedua adalah mesti mendapatkan rehat yang cukup serta selalu bersenam untuk kesihatan diri. Ia perlu dilakukan secara berdisiplin tidak bolehlah hari ini kita ingat nak ponteng, minggu depan baru nak buat balik. Kita mesti tetapkan waktu dalam jadual harian. Berapa jam kita nak bersenam dan berapa lama kita perlu tidur pada waktu malam. Aktiviti seharian saya bermula pada awal pagi, pukul enam sudah bangun dan saya akan pastikan tidur paling lewat sebelum pukul 12 malam. Ada ketika saya tidur lewat sedikit kerana menonton filem. Tapi kebiasaannya petang saya akan tidur sekejap untuk berehat. Pada umur saya, tidur selama enam jam dan adakalanya dibahagi dua iaitu pada malam dan petang, itu sudah mencukupi. Kemudian saya juga tetapkan waktu, bila nak buat kerja berfikir dan bila pula untuk menulis dan membaca. Kita juga perlu jaga kesihatan minda. Minda kita mesti ada masa untuk digunakan sebagai latihan untuk pemikiran dan ingatan. Setiap manusia perlu menggunakan kemahiran berfikir mereka kerana itulah anugerah Tuhan paling bermakna.

Bagaimana dengan pemakanan Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Bagi saya paling penting ialah menjaga zat makanan. Kalau nak cerita semua sekali akan mengambil waktu yang panjang tetapi rahsia saya yang sebenar adalah makan bawang besar secara mentah-mentah. Tukang masak saya akan pastikan benda ini setiap hari. Selain itu saya juga menggemari sayur ulam seperti ulam raja, salad dan juga petai. Masalah yang saya lihat sekarang kebanyakan orang tidak boleh mengurus waktu mereka, bila masa makan, tidur, rehat dan sebagainya. Hanya kerana sibuk dengan kerja waktu makan jadi tidak tentu hala. Saya sangat bertuah kerana ketika menjadi Naib Canselor dan pensyarah di Universiti Malaya, petang-petang saya berjoging di kawasan tasik. Semasa saya muda-muda dahulu saya banyak menyertai kejohanan marathon, kalau setakat 10 kilometer saya tidak ada masalah. Namun sekarang tidak boleh lagi. Doktor tak bagi kerana ia boleh mengakibatkan lutut saya lemah. Kalau setakat berjalan laju tidak ada masalah tapi bukan berjoging. Oleh itu saya kini hanya bersenam di gim dengan dibantu oleh pembantu di pusat gim. Satu masalah yang dihadapi bila kita tua ialah ketika kita jalan ke belakang baru dua tiga langkah sudah hilang keseimbangan.

Tidakkah Pak Ungku rasa agak terbeban dengan semua perkara ini kerana bagi kebanyakan orang apabila sudah berusia mereka lebih banyak berehat?

UNGKU AZIZ: Bila orang tengok saya mereka akan kata Pak Ungku ni macam robot. Bagi saya adalah okey untuk mereka kata saya sebagai robot tapi bagi saya, paling penting adalah cara hidup kerana ia benar-benar memberi kepuasan. Kita tidak akan tahu tentang takdir, bila kita akan mati. Esok pagi atau malam ini, saya boleh putus nyawa. Bagi saya jika sudah sampai masanya saya terima dan saya tidak akan rasa banyak lagi benda yang belum dibuat atau ada beberapa buku yang belum dibaca atau banyak perkara yang saya belum tulis lagi. Saya tidak akan minta untuk dipanjangkan nyawa untuk satu, dua hari atau bulan untuk menyiapkan apa yang belum siap. Kalau sudah tiba masanya saya akan terima dengan tenang hati, Alhamdulillah, Tuhan sudah beri saya peluang selama ini dan saya tidak akan minta hendak hidup lama lagi hanya kerana mahu lakukan itu dan ini. Tetapi kalau Tuhan beri saya nyawa panjang lagi satu tahun atau 10 tahun, saya terima dan bersyukur.

Apa perkembangan terbaru Pak Ungku?

