Mengenang Dharmawijaya

Di Rumah Cinta

Setiap kali ku kunjungi
rumah cinta ini
kurasakan pintu takwa
semakin membukakan
sinar makna
kandil wahyu
titian keagungan-Mu

Dharmawijaya


 Segalanya Padamu Ibunda

Masa silam yang terpendam
di suram matamu
merantai badai beban waktu
kutahu
kau masih berupaya
meniduri hamparan duka.

Masa kini yang terukir
di senyum ramahmu
mendepani gementar siang gelisah malam
kutahu
kau adalah ladang segala kesabaran
tegak teguh merimbuni pohon ketabahan.

Masa depan yang terpancar
di nyala dadamu
kutahu
kau tak rela daun-daun harapan
gugur luruh menampar genggaman.

Dharmawijaya


Dharmawijaya atau nama sebenarnya Kamaruzzaman Abdul Kadir adalah antara nama besar dalam perkembangan puisi moden tanahair. Untuk generasi muda nama ini barangkali agak asing. Marilah kembali kita menatap kepenyairan Dharmawijaya melalui beberapa catatan dan tulisan yang amat berharga.

Semoga dengan catatan ini dapat mengimbau kembali kenangan kita terhadap jaguh puisi Melayu moden ini serta dapat melihat kembali akar puisi dan tunas kreativiti yang ada dalam diri beliau

Alfatihah.



Catatan Diri Dharmawijaya

Tokoh penyair negara, Kamaruzzaman A. Kadir atau lebih dikenali dengan nama pena Dharmawijaya meninggal dunia di Hospital Seremban pada April 2005 akibat kanser paru-paru.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah meninggalkan seorang isteri, Zaini Ma’aya, tiga orang anak iaitu Susilawati, Asrul Effendi dan Iza Hairani.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Haji Said.

Allahyarham yang memiliki ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Malaya pada tahun 1981 pernah menjadi guru bahasa dan kesusasteraan Melayu di sekolah menengah; pembantu penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka (1971-1972) dan; pensyarah (1981-1986) dan Profesor Madya (1987-1994) di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Allahyarham bertugas di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM sebagai Sarjana Tamu sejak tahun 1996 sehingga meninggal dunia.

Selain seorang penyair, Allahyarham juga adalah seorang penulis esei dan kritik sastera terutama puisi.

Allahyarham pernah memenangi hadiah sastera Malaysia pada tahun 1971, 1976 serta 1982/83 dalam bahagian puisi.

Allahyarham menerima anugerah penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Bangkok, Thailand pada tahun 1993, anugerah penyair GAPENA pada tahun 1999 dan anugerah pujangga, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2002.

Beberapa buah buku kajian Allahyarham mengenai puisi yang telah diterbitkan ialah Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982) yang turut memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83 dalam bahagian buku kajian sastera moden terbaik; Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi (1987); Berkenalan Puisi (1987), Pemahaman dan Penghayatan Puisi (1992) serta Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran (1992) dan edisi yang sama dikemaskini pada 1998.

Turut diterbitkan ialah tiga buah kumpulan pusi persendiriannya iaitu Warna Maya (1974), Derita Buana (1992) dan Jejak Kembara (1999).

Di samping itu, Allayharham adalah penyusun antologi puisi Di Penjuru Matamu (1975) dan Bunga Gerimis (1986) yang pernah menjadi buku teks Kesusateraan Melayu di sekolah-sekolah menengah; Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Puisi Sepanjang Zaman (1989) dan Gurindam Alam (1994) yang menjadi rujukan umum dan di institusi-institusi pengajian tinggi.


Anugerah Penyair bagi Dharmawijaya
27 Jan 1999

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Tokoh penyair tanah air, Dharmawijaya terpilih menerima Anugerah Penyair Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bagi tahun ini.

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein dalam kenyataan hari ini, berkata, anugerah itu bersempena Hari Puisi Nasional ke-14 yang akan diadakan di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Negeri Sembilan, pada 29 Januari ini.

Katanya, anugerah tersebut akan disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Abdul Samad.

Dharmawijaya atau nama sebenarnya Kamaruzzaman Abdul Kadir adalah tokoh penyair kelima yang menerima anugerah anjuran Gapena.

Sebelum ini, penerima pertama Anugerah Penyair Gapena ialah Kassim Ahmad pada tahun 1987, Baha Zain (1988), Latiff Mohidin (1991) dan Jihaty Abadi (1996).

Menurut Ismail, Dharmawijaya terpilih sebagai tokoh penyair kali ini atas sumbangannya terhadap dunia puisi tanah air sejak empat dekad lalu.

Bermula dengan puisi berjudul Kerana Hati yang menggunakan nama pena K Zaman yang dimuatkan dalam antologi Bingkisan Angkatan Baru, terbitan tahun 1956, beliau meneruskan perjuangan sebagai penyair dengan menggunakan nama pena baru, Dharmawijaya.

Puisi pertama yang menggunakan nama tersebut ialah Anak Perantau, yang diterbitkan menerusi Mastika pada tahun 1962.

Sehingga kini, Dharmawijaya telah menerbitkan dua buah kumpulan puisi iaitu Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).

Di samping itu, beliau menyusun beberapa antologi puisi iaitu Di Penjuru Matamu (1975), Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Bunga Gerimis (1986), Puisi Sepanjang Zaman (1989) dan Gurindam Alam (1994).

Selain menghasilkan puisi, Dharmawijaya menghasilkan beberapa buah buku kajian puisi iaitu Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1986), Tanggapan dan Kaedah Puisi (1988), Pemahaman dan Penghayatan Puisi (1992) dan Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran (1988).

Beliau turut menghasilkan buku Intisari Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden (1987).

Dharmawijaya, 62, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (1953-1956), Maktab Perguruan Bahasa Kuala Lumpur (1960) dan Universiti Malaya (1973-1976) dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1981.

Beliau pernah bertugas menjadi guru bahasa dan kesusasteraan Melayu, pembantu penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka dan pensyarah. Dia turut menjawat Setiausaha Dua Gapena dari tahun 1974 hingga 1986.

Dharmawijaya juga dipilih sebagai penerima S.E.A. Award pada 1993 di Bangkok. Sebelum itu, beliau memenangi hadiah Karya Sastera untuk puisi Sumpah Tanah Air (1971) dan Masih Ada (1976).

Beliau kemudian memenangi Hadiah Sastera untuk puisi Warga Petani (1982/83) dan buku Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1857 (1982-1983).

Selain penghargaan yang diberi Gapena, persatuan ini juga mengambil daya usaha menerbitkan 42 buah puisi pilihan karya Dharmawijaya (1963 sehingga 1998) dalam kumpulan puisi Jejak Kembara.

utusan online


Biografi

Kamaruzzaman bin Abdul Kadir (1937-2005) atau lebih dikenali sebagai Dharmawijaya merupakan salah seorang penulis novel dan pengkaji kesusasteraan Melayu Malaysia. Beliau dilahirkan pada 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan hingga tamat Darjah Tujuh (1952). Setelah itu, beliau mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak (1954-1956).

Pada tahun 1960-an, beliau mengikuti latihan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Di samping bekerja, beliau belajar secara persendirian hingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia dan beberapa tahun kemudian beliau lulus Sijil Tinggi Persekolahan. Pada tahun 1973, beliau melanjutkan pengajiannya di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya hingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (1976). Semasa bertugas di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, beliau melanjutkan pengajiannya pada peringkat sarjana dan berhasil memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (1981).

