Baha Zain: Penyair, Eseis, Pemikir
Oleh SN PROF. EMERITUS DR. MUHAMMAD HAJI SALLEH
PADA 15 Mac 2013, Panel Anugerah Sastera Negara telah memilih Baha Zain sebagai Sasterawan Negara Ke-12. Malah sebelum itu pun Baha Zain sudah diiktiraf sebagai seorang penyair, penulis esei dan penulis blog tersohor di Malaysia dan untuk sekian lamanya sudah pun mencapai suatu tahap gaya dan suara yang unik, dan watak kepengarangan yang sangat berbeza.
Dunia puisinya ditebar lebih luas. Beliau meninjau perkembangan di negaranya – termasuk kenyataan politik yang simpang-siur dan ekonomi yang tidak sama adil, tetapi dalam masa yang sama, amat prihatin terhadap segala hal yang berlaku dalam jagat diri dan dunia di luar dirinya – baik tragedi, peperangan, ironi, pergolakan sempadan mahupun pengembaraan. Semua ini mewarnai kehidupannya sebagai seorang penyair, lantas mempengaruhi karyanya.
Kehidupan awal Baha Zain dilatari oleh dunia kampung yang menjadi tempat beliau membesar. Tetapi di pihak yang lain beliau juga menjadi penghuni kota, tempat beliau menetap dan bekerja. Lantaran itu, tidak hairanlah jika karyanya banyak bertemakan proses perpindahan dari desa ke kota, dan juga proses kehancuran masyarakat tradisional – yang seterusnya meninggalkan kesan kepada penghijrahan itu, baik dari segi fizikal mahupun akliah. Namun, beliau tidak melebihkan desa mahupun bandar kerana kedua-duanya merupakan sebahagian daripada diri, nilainya serta sejarah hidupnya yang amat bererti baginya dalam dunia yang kacau ini. Baha Zain berusaha mengkaji watak dan hubungan antara manusia, memburu makna sebenar tanpa mengalah kepada klise dan tanggapan umum. Pembaca sering kali dibawa untuk meneroka pengalaman baru, dan dalam masa yang sama juga diajak menemui sesuatu yang bermakna daripada peristiwa yang saban hari berlaku dalam kehidupan kita.
Gaya intelektual
Bagi beberapa orang pengkaji, gaya karya beliau digolongkan ke dalam kumpulan puisi intelektual. Sajak intelektual ialah sajak yang berteraskan fikiran, atau menjadikan buah fikiran sebagai titik terasnya; bukan lagi perasaan yang dijadikan pusar seperti pada tahun-tahun sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua.
Gaya ialah tenunan watak, dan watak ialah peribadi dan pengenal. Gayanya agak susah untuk ditakrifkan. Tetapi seperti yang cuba saya sebutkan, bukan logika seluruhnya yang dituju. Walaupun gayanya ialah gaya intelektual namun yang sedang kita bincangkan ialah intelektual Melayu yang merasakan bahawa fikiran harus diimbangkan atau dilembutkan dengan perasaan yang baik. Oleh itu idea juga disampaikan dengan jalinan dan rujukan kepada perasaan – selain logik perbincangan. Dengarkan logika yang rimbun oleh tanah subur perasaan dan bawah sedar,
Kata-kata adalah daun
Lebat merimbun.
Datang musim,
Berdebu dan kering
Bertiup angin
Merembas segala
Yang ringan tak bermakna.
Yang tak terungkapkan
Tinggal diam
Alam kata
Terpendam segala.
Beliau memilih metafora untuk membawakan maknanya. Metafora ialah cara berfikir puisi/sastera dan yang lebih lembut dan lebih menyeluruh. Inilah salah satu teknik gaya intelektualnya yang juga meminjam ketidaklangsungan daripada sastera atau cara berfikir universalnya. Saya rasa ini bukan gaya yang konservatif tetapi menggunakan unsur puisi yang ternyata sudah berjaya ribuan tahun dan sejagat pula sifatnya.
