Biografi Suhaimi Hj Muhammad


Latar Belakang

Suhaimi Hj Muhammad anak Kampong Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak dan dilahirkan pada 8 Februari 1934. Rumahnya terletak di tebing Sungai Perak kepunyaan bapanya; Haji Muhammad bin Hassan dan ibunya bernama Hajjah Darwiah binti Ya’akub. Dia merupakan anak kelima daripada lapan adik beradik.

Pendidikan awal Suhaimi bermula di Sekolah Melayu Kuala Kangsar hingga Jepun menyerah kalah (1940-1945) kemudian apabila Inggeris kembali menjajah Tanah Melayu, dia meneruskan pelajarannya di Clifford School, Kuala Kangsar sehingga darjah empat (1946-1948).

Namun pada tahun 1948 dia bertukar ke Sekolah Melayu, Kuala Kangsar tetapi tahun berikutnya (1949), dia bertukar lagi ke Sekolah Melayu, Bukit Chandan berhampiran Istana Iskandariah. Di sini pada sebelah pagi dia belajar secara formal tetapi di petang hari Suhaimi belajar agama.

Pada tahun 1949 dia lulus darjah enam Melayu dan sijil persekolahan agama darjah enam Kerajaan. Kelulusan ini melayakkan beliau menjadi guru sekolah di Kamunting (1950) kemudian ke sekolah Melayu Sungai Setar, Parit Buntar (1951).

Pada tahun 1951 dia diterima belajar di Sultan Idris Trainning Collage (SITC), Tanjong Malim sehingga tahun 1954. Di SITC beliau pernah menjadi Setiausaha Persatuan Penuntut. Setelah tamat SITC dia diiktiraf sebagai guru terlatih dan ditawarkan mengajar di Sekolah Melayu Padang Empang, Kuala Kangsar pada 1955.

Belajar petang

Setahun kemudian dipindahkan pula mengajar di Sekolah Melayu Tanah Kebun, Parit Buntar. Dalam tempoh ini beliau mengisi waktu lapang khususnya pada hari Sabtu dan Ahad dengan belajar tajwid al-Quran daripada Ustaz Alias Abdullah.

Di samping itu, Suhaimi juga menyambung semula pendidikannya dengan belajar petang di Sekolah Inggeris Methodist, Nibong Tebal, Seberang Perai pada tahun 1961. Kemudian pada tahun 1962 hingga 1966 dia belajar pula di Sekolah Methodist, Parit Buntar pada sebelah petang antara jam 1.00 hinga 6.30 petang.

Berkat usaha gigih itu, pada tahun 1966 beliau lulus Senior Cambridge dengan memperolehi Overseas School Certificate (OSC) dan Malaysian Certificate of Education (MCE) dalam pengantar bahasa Inggeris. Pada tahun 1967, dia menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh tetapi tidak sempat menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) kerana jatuh sakit. Namun begitu kerjayanya sebagai guru diteruskan di Sekolah Menengah Menglembu, Ipoh (1966-1971).

Bergiat dalam NGO

Semasa di Ipoh beliau bergiat cergas dalam NGO dengan mengasaskan Badan Kebudayaan Melayu Tenaga Utama (PERTAMA) pada tahun 1970 sekali gus menjadi pengerusi sehingga tahun 1974. Semasa PERTAMA di bawah kepimpinannya, pada tahun 1973 badan ini pernah menganjurkan Seminar Penulis Malaysia Barat di Ipoh.

Pada tahun 1974 pula beliau bersama penulis Perak, Baharuddin Kahar, Ahmad Mahmud dan Abdul Latif Bidin menubuhkan pula persatuan penulis yang diberi nama GATRA DUA dan lantas menjadi pengerusinya selam tiga tahun (1974-1977).

Semasa memimpin GATRA DUA iaitu pada tahun 1975, Suhaimi meninggalkan kerjaya perguruan sebaliknya memilih jawatan Pembantu Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur . Sewaktu di DBP beliau pernah menjadi anggota redaksi majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa bersama-sama Kris Mas, Usman Awang, Baha Zain, Anwar Ridzuan dan Sutung Umar RS.