Beliau juga pernah menjadi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu selama 20 tahun di beberapa buah sekolah menengah, sebelum bertugas sebagai pensyarah sambilan Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu di Pusat Latihan Daerah (1966-1968) di Negeri Sembilan. Seterusnya bertugas sebagai penyelidik sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur (1971-1973) diikuti sebagai penyunting serta penilai manuskrip dan buku. Di samping itu beliau pernah menjadi penulis skrip dan pantun untuk rancangan Dondang Sayang di TV1 RTM (1971-1973), selain aktif menjelajah ke seluruh tanah air menyampaikan ceramah penulisan kreatif, khususnya dalam genre puisi untuk sekolah mahupun persatuan-persatuan penulis negeri. Dharmawijaya juga pernah bertugas sebagai Pensyarah dan Prof. Madya Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1980-1994) sebelum berpindah ke Fakulti Pengajian Bahasa Moden, UPM. Jawatan terakhirnya ialah sebagai pensyarah tamu di UPM.


Dharmawijaya menghasilkan sekitar 30 buah buku ilmiah termasuk 15 buah buku kreatif yang terkenal antaranya ialah Warna Maya (1974), Di Penjuru Matamu (1975), Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982), Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Bunga Gerimis (1986), Derita Buana (1992) dan Gurindam Alam (1994).

Anugerah yang pernah diterima oleh Dharmawijaya ialah Hadiah Sastera Malaysia genre puisi tahun 1971, 1976, 1982/83, Hadiah Sastera Malaysia bahagian buku 1982/83 dan Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1993 sebagai pengiktirafan berprestij terhadap perjuangannya dalam bidang kesusasteraan yang berkualiti.

Dharmawijaya menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah paru-paru di Hospital Seremban pada 21 April 2005.

wikipedia


Dharmawijaya Dalam Kenangan

Pada tanggal 14 Februari 2009, saya menyampaikan makalah tentang sastra di Fakulti Bahasa Moden dan komunikasi Universiti Putra Malaysia dalam rangka "Dharmawijaya Dalam Kenangan".

Saya menyigi tentang "Warna Keminangkabuan Dalam Puisi Dharmawijaya". Saya menumukan minimal tiga identitas sastra Minangkabau ini. Silakan baca lebih detaik makalah lengkap saya.

Pengenalan

Lingkungan sosial-budaya mempunyai pengaruh yang cukup kuat membentuk watak sesorang. Hal ini sudah menjadi pusat perhatian dari kajian psikogi dan sosiologi-antropologi semenjak awal kedua ilmu itu ditubuhkan. Ada kesepakatan dan kesepahaman dari kedua ilmu tersebut, yang menyatakan lingkungan sosial-budaya merupakan pembentuk tindakan dan watak dari seseorang. Kajian psikologi tentang ini dapat dilihat dalam kajian Freud dan dalam sosiologi-antropologi dapat dilihat dalam kajian para sosilogi-antropologi Mikro.

Begitu pula dengan dunia sastera. Ada keterkaitan sosial-budaya dengan hasil karya yang dibuat oleh seorang aktivis sastera. Ertinya, ada pembentukan watak dan style karya yang dipengaruhi oleh kedinamikan sosial-budaya yang membentuk aktivis sastera tersebut. Oleh sebab itu tidak menghairankan semangat kedaerahan akan mewarnai hasil karya aktivis sastera, kerana daerah adalah bahagian yang tidak terpisahkan dari sosial-budaya itu sendiri. Keadaan ini berlaku juga di Malaysia. Aktivis-aktivis sastera juga membawa semangat kedaerahannya. Di antaranya terlihat dari aktivis sastera yang mempunyai hubungan dengan Minangkabau, mereka sering membawa semengat keminangkabauan dalam karya-karyanya. Hal ini pernah dilacak oleh Ahmad Kamal Abdullah ketika menyigi karya sastera Firdaus Abdullah. ”...bagi sesesiapa yang mengikuti perkembangan dalam tiap-tiap cabang kegiatan Firdaus Abdullah, ia terlihat tetap membawa semangat daerahnya atau keminangkabauannya. Tidak hanya Firdaus Abdullah saja, bahkan penyair seperti seperti Latiff Mohiddin, A. Wahab Ali, Dharmawijaya, Sutan Shahrir Lembang, A. Gafar Ibrahim dan Siti Zainon Ismail tidak menanggalkan akar kedaerahaannya di Minangkabau” (Ahmad Kamal Abdullah, 1987).

Semangat tersebut tidak hanya berlaku di kalangan aktivis sastera yang tua, tetapi bahkan juga terlihat di kalangan aktivis sastera muda. Hal ini dapat dilacak atau ditelusuri dari perkumpulan sastera Negeri Sembilan dan beberapa anak muda penggiat sastera. Kedaerahaan mereka masih lengket dan masih terlihat mewarnai identitinya.

Minamal ada tiga simbol keminangkabauan dalam karya sastera daripada aktivis sastera, iaitu kritik sosial, pendekatan alam dan Tuhan. Ketiga-tiga hal ini, merupakan dasar falsafah dari etnik Minangkabau yang terangkum dalam adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah, alam takambang jadi guru. Falsafah ini disosialisasikan mulai dari level institusi keluarga. Impaknya menjadikan adat, agama dan berguru kepada alam menjadi bahagian yang tidak terpisahkan bagi mereka yang berketurunan Minangkabau.

Di Minangkabau Sumatera Barat, tiga kekuatan itu sangat terlihat dengan kuat dalam karya sastera Hamka, AA. Navis, Marah Rusli dan sasterawan Minangkabau yang lainnya. Di kalangan penyair, kekuatan itu dapat dilihat dari kepenyairan Taufik Ismail, Rusli Marzuki Saria dan seterusnya. Dikalangan sesterawan dan penyair muda mungkin dapat diwakili oleh Gus TF Sakai, Iyut Fitra, Yusrizal KW dan seterusnya.

Di samping itu, tidak dapat dinafikan pula menjamurnya lahir aktivis sastera dari daerah Minangkabau, baik di Minangkabau Malaysia mahupun di Minangkabau Sumatera Barat Indonesia, seolah-olah ada pendorong dari daerah ini untuk menghasilkan sasterawan. Bahkan tidak berlebihan, Minangkabau merupakan pabrik atau kilang sasterawan dan penyair.

Secara historis dan sosial budaya, tradisi Minangkabau memang sangat mendukung lahirnya sasterawan dan penyair. Hal ini dimungkinkan kerana tradisi sastra lisan yang berkembang pesat di Minangkabau. Mulai dari tambo[1] (perihal keminangkabuan) sampai pada tradisi maota[2] (berbual) di Minangkabau merupakan tradisi lisan yang sudah mengakar di dalam masyarakatnya. Tradisi seni tersebut yang ikut mendukung kelahiran sasterawan di dalam suku bangsa ini.

Tradisi bahasa lisan berkembang menjadi kesenian dan dikuatkan oleh pepatah nan kuriak adalah kundi, nan merah adalah saga, nan baik adalah budi dan nan indah adalah bahasa. Hal membangun kebiasaan bersastera dan memperkuat kepenyairan di Minangkabau. Ertinya tradisi memberikan media atau sarana yang signifikan untuk mengembangkan jiwa dan nilai-nilai seni.