UNGKU AZIZ: Saya kini sedang menumpukan usaha untuk menulis tentang satu isu besar, kenapa orang Melayu sering berasa tidak peduli. Saya sedang sibuk tentang beberapa perkara dan ia terpaksa ditangguhkan dahulu, namun semua nota yang berkaitan sudah ada dan bila ada kelapangan saya akan mulakan. Namun suka saya nyatakan di sini bahawa satu amalan yang kita harus lakukan adalah menggunakan sepenuhnya keupayaan minda. Bagi saya minda saya selalu berfungsi hampir sepenuh masa. Perkara ini akan menggalakkan saya untuk berfikir dan juga mencari ketenteraman.

Bagaimana dengan sisi hidup Pak Ungku yang lain?

UNGKU AZIZ: Saya adalah seorang yang gemar membaca. Saya baca lima akhbar sehari. Saya juga gemar menonton filem di rumah. Kebanyakan filem-filem yang saya tonton adalah filem Inggeris dan Perancis. Saya boleh faham bahasa Perancis dan saya juga boleh bercakap dalam bahasa Jepun. Saya juga boleh faham bahasa Arab dan bukan saya nak puji diri sendiri tetapi saya membaca dan mengkaji enam terjemahan al-Quran. Ini termasuklah terjemahan dari bahasa Melayu ke Arab ataupun bahasa Inggeris ke Arab. Selain itu saya juga gemarkan muzik-muzik tertentu antaranya saya meminati kumpulan Scorpion tetapi bunyi muziknya terpaksalah dikurangkan kerana telinga saya memakai alat bantuan mendengar. Saya juga menggemari muzik-muzik tradisional seperti ghazal, angklung, keroncong dan saya mempunyai lebih 200 cakera padat pelbagai genre lagu.

Buku yang paling saya minati dan saya sangat-sangat menggalakkan masyarakat terutama orang Melayu membacanya adalah buku tulisan Pendeta Zaaba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Buku ini adalah paling penting dalam hidup Zaaba. Malah buku ini hanya diterbitkan setelah beliau meninggal dunia. Saya mempunyai lebih 4,000 koleksi buku setakat ini dan saya mempunyai sebuah rumah di Morib yang kini menjadi tempat simpanan khusus buku-buku saya. Itulah gaya hidup saya yang sebenar dan saya tidak suka bergantung pada orang lain. Orang bertanya pada saya apakah saya pernah berasa kesunyian. Secara jujur saya beritahu saya tidak pernah merasa sunyi. Terus-terang saya katakan hidup saya sentiasa penuh aktiviti terutama dengan buku-buku dan kemudian menulis. Saya sentiasa akan menulis nota kerana jika tidak akan ada saja halangan, ini kerana minda kita selalu melayang ke mana-mana.

Boleh Pak Ungku kongsi antara pengalaman pahit, manis sepanjang kehidupan?

UNGKU AZIZ: Bagi saya sepanjang hidup, saya tidak mahu atau mengelak sama sekali untuk menjadi angkuh. Bagi saya itu adalah satu perkara yang memalukan dan sangat berdosa. Namun saya tidaklah sampai mahu menghambakan diri pada orang lain serta tidak sekali-kali mahu memuji diri atau menunjuk-nunjuk. Saya tidak mahu diberi sebarang gelaran, yang saya terima hanya Profesor Diraja tetapi tidak ada gelaran Datuk atau Tan Sri dan sebagainya. Pada saya itu tidak penting dan paling penting saya puas menjalani hidup berdasarkan apa yang saya mahu dan dalam cara saya tersendiri. Kita banyak mendengar atau terbaca tentang apa yang dimaksudkan dengan kebahagiaan atau kegembiraan. Saya rasakan selama ini saya gembira dengan apa yang telah saya lakukan. Tidak terlintas di pemikiran, saya perlukan beberapa tahun lagi untuk menghabiskan itu dan ini. Saya telah mengembara hampir ke seluruh dunia dan berkhidmat dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan ataupun di peringkat antarabangsa. Namun bagi saya walau ke mana saya pernah merantau tapi Malaysia adalah tempat tumpah darah saya, tidak ada negara yang boleh menggantikannya.