Suhaimi juga pernah bertugas di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sebagai Pegawai Penyelidik mulai tahun 1978 sehingga bersara wajib ketika berusia 55 tahun pada tahun 1989 setelah berkhidmat dengan Kerajaan selama 36 tahun. Di samping melaksanakan tugas hakiki, ketika di DBP beliau banyak terlibat dalam memberi ceramah, membentang kertas kerja serta membimbing calon penulis dari seluruh negara.


Kegiatan di luar bidang penulisan

Sewaktu merantau 25 tahun di Kuala Lumpur, Suhaimi sempat mempelajari dan mendalami bahasa Arab daripada pensyarah-pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) termasuk Ustaz Nordin bin Ahmad di samping memasuki kelas di Masjid Negara.

Ilmu tajwid turut dipelajarinya menerusi ustaz Haji Ahmad bin Ali dari tahun 1980 hingga 1990; taranum (lagu al-Quran) dengan ustaz Tarmizi di Masjid Taman Putera, Ampang serta ilmu tafsir, tasawuf, fiqh, tauhid, hadis daripada guru pondok tempatan. Kemudian Suhaimi memperkukuhkan Ilmu Islam yang dipelajari itu dengan pembacaan serius beberapa buah buku beraliran tasawuf, fiqh, sirah Nabi, sufism serta buku berkaitan Islam.

Setelah bersara, Suhaimi menjadi kontraktor kelas F dengan mengambil kontrak kerja pembaikan pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur antara tahun 1993 hingga tahun 1998.

Bidang ini tidak lama diceburi sebaliknya dia meneruskan kembali kegiatan keilmuan Islam. Buktinya pada tahun 1980 dia menerima ijazah tarekat Naqsyabandiah daripada Tuan Guru Haji Ma’aruf bin Ya’akub, Lenggeng, Negeri Sembilan. Di samping itu, Suhaimi juga dilantik sebagai bilal dan imam gantian di Surau Taman Maluri, Kampung Pandan, Kuala Lumpur .

Di tahun-tahun 1990-an dia melibatkan diri dengan kumpulan tabligh di Seri Petaling dan bergiat di sekitar Kuala Lumpur. Pada tahun 1999 isteri yang dicintainya, Halijah binti Ismail, seorang guru Kerajaan telah meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan, Cheras, Kuala Lumpur.

Justeru pada tahun 2001 Suhaimi mengambil keputusan meninggalkan kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang fana itu kembali ke negeri asalnya, Perak dan menetap di Lot 3971, Jalan Tempua, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan Dua, Gugusan Manjoi, Ipoh.

Suhaimi kini menghabiskan sisa-sisa usianya dengan berbakti kepada masyarakat dengan menjadi bilal dan imam gantian di Surau Al-Ikhlasiah, Jalan Pemimpin, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Suhaimi dan Karya

Karya pertama Suhaimi Hj Muhammad berbentuk cerpen berjudul Korban Lantaran Ayah tersiar di majalah Mutiara (Disember, 1950 ketika berusia 16 tahun. Semenjak itu dia terus berkarya tanpa henti sehingga kini. Kajian menunjukkan bahawa Suhaimi telah melahirkan pelbagai kumpulan puisi, cerpen, esei kritikan dan pernah menyusun atau menyelenggarakan karya penulis lain dalam bentuk buku seperti berikut:

1. Antologi puisi perseorangan, 33 buah buku (sehingga 2010)
2. Antologi puisi bersama, .27 buah buku
3. Antologi cerpen perseorangan, 3 buah buku
4. Antologi cerpen bersama, 4 buah buku
5. Kumpulan esei kritikan perseorangan, 2 buah buku
6. Esei kritikan dlm majalah/akhbar, 89 tajuk
7. Tulisan kata pengantar, 10 buah buku
8. Kumpulan skrip drama bersama, 2 buah buku
9. Penyelenggara buku biografi (1), puisi (3) dan kamus (1)

Penulisan Sajak

Suhaimi telah melahirkan 33 buah buku puisi perseorangan sepanjang 60 tahun berkarya. Ini adalah satu rekod Malaysia kerana tiada seorangpun penyair tanah air yang mampu menyaingi prestasi ini. Kajian juga mendapati bahawa antologi puisi yang paling sedikit muka suratnya ialah Siluet (Suhaimi Enterprise:1984) sebanyak 23 halaman manakala yang tebal pula berjudul As-Salam ( DBP:2006) mengandungi 495 halaman. Di samping itu, sajak-sajak Suhaimi turut dimuatkan ke dalam 27 antologi bersama dengan penulis-penulis lain. Ini bermakna sajak-sajak Suhaimi itu dianggap penting dan perlu dibukukan. Justeru Malaysia Book of Records Sdn Bhd wajar memberikan pengiktirafan kepada beliau.

