Lorong Pengalaman, Udara Perasaan


LORONG PENGALAMAN, UDARA PERASAAN



PUISI adalah rakam kejiwaan penyair. Berpegang kepada kata puisi adalah bahasa terindah tersusun dalam bentuk yang terindah. Bahasa kejiwaan menerbitkan kata yang mengalir menjadi baris-baris puisi. Baris-baris kecil yang hanya memiliki beberapa ungkap kata. Kata yang disusun pula dalam garis baris yang menzahirkan struktur dan polanya. Rangkuman kedua-dua elemen tadi yakni kata dan baris menerbitkan sesenbuah puisi yang dapat kita nikmati.

Ramai pula dalam kalangan remaja merasa agak sukar memahami puisi. Sama ada puisi tradisional iaitu syair, seloka, gurindam, seloka atau pantun serta puisi moden iaitu sajak; kesemua itu terangkum dalam susuk dan susun kata dan baris yang menjadi elemen pembentukan puisi. Kalaulah ia hanya kata dan baris, mengapa pula dianggap sukar untuk ditanggap atau difahami? Keperluan apa lagi yang perlu ada pada seseorang tuntuk memahami dengan mendalam sesebuah puisi?

Pada anak remaja yang mula mendekati puisi mungkin akan merasa sukarnya untuk mengunyah apa yang terhidang hanya dalam susun kata dan baris tadi. Terasa begitu sukar untuk difahami apakah yang dimaksudkan dalam kata-kata dan susun baris itu. Jangan mudah merasa bosan berhadapan dengan puisi. Ada beberapa perkata penting yang perlu dijadikan kemahiran apabila berhadapan dengan sesebuah puisi.

Ambil sahaja sebuah puisi tradisional Melayu yang sering didengar :

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua

Ulangi berkali membaca patah-patah kata yang disusun dalam bentuk fizikalnya sebanyak empat baris. Susun kata dan atur baris inilah yang membina identiti puisi ini. Di situlah pula tersergam keindahan puisi Melayu tradisional iaitu pantun empat kerat. Kata-kata sederhana hanya empat atau limah patah kata sebaris dengan susun barisnya empat baris dan jumlah kata hampir sekata. Seiring dengan jumlah kata adalah jumlah suku kata yang sekata. Menambahkan keindahan bentuk puisi ini adalah kata rima akhirnya yang berulang-ulang persis sebuah irama yang melantunkan kemerduan. Ada lagi, dengarkan pada bahagian tengah barisnya, ada perulangan bunyi yang menusuk pendengaran dengan getar bunyi  yang bertingkah dan berulang. Begitu jika kita mendekatkan diri pada puisi ini. Kita sedang berhadapan dengan irama, ritma dan nada yang begitu indah dan menusuk jiwa. Begitulah keindahan strukutur atau bentuk yang menjadikan pantun empat kerat ini begitu indah. Kehalusan pada jajaran kata, bunyi, irama dan tingkah yang memberi impak ke dalam kelopak kalbu. Keutamaan berhadapan dengan puisi adalah usah kita kunci jiwa kita dan berada begitu jauh dengan puisi.

Dekatkan diri kita sedekat-dekatnya dengan puisi. Dengarkan irama dan ritma yang terbit dari ungkap kata yang terhasil. Bukakan emosi kita untuk menjadi lebih lentur kepada segala aspek bunyi dan muzik terhasil. Jangan berjauh dengan segala yang terdengar dan terakam di telinga atau hati. Salurkan semua itu menjadi suatu aliran yang bergerak ke dalam jiwa. Kedekatan begini akan membawa kita akrab dengan puisi. Semakin kita akrab semakin kita mulai memahami apa yang tertinggal dalam rongga kata-kata itu.

Selain mencari keindahan bentuknya, mulailah meneroka keindahan kata yang tertulis dalam baris puisi itu. Ia barangkali lebih mencabar kerana kata-kata tadi dipilih yang terbaik untuk digabungkan menjadi kata-kata dalam puisi. Bacakan pantun itu sekali lagi, kalau boleh dengan keintiman bacaan pantun yang sebenarnya dengan memberi keutamaan kepada rima dan jeda.  Sekarang kita berhadapan dengan inti puisi . Yang berada di hadapan kita hanyalah kata-kata. Kata-kata yang dipilih dengan penuih kecermatan oleh pengarang dan ia tersaji buat kita menikmatinya.