Membaca Keminangkabauan Puisi Dharmawijaya

Dr. Kamaruzzaman Abdul Kadir atau lebih popular dengan nama Dharmawijaya, merupakan salah satu penyair Malaysia yang tersohor dan terkenal. Pernah mendapatkan pelbagai penghargaan dan hadiah, dari karya-karyanya yang berkualiti dan indah. Di antara penghargaan yang diperoleh Dharmawijaya adalah Hadiah Karya Sastera pada 1971 dan 1976 dalam bidang puisi; Hadiah Sastera Malaysia bagi tahun 1982/83 (puisi), SEA Write Award di Bangkok, Thailand pada tahun 1993, anugerah penyair GAPENA pada tahun 1999 dan anugerah pujangga, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2002 dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005.

Dharmawijaya dilahirkan Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Berdasarkan daerah kelahiran ini ada dasar semangat keminangkabauan yang dapat dilacak dari Dharmawijaya. Bahkan kekuatan identiti karya-karya Dharmawijaya dapat dijadikan landasan kuat untuk menunjukkan semangat ke-minangkabu-an yang wujud. Karya-karya Dharmawijaya di antaranya adalah; Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982) yang turut memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83 dalam bahagian buku kajian sastera moden terbaik; Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi (1987); Berkenalan Puisi (1987), Pemahaman dan Penghayatan Puisi (1992) serta Dunia Puisi Dalam Penelitian dan Pengajaran (1992) dan edisi yang sama dikemaskini pada 1998. Tiga buah kumpulan pusi persendiriannya iaitu Warna Maya (1974), Derita Buana (1992) dan Jejak Kembara (1999). Di samping itu Dharmawijaya penyusun antologi puisi Di Penjuru Matamu (1975) dan Bunga Gerimis (1986) yang pernah menjadi buku teks Kesusateraan Melayu di sekolah-sekolah menengah; Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Puisi Sepanjang Zaman (1989) dan Gurindam Alam (1994) yang menjadi rujukan umum dan di institusi-institusi pengajian tinggi.

Hasil kajian Naffi terhadap tiga kumpulan puisi Dharmawijaya, Warna Maya (1974), Derita Buana (1992) dan Jejak Kembara (1999) menginformasikan bahawa ada tiga hal makna penting yang menjadi kekuatan dalam karya Dharmawijaya, iaitu: Kritik sosial, dekat pada alam pendekatan kepada Tuhan (Berita Harian, 30 Mei 2008). Ketiga-tiga hal ini, merupakan kekuatan yang tidak terpisahkan dari watak dari penyair Minangkabau pada umumnya.


1. Kritik Sosial Perlawanan Terhadap Hegemoni

Satu hal yang paling popular dimiliki oleh sastrawan atau penyair Minangkabau di Indonesia adalah, karyanya yang sering bercorak kritik sosial dan sangat dekat dengan perjuangan kemanusiaan dan anti terhadap hegemoni. Bahkan sastrawan AA Navis seorang sastrawan Indonesia yang berdarah Minang dipopularkan dengan sebutan tukang cumeeh (pengkritik). Kemudian dikalangan penyair, Taufik Ismail karya-karyanya sering bermuara pada kritik sosial tersebut. Artinya, di kalangan sasterawan dan penyair berdarah Minang sering mengangkat kepedualian, kemanusiaan dan kesejahteraan. Kritik sosial ini, sebagai bentuk perlawanan terhadap ketidakadilan dunia sosial, politik dan kekuasaan.

Hal ini pula yang terlihat dari Dharmawijaya. Karya-karyanya padat dengan kritik sosial dan membangun semangat baru. Naffi mengungkapkan “Puisi Dharmawijaya seiring dengan perkembangan sosial hidup masyarakat sehingga saya mendapati beliau tidak lari daripada mengungkapkan permasalahan masyarakatnya khususnya petani yang berhadapan dengan fenomena alam dan diperkatakan secara jujur” (Berita Harian, 30 Mei 2008).

Permasalahannya adalah, mengapa kritik sosial ini melekat dan disemangati oleh sasterawan atau penyair Minangkabau, tentu sangat kuat hubungan kaitnya dengan sistem budaya masyarakat Minangkabau itu sendiri. Suku bangsa Minangkabau merupakan suku bangsa yang mempunyai tradisi demokrasi. Tradisi demokrasi Minangkabau ini telah mengalahkan praktik feodalisme dan kolonialisme di Minangkabau. Praktek feodalisme terlihat dari hilangnya kerajaan raja di Minangkabau, sehingga sampai saat ini di Minangkabau tidak pernah raja di daulat lagi. Kehilangan sistem kerajaan ini, kerena dipengaruhi oleh kuatnya amalan demokrasi di dalam masyarakat nagari[3]. Demokrasi telah mengalahkan hegemoni kekuasaan.

Di samping adanya tradisi demokrasi, kritik sosial yang kental bagi orang Minangkabau diperkuat dengan keyakinan terhadap agama. Suku bangsa Minangkabau sangat terkenal dengan suku bangsa yang taat beragama. Bagi keluarga Minangkabau, agama sudah disosialisasikan dari semenjak kecil. Agama menjadi dasar moral dan nilai-nilai sosial yang diyakini oleh orang Minangkabau. Agama mempunyai dasar yang kuat dalam membangun keadilan dan kemanusiaan. Kekuatan ini yang mempengaruhi watak kritis bagi orang Minang.

Kritik sosial merupakan perlawanan terhadap hegemoni, kesemenaan terhadap dunia manusia. Kritik sosial ini merupakan salah satu, bentuk perjuangan yang dilakukan oleh sasterawan atau penyair. Pembebesan dunia sosial dari hegemoni politik, kekuasaan dan kolonialisme yang diperkenalkan oleh Gramsci ini sudah menjadi ciri khas dari penyair-penyair atau sasterarawan Minangkabau terdahulunya. Hal ini terlihat pula dalam karya-karya Taufik Ismail dan penyair-penyair generasi baru yang sudah ”bosan” hidup dalam hegemoni kekuasaan orde baru di Indonesia.

Dalam perspektif penulis atas dasar itu pula Dharmawijaya membangun kekuatan kritik sosial dalam karya-karyanya. Kritik sosial dalam karya Dharmawijaya sering bermuara pada penyadaran diri, bahkan pemberi motivasi untuk berubah. Kelebihan ini yang banyak terbentang dalam karya-karya Dharmawijaya, seperti yang dilihat oleh Naffi Mat ” Dharmawijaya mengungkapkan permasalahan masyarakatnya secara jujur”. Hal ini dilakukannya, sebagai bentuk tanggungjawab terhadap dunia sosialnya. Lihat misalnya, puisi Dharmawijaya dalam warna maya yang bercerita tentang kegelisahannya dalam melihat dunia sosial anak manusia.

derita itu
sangkar madu
anak-anak manusia
bercitawaja. bahagia itu
angin debu
anak-anak manusia
penagih kurnia.
berita-bahagia adalah warna maya
pantai dan lautnya
dada kembara!


2. Pendekatan Pada Tuhan

Satu hal yang tidak dapat dinafikan dari penyair Minang adalah, kekentalan karya-karyanya dengan pemaknaan kesajatian hidup dan pendekatan diri pada Tuhan. Hal ini sebagai salah satu fitrah bagi penyair yang berdarah Minangkabau yang selalu hidup dalam budaya religius. Dalam Islam hal seperti ini dikenal sebagai salah satu bentuk dakwah bil lissan. Dalam perspektif antropologi budaya, seperti Geertz (1983) menyebutkan bahawa nilai-nilai agama yang menjadi world view akan sukar dipisahkan dari jati diri sesorang, ia akan membentuk watak dan mempunyai pengaruh dalam kehidupannya. Oleh sebab itu, agama akan hidup dalam karya. Pendapat yang sama pernah pula dikemukakan oleh Kluchon (Koentraningrat, 2000) bahawa nilai-nilai yang sudah terinternalisasi akan berpengaruh terhadap karya-karya kehidupan.