Suhaimi Hj Muhammad sangat komited dengan penulisan puisi meskipun dia berkebolehan menghasilkan cerpen, esei dan skrip drama tetapi kelihatan memfokuskan bakatnya terhadap sajak. Dia begitu intim dengan puisi serta mementingkan kuantiti dan kualiti. Menurut Suhaimi, dia telah menulis kira-kira 2000 puisi sepanjang hayat kepengarangan sehingga kini. Oleh itu, secara purata Suhaimi telah menulis sebanyak 33 kuntum puisi setahun atau kira-kira 3 kuntum sajak dalam masa sebulan. Sesungguhnya benarlah pandangan Harris Effendi Thahar dari Indonesia yang menilai Suhaimi seperti berikut;

“Dia (Suhaimi) seorang penyair yang amat subur (prolific) dan konsisten dalam kepenyairannya. Baginya menulis puisi bagaikan ibadah sehari-hari – sentiasa resah mencari rahsia kehidupan. (Harian Singgalang, Indonesia, 20 Oktober 1982).



Aliran dalam sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad

Oleh kerana Suhaimi begitu komited menukangi puisi, dia berjaya mencorak karyanya dengan mengikut aliran-aliran tertentu. Pastinya Suhaimi banyak membaca karya penyair luar yang dapat membantunya mencipta pelbagai aliran Barat yang disesuaikan dengan suasana tempatan. Kajian mendapati bahawa Suhaimi mengangkat empat aliran yang dominan di dalam sajak-sajak beliau iaitu:

1. Realisme
2. Surelisme
3. Mistikisme
4. Eksistensialisme

Suhaimi lebih menyukai aliran surealisme berbanding realisme dan eksistensialisme. Hal ini dinyatakan oleh Dr Mana Sikana yang menganggap bahawa;

“Suhaimi merupakan penyair Melayu yang pertama membawa sajak-sajak beraliran surealisme ke dalam sastera Melayu. Dan hal ini kemudian diikuti oleh Latiff Mohidin. Sajak-sajak yang lahir daripada alam bawah sedar, impian dan imaginasi yang menjadi ciri-ciri penting dalam sajak surealisme dapat dilihat daripada sajak-sajak Suhaimi yang terkumpul dalam kedua-dua kumpulannya; Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Rontgen (1963)”. (Aliran dalam Sastera Melayu; 1982)

Di samping aliran surealisme yang amat disenanginya, Suhaimi juga dilihat telah mengubah status-quo penukangan sajak-sajaknya dengan memberi nafas baru iaitu memasukkan aliran mistikisme seperti yang terkandung dalam beberapa antologi puisinya. Saya melihat Suhaimi telah menjumpai aliran yang sesuai dengan jiwanya; sebagai seorang yang mencintai Islam. Asas keIslaman yang tinggi seperti pernah mempelajari tasawuf, tafsir al-Quran dan Hadis; apatah lagi mengamalkan tareqat Naqsyabandiah serta tabliqh, Suhaimi layak menghasilkan puisi-puisi sufi.

Penghasilan sajak-sajak beraliran mistikisme ini telah meletakkan Suhaimi antara penyair sufi yang amat menonjol di negara kita. Hal yang sama dinyatakan oleh Hasni Abas terhadap Suhaimi. Katanya;

“Dalam kumpulan Wujud yang mengandungi 206 puisi itu, Suhaimi menulis tentang ketuhanan, tasawuf, dan kebatinan, serta tidak lagi mengenai kebendaan. Melalui Wujud, Suhaimi telah berjaya mengungkapkan persoalan cinta martabat tinggi, cinta terhadap al-Khalik, pencipta segala pencipta- (Dewan Sastera, November 1996)

Keberhasilannya sebagai penyair sufi boleh dinilai daripada tanggapan Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad dalam sepucuk suratnya kepada Suhaimi (9 September 1996) yang antara lain menyebut bahawa;

“Tentulah kelahiran Wujud ini banyak membawa kita bermesra dan berpaut kepada Allah. Daripada beberapa sajak dalam Wujud yang saya renungi, ternyata saudara sudah berada di tahap yang sangat saya rindui. Begitulah hendaknya”.