Bagaimana pula untuk menikmati kata-kata ini? Sudah dibaca berkali-kali dan kita cuba memahami maknanya. Ada satu perkara penting yang harus dipertimbang dalam memahami makna kata ini. Kita harus bersedia untuk menatap emosi yang terkembang dalam ungkapan kata pilihan itu tadi.  Mengapa pula perlu kita memahami emosi  di sebalik kata-kata itu? Kerana sesebuah puisi yang dipantulkan dalamn kata-kata adalah emosi yang sarat. Ia bukan hanya kata-kata biasa, tetapi terisikan emosi yang tersimpan rapi di sebalik kata-kata yang diungkapkan. Oleh itu dalam memahami maksud dan untai emosi dalam sesebuah puisi, kita perlu membedah secara perlahan-lahan lapis-lapis makna yang tersembunyi dalam kata-kata tersebut. Kita tak ada pilihan lain, hanya kata-kata. Jangan kita merasa aneh kerana dalam lukisan yang tersaji adalah warna dan garis sahaja. Garis dan warna yang membentuk imej atau citra dan dari sini orang mencari maksud dan ungkap makna dalam sesebuah lukisan.

Kita kembali kepada kata-kata yang telah tersedia. Bedah pertama adalah untuk memahamkan imej atau citra yang berderet sebagai kata-kata. Dalam puisi di atas citranya adalah : pulau, jauh, ke tengah, gunung, bercabang tiga, hancur, badan, tanah, budi, dikenang. Setiap citra atau imej ini akan menghasilkan emosi tersendiri apabila kita cantumkan ia satu persatu. Pembedahan ini harus cermat kerana kita jangan cepat melihat makna bahasa biasa dalam bahasa puisi. Mungkin pulau yang disebutkan membawa maksud dataran yang dikelilingi air, atau maksud disisihkan. Jadi dalam puisi kita harus menerima hakikat bahawa ada kata-kata yang menyarankan banyak maksud atau makna baru yang bukan lagi pada makna biasa. Unsur-unsur konotatif perlu diberi perhatian dalam puisi. Ia bermaksud makna biasa sudah bertukar menjadi makna lain sesuai dengan konteks dan ungkap puisi itu. Kelainan makna akan memberi kesan kelainan kejiwaan pula.

Aspek kejiwaan yang perlu diberi perhati adalah bagaimana ia tersembunyi dalam kata-kata. Ingatl;ah sebuah puisi adalah lorong pengalaman dan udara perasaan seseorang pengarangnya. Sesebuah puisi merakam pengalaman kehidupan sama ada secara benar atau imaginatif. Pengalaman ini sudah tentu tersalut emosi kerana pengarang manusia yang tak terlepas dari emosi itu. Kita melalui lorong pengalaman pengarang apabila membaca karyanya dan dalam waktu yang sama menghidu udara emosi atau perasaan pengarang. Kita cuba mencari apakah emosi yang terbawa dalam kata-kata itu. Apakah suatu keluhan yang panjang, rintihan kecewa, rasa gembira atau berpuas hati, atau rasa kecintaan yang mendalam terhadap sesuatu. Ingatlah ia teradun begitu halus dan indah dalam puisi. Jika kita terburu-buru membedahnya, kita akan kehilangan banyak petunjuk untuk memahami puisi itu.

Bukakan lapis-lapis maksud dan makna dengan menyingkap emosi di sebalik kata-kata atau imejan tadi. Mari kita lalui lorong pengalaman yang pernah dilalui oleh pengarangnya. Mari kita hirup udara emosi yang pernah berbekas di perasaannya. Perlahan dan sabar menetas puisi. Keluarkan satu persatu dari jalinan yang telah dibuat oleh pengarang. Puisi ibarat sulaman yang dibuat pada sehelai kain. Penuh warna-warni benang dan begitu kemas sulamannya. Kita sebagai penikmat perlu mencari bagaimana jalinan benang itu pada kain tadi. Cuba perhatikan warna benang yang berjalin padu itu, baru kita dapat menikmati bahasa sulaman berkenaan.