Agama bagi masyarakat Minangkabau merupakan sesuatu hal yang esensia dan selalu ditegaskan dalam falsafah adat basandi syarak, syarak basandi kitabullah. Oleh sebab itu, masalah agama merupakan masalah yang paling fundamental. Walaupun saat sekarang sudah berlaku perubahan secara pragmatis, namun hakikat dan esensi keagamaan itu masih mempunyai sisa kekuatan, setidaknya agama masih dikuatkan dalam institusi rumah tangga.

Pengajaran agama ini tentu juga melekat pada Dharmawijaya Oleh sebab itu tidak menghairankan karya-karya Dharmawijaya dipenuhi oleh nuansa-nuansa keIlahi-an, simak dalam puisinya berikut ini:


Rumah Cinta
setiap kali ku kunjungi
rumah cinta ini
kurasakan pintu takwa
semakin membukakan
sinar makna
kandil wahyu
titian keagungan-Mu...........

Dalam Rumah Cinta Dharmawijaya pada hakikatnya membawa pada pendekatan diri kepada Tuhan. Dalam ranah rumah cinta ini pula dapat ditangkap bahawa Dharmawijaya sendiri merupakan seorang yang berusaha untuk memuarakan hidupnya dengan hukum Tuhan. Berikut ini pula, melalui Pintaku Padamu Dharmawijaya melakukan dakwah bil lisan untuk keinsyafan kerana hayat akan berakhir.

Pintaku Padamu
kalau esok kasih kita kan hancur jua
usah ditaburi bumi ini dengan airmata
dunia bukan semata milik orang bercinta
hidup jua bukan semata untuk berlagu kecewa
dibawah sinar mentari pagi demikian jernihnya
hayunkan langkah gagahmu sepenuh khidmat
usapi kesetiaan hati seluruh umat

kalau esok jua hidup dijenguk kematian
usah ditangisi sepinya tanah kelahiran
nyanikan lagu peridu ke wajah tuhan
tanda hatimu setia dlm usia pengorbanan
tau-taulah dibintang satu
dihari hidup kita mengejar bahagia dalam sengsara
dihari mati kita mengira pahala dan dosa


3. Pendekatan Alam

Naffi Mat, mengkaji karya Dharmawijaya dengan pendekatan Teori Psikoanalisis dan Estetika Sastera. Puisi Dharmawijaya dikatakan turut memaparkan rasa tanggungjawabnya untuk memberi rangsangan kepada masyarakat untuk memperjuangkan nasib hidup melalui pemaparan lambang (Berita Harian 30 Mei 2008). Dorongan untuk memeparkan simbol alam ini, merupakan satu hal yang paling biasa dipakai oleh penyair-penyair berketurunan Minangkabau. Menurut AA Navis, hal ini didorong oleh semangat hidup yang diajarkan dalam masyarakat Minangkbau alam takambang jadi guru (alam terbentang menjadi guru).

Manusi belajar pada karenah (tanda-tanda) yang ada dalam alam semesta ini. Alam melambangkan atau memberikan banyak simbol yang harus dimaknai oleh manusia. Pemaknaan simbol alam itu, akan menjadi indah diolah oleh para penyair-penyair dalam karyanya. Simbol alam ini banyak diangkat oleh Dharmawijaya dalam karyanya. Bahkan dalam warna maya hampir membawa simbol alam tersebut.

Kesimpulan

Sebagaimana pada umumnya, citra rasa kedaerahan bagi penyair merupakan salah satu pembentuk watak dari penyair tersebut, sehingga ia mempengaruhi terhadap karya-karyanya. Sebagaimana halnya juga dapat dilihat dari karya-karya Dharmawijaya. Sebagai seorang yang terlahir dari ”Bumi Minang” ia tidak luput dari semangat kedaerahnnya ini. Bahkan kalau ditelusuri ada tiga hal penting semangat keminangkabauan yang melekat dalam karya-karya Dharmawijaya, iaitunya adanya pembawaan terhadap kritik sosial, pendekatan diri pada Tuhan dan membangun simbol-simbol alam dalam karyanya sehingga memudahkan untuk memahami fenomena yang berlaku.


Rujukan
AA.Navis. 1988. Alam Takambang Jadi Guru. Jakarta. Aksara

Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). 1987. Kertas Kerja. ” Firdaus Abdullah: Potret Penyair Melayu Antara Tradisi dan Moden. Pekan Baru.

Berita Harian, 30 Mei 2008. Karya A Samad Ismail, Dharmawijaya dan JM Aziz diteliti bagi mencari makna tersirat. Kuala Lumpur. Berita Harian.

Greetz, C. 1983. Local Knowledge: Further Essays in Interpretative Anthripologi. New York. Basic Books.

Koentjaraningrat. 2000. Kebudayaan mentalitas dan pembangunan. Jakarta: PT. Gramedia.

[1] Tambo merupakan perihal yang menceritakan keminangkabauan, mulai dari sejarah sampai masalah adat dan budaya. Isi tambo berupa cerita-cerita Minangkabau yang bercampur aduk dengan dongeng.
[2] Maota merupakan bahasa Minang dengan erti berbicara antara sesame, pembicaraan tersebut mempunyai seni dan gaya bahasa tersendiri, bahkan dapat berbentuk pantun dan sajak. Tradisi ini akhirnya menjadi tradisi di lapau-lapau atau kedai-kedai kopi. Dimana lelaki sebelum bekerja duduk di kedai kopi maota bersama-sama. Boleh pula diertikan berbincang-bincang dengan beragama tajuk. Tradisi ini, akhirnya menjadi media komunikasi dalam masyarakat Minangkabau sampai sekarang ini. Maota tidak sahaja dilakukan oleh kaum lelaki, tetapi juga bagi kaum perempuan. Tempat maota bagi perempuan tidak di lapau tetapi berada di pencuran atau di pemandian umum.
[3] Nagari merupakan kawasan yang mempunyai autonomi dan pemerintahan tersendiri. Dalam sistem pemerintahan Indonesia, pemerintah nagari dijadikan sebagai pemerintah peringkat yang paling rendah. Di nagari ini masyarakat secara sosial hidup dalam tradisi demokrasi. Disebutkan elok nagari kerana mufakat (mesyuarat).

Limpapeh Rumah Gadang


DHARMAWIJAYA YANG SAYA KENAL

(Kamaruzzaman bin Abdul Kadir, K. Zaman)
A.F. Yassin

LAHIR : 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan Darul Khusus.
ALAMAT : 31, Taman Rashidah Utama, Jalan Paroi, Senawang, 70450 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.

MENINGGAL DUNIA : April 2005 di Hospital Seremban, akibat kanser paru-paru.

KELUARGA : Meninggalkan isteri, Zaini Ma’aya, tiga anak Susilawati, Asrul Effendi dan Iza Hairani.

Dharmawijaya bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah hospital Seremban, April 2005 beliau masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.
Sasaran kajiannya ini sebenarnya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa Keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelainan setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akameik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antologi, yang terawal Warna Maya.
Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Satu hari dalam bulan September 1996, saya menghantarnya pulang ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban. Kami baru sahaja selesai menghadiri Seminar Pengemaskinian Prasejarah Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandar itu. Beliau mempelawa saya masuk ke rumah tetapi saya menolak kerana hari hampir Maghrib dan saya perlu pulang ke Bandar Baru Bangi. Perjalanan masih jauh. Saya memerhatikannya sehingga dia dimamah senja.