Bahasa Baharuddin Zainal kelihatan bersahaja, namun ikhlas, menyentuh pinggir dan pusar perasaan, dan lunak berseni. Bahawa Baha memperlihatkan unsur-unsur gaya intelektual cukup jelas malah ada juga unsur akademik, iaitu yang mementingkan taakulan dan logik fikiran. Tetapi, seperti yang cuba saya sebutkan sebelum ini, logikanya lembut dan mudah lentur, taakulannya tidak keras dan tanpa pertimbangan unsur-unsur lain yang juga menyumbang kepada ekspresi yang lebih menyeluruh.
Yang dibawakan ialah gaya perbincangan; di dalamnya ialah suatu ajakan untuk terlibat dengan sesuatu idea dan mempertimbangkan hujah penyairnya. Hujah ini tidak memaksa kita menerima suatu keputusan atau kesimpulan, dan sering menyerahkannya kepada kita.
Dengarlah alur fikirannya berserta ajakan untuk turut menikmati perbincangan yang dibentangkan oleh penyair dalam sajak “Nama”. Beliau mempersoalkan makna nama dan bertanya apakah semua istilah itu kebetulan suatu penciptaan sahaja dan tiada logik kepadanya.
Tanpa nama bagaimana hendak membezakan
Pasir, batu, tanah atau kayu?
Beliau memulakannya dengan persoalan dan juga pertanyaan. Seterusnya beliau cuba berhujah:
Pasir tidak memerlukan nama
Batu tidak meminta nama
Tanah tidak mendaftarkan nama
Kayu tidak sedar apa namanya
Ini semua masalah manusia
Yang selalu gilakan nama.
Bersahaja, ringan, dengan tambahan sepalit humor ironi – kita diserahkan setimbun hujah. Hujahnya pula disokong hujah yang lain, sekali lagi dideretkan untuk penegasan,
Apa bezanya kalau kita menukar-nukar nama
Kayu jadi batu, batu jadi pasir dan pasir jadi tanah?
Melalui contoh-contoh di atas, beliau seakan-akan memalingkan kepada kita untuk bertanya pendapat dan tidak berminat untuk memutuskannya bagi pihak atau untuk kita. Ini gaya terkini untuk Malaysia, untuk bahasa Melayu yang sudah memasuki dunia demokratik dan intelektual. Bahasa harus dan selalu berubah dengan zaman dan pemikiran semasa. Selepas Kassim Ahmad, yang sedikit tajam dan menuntut persetujuan, Bahalah yang mengembangkan gaya ini.
Sebagai penyair muda lagi Baha memprotes bukan saja hal-hal yang berlaku dalam masyarakat 1960-an tetapi juga dalam cara beliau menyatakan pandangannya. Dari awal lagi beliau memilih untuk menjadi pemerhati yang kritis, yang enggan dikekang oleh propaganda atau slogan yang disogokkan oleh media massa mahupun politik. Baha memantau apa yang berlaku dalam masyarakat dan membuat penilaiannya sendiri.
Dilema penyair dan ramai orang muda adalah seperti yang dilakarkannya dalam sajak “Menyerah atau Melawan” (2008:52),
Sesekali manusia terlempar di gelap-gelita,
Bintang-bintang terdiam sementara,
Pagi menangguhkan sinarnya
Menghantar manusia ke dasar keberanian,
Budi bicara, akal dan pengalaman,
Memilih untuk menyerah atau melawan
Memadam atau menyalakan,
Sinar di samudera kehidupan …
Dalam baris-baris ini penyair melukis situasinya dan membuat kesimpulan untuk tidak menyerah kerana “betapa besarnya cahaya menunggu di depan”. Ada janji perubahan, pencerahan dan perkembangan yang lebih baik pada masa depan. Penyair harus bersabar untuk sementara waktu.
Mungkin inilah juga sebabnya mengapa beliau memilih untuk menetap di pinggir kota raya, pusat pemacu negara, tapak pembangunan dan kegagalan agar beliau dapat menilainya untuk abad kedua puluh dan kedua puluh satu. Dan tidak lupa juga menanti “sinar di samudera kehidupan”.