Pemikiran Suhaimi dalam sajak-sajaknya

Kajian mendapati bahawa Suhaimi mengutarakan empat aspek pemikiran dalam sajak-sajaknya yang boleh di bahagikan kepada tempoh berikut;

• Keadilan Sosial (1950-1959);

(Membicarakan mengenai anti-kolonialisme; menentang penindasan, pemerasan, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan perdamaian dunia. Beliau bersikap seolah-olah social idealist yang hampir tergolong dalam Asas 50 dari segi mesej sajak-sajaknya. Ini dapat dilihat dalam Jalan ke Kotaku (1959)

• Kepincangan Sosial (1960-1969);

(Kebanyakan mesej sajaknya mengutarakan kepincangan sosial yang berlaku di sekelilingnya. Beliau mengkritik kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dengan menampilkan sajak-sajak bersifat kabur (absurd) sangat individualistik. Antologi Tulisan di Kamar Tidur (1960), Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Menyalak Bukit (1967)

• Keagamaan (1970-1980)

(Dari membicarakan kepincangan sosial, Suhaimi pada era tujuh hingga lapan puluhan telah beralih angin kepada mesej keagamaan. Peka dan waspada tentang realiti hidup serta mengetengahkan persoalan hidup mati. Contoh Bunga di Atas Batu (1970), Chorus Manusia Pengungsi (1976), Lilin Seinci (1980)

• Sufisme (1981-2010).

(Suhaimi mencapai tahap kematangan menukangi puisi dalam era ini dengan membicarakan soal-soal ketuhanan, tasawuf, cinta martabat tinggi – cinta terhadap al-Khalik, Pencipta alam ini. Wujud (1997), At-Tariq (2000), An-Nur (2003), As-Salam (2006), Asyik (2006), Cintamu Ummi (2007) dan Taman Taqwa (2009). Tujuh antologi ini sudah cukup meletakkan Suhaimi sebagai Penyair Sufi yang berwibawa).

Kesemua aspek pemikiran tersebut terkandung dalam 33 buah antologi puisi perseorangan dari Jalan ke Kotaku (1959) hingga Denyutkan Jantungmu (2010). Walau bagaimanapun tidak dapat disangkalkan bahawa terdapat sajak-sajak dalam tempoh tahun yang dinyatakan di atas bertindan lapis di dalam antologi yang berbeza kerana sukar dicerakinkan seratus-peratus berasaskan empat aspek pemikiran itu.

Reformis Persajakan Melayu

Selain menerapkan empat aliran yang ketara di dalam sajak-sajaknya, Suhaimi juga dianggap seorang reformis dalam perkembangan teknik persajakan Melayu di negara kita. Antara ciri-ciri perubahan teknik persajakan yang dilakukan Suhaimi ialah dengan mengenepikan unsur-unsur sajak seperti asonansi dan aliterasi di samping menggunakan perkataan biasa tetapi mempunyai pengertian berlapis; “Wanita Pelayan Kapal Udara”; “Di Masjid Negara” (Bunga di Atas Batu;190) seperti ditulis Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975 bertajuk Puisi Suhaimi Seratus Prosa?”

Suhaimi juga melakukan perubahan dalam bentuk sajak yang dikesan seperti;

1. Terdapat pertembungan antara modeniti dengan tradisional. Ada kala sajaknya terpengaruh dengan tradisi tetapi kerap juga melepaskan pengaruh tradisi (“Melihat Suhaimi Hj Muhammad di dalam Gejala Lain”-Kemala, Dewan Sastera, Februari 1971

2. Pembentukan rangkap secara tradisional iaitu empat baris bagi serangkap atau kuatren (quatrain)- “Puisi Suhaimi Seratus Prosa?” Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975
3. Puisinya tidak hidup sebagi puisi tetapi hidup sebagai cerpen yang sangat pendek. Cth; Dia mempunyai keluarga, Jalil
Bahkan ada keluarganya orang kaya
Pegawai negara, orang ternama
Mengapa mereka tak mahu menolong?- “Puisi Suhaimi Seratus Prosa?” Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975

