Ticker

6/recent/ticker-posts

Chow Kit dan Sudirman

 

Malam Sudirman menempa sejarah di Jalan Chow Kit

Orang ramai mula berkumpul sebelum pentas didirikan lagi. (Gambar Facebook peminat Sudirman)

PETALING JAYA: Pada petang 14 April 1986, orang ramai mula berkumpul di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, untuk menyaksikan penyanyi pop kesayangan mereka, Sudirman Arshad, membuat persembahan pada konsert jalanan terbesar pernah dibuat di ibu kota.

Konsert percuma itu menyaksikan penyanyi dan penulis lagu itu membuat persembahan sebagai penghormatan kepada kawasan Jalan Chow Kit yang sibuk, kedai-kedai, mekanik, penjaja kecil dan orang kebanyakan yang tinggal bersempit-sempit dengan kelab-kelab malam dan hotel-hotel kecil di tengah ibu kota, berhampiran Kampung Baru.

Beberapa jam sebelum konsert bermula pada 8 malam, polis sudah menutup jalan supaya kru dapat mendirikan pentas dan menyediakan peralatan bagi konsert di tengah-tengah jalan.

“(Pada masa itu) saya tidak fikir konsert ini begitu besar ertinya, tetapi bila difikirkan semula, kami mencipta sejarah.

Sudirman (berbaju kuning) bersama Jenny Chin (di sebelahnya), serta kumpulan pemuzik dan penarinya. (Gambar Facebook peminat Sudirman)

“‘Soundcheck’ kami seolah-olah persembahan langsung,” kata pengarah muzikal Sudirman, Jenny Chin.

Beliau masih ingat segala birokrasi dan permit polis yang diperlukan untuk mengadakan konsert itu.

“Sudirman berterusan berkata beliau tekad mengadakan konsert ini. Jadi kami berusaha berhabis-habisan untuk menjayakannya,” kata Chin.

Menjelang 8 malam, lebih 100,000 peminat Sudirman mula membanjiri jalanan. Ramai yang memanjat pokok dan papan tanda, selain bumbung bangunan-bangunan berhampiran.

Akhirnya, pada 9 malam, penyanyi kecil molek itu “mendarat” di atas pentas menggunakan Skylift bomba dan memulakan persembahan dengan lagunya “Chow Kit Road”.

Orang ramai membanjiri Jalan Chow Kit pada malam bersejarah itu, sehingga ke atas jambatan pejalan kaki. (Gambar Jabatan Penerangan)

Penonton bersorak dengan begitu kuat sehingga para pemuzik tidak dapat mendengar bunyi peralatan muzik mereka sendiri.

Salah seorang yang hadir adalah Navaretnam Vethiya, yang ketika itu berusia 23 tahun.

“Keadaannya seolah-olah seluruh Malaysia hadir sebagai satu keluarga. Orang ramai berkumpul bersama, semua orang mahu melihat beliau (membuat persembahan),” katanya kepada FMT, sambil menambah, ramai yang hadir adalah anak-anak muda.

Sudirman mempersembahkan lagu-lagu hit seperti “Apa Khabar Orang Kampung” dan “Kenali Malaysia Cintai Malaysia” diiringi sorakan penonton, dan mengakhiri malam berkenaan dengan lagu balada “Pertemuan Abadi”, di mana beliau membalut dirinya dengan bendera kebangsaan, yang ketika itu belum lagi dikenali sebagai Jalur Gemilang.

Navaretnam, seorang pekerja di sebuah pusat beli-belah berdekatan, cuti separuh hari untuk menghadiri konsert berkenaan, namun tiba lewat dan tidak dapat mencari tempat yang dekat dengan pentas, dalam kalangan ribuan penonton yang hadir.

Lebih 100,000 orang hadir ke konsert percuma Sudirman pada malam 14 April 1986. (Gambar Jabatan Penerangan)

Katanya, Sudirman menghormati setiap lapisan rakyat Malaysia, dan menjadi simbol perpaduan.

Beliau akan menyanyikan satu lagu Melayu, kemudian lagu Cina dan India, menyanyi dalam sekurang-kurangnya dua bahasa, tambah Navaretnam.

Chin bersetuju, dan menyifatkan Sudirman sebagai artis Malaysia sebenar bagi semua rakyat Malaysia.

Beliau lain daripada yang lain, seorang artis Malaysia sangat unik yang menghiburkan semua orang, kata Chin.

Ada peminat yang memanjat pokok dan bumbung untuk menyaksikan persembahan Sudirman dengan lebih jelas. (Gambar Jabatan Penerangan)

“Pada konsertnya, semua orang duduk bersama dan ikut menyanyi, sama ada lagu Inggeris, Cina, Melayu atau India.”

Beliau turut mengingati sifat rendah diri Sudirman di belakang tabir, namun keletahnya menghiburkan dan kelakar di atas pentas.

“Beliau juga mempunyai pemikiran yang dalam. Kita boleh berborak dengannya berjam-jam tanpa jemu. Apa sahaja yang dibincangkan, beliau sentiasa dapat lebih mendalaminya, atau membuat komen-komen melucukan,” katanya.

“Kadang-kadang, apabila kami tidak bekerja, beliau akan menelefon saya dan kami akan berborak berjam-jam. Dia adalah artis yang sebenar, yang sentiasa bersemangat.”

Dalam gaya ‘superstar’ sebenar, Sudirman ‘mendarat’ ke atas pentas daripada Skylift. (Gambar Jabatan Penerangan)

Kata Jenny, beliau telah bekerja dengan ramai nama-nama besar lain, namun tidak pernah lagi melihat tahap kreativiti setanding Sudirman.

Sudirman jatuh sakit pada lewat 1991 dan meninggal dunia pada 22 Feb 1992, pada usia 37 tahun. Timbul banyak khabar angin mengenai kematiannya, namun punca rasmi kematiannya dicatatkan sebagai radang paru-paru.

Sudirman menghiburkan penonton konsertnya dan berjaya mencetuskan sorakan mereka. (Gambar Jabatan Penerangan)

Namun, lagu-lagunya yang disuntik cinta kepada rakyat Malaysia tetap hidup.

Walaupun berbadan kecil, jiwa Sudirman cukup besar bagi rakyat senegaranya.

FMT


Post a Comment

0 Comments