Inilah rumah yang sering saya kunjungi pada akhir-akhir tahun 1980an dahulu. Begitu kerapnya saya bertandang ke rumah ini sehingga saya hamper tidak percaya bahawa sudah enam tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki, walau hanya di pintu rumahnya. Dan dia pun seperti menyendiri dalam dunianya dan sesekali saya temui dunia rindunya itu melalui bait-bait puisinya dalam media yang langsung atau tidak langsung mempamerkan kehadiriannya.

Saya dapat membayangkan betapa dia acapkali akan merenung nun jauh ke timur melalui jendela kamarnya. Renungannya akan membelah gunung dan ngarai di depannya, lalu renungannya akan terus menerjah dinding kamarna menuju satu daerah di mana dia dilahirkan, iaitu di Kampung Talang. Barangkali pula ketika itu dia melepaskan resah rindunya kepada kampong halaman laksana sembilu menhiris pedih hatinya, lalu dia pun menghimbau:

Pada teguh tenangmu
Menerima hari-hari yang pergi dan datang
Pastilah ditidur jaga anak-anakmu
Sayu matanya ke sawah ladang
Pilu hatinya di bukit berjurang

Betapa degup jantungnya tiba-tiba menjerat emosinya lalu ingatannya menelusuri bendang luas di depannya yang dipagari petak permatang dengan sungai membelah lalu dari utara ke selatan. Di seberang sungai tersergam teguh banjaran bukit menghijau, dadanya menampung rezeki petani seisi desa. Dan setiap petang sinar matahari akan menghilang di celah rimbunan belantara sepanjang banjaran, tanda sehari lagi meningkatnya usia desa dan para penghuninya.

Demkian pulalah Dharmawijaya, nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir, seorang penyair tanah air yang banyak melahirkan puisi-puisi tentang petani. Kampung Talang yang merupakan tanah kelahirannya adalah wajah daripada suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisi Dharmawijaya. Kampung Talang dan Dharmawijaya hampir menjadi sinonim, Dharmawijaya menjadi terkenal sebagai penyair yang banyak mengungkapkan masalah dan aspirasi rakyat tani di samping gambaran desa kampung halamannya sendiri. Hingga kini sudah lebih tiga puluh tahun Dharmawijaya mengabdikan dirinya dalam dunia perpuisian Melayu.

Demikian pulalah, anak Kg. Talang ini seada hayatnya akan merenung jauh ke timur, meladeni jiwa romantisnya, memuja-muji realiti alam dan waktu yang berlalu. Sejak tahun 1967, dia terus mengaprisiasi ketulusan tanah leluhurnya yang telah memperkenalkan dirinya erti hidup dan kehidupan.

Itulah Dharmawijaya, yang menurut Ahmad Tarmizi, penulis Riau adalah nama Indonesianya. Dharmawijaya adalah “warna maya”, segugus puisi rasa seorang insan yang lahir daripada sudut jiwa dan kejiwaannya.

Dharmawijaya berpendidikan sekolah Melayu sehingga tahun 1952. Menerima pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976. Menjadi pendidik di pelbagai sekolah, terutama di Sekolah Chi Hwa Seremban sebagai guru Bahasa Kebangsaan dan Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad di Tanjung Ipoh sebagai guru kanan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Antara tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau dilantik oleh Kementerian Pelajaran menjadi pensyarah sambilan untuk memberi kursus kepada guru-guru Pusat Latihan Daerah dalam mata pelajaran kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Beliau kemudian dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera. sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1973. Kemudian beliau mengambil ijazah Sarjana Sastera juga dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Setelah berkhidmat beberapa ketika di pelbagai sekolah di Seremban beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beberapa tahun kemudian beliau dilantik sebagai Profesor Madya di jabatan yang sama hingga beliau bersara.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau mula berjinak dengan genre puisi sejak aawal tahun-tahun 1960-an. Puisi awalnya berjudul “Kerana Hati” dengan menggunakan nama pena K. Zaman. Kemudian lahir pula sajaknya “Anak Perantau” yang tersiar dalam Mastika Oktober 1962. Beliau mengasah bakat menulisnya ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, yang terkenal dengan panggilan Maktab “Suluh Budiman.” Beliau banyak belajar melalui bacaan buku-buku sastera dari Indonesia. Dengan lahirnya puisi-puisi beliau yang begitu banyak yang memenuhi ruangan-ruangan sastera dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman dan Masyarakat dan Mastika, memang tidak perlu diragukan lagi tentang minat dan kebolehannya dalam sastera, khususnya puisi. Kebolehan beliau dalam menggubah pantun untuk rancangan Televisyen Malaysia yang pernah diterbitkan oleh Zainal Abu beberapa ketika dahulu juga memperlihatkan kebolehan yang membanggakan peminat-peminat pantun di tanah air.

Dengan mewarisi keupayaan yang serba boleh ini, beliau dilantik menjadi Ketua I badan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM), sebuah badan yang aktif dalam kegiatan sastera pada tahun 1976. Ketika itu Dharmawijaya masih lagi menjadi mahasiswa. Dengan pimpinan beliau, ISUM telah berjaya menerbitkan sebuah kumpulan puisi yang berjudul Bila Kita Berbicara. Walau bagaimanapun setakat ini, Dharmawijaya telah menghasilkan dua buah kumpulan puisi, Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).

Jika kita hayati ulasan karyanya oleh pengkritik tempatan nescaya kita dapati Dharmawijaya sebenarnya menilai kehidupan desa bersama manusianya. Dalam “Kampung Talang” , Dharmawijaya melihat masyarakat tani dengan masalah kemiskinannya dan iyang digambarkan dengan segala kejujuran. Bacalah juga bait-bait dalam puisi-puisinya seperti “Cinta Sayang di Sawah Ladang”, “Balada Gadis Tani”, dan “Senyum Anak Tani”, dan sebagainya. Nada suaranya simpatik melalui pemerhatiannya dengan usikan rasa yang mengharukannya. Buku kajiannya “Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 yang merupakan tesis sarjananya telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983. Sebelum itu, puisinya “Sumpah Tanah Air” dan sebuah lagi bertajuk “Masih Ada” masing-masing terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera dalam tahun 1971 dan 1976. Dharmawijaya kemudiannya dilantik menganggotai Panel Hakim Hadiah Sastera Malaysia mulai tahun 1984/85. Sebelum dilantik panel hakim beliau pernah pula menjadi pemenang Hadiah Sastera Malaysia beberapa kali, iaitu pada tahun 1971, 1976 dan 1982/83. Semuanya dalam bidang puisi.

Selepas bersara dari Universiti Malaya, beliau berkhidmat pula di Universiti Putera Malaysia, Serdang, sebagai Sarjana Tamu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa-bahasa Moden, mulai 1996 sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2005. Selain itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Penilai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan menganggotai Panel Anugerah Sastera Sarawak mulai tahun 1992. Dharmawijaya telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1993, Anugerah Penyair Gapena 1999 dan Anugerah Pujangga UPSI pada tahun 2002. Sebagai anak Negeri Sembilan yang telah berjasa dalam bidangnya, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Negeri Sembilan pada tahun 1995.