4. Bentuk visual pada kebanyakan puisi (Chorus Manusia Pengungsi, 1976 dan Rontgen, 1981. Mengambil pola rima yang bebas. Barisan panjang-panjang dan banyak pula dilakukan pengulangan dan menimbulkan unsur-unsur estetiknya-“Penyair Gigih Lain dari yang lain” Ilias Zaidi, Utusan Zaman, 12 Mac 1978

5. Tanggapan sesaat (spontaneous reaction) merupakan pernyataan peribadi yang menyimpang daripada garis besar perkembangan puisi Melayu moden- “Penyair-penyair yang lebih muda dalam tahun lima puluhan”- Umar Junus dlm Sikap dan Pemikiran dalam Puisi Melayu Moden, DBP:1980

6. Reformis dalam perkembangan teknik perpuisian Melayu di Malaysia- Dr. Ramli Isin (Utusan Zaman, 5 Mei 1974)

Dia juga merubah pemikiran status quo sajak Melayu kepada idealisme baru sekaligus dianggap sebagai pelopor aliran surealisme di Malaysia yang kemudiannya diikuti oleh Latiff Mohidin (Aliran dalam Sastera Melayu, 1982 – Mana Sikana).

Beliau juga penyair surealis dan “ahli sihir” dalam kesusasteraan Melayu Moden kerana karya-karya surealismenya sukar dimengertikan oleh khalayak (Dr Anuar Nor Arai –Mastika, Julai, Ogos, September 1985)

Pandangan Dr Anuar Nor Arai bahawa Suhaimi sebagai “ahli sihir” kerana berjaya memukau khalayaknya adalah berasaskan kepada mesej atau falsafah yang dilontarkan dengan kata-kata biasa tetapi penuh dengan makna tersirat, tersurat dan berlapis-lapis kerana beliau menulis di bawah sedar yang memantulkan tanggapan sesaat (spontaneous reaction) terhadap apa yang dilihat, dirasakan atau difikirkan.

Hal ini sejajar apa yang diutarakan oleh Rusli A. Malem (wartawan, pengkritik, penyair) Indonesia yang mengulas tentangan sajak Suhaimi. Katanya;

“Apabila kita membaca sajak-sajak Suhaimi sekilas lintas akan membawa kesan bahawa sajak-sajaknya itu ditulis dalam bentuk sederhana dan masalah yang cuba diungkap oleh penyair mungkin dianggap terlalu ringan. Akan tetapi, apabila direnungkan lebih jauh dan kita membaca berulang kali sajak-sajak karya Suhaimi itu, maka kita akan menemukan nuansa-nuansa lain yang tersirat dalam sajak-sajak tersebut. Di balik keserhanaan itu, saya menemukan suatu keistimewaan dalam sajak-sajak penyair Ssuhaimi yang telah aktif menulis sejak tahun 1950 itu”. (Sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad dalam Lilin Seinci” - Mimbar Umum, Indonesia, 30 Ogos 1981)

Demikian juga pendapat Dr Anwar Ridzuan (Mingguan Malaysia, 5 Disember 1971) yang mengatakan bahawa bahasa sajak Suhaimi lembut dan bersahaja sangat menikam perasaan, diserati dengan perbandingan-perbandingan yang menarik dan indah lantas Anwar berpendapat bahawa sajak-sajak Suhaimi itu merupakan bentuk baru.

Pandangan sarjana serta kritikan terhadap Suhaimi dan karyanya terangkum dalam 89 esei eceran, 27 buah buku serta tiga tajuk ditulis oleh pengkritik Indonesia. Sementara itu terdapat dua buah kajian akademik bertajuk “Suhaimi Haji Muhammad Reformis Teknik Persajakan Melayu”, Ibrahim Hamid, Latihan Ilmiah untuk Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, UKM; 1977/1978. 238 hlm dan “Penjaraban Semiotik dalam Puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad.” Mohamad Shaidan, Disertasi Ijazah Sarjana Sastera, Universiti Putra Malaysia,Kuala Lumpur. 2001