Daripada beberapa buah karya beliau yang awal lagi kita sudah dapat mengenali Baha sebagai seorang sasterawan yang dicorakkan kehidupan Malaysia kontemporari, penyair yang berjiwa terbuka dan murah hati, yang juga terpanggil untuk terus menilai dan mengkaji haluan yang dipilih oleh negaranya sambil tetap berpegang kepada pendiriannya (walaupun dalam kecelaruan senario politik dan globalisasi budaya yang terus bergelora). Bagi beliau globalisasi budaya telah “merenggut kehidupan sebilangan besar warga Malaysia apabila bandar-bandar tercemar dan nilai murni mulai reput oleh jelaga dan pencemaran”.
Pendekatan penyair ini terhadap tema puisinya tidak ubah seperti seorang yang mengupas bawang. Beliau mengupas kulit luar kehidupan warga Malaysia kontemporari untuk mendedahkan dilema, isu moral dan keseronokan mereka. Beliau yang tidak malu untuk menyampaikan pandangan, sering mengkritik kota raya yang mencengkam dan melemaskan warganya, seperti yang dilakarkan dalam karyanya yang berjudul “Kota Kertas Tandas”. Bait-baitnya berhujah dengan kita dan gerak logikanya cukup meyakinkan. Tidak menghairankan bukunya, Esei dan Puisi: Tentang Penulis dan Persekitarannya (2000), ialah koleksi puisi dan esei yang melukis protesnya terhadap arah nilai dan ekonomi yang memenangkan golongan kaya dan berkuasa.
Dalam Postponing Truth and Other Poems (2008), dunia kacau ini dilakar dengan dakwat hitam dan merah, dengan marah dan rasa rawan. Ini jelas dalam “Dari Sarajevo ke Jalan Lain ke Neraka” (2008:60). Kata penyair,
Ini adalah zaman yang mencatat sejarah silam,
Ibu-ibu dihamilkan dengan benih seribu dendam,
Anak-akan dilahirkan dengan tangisan pertama
di muncung senapang,
Ayah mereka tewas dengan lehernya ditusuk senjata tajam.
Dalam sebuah tulisan lain, saya pernah menulis (1986:77):
Sejak Perempuan dan Bayang-Bayang lagi sudah kita temui gaya yang khusus pada Baha Zain. Suaranya yang bersahaja, pengucapan hujahnya yang jujur, ditambah dengan garam sinisnya, maka karyanya mudah menjadi intens, misalnya dalam sajak-sajak seperti “Wajah Kota yang Kumal” dan “Kota Kertas Tandas”. Hal ini saya rasa, ialah suatu perkembangan di mana keghairahan nilai dapat juga diberikan salutan sinisme. Penyair juga terus mengekalkan humor ejekannya. Berbanding dengan penyair lain, nafas Baha agak panjang, sepanjang usaha mencari kata dan imejan. Idea dan imej dikenalkan kepada kita, dikembangkan hingga menjadi penuh dan memuaskan. Bahasa Baha lebih disaring daripada bahasa percakapan dan wacana akademik. Puisinya terletak pada kejituan ekspresi dan rincian baru. Beberapa baris daripada puisinya kekal dalam ingat pembaca kerana kebenaran maknanya diberikan muzik bahasa yang memasuki bawah sedar kita.
Dunia penyair yang membentangkan perbezaan dan persamaan
Baha Zain bermastautin untuk beberapa waktu di Jakarta dan Iowa, atau berkunjung ke beberapa kota dan negara, dan Amerika Syarikat, Eropah, Asia Barat dan Asia Timur serta Asia Tenggara. Puisi dan sasteralah yang membawanya ke sana untuk menghadiri persidangan kesusasteraan, pembacaan puisi dan wacana penerbitan. Namun, ada kalanya beliau juga ke luar negara untuk berlibur. Beliau pernah berkunjung ke China, Mesir, dan banyak negara Eropah. Semua tempat dan negara ini ialah pentas hidup baharu di tengah dunia baharu, dan tidak sedikit dijadikan sebagai titik perbandingan dengan situasi di negaranya. Selalu berfikir, selalu membandingkan dan menilai menjadikan, maka sajaknya selalu hidup dan bergerak ke hadapan. Sajak berikut melukis dunia mutakhir dengan warna ironinya (2008:157):
Apakah bezanya teh tarik dengan globalisasi
yang satu dibancuh di warung-warung lorong,
Yang lain itu dibancuh di White House, Washington, D.C.