Masih saya ingat ikatan kami berlima, iaitu Datuk Prof. Dr. Hashim Awang, kini di Universiti Brunei Darussalam, Prof. Madya Dr. Othman Puteh (allahyarham), Sdr. Mohd. Yusof Md. Noor, Dharmawijaya (Allahyarham) dan saya sendiri. Pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1980-an, kami sering sahaja berpergian bersama-sama, terutama mengunjungi tanah seberang, Indonesia. Tiga bandar utama sering kita kunjungi, iaitu Medan, Jakarta dan Bandung. Biasanya kami ketika pergi kami hanya membimbit satu beg pakaian tetapi ketika pulang ke tanah air beberapa hari kemudian, jumlah beg bertambah. Ada yang membawa dua beg dan ada ketikanya tiga buah.Isinya bukan pakaian tetapi buku yang kami beli daripada toko-toko buku.

Masih saya ingat Allaahyarham Dharmawijaya berebut-rebut buku dengan Allahyarham Othman, tertama ketika berada di Toko Gramaedia di Jakarta atau Toko Deli di Medan atau toko buku al-Maarif di Bandung.

Ketika berebut buku itulah Dharmawijaya sering berkata beruang-ulang bagaikan melarang kami merebut nashkah buku di rak atau di tangannya. Katanya dalam satu ayat pendek, “Ini ese punyo,” dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat. Dan kami selalunya akan ketawa panjang melihat karenah dan gelagat beliau, terutama ekpresi wajah di mukanya. Dharmawijaya benar-benar menghiburkan kami. Inilah pengalaman yang tidak mudah kami lupakan ketika bersamanya di toko-toko buku.

Dan satu lagi cerita yang mungkin dapat kita kongsi bersama ialah tentang proses menyiapkan manuskrip untuk kami terbitkan dalam bentuk buku. Ketika saya bertugas di Penerbit Fajar Bakti pada tahun-tahun 1980-an, kami sering memintanya menyiapkan manuskrip. Biasanya kami akan memberikannya tempoh masa yang cukup untuk menyiapkan. Dan dalam mengejar deadline, lazimnya juga kami akan menghubunginya dengan langsung berkunjung ke rumahnya. Sepanjang pengetahuan kami, belum pernah sekali Dharmawijaya dapat menyiapkan manuskripnya mengikut jadual. Dan kami menjangkakan demikian dan atas dasar itulah kami sengaja mempercepat tempoh deadline, kerana kami amat memahami sikapnya dengan “masa”.

Bagaimanapun apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang tingkahnya yang meyakinkan. Pernah suatu waktu saya dan Maarof Saad (Allahyarham), editor yang mengendalikan bukunya mengunjungi rumahnya pada malam hari di Taman Rashidah Utama, Seremban. Ketika kami sampai Dharmawijaya telah sedia menunggu di get rumahnya. Yang menghiburkan kami ialah cara beliau meyakinkan kami bahawa permintaan deadline kami itu akan segera dipenuhi. Dharmawijaya akan berkata, “Siap. Jangan bimbanglah.” Dan sambil itu kedua-dua ibu jari kakinya akan menguit-nguit mengikut pertuturannya. Ini dilakukannya berulang-ulang kali sambil kami menikmati minuman. Benar-benar kami terhibur dibuatnya sehingga kami lupa tujuan sebenar kami mengunjunginya. Begitu juga halnya ketika kami minum di warong kopi atau di restoran. Dharmawijaya akan membiarkan teh tarik panasnya beberapa ketika tanpa disentuh. Jadi kami ahajalah yang minum dan apabila kami tegurnya supaya meneguk teh tariknya dengan selamba beliau menjawab, “Minumlah dulu. Nanti ese minum.” Lantas beliau berada seperti orang berfikir, merenung ke hadapan, mungkin melihat kenderaan yang lalu lalang atau tengah “dirasuk” ilham. Kami tidak pasti. Sesekali beliau memerhatikan kami minum. Setelah beberapa minit, Dharmawijaya akan menyentuh cawan atau gelas minumannya, barangkali untuk memastikan apakah tehnya sudah pada pereingkat suam-suam panasnya. Dan kemudian dengan sekali lalu beliau akan menghirupnya hingga habis.

Demikianlah Dharmawijaya yang kami kenal. Hubungan kami secara peribadi bermula pada tahun 1972, persisnya pada hari Isnin, 7 Februari, ketika saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharmawijaya diperkenalkan kepada saya oleh Saleh Daud (Allahyarham) yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Sastera Kanak-Kanak, merangkap editor Dewan pelajar. Dharmawijayapula berugas sebagai Penolong editor majalah berkenaan. Dharmawijaya menyapa saya, “Koba Cik Fadil kita. Donga eh kito ni warihkan?” Lalu kami bersalaman. Saya duduk bersebelahan dengan beliau. Dan di dalam bilik kerja itu ada Kemala (Datuk), Shamsuddin Jaafar, Awal il-Sarkam dan A. Karim Abdullah. Kmi berenam sebilik. Memagari kami ada Usman Awang di bilik sebelah kiri dan Abdullah Hussein dan Saleh Daud di bilik sebelh kanan. Dan gurauan dan mainan bibir kami waktu ialah sebutan “haji tahir” dan “Dol Keropok”. Sesekali pintu bilik dibuka dan dengan dengan ketawa kecil Wijaya Mala menegur kami semua, terutama Awam il-Sarkam yang duduk dekat pintu, “ Assalamualaikum Haji Tahir!”. Sampai sekarang ini kami masih tidak tahu siapa sebenarnya Haji Tahir. Barangkali Kemala tahu tetapi sengaja menyembunyikan rahsia itu dari saya.



KARYA


Puisi : Bingkisan Angkatan baru (antologi bersama), Kuala Pilah: Pustaka Hang Tuah, 1956, 62 hlm.; Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.; Warna Maya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 84 hlm.; Bila Kita Berbicara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Ikatan Sastera Universiti Malaya, 1976, 115 hlm.; Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294.; Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; Burung Musim (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1983, 84 hlm.; Lagu Kehidupan (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.; Bintang Mengerdip (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1984, 75 hlm.; 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.; Bahasa Alam (antologi bersama) , Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984, 108 hlm.; Bunga Gerimis (Peny.) Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.; Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.; Kumpulan Puisi Malaysia 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.; Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.; Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.; Derita Buana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 64 hlm.; Suara Rasa/Voice From Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.; Puisi-puisi Kunjungan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm.; Rupa Kata (antologi bersama), Ipoh, Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.

Esei/Kritikan : Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933 – 1957, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 181 hlm.; Nasionalisme dalam Persuratan (antologi bersama), Kuala Lumpur : Muzium Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, 227 hlm.; Sastera dan Sasterawan III (antologi bersama), Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1985, 149 hlm.
Kajian : Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi, Petaling Jaya: International Book Service, 1987, 151 hlm.; Inti sari Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1987, 143 hlm.; Berkenalan dengan Puisi, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 116 hlm.; Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran, Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 271 hlm.

RUJUKAN

A. samad Idris, Norhalim Hj Ibrahim dll, (Peny.), Adat Merentas Zaman, Jawatankuasa Penyeidikan Budaya Negeri Sembilan, 1994.
A.F.Yassin, Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam, 1998.
Baharuddin Zainal, suffian Hussain dll., (Peny.), Wajah, Biografi Seratus Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
Dharmawijaya, Dunia Puisi: Dalam Penelitian dan Pengajaran, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam, 1998.
Maarof Saad, Bahasa Alam, Penerbit Fajar bakti Sdn Bhd., petaling Jaya, 1983.
Salim Haji Taib dan Mahaya Mohd Yassin, Karisma PEN, Biografi Penulis Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan, Seremban, 2005.