Pengiktirafan Masyarakat Terhadap Suhaimi Sebagai Sasterawan

Setelah berpuluh tahun menulis di samping berkhidmat dengan Kerajaan serta berbakti kepada masyarakat melalui kegiatan keagamaan, Suhaimi Hj Muhammad telah memiliki pelbagai anugerah dan penghargaan. Namun demikian jika diteliti satu per satu anugerah atau hadiah yang diterimanya, hanyalah menjurus kepada prestasi karya yang dihasilkan dan bukan anugerah daripada Istana atau daripada lain-lain entiti yang berwibawa. Antaranya ialah Anugerah Sasterawan Perak (1987), SEA Write Award (1995), Karyawan Perak Sepanjang Zaman (1998), Hadiah Sastera Nasional (1971, 1987, 1998) Hadiah Sayembara Puisi Berunsur Islam (1981), Hadiah Sayembara Drama Berunsur Islam (1981), Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1999) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2000, 2006 dan 2007). Pada tahun 2010 Universiti Pendidikan Sultan Idris menganugerahkan beliau dengan Ijazah Sarjana Kehormat Kesusasteraan bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam bidang puisi.

Penutup

Suhaimi Hj Muhammad atau nama penanya; Suria Negara, Pengeran Budiman, William Plomer, Raden Suhama, S.S Hutagalung, Prem Adinata dan As-Suhaimi adalah seorang penyair mapan Malaysia yang telah menulis selama 60 tahun (1950-2010) terutamanya dalam genre puisi.

Kajian ini menggunakan metod content analysis yang menyimpulkan bahawa sebahagian besar sajak-sajak Suhaimi terangkum dalam empat aliran utama iaitu realisme, surealisme, mistikisme dan eksistensalisme manakala pemikiran yang diutarakan mengandungi empat aspek penting seperti keadilan sosial (1950-1959); kepincangan sosial (1960-1969); keagamaan (1970-1980) dan sufisme (1981-2010). Kesemua aspek tersebut terkandung dalam 33 buah antologi puisi perseorangan dari Jalan Ke Kotaku (1959) hingga Denyutkan Jantungmu (2010).

Rujukan

As-Suhaimi. 2009. Taman Takwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Mana Sikana .2005. Teori Sastera Kontemporari. Bandar Baru Bangi: Penerbit Pustaka Karya
__________ 1983. Aliran-aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Thani Ahmad dan Sarah Sardon. 1981. Wajah Biografi Penulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Suhaimi Haji Muhammad.1997. Wujud. Petaling Jaya: Tempo Publishing (M) Sdn. Bhd
___________2008. Apabila Malam Semakin Malam. Ipoh: Suhaimi Hj. Muhammad.




Catatan Kedua

Meneroka pemikiran Suhaimi dan Malim

Oleh DR.TALIB SAMAT


MUTIARA pemikiran dua orang tokoh sasterawan kelahiran Perak iaitu Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk akan dikupas dalam 22 buah kertas kerja oleh sarjana dalam dan luar negara pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Seminar itu akan diadakan pada 5 dan 6 Mac depan di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Seminar anjuran Persatuan Karyawan Perak diadakan dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI dan Persatuan Suluh Budiman (BUDIMAN) ini diadakan dengan beberapa objektif tertentu.

Antaranya memperkatakan karya-karya Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk menggunakan pelbagai pendekatan dan teori kesusasteraan, memperkenalkan kedua-dua sasterawan kelahiran Perak kepada para pelajar, pengkaji dan masyarakat sastera di UPSI , seluruh Malaysia dan dunia, memartabatkan semula ketokohan kedua-dua orang sasterawan ini dan menghargainya semasa mereka masih hidup.

Selain itu untuk memotivasikan para pelajar sastera dan bukan sastera UPSI supaya berkarya seperti Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Ini kerana karya-karya mereka sentiasa menjadi bahan kajian latihan ilmiah kepada para pelajar universiti di negara ini.

Seminar ini juga diharap dapat memantapkan persiapan pencalonan Fakulti Bahasa UPSI agar Suhaimi Haji Muhammad dikurniakan anugerah berupa Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UPSI pada tahun ini dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-11.

Dipinggirkan

Di samping itu objektifnya ialah Malim Ghozali Pk dicalonkan untuk menerima S.E.A Write Award oleh kerajaan Thailand. Seminar yang bertemakan "Memperkasakan Ketokohan Sasterawan Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk" yang selama ini agak dipinggirkan oleh masyarakat sastera di negara ini.