Atas nama globalisasi pemimpin berkomplot sesama sendiri,
Atas nama liberalisasi mereka ganyang bahasa sendiri.
Apakah bezanya teh tarik dengan jati diri?
Sama saja – ditelan dan dikencing oleh liberalisasi.
“Liberalisasi” di sini bukan bermakna pembukaan minda dan dunia pemikiran, tetapi suatu dasar negara yang dianggap sebagai pelacur untuk digunakan oleh pemodal dari dalam dan luar negara.
Untuk dunia dalam dan luar negara banyak juga sajak awalnya yang menggunakan cat hitam atau kelabu untuk melukiskan wajahnya – alam yang rosak dan mulai musnah oleh kelalaian manusia. Manusia inilah juga yang memberikan potret kerakusan wang dan kuasa, dan merekalah juga antara penyebab pertumpahan darah yang tidak habis-habisnya. Puisinya sering terpercik dengan darah manusia yang tidak berdosa. Yang berdosalah yang mencipta kekacauan dan kematian ini.
Bagi beliau, London juga tidak terlepas daripada gambar suramnya. Sewaktu berada di sana, pada bulan Jun 1990 (2008:86), beliau mencatatkan baris-baris berikut:
Di kota kosmopolitan ini kita harus belajar mengira semula
Tak ada guru yang cekap, kecuali kalkulator atau keberanian
Itulah guru, itulah teman
Penghuninya hanyalah penonton dan murid yang keras atas pengalaman.
Penyair sebagai pengembara
Dalam sastera Melayu, kesedaran dunia yang lebih besar ini kita saksikan dalam karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulalat al-Salatin. Hikayat Hang Tuah melukis peta naratif manusia Melayu antarabangsa yang mengenali dunia secara alamiah kerana dia sendiri ialah penghuni dunia maritim, dan budayanya mengalun di lautan. Maka dia cepat berubah menjadi penghuni banyak pantai dan pondok. Dalam sastera moden, Hikayat Nakhoda Muda (1763) yang dikarang oleh anak nakhoda itu yang bernama Lauddin, di Lampung, serta karya Ahmad Rijaluddin, Hikayat Perintah Negeri Benggala di Pulau Pinang dan Kolkota, memulakannya pada 1810, dan setelah itu barulah diikuti oleh Abdullah Munsyi dan Harun Aminurrashid. Karya Baha Zain ialah salah satu perhentian dalam perantauan sastera Melayu-Nusantara yang tua dan luas rantau kembaranya.
Dunia yang rencam dan luas inilah yang kita baca atau kesan bayangnya dalam: Perempuan dan Bayang-bayang, Catatan Kertas Tengah Malam, Esei dan Puisi: Tentang Penulis dan Persekitarannya (2000) dan Postponing Truth (2008), yang terakhir ini puisi pilihan terbaharunya yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
Tetapi penglibatan sastera Baha Zain juga melangkaui batas puisi. Beliau juga menulis esei dan kritikan.
Penyair sebagai pengkritik
Sebagai pengkritik, sehingga kini Baharuddin Zainal sudah menerbitkan Mendekati Kesusasteraan (DBP: 1975), Esei Sastera Baharuddin Zainal (DBP: 1979), Esei dan Puisi Baha Zain: Tentang Penulis dan Persekitarannya (Pustaka Cipta: 2000), Berguru Pada Binatang (Pustaka Cipta: 2000), dan saya dimaklumkan bahawa sebuah kumpulan yang memuatkan esei terpilih daripada esei-eseinya dalam kolum Dewan Sastera.
Mengapa penyair harus juga menjadi pengkritik? Mengapa tidak dibiarkan pengkritik lain menulis tentang kejayaan dan kekurangan penyair dalam bidang ini? Apakah penyair merasakan bahawa oleh sebab mereka menulis puisi maka rahsia dan sihir bentuk ini lebih difahaminya dengan lebih mendalam dan benar? Apakah hanya pengarang dapat merasakan beban dan tanggungjawabnya dan tidak ramai manusia lain yang dapat masuk ke dalam siratan dan beban tanggungjawab ini?