Itulah kerahsiaan seseorang pengarang sebenarnya. Pengarang banyak tinggalkan tanda-tanda dalamn karyanya dan jika kita dapat menjejak dia di lorong pengalaman itu dan dapat pula menghidu bau udara emosinya kita akan mengenali dan menemui kerahsiaan pengarang. Penemuan ini begitu mengasyikkan. Inilah keindahan yang sebenarnya tercermin dalam sesebuah karya satera. Kita dapat bersama merentas lorong pengalaman dan menghidu udara emosi yang tidak disebutkan secara nyata kepada kita. Kita perlu merentas segala yang terhidang dari kata-kata hingga struktur puisi itu  untuk memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam sesebuah puisi.

Mari kita mulai melihat pada ungkap ini.. Pulau pandan jauh ke tengah. Setelah kita menyusun segala imej-imej berkaitan kita mula dapat menyelak emosinya perlahan-lahan. Apakah yang beralun dalam jiwa pengarang, apakah merasa gembira? Apakah merasa sayu menatap pulau yang jauh? Apakah merasa tertekan jiwanya dengan apa yang disebutkan? Ia seolah cebis kata-kata yang terundang rasa terhiris dan sangat menyayat hati. Terasa ada semacam rasa rindu dan nostalgia yang tidak boleh terlepas dari banir perasaan. Semakin ditatap semakin merasa sangat merindukan? Ini adalah kemungkinan alur emosi dalam puisi tadi. Mengapa pula disebutkan gunung daik bercabang tiga? Apa kaitan dengan pulau yang jauh dan gunung yang bercabang begitu? Bukankah ia seolah-olah sebagai penanda, sebagai suatu catatan bahawa tak ada lain yang boleh dihubungkan dengan pulau pandan adalah kehadiran gunung daik yang cabangnya tiga. Tak ada bangingan lain lagi. Yang pasti tak ada perkara lain yang seiras dengannya. Pulau dan gunung itu menjadi penanda yang kejap berbekas dalam kalbu. Ke mana pun pergi ia akan tersulam dalam peta ingatan bahawa pulau pandan akan terbayang gunung daik. Wah... Nampaknya kita harus pergi lebih  mendalam lagi ke dalam bancuhan kata pengarang ini. Kalau disimpulkan dari dua baris puisi ini emosinya adalah rasa terharu dan sayu yang begitu berbekas dalam kalbu.

Kita telusuri lagi dua baris akhir puisi ini. Hancur badan di kandung tanah. Jelaslah bahawa pada kata hancur badan ini menimbulkan emosi yang begitu menghiris jiwa. Rasa kepayahan yang memberat dalam perasaan penulisnya. Ia sebuah pemergian, perpisahan dan tidak ada jalan kembali. Ungkapan di kandung tanah memberi kesan emosi kehilangan, pemergian dan ketiadaan. Ia juga memperlihatkan tentang kematian atau kata lain bermaksud perkuburan. Seluruhnya memberi kesan emosi yang berat iaitu bagaimana keharuan dan kepayahan melepaskan seseorang yang sudah pasti amat disanjung, disayang, dipuja, diminati, dikasihi dan sebagainya..

Pada baris akhirnya disebutkan kata-kata budi yang baik dikenang jua. Penutup pusii yang seolah-olah membuat satu rumusan atau kesimpulan yang jelas. Manusia akan menghadapi kematian tetapi kebaikan, budi dan jasa akan kekal di hati. Pada baris akhir ini pengarang memberi pesan yang jelas  bahawa kebaikan dan jasa akan dikenang orang sampai bila-bila dan ia tak memilih sesiapa pun.

Kalau disimpulkan bahawa dari puisi ini dapat difahami bahawa mansuai tidak abadi dan yang kekal adalah kebaikan dan  budi baik yang tak akan dilupakan selama-lamanya. Bahawa pengarang memberi pedoman bahawa kita akan menemui kematian dan tak abadi. Dalam hidup perlu berbuat jasa dan bakti kerana hanya itu yang terbawa lama dalam kenangan.

Begitulah perjalanan kita di lorong pengalaman dan udara perasaan ini.
Dekatkanlah diri pada puisi kerana kita akan merasa amat teruja, puas dan nikmat sesudah kita dapat menikmatinya dengan mendalam.



Comments