Mungkin Pak Ungku pernah ditawarkan untuk menyertai politik?

UNGKU AZIZ: Selepas kita mencapai kemerdekaan, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah menyatakan negara memerlukan orang seperti saya. Tapi saya kata, Tunku tidak perlu orang seperti saya kerana falsafah beliau dan saya jauh berbeza. Jadi saya beritahu tidak perlulah kerana nanti ia akan hanya menyakitkan hati. Kemudian Tun Abdul Razak juga pernah menawarkan perkara sama meminta saya masuk politik, boleh naik pangkat, jadi menteri dan sebagainya. Namun saya beritahu beliau, saya sangat berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang yang mana saya boleh berfikir dan menulis. Saya bersyukur dengan apa yang saya miliki dan lalui kerana saya sudah membaca pelbagai jenis buku dari Sigmund Freud hinggalah Ernest Hemingway dan sebagainya. Saya juga berpuas hati dengan ilmu ekonomi yang saya pelajari kerana melaluinya saya mampu memberi pandangan yang luas.

Bagaimana Pak Ungku menilai kepuasan dalam hidup?

UNGKU AZIZ: Kepuasan bagi saya sangat mudah kerana saya puas membaca, menulis dan berfikir. Saya suka perkara yang intelektual tapi tidak sepatutnya begitu serius. Kalau saya jumpa permainan sudoku saya boleh bermain dengannya. Saya juga sangat bahagia dengan keluarga saya. Kini isteri saya sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Saya akan meluangkan masa setiap hari untuk menjaganya. Begitu juga dengan anak saya Zeti (Tan Sri Dr. Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara Malaysia) yang akan menghubungi saya setiap hari. Saya sering berjumpa dengan cucu saya Alif dan Aziz serta menantu saya Datuk Aiman. Keluarga saya sangat rapat di antara satu sama lain dan itu juga membuatkan saya berasa puas dalam hidup.

Sekarang Pak Ungku tahu adalah zaman sains dan teknologi, bagaimana pula pengetahuan Pak Ungku dalam bidang ini?

UNGKU AZIZ: Dalam komputer saya yang mana saya menggunakan perisian Window7 dan saya mempunyai 16,000 koleksi pantun Melayu yang saya masukkan sendiri. Saya masih belajar malah orang yang membantu dalam perisian untuk koleksi pantun saya juga membantu mengajar saya selama setahun. Dan kini melalui pengajaran yang saya dapati, saya sudah boleh bagi ceramah atau membuat kertas kerja mengenai pantun yang saya kumpulkan.

utusan online

Riwayat Ungku Aziz
Judul: Riwayat Ungku Aziz
Pengarang: Asmah Haji Omar
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2015
Harga: RM90.00


PROFESOR Diraja Ungku Aziz merupakan tokoh akademik yang ternama yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Sudah ada beberapa karya yang menceritakan riwayat hidupnya. Oleh itu buku Riwayat Ungku Aziz ini hendaklah dilihat sebagai tambahan kepada penulisan tentang Ungku Aziz yang sedia ada. Penulis buku ini, Asmah Haji Omar menghasilkan penulisannya berdasarkan sudut pandangannya sendiri. Bahan yang menjadi kandungan buku ini diambil daripada khazanah ingatan penulis sendiri dengan pengalaman begitu lama bekerja di Universiti Malaya (UM), dan khususnya di bawah pentadbiran Ungku Aziz sebagai Naib Canselor. Khazanah ingatan ini disokong oleh buku-buku catatan harian ketika penulis menjadi Pengarah Pusat Bahasa dan Timbalan Naib Canselor (Perjawatan), UM. Oleh sebab nama Ungku Aziz sebati dengan UM, maka tidak dapat tidak, cerita berkenaan beliau dalam buku ini sebahagian besar tertumpu pada khidmat yang diberikannya dalam usaha membina dan membangunkan universiti berkenaan.

 klikweb



Nilai Seorang Pekerja Di Mata Prof. Diraja Ungku Aziz


Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja
kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru,wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat.Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat?Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan,banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969,tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan,maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

nota global 

Comments