Roland Barthes, sekitar 30 tahun yang lalu, mengisytiharkan kematian pengarang. Dalam beberapa maksud saya kira – kerana teks menjadi satu-satunya yang dibaca – fenomena ini lebih berlaku di Eropah, yang jatuh cinta dengan “textual criticism atau practical criticism” daripada negara-negara yang masih dekat dengan pembacaan lisan dan juga persembahan pertunjukan lama seperti wayang kulit dan selampit. Dalam menulis esei-esei begini, Baha bukan saja meniadakan kematian yang dipaksakan Barthes ke atas pengarang Eropah, tetapi juga seperti mengatakan, dengarlah suara dan kata-kata pengarang kita, yang masih petah berkata-kata dan terlibat dalam masalah masyarakatnya. Dialah yang lebih mengenali sastera, dan menghidupinya. Apabila dia berkata-kata, karya dan dunia sastera menjadi lebih jelas, lebih mendalam dan lebih indah.
Bagi seorang novelis, sajak ialah bentuk yang pendek dan mungkin tidak memuaskan. Mungkin yang kita bandingkan itu dapat diibaratkan seperti dua ekor burung yang berlainan bentuk dan spesiesnya: Misalnya raja udang yang kecil, indah dan laju terbangnya, dengan enggang yang lebih perlahan, tapi besar, megah dan juga dengan suara yang sama besarnya. Saya kira ini perbandingan yang tidak saksama – peribahasa Melayu menyebutnya membandingkan itik dengan ayam. Pendekatannya juga harus agak berlainan. Begitu juga ruang dan alatan puisi dan prosa naratif. Walaupun ada yang merasakan puisi itu terlalu pendek, kita tidak harus lupa bahawa puisilah bentuk yang mendahului prosa dan untuk ribuan tahun inilah yang menjadi wadah mongel alur fikiran dan naratif bangsa kita dan banyak bangsa yang lainnya. Puisilah yang menyimpan pemikiran terbijak bangsa-bangsa kita dalam perumpamaan, teromba, perbilangan dan sebagainya. Tradisi puisi kecil dan layangan ini terdapat di China, Korea, Jepun, dan di daerah Melayu-Nusantara dalam bentuk pantun dan pelbagai lagi.
Yang pendek itu padat, rapi dan disusun seperlunya. Puisi pendek tiada memperlihatkan lebihan atau pembaziran. Tetapi puisi juga tidak seperti sebuah karya matematik yang menuju terus kepada kesimpulannya. Sering dipilih oleh puisi ialah jalan lain, yang tidak langsung tetapi mencabar imaginasi dan kreativiti kita – dan memuatkan kias dan ibarat – cara yang lebih estetik dan menggoda perasaan serta taakulan.
Seperti gaya puisi Baha, pendekatan eseinya juga pintar dan ghairah, walaupun bahasanya diringankan untuk kesan yang lebih efektif. Walaupun berfikir tentang sesuatu persoalan cukup lama tetapi Baha masih berupaya memberikannya gerak yang baik malah sering menawan pembacanya. Keindahan ini bukan sahaja terletak pada pendekatannya, malah pada bahasanya. Saya terkesan bahawa pada tahun-tahun 1970-an, tulisan beliau banyak belajar daripada bahasa dan persekitaran sastera Indonesia yang dinamik dan baru dicanai oleh keperluan dan percampuran bahasa-bahasa di Jakarta dan kota-kota lain. Tetapi pada umumnya ini berlaku hanya pada peringkat permulaan – dari tapak kukuh ini beliau membina bahasa kritikannya sendiri. Namun sesekali terbaca juga pengaruh bahasa Goenawan Mohamad yang sangat menggoda itu dalam beberapa esei beliau.