AFYassin

DHARMAWIJAYA YANG SAYA KENAL: SATU RETROSPEKSI
AF Yassin

Dharmawijaya, atau nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Beliau yang juga pernah menggelar dirinya K. Zaman, menghembuskan nafas terakhirnya di rumah hospital Seremban, April 2005 (persisnya lima tahun tiga bulan hari ini) masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.
Sasaran kajiannya ini sebenarnya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelainan setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akedamik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antologi, yang terawal Warna Maya.
Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Satu hari dalam bulan September 1996, saya menghantarnya pulang ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban. Kami baru sahaja selesai menghadiri Seminar Pengemaskinian Prasejarah Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandar itu. Beliau mempelawa saya masuk ke rumah tetapi saya menolak kerana hari hampir Maghrib dan saya perlu pulang ke Bandar Baru Bangi. Perjalanan masih jauh. Saya memerhatikannya sehingga dia dimamah senja.

Inilah rumah yang sering saya kunjungi pada akhir-akhir tahun 1980an dahulu. Begitu kerapnya saya bertandang ke rumah ini sehingga saya hampir tidak percaya bahawa sudah enam tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki, walau hanya di pintu rumahnya. Dan dia pun seperti menyendiri dalam dunianya dan sesekali saya temui dunia rindunya itu melalui bait-bait puisinya dalam media yang langsung atau tidak langsung mempamerkan kehadiriannya.

Saya dapat membayangkan betapa dia acapkali akan merenung nun jauh ke timur melalui jendela kamarnya. Renungannya akan membelah gunung dan ngarai di depannya, lalu renungannya akan terus menerjah dinding kamarna menuju satu daerah di mana dia dilahirkan, iaitu di Kampung Talang. Barangkali pula ketika itu dia melepaskan resah rindunya kepada kampong halaman laksana sembilu menhiris pedih hatinya, lalu dia pun menghimbau:

Pada teguh tenangmu
Menerima hari-hari yang pergi dan datang
Pastilah ditidur jaga anak-anakmu
Sayu matanya ke sawah ladang
Pilu hatinya di bukit berjurang

Betapa degup jantungnya tiba-tiba menjerat emosinya lalu ingatannya menelusuri bendang luas di depannya yang dipagari petak permatang dengan sungai membelah lalu dari utara ke selatan. Di seberang sungai tersergam teguh banjaran bukit menghijau, dadanya menampung rezeki petani seisi desa. Dan setiap petang sinar matahari akan menghilang di celah rimbunan belantara sepanjang banjaran, tanda sehari lagi meningkatnya usia desa dan para penghuninya.

Demkian pulalah Dharmawijaya, nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir, seorang penyair tanah air yang banyak melahirkan puisi-puisi tentang petani. Kampung Talang yang merupakan tanah kelahirannya adalah wajah daripada suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisi Dharmawijaya. Kampung Talang dan Dharmawijaya hampir menjadi sinonim, Dharmawijaya menjadi terkenal sebagai penyair yang banyak mengungkapkan masalah dan aspirasi rakyat tani di samping gambaran desa kampung halamannya sendiri. Hingga kini sudah lebih tiga puluh tahun Dharmawijaya mengabdikan dirinya dalam dunia perpuisian Melayu.

Demikian pulalah, anak Kg. Talang ini seada hayatnya akan merenung jauh ke timur, meladeni jiwa romantisnya, memuja-muji realiti alam dan waktu yang berlalu. Sejak tahun 1967, dia terus mengaprisiasi ketulusan tanah leluhurnya yang telah memperkenalkan dirinya erti hidup dan kehidupan.

Itulah Dharmawijaya, yang menurut Ahmad Tarmizi, penulis Riau adalah nama Indonesianya. Dharmawijaya adalah “warna maya”, segugus puisi rasa seorang insan yang lahir daripada sudut jiwa dan kejiwaannya.

Dharmawijaya berpendidikan sekolah Melayu sehingga tahun 1952. Menerima pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976. Menjadi pendidik di pelbagai sekolah, terutama di Sekolah Chi Hwa Seremban sebagai guru Bahasa Kebangsaan dan Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad di Tanjung Ipoh sebagai guru kanan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Antara tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau dilantik oleh Kementerian Pelajaran menjadi pensyarah sambilan untuk memberi kursus kepada guru-guru Pusat Latihan Daerah dalam mata pelajaran kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Beliau kemudian dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera. sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1973. Kemudian beliau mengambil ijazah Sarjana Sastera juga dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Setelah berkhidmat beberapa ketika di pelbagai sekolah di Seremban beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beberapa tahun kemudian beliau dilantik sebagai Profesor Madya di jabatan yang sama hingga beliau bersara.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau mula berjinak dengan genre puisi sejak aawal tahun-tahun 1960-an. Puisi awalnya berjudul “Kerana Hati” dengan menggunakan nama pena K. Zaman. Kemudian lahir pula sajaknya “Anak Perantau” yang tersiar dalam Mastika Oktober 1962. Beliau mengasah bakat menulisnya ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, yang terkenal dengan panggilan Maktab “Suluh Budiman.” Beliau banyak belajar melalui bacaan buku-buku sastera dari Indonesia. Dengan lahirnya puisi-puisi beliau yang begitu banyak yang memenuhi ruangan-ruangan sastera dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman dan Masyarakat dan Mastika, memang tidak perlu diragukan lagi tentang minat dan kebolehannya dalam sastera, khususnya puisi. Kebolehan beliau dalam menggubah pantun untuk rancangan Televisyen Malaysia yang pernah diterbitkan oleh Zainal Abu beberapa ketika dahulu juga memperlihatkan kebolehan yang membanggakan peminat-peminat pantun di tanah air.

Dengan mewarisi keupayaan yang serba boleh ini, beliau dilantik menjadi Ketua I badan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM), sebuah badan yang aktif dalam kegiatan sastera pada tahun 1976. Ketika itu Dharmawijaya masih lagi menjadi mahasiswa. Dengan pimpinan beliau, ISUM telah berjaya menerbitkan sebuah kumpulan puisi yang berjudul Bila Kita Berbicara. Walau bagaimanapun setakat ini, Dharmawijaya telah menghasilkan dua buah kumpulan puisi, Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).

Jika kita hayati ulasan karyanya oleh pengkritik tempatan nescaya kita dapati Dharmawijaya sebenarnya menilai kehidupan desa bersama manusianya. Dalam “Kampung Talang” , Dharmawijaya melihat masyarakat tani dengan masalah kemiskinannya dan iyang digambarkan dengan segala kejujuran. Bacalah juga bait-bait dalam puisi-puisinya seperti “Cinta Sayang di Sawah Ladang”, “Balada Gadis Tani”, dan “Senyum Anak Tani”, dan sebagainya. Nada suaranya simpatik melalui pemerhatiannya dengan usikan rasa yang mengharukannya. Buku kajiannya “Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 yang merupakan tesis sarjananya telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983. Sebelum itu, puisinya “Sumpah Tanah Air” dan sebuah lagi bertajuk “Masih Ada” masing-masing terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera dalam tahun 1971 dan 1976. Dharmawijaya kemudiannya dilantik menganggotai Panel Hakim Hadiah Sastera Malaysia mulai tahun 1984/85. Sebelum dilantik panel hakim beliau pernah pula menjadi pemenang Hadiah Sastera Malaysia beberapa kali, iaitu pada tahun 1971, 1976 dan 1982/83. Semuanya dalam bidang puisi.