Seminar hari pertama memfokuskan perbincangan tentang pemikiran Suhaimi Haji Muhammad. Antara kertas kerja seminar hari pertama ialah Proses Kreatif dan Mengapa Saya Mengarang (Suhaimi Haji Muhammad), Perbincangan Biografi Suhaimi Haji Muhammad (Zabidin Ismail), Sumbangan Suhaimi Haji Muhammad Dalam Bidang Penulisan Cerpen Fokus Kumpulan Cerpen Kota Kenangan (Dr. Talib Samat), Kritikan Drama Bulan Jingga Karya Suhaimi Haji Muhammad (Dr. Ani Omar, UPSI), Kritikan Semiotik Terhadap Karya Terpilih Suhaimi Haji Muhammad (Mohamad Shahidan, DBP), Perbincangan Buku Kritikan Dilema Kesusasteraan Melayu Moden Karya Suhaimi Haji Muhammad (Jaafar Abdul Rahim), Perbincangan Kumpulan Puisi Sufi Mutakhir Suhaimi Haji Muhammad (Malim Ghozali Pk), Perbincangan Kumpulan Puisi Apabila Malam Semakin Malam Karya Suhaimi Haji Muhammad (Prof.Madya Datuk Dr.Mohd.Rosli Saludin), Perbandingan Karya Suhaimi Haji Muhammad Dengan Penyair lndonesia (Mohamad Daud Mohamad, DBP), Perbincangan Puisi-Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Song 0f The Pelican (Dr.Haji Abdul Ghani Abu, Dekan,Fakulti Bahasa, UPSI) dan Pentafsiran Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Taman Takwa Berasaskan Teori 4 SPBL (Abdul Halim Ali, UPSI).

Memperdebatkan

Manakala seminar pada hari kedua memperdebatkan perbincangan terhadap karya-karya Malim Ghozali Pk. Antara kertas kerja yang ditampilkan termasuklah Proses Kreatif Karya Terpilih dan Mengapa Saya Menulis Karya Kreatif (Malim Ghozali Pk), Kritikan Terhadap Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr.Budi Darma, Universiti Nasional, Surabaya, lndonesia), Penilaian Kritis Terhadap Buku Kesempurnaan Mutlak Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Muhammad Uthman El-Muhammaddy,ISTAC), Penelitian Novel Daun Karya Malim Ghozali Pk Berasaskan Teori Teksdealisme (Prof. Madya Abdul Rahman Napiah, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura) dan Penelitian Novel Redang Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Mohd.Hanafi Ibrahim, DBP).

Seminar hari kedua itu juga memfokuskan kertas kerja Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Usia Senja Karya Malim Ghozali Pk (UPSI), Perbincangan dua kumpulan puisi karya Malim Ghozali Pk Iaitu Gema Ruang dan Hujan Di Limun Pagi (Haji Abdul Rahim Abdullah, Aswara), Perbincangan Budaya Hidup Komuniti Melayu Jawa di Surinam, Amerika Latin Dalam Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk Dengan Komuniti Melayu Republik Seychelles di Lautan Hindi (Dr.Talib Samat,UPSI) , Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr. Zakaria Ali, Fakulti Seni,UPSI) dan sebagainya.

Seminar sastera yang agak besar di negeri Perak ini akan diserikan lagi dengan Malam Gema Puisi UPSI pada pukul 8 malam 6 Mac di Dewan Auditorium Utama, UPSI yang akan menampilkan lebih 20 orang penyair yang memperdalamkan rasa kemanusiaan terhadap alam sekitar dan kehidupan di mayapada ini.

Seminar ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir.

Antara buku yang akan dilancarkan ialah kumpulan puisi Apabila Malam Semakin Malam (karya Suhaimi Haji Muhammad), kumpulan puisi Merindu Alam (karya Ihsan Noorzali, DBP), Naratologi Shahnon Ahmad (karya Talib Samat,DBP,2010), Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1 (karya Talib Samat, Pekan Ilmu Publications), Perjuangan Mengantarabangsakan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (selenggaraan Talib Samat, Yayasan Perak) dan Pemikiran Politik Dalam Novel Ahmad Boestamam (Zabidin Ismail Penerbit Universiti Malaya).

Artikel ini dipetik dari portal Utusan Online



Comments