Beliau pengkritik yang selalu terlibat dan keterlibatan ini merangsangnya untuk memikirkan masalah serta penyelesaiannya sendiri di luar pengaruh atau contoh dari luar. Dalam contoh berikut, misalnya Baha berwacana tentang bentuk dalam kolumnya (Disember, 2009: 6-7):
Kalau bentuk tidak memberikan banyak pilihan kepada sasterawan, dan tema ada pelbagai macam dan jenisnya dalam kehidupan sehingga memaksa pengarang yang perasa memikirkannya secara sedar – pengarang tersebut akhirnya akan sampai kepada suatu kenyataan hakiki, iaitu kemanusiaan dan ketuhanan. Hal ini ialah matlamat pengembaraan yang terunggul, yang tidak kering-kering digali sedalam dan selama mana pun…
Temanya selalu baru, terutama dalam kolum “Monolog Kecil” Dewan Sastera – dan penulis esei ini juga mengembara daripada soal-soal tentang kepengarangan dan penulisan kepada pengalaman sastera yang bertebaran di mana-mana, masalah negara, cetusan fikiran daripada pengarang-pengarang yang sedang dibacanya, hinggalah pengalamannya yang panjang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Esei memberikannya ruang untuk mengembara dalam idea, membandingkan zaman dan makna. Tetapi yang selalu hadir ialah makna sastera dan fungsinya, sasarannya – kebenaran dan tanggungjawab moral pengarang. Kata beliau dalam “Catatan kepada Seorang Moderator”, “penulisan adalah amanah dan tanggungjawab yang sebenarnya: memperjuangkan kebenaran Tuhan dan kebaikan untuk manusia”. Beliau sering membaca karya-karya falsafah, komunikasi, sastera mutakhir serta juga majalah berita mingguan antarabangsa. Malah beliau sendiri pernah mencuba menerbitkan sebuah di Malaysia. Tetapi malangnya ketiadaan penulis yang baik dan pasaran yang sangat kecil menggagalkan usahanya ini.
A.F. Yassin melaporkan pengakuan Baha Zain pada malam pelancaran bukunya Belajar daripada Binatang dan Esei dan Puisi Bahasa Zain: Tentang Penulis dan Persekitarannya. Buku pertama ini ialah sebuah fabel, suatu kumpulan analogi, puisi-prosa naratif tentang hidup pada kurun ke-20 dan 21 ini.
Baha Zain artikulit dalam bicaranya tentang binatang. Baha Zain bercerita tentang katak, tentang ayam, tentang naga, tentang singa, tentang beruk, tentang lembu, tentang kancil, tentang helang, tentang ular senduk, tentang pipit (sejenis burung tentunya) dan tentang gajah. Ada lelucon dalam ceritanya dan menjadikan orang ketawa. Namun mereka secara tidak langsung mentertawakan diri manusia itu sendiri, bukan haiwan yang menjadi watak antagonis dan protagonis cerita.
Yang disasarkannya ialah makna kehidupan atau pelajaran yang tersedia buat manusia oleh alam dan bahagian-bahagiannya. Baha mungkin sealiran dengan pandangan peribahasa Riau, “Kalau nak belajar tentang manusia masuklah ke belantara”. Di belantara dia akan dapat mengutip makna, manik-manik kebijaksanaan dan moral yang tahan zaman dan tempat. A.F Yassin mengutip beliau sekali lagi:
Saya bercerita dan berkarya atas isu moral bukan isu politik dan ada yang menganggap karya saya sinikal.
Dan ternyata penyair ini tidak begitu menyayangi suku manusia yang dinamakan ahli politik, kerana mereka mencari kuasa, dan kuasa sering menghalalkan semua cara. Penyair, sasterawan, sejarawan dan ahli falsafah mencari kenyataan dan kebenaran. Dua suku ini akan selalu bertembung dan beradu pandangan hidup, dan kadang-kadang, walaupun tidak di Malaysia, golongan kedua ini dipenjarakan. Di Malaysia mereka hanya diintip, diikut dan ditakutkan. Mungkin sekarang ini mereka tidak pun terlalu dipedulikan kerana ahli politik tidak membaca sastera dan tidak tahu bagaimana sastera boleh mempengaruhi sesiapa pun. Jadi dibiarkan kerana kuasa sastera sudah menjadi terlalu kecil dan tidak akan menjatuhkan kuasa kerajaan.