Selepas bersara dari Universiti Malaya, beliau berkhidmat pula di Universiti Putera Malaysia, Serdang, sebagai Sarjana Tamu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa-bahasa Moden, mulai 1996 sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2005. Selain itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Penilai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan menganggotai Panel Anugerah Sastera Sarawak mulai tahun 1992. Dharmawijaya telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1993, Anugerah Penyair Gapena 1999 dan Anugerah Pujangga UPSI pada tahun 2002. Sebagai anak Negeri Sembilan yang telah berjasa dalam bidangnya, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Negeri Sembilan pada tahun 1995.

Masih saya ingat ikatan kami berlima, iaitu Datuk Prof. Dr. Hashim Awang, kini di Universiti Brunei Darussalam, Prof. Madya Dr. Othman Puteh (allahyarham), Sdr. Mohd. Yusof Md. Noor, Dharmawijaya (Allahyarham) dan saya sendiri. Pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1980-an, kami sering sahaja berpergian bersama-sama, terutama mengunjungi tanah seberang, Indonesia. Tiga bandar utama sering kita kunjungi, iaitu Medan, Jakarta dan Bandung. Biasanya kami ketika pergi kami hanya membimbit satu beg pakaian tetapi ketika pulang ke tanah air beberapa hari kemudian, jumlah beg bertambah. Ada yang membawa dua beg dan ada ketikanya tiga buah.Isinya bukan pakaian tetapi buku yang kami beli daripada toko-toko buku.

Masih saya ingat Allaahyarham Dharmawijaya berebut-rebut buku dengan Allahyarham Othman, tertama ketika berada di Toko Gramaedia di Jakarta atau Toko Deli di Medan atau toko buku al-Maarif di Bandung.

Ketika berebut buku itulah Dharmawijaya sering berkata beruang-ulang bagaikan melarang kami merebut nashkah buku di rak atau di tangannya. Katanya dalam satu ayat pendek, “Ini ese punyo,” dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat. Dan kami selalunya akan ketawa panjang melihat karenah dan gelagat beliau, terutama ekpresi wajah di mukanya. Dharmawijaya benar-benar menghiburkan kami. Inilah pengalaman yang tidak mudah kami lupakan ketika bersamanya di toko-toko buku.

Dan satu lagi cerita yang mungkin dapat kita kongsi bersama ialah tentang proses menyiapkan manuskrip untuk kami terbitkan dalam bentuk buku. Ketika saya bertugas di Penerbit Fajar Bakti pada tahun-tahun 1980-an, kami sering memintanya menyiapkan manuskrip. Biasanya kami akan memberikannya tempoh masa yang cukup untuk menyiapkan. Dan dalam mengejar deadline, lazimnya juga kami akan menghubunginya dengan langsung berkunjung ke rumahnya. Sepanjang pengetahuan kami, belum pernah sekali Dharmawijaya dapat menyiapkan manuskripnya mengikut jadual. Dan kami menjangkakan demikian dan atas dasar itulah kami sengaja mempercepat tempoh deadline, kerana kami amat memahami sikapnya dengan “masa”.

Bagaimanapun apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang tingkahnya yang meyakinkan. Pernah suatu waktu saya dan Maarof Saad (Allahyarham), editor yang mengendalikan bukunya mengunjungi rumahnya pada malam hari di Taman Rashidah Utama, Seremban. Ketika kami sampai Dharmawijaya telah sedia menunggu di get rumahnya. Yang menghiburkan kami ialah cara beliau meyakinkan kami bahawa permintaan deadline kami itu akan segera dipenuhi. Dharmawijaya akan berkata, “Siap. Jangan bimbanglah.” Dan sambil itu kedua-dua ibu jari kakinya akan menguit-nguit mengikut pertuturannya. Ini dilakukannya berulang-ulang kali sambil kami menikmati minuman. Benar-benar kami terhibur dibuatnya sehingga kami lupa tujuan sebenar kami mengunjunginya. Begitu juga halnya ketika kami minum di warong kopi atau di restoran. Dharmawijaya akan membiarkan teh tarik panasnya beberapa ketika tanpa disentuh. Jadi kami ahajalah yang minum dan apabila kami tegurnya supaya meneguk teh tariknya dengan selamba beliau menjawab, “Minumlah dulu. Nanti ese minum.” Lantas beliau berada seperti orang berfikir, merenung ke hadapan, mungkin melihat kenderaan yang lalu lalang atau tengah “dirasuk” ilham. Kami tidak pasti. Sesekali beliau memerhatikan kami minum. Setelah beberapa minit, Dharmawijaya akan menyentuh cawan atau gelas minumannya, barangkali untuk memastikan apakah tehnya sudah pada pereingkat suam-suam panasnya. Dan kemudian dengan sekali lalu beliau akan menghirupnya hingga habis.

Demikianlah Dharmawijaya yang kami kenal. Hubungan kami secara peribadi bermula pada tahun 1972, persisnya pada hari Isnin, 7 Februari, ketika saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharmawijaya diperkenalkan kepada saya oleh Saleh Daud (Allahyarham) yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Sastera Kanak-Kanak, merangkap editor Dewan pelajar. Dharmawijayapula berugas sebagai Penolong editor majalah berkenaan. Dharmawijaya menyapa saya, “Koba Cik Fadil kita. Donga eh kito ni warihkan?” Lalu kami bersalaman. Saya duduk bersebelahan dengan beliau. Dan di dalam bilik kerja itu ada Kemala (Datuk), Shamsuddin Jaafar, Awal il-Sarkam dan A. Karim Abdullah. Kmi berenam sebilik. Memagari kami ada Usman Awang di bilik sebelah kiri dan Abdullah Hussein dan Saleh Daud di bilik sebelh kanan. Dan gurauan dan mainan bibir kami waktu ialah sebutan “haji tahir” dan “Dol Keropok”. Sesekali pintu bilik dibuka dan dengan dengan ketawa kecil Wijaya Mala menegur kami semua, terutama Awam il-Sarkam yang duduk dekat pintu, “ Assalamualaikum Haji Tahir!”. Sampai sekarang ini kami masih tidak tahu siapa sebenarnya Haji Tahir. Barangkali Kemala tahu tetapi sengaja menyembunyikan rahsia itu daripada saya.

Demikianlah teman seiringan dan sepermainan dalam dunia sastera, Dharmawijaya yang kebetulan pada saat pemergiannya diratap duka oleh kawan-kawan yang mengenalinya. Ketika dimaklumkan pemergiannya pagi 5 April itu bakal Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah, menghubungi saya untuk menziarahi Allahyarham di kediamannya di 31, Taman Rashidah Utama, Jalan Paroi-Senawang, Seremban. Dan bersama Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin, kami menelusuri semak-hidup Allahyarham secara retrospektif, sambil membanding-banding pengalaman bersamanya dalam pertemuan ringkas di kelab Golf Seremban, kira-kira tiga kilometer dari kediaman Allahyarham. Seperti baru semalam saya bersama Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Mohd. Yusof Md. Nor dari Universiti Kebangsaan Malaysia hadir dalam satu kenduri kesyukuran di rumah Allahyarham di Kg. Talang, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Bagaikan terpandang wajah senang Allahyarham menyambut kami bersama isterinya Zaini Ma’aya dan dua daripada anaknya, Susilawati dan Asrul Effendi. Anak ketiganya Iza Hairani masih terlalu kecil. Kalaulah masih lagi bersama kita Allahyarham hari ini akan berusia 73 tahun dan barangkali sedang menikmati udara nyaman daerah Taman rashidah pada suatu oetang menunggu senja tiba.(Catatan April 2005).

AFYassin

Comments