reka bentuk pdpr

 

CABARAN REKA BENTUK PEMBELAJARAN MURID DALAM PdPR

Amin Senin



1. Kesempatan berinteraksi dan bertukar pendapat dengan pemimpin sekolah dan rakan-rakan guru mengenai PdPR, memberikan saya peluang mengesan kesungguhan dan perhatian mereka untuk memastikan murid-murid terus dapat belajar seoptimumnya. Walau bagaimanapun dalam masa yang sama saya juga dapat mengesan kegelisahan mereka tentang “learning engagement” murid yang tidak memenuhi harapan mereka. Dan seperti yang kita maklum “engagement” merupakan teras dalam setiap pengalaman pembelajaran. Berdasarkan interaksi itu saya kongsikan tiga antara cabaran/kekangan yang mencorakkan pelaksanaan PdPR ketika ini dan sekali gus menyebabkan kegelisahan mereka.
2. Pertama, AKSES DIGITAL yang bermaksud keupayaan murid mendapatkan peralatan seperti komputer, tablet dan telefon pintar termasuk kemudahan internet atau ‘connectivity’ yang laju dan berterusan. Dalam isu ini saya lebih cenderung melihat isu ‘connectivity’ ini sebagai KEMUDAHAN ASAS kehidupan rakyat yang perlu diwartakan dan dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk disediakan tanpa kompromi.
3. Kedua, LATAR SOSIOEKONOMI keluarga yang mempengaruhi pembelajaran murid di rumah. Tidak semua persekitaran di rumah kondusif untuk pembelajaran terutama dalam ruang rumah yang sempit dan ahli keluarga yang ramai! Di samping itu ada murid-murid yang mengalami suasana keluarga yang tidak stabil dan selamat menyebabkan minda dan psikologi mereka tidak bersedia untuk belajar. Dalam hal ini mungkin program SARANA IBU BAPA boleh dilihat kembali fokusnya untuk membantu pihak sekolah mendapatkan dan memberi input dalam mereka bentuk pembelajaran murid di rumah.
4. Ketiga ialah pengguasaan TRANSISI PENGAJARAN-PEMBELAJARAN GURU. Dalam konteks ini saya berpendapat wujud jurang yang ketara antara dua kontinum penguasaan transisi guru. Di satu hujung kontinum, ada rakan guru yang pengajaran-pembelajarannya masih berada dalam ‘survival mode’ seperti mana di peringkat awal PdPR dan di satu kontinum yang lain pula ada guru telah berada di hadapan dalam ‘blended mode’. Mereka dapat mengadunkan secara strategik pendekatan ‘synchronous’ dan ‘unsynchronous’ walaupun mereka tidak berhadapan secara fizikal dengan anak muridnya.
5. Sehubungan dengan itu, saya ingin membincangkan dengan lebih lanjut cabaran ketiga di atas dalam perspektif reka bentuk pembelajaran murid dalam PdPR. Sebagai asas perbincangan, saya merujuk dua dokumen pelaksanaan PdPR yang dikeluarkan oleh KPM iaitu (i) Panduan Pelaksanaan Jadual Waktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah, dan (ii) Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah Versi 2.
6. Saya berpendapat PdPR yang kita laksanakan pada ketika ini lebih berbentuk ‘pelan kontigensi’ sebagai menggantikan Pengajaran-Pembelajaran normal. Justeru, PdPR sebagai PdP yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian secara dalam talian dan/atau luar talian, sebenarnya masih lagi berorientasi untuk memastikan murid-murid menguasai KANDUNGAN berdasarkan kurikulum (yang dijajarkan).
7. Walaupun dari segi pelaksanaannya sekolah dan guru-guru diberikan keluwesan tetapi secara tersirat orientasi penguasaan kandungan ini sebenarnya memberikan kekangan kepada guru dalam mereka bentuk dan melaksanakan pengajaran-pembelajaran yang luwes. Oleh sebab itulah TANPA DISEDARI reka bentuk PdPR masih lagi dalam dalam kerangka minda berpusatkan KANDUNGAN dan bukannya berpusatkan PEMBELAJARAN murid. Oleh itu saya berpendapat reka bentuk sedemikian memberi salah satu punca kesan negatif kepada “learning engagement” murid.
8. Dalam kekangan murid tidak berada di sekolah maka keutamaan menjadikan PdPR berpusatkan PEMBELAJARAN murid akan memberikan banyak ruang keluwesan dan kreativiti guru memupuk KOMPETENSI pembelajaran kendiri murid. Reka bentuk pembelajaran murid sedemikian juga membolehkan PdPR menjadi strategi jangka panjang sebagai ‘extension of continous learning’ murid selepas masa persekolahan normal. Hala tuju dan orientasi inilah saya perhatikan tidak terserlah dalam dokumen Panduan & Manual PdPR KPM.
connectingdotlearning


Comments