Rupa lain puisi Baha Zain
Karya Baha diterjemahkan dalam bahasa-bahasa Inggeris, Korea, Rusia, Thai dan beberapa yang lainnya. Saya terlibat dalam penterjemahannya ke dalam bahasa Inggeris dan ingin berkongsi sedikit pengalaman saya dengan karya beliau. Selain mengkaji, saya menterjemah beberapa puluh buah sajak Baha Zain, yang terakhirdalam Postponing Truth and Other Poems (2008). Kita dapat mendekati puisi dan juga pengarangnya melalui kajian, tetapi saya kira, apabila kita menterjemah karya-karya seseorang pengarang, maka apabila kita rela atau tidak, kita akan masuk ke dalam rahsia-rahsia, yang diungkapkan bawah sedarnya, metaforanya yang berulang, jumlah kekasihnya dan juga mimpinya. Kita menjadi lebih akrab dengan setiap baris dan kata, idea dan sentimen, kerana setiapnya harus difahami sebaiknya, dan setelah itu dicarikan penjodoh bahasa sasarannya. Oleh yang demikian, seorang penterjemah ialah seorang sahabat yang menyokong, tetapi seorang penyimpan rahsia yang mungkin menghamburkan rahsia itu pada bila-bila masa, terutama apabila penerbitnya tidak melunakkan royalti seperti sepatutnya!
Saya mula menterjemah karya Baha sejak akhir tahun 1960-an kerana tidak ramai penterjemah pada zaman itu (malah sekarang juga), terutama daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.
Sebagai seorang penterjemah karya beliau, saya mendapati agak lebih mudah memindahkan gaya serta kandungan karyanya ke dalam bahasa Inggeris. Memang ada beberapa kata-kata atau konteks kampung dan budaya Melayu/Malaysia yang tidak selalu mudah diinggeriskan, tetapi pada umumnya beliau berkata-kata dalam bahasa kontemporari, dan bahasa kontemporari Melayu juga bertindih ruang dan metafora dengan Inggeris.
Banyak tema yang dulunya menjadi khusus Eropah tetapi kini menjadi persoalan bersama: Keruntuhan budaya dan masyarakat desa, pemanasan dunia, keganasan, hak asasi manusia, kemiskinan dan juga peminggiran nilai moral yang pernah menjadi lunas utama kehidupan. Banyak tema ini juga disentuh dan dijadikan pusar persoalan dalam sajak dan eseinya.
Dan pada perasaan saya, kemerduan bahasanya juga dapat mengalir dengan cara yang tidak terlalu sulit ke dalam bahasa sasarannya. Misalnya dalam sajak “I am Kuala Lumpur”, “Akulah Kuala Lumpur”, (2008:164),
I am Kuala Lumpur
In my moments of sanity
There are no clogged roads,
The streets are clear
The snatch thief is still without his victim
The prostitute is asleep
All is at peace….
Tulisan Baha tidak melukiskan bahawa “segalanya aman”/ “all is at peace”. Malah sebaliknya – beliau mengajak dan sesekali mengheret pembacanya untuk berfikir (kerana sastera harus berfikir) dan bukan hanya sejumlah kata-kata, atau sekarung sentimen tipis dalam klise yang mengasarkan dan menjauhkan kita dari dunia dan seni madani. Setelah membaca sajak dan eseinya, kita merasakan bahawa kita sudah sampai ke daerah yang jarang kita masuki dan telah diperkaya oleh pengalaman sastera itu. Daerah ini bukan sahaja bersifat geografi, tetapi meliputi suatu benua perasaan, pemikiran, idea dan makna suatu kehidupan.
Demikianlah pembacaan saya terhadap karya Baha Zain, penyair, eseis dan pemikir.
Rujukan:
A.F Yassin, afyassin.wordpress.com/personalities/profile/zam…/baha/ diakses 3 Apri, 2013.
Baha Zain, 1974. Perempuan dan Bayang-bayang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baha Zain, 1978. Dari Kertas Catatan Tengah Malam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baha Zain, 2008, Postponing Truth. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baha Zain, 1980. Tiga Catatan Perjalanan/Three Sketcehs from a Journey. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Haji Salleh, 2006. Menyeberang Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Catatan: Ucaptama ini telah disampaikan dalam majlis Bicara Baha Zain pada 22 Mei 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka.
klikweb

Pada bloger "Mimbar Kata" yang terutama atikel tulisan ini, sangat menarik dan inspiratif. Kata-kata yang baik dikemas dalam bahasa sastra dengan gaya yang intelektual menjadikan tulisan ini begitu bagus dan menarik. Sukses selalu.
ReplyDelete