Festival IFTAR @ KL 2015 Sasar 300,000 Pengunjung
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kira-kira 300,000 orang pengunjung dijangka hadir pada 'Festival IFTAR @ KL 2015' yang berlangsung setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini di Jalan Raja, Dataran Merdeka, di sini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata sasaran itu berjaya dicapai kerana lebih banyak aktiviti istimewa dan penuh dengan pengisian tersendiri telah diatur pada tahun ini.
"Festival tahunan ini akan menampilkan kelainan seperti pertandingan nasyid, soal jawab agama, dan pameran pelancongan masjid," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran IFTAR @ KL 2015, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Tan Sri Ong Hong Peng.
Ahmad Phesal berkata aktiviti solat Maghrib dan tarawih berjemaah juga diadakan selain alunan dikir zikir oleh beberapa figura terkenal antaranya kumpulan nasyid Hijjaz dan Rabbani.
Majlis perasmian festival tersebut menyaksikan acara berbuka puasa beramai-ramai dan pengagihan bubur lambuk yang disertai lebih 3,000 orang masyarakat berbilang bangsa termasuk pelancong asing dari pelbagai negara.
Festival IFTAR @ KL mula dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Festival tersebut hanya berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad sahaja sepanjang Ramadan.
BERNAMA
IFTAR@KL tukar wajah Dataran Merdeka sempena Ramadan
Majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih setiap hujung minggu akan diadakan di Dataran Merdeka dengan nama iftar@KL sebagai usaha mengimarahkan bulan puasa pada tahun ini. - Foto TRP/Daniel Chan
Dataran Merdeka amat sinonim dengan acara sambutan kemerdekaan negara kerana setiap tahun majlis itu akan diadakan di lokasi paling ikonik di ibu negara ini.
Bersempena bulan Ramadan tahun ini, Dataran Merdeka akan bertukar wajah menjadi salah sebuah lokasi bukan sahaja untuk beriadah tetapi juga untuk berbuka puasa dan beribadah.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, majlis berbuka puasa dan sembahyang terawih setiap hujung minggu akan diadakan di Dataran Merdeka dengan nama iftar@KL sebagai usaha mengimarahkan bulan puasa pada tahun ini.
Pelajar-pelajar sekolah agama mengalunkan bacaan Al-Quran sementara menunggu waktu berbuka puasa – Foto TRP/Daniel Chan
“Selain mengadakan acara kebudayaan, pertunjukan dan sukan kita juga boleh menjadikan acara bersifat keagamaan sebagai salah satu daripada pengikat kepada kesefahaman yang menghubungkan masyarakat di bandaraya Kuala Lumpur,
“Saya memang bercita-cita untuk menjadikan Dataran Merdeka seperti yang dilaksanakan di Dataran Kuantan, Pahang iaitu padang-padang awam yang terdapat di tengah kota seperti majlis berbuka puasa yang sering dijadikan lokasi acara rasmi,” katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama 500 warga kota di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sempena iftar@KL hari ini.
Pada tahun ini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi penjenamaan baru kepada Festival Ramadan di Jalan Raja Dataran Merdeka dengan nama baru iaitu Iftar@KL 2015.
Warga kota menunggu waktu berbuka puasa di Dataran Merdeka. Padang bersejarah itu akan menjadi tempat berbuka puasa dan majlis agama ketika hujung minggu. – Foto TRP/Daniel Chan
Antara aktiviti yang diadakan seperti penyediaan dan agihan bubur lambuk, pameran pelancongan, pertandingan dan persembahan nasyid, tazkirah Ramadan, tadarus Al-Quran, majlis berbuka puasa diikuti solat maghrib berjemaah, soal jawab agama, solat Isyak dan terawih berjemaah, dikir zikir, ceramah dan malam kesenian Islam serta moreh
Program Iftar@KL 2015 juga mendapat kerjasama daripada syarikat korporat termasuklah Takaful Ikhlas, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Nescafe (Nestle), Julie’s, Adabi, Chriszen, Yeo’s, F&N, Al Meswak Mu’min dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.
the rakyatpost
Iftar@KL 2015 setiap Sabtu, Ahad
16 Jun 201
Orang ramai menunggu waktu berbuka puasa di Jalan Raja, Kuala Lumpur dalam Festival Ramadan pada tahun lalu.
KUALA LUMPUR 15 Jun – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memberi penjenamaan baharu kepada Festival Ramadan dengan menukarkan namanya kepada Iftar@KL 2015.
Menurut Cawangan Komunikasi Korporat JKKN, pertukaran nama baharu tersebut yang bersempena dengan My Festival 2015 adalah untuk menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan yang membudayakan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam, di samping memupuk nilai-nilai murni menerusi penganjuran aktiviti.
“Iftar@KL 2015 akan berlangsung pada setiap hujung minggu iaitu pada 20, 21, 27, 28 Jun & 4, 5, 11, 12 Julai 2015 (setiap Sabtu dan Ahad) di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad).
“Sebanyak 11 komponen pengisian aktiviti akan dilaksanakan oleh JKKN, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pelbagai agensi iaitu Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre (ITC), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Warisan Negara dan Masjid Jamek, Kampung Baru,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, antara aktiviti yang bakal dilaksanakan termasuklah agihan bubur lambuk; pameran pelancongan masjid, iftar dan bubur lambuk di Malaysia; pertandingan dan persembahan nasyid Ramadan; tadarus al-Quran; majlis berbuka puasa; solat maghrib berjemaah; soal jawab agama; solat isyak dan tarawih berjemaah; dikir zikir; ceramah; malam kesenian Islam serta moreh.
Program Iftar@KL 2015 juga mendapat kerjasama daripada syarikat korporat termasuklah Takaful Ikhlas, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Nescafe (Nestle), Julie’s, Adabi, Chriszen, Yeo’s, F&N, Al Meswak Mu’min dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan.
Kehadiran imam dari Mekah, Syeikh Dr. Abdurrahman Al-Sudais pada 4 Julai bagi memimpin solat isyak dan tarawih berjemaah pasti merupakan saat yang ditunggu oleh umat Islam di sekitar Lembah Klang.
Selain itu, selebriti tanah air seperti Datuk Ramli Sarip, Datuk M.Nasir dan Kumpulan Rabbani serta pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood turut memeriahkan festival tersebut.
Untuk maklumat lanjut layari www.jkkn.gov.my dan laman sosial Facebook dan Instagram mysenibudaya.
utusanonline
Comments
Post a Comment