Home » All posts
22 May 2016
20 May 2016
bintang berpuisi
May 20, 2016 Mimbar Kata
Bintang-bintang Berpuisi pupuk budaya martabatkan puisi
20 Mei 2016 12:30 AM
KUALA LUMPUR 19 Mei – Penganjuran acara tahunan Bintang-bintang Berpuisi II anjuran Utusan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus universiti itu Sabtu ini, dapat menyemai cinta dalam kalangan generasi muda untuk terus memartabatkan budaya berpuisi.
Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak berkata, ini kerana program tersebut turut melibatkan penyertaan penuntut universiti sekali gus mampu memupuk rasa minat mereka terhadap sastera.
“Puisi ini pelbagai, ada gurindam, sajak, pantun, syair, nyanyian dan sebagainya. Pilih sahaja kategori yang diminati dan gunalah peluang ini untuk menonjolkan kreativiti yang ada dalam diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat sempena penganjuran Bintang-bintang Berpuisi II di Bangunan Canselori UKM di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah serta Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Menurutnya, Bintang-bintang Berpuisi yang memasuki tahun kedua penganjurannya, kini boleh dianggap sebagai kemegahan bagi Kumpulan Utusan dan UKM sekali gus mengeratkan hubungan antara warga kedua-dua organisasi itu.
“Tempoh setahun sebelum penganjuran edisi kali ini, bermacam-macam aktiviti telah dilakukan bersama, membuktikan kerjasama seperti ini mendorong ke arah kerja berpasukan yang lebih baik untuk kebaikan kedua-dua pihak.
“Lebih menarik, kedua-duanya ditubuhkan demi memenuhi hasrat rakyat, maka disebabkan perjuangan yang sama, ia semakin mudah. Kesan positif daripada program ini, diharap generasi muda lebih dekat dengan puisi berbanding terlalu leka dengan media sosial,” katanya.
Bertemakan Obor Perjuangan, para deklamator akan menyampaikan puisi dengan penuh penghayatan dan semangat kemanusiaan.
Antara barisan artis yang akan menceriakan majlis yang berlangsung pada pukul 9 pagi di Bangunan Canselori, UKM itu ialah Najwa Latif, Fizz Fairuz, Anis Al-Idrus, Siti Nordiana, Ajak Shiro dan Projector Band.
Yang turut mendeklamasikan puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan budayawan yang juga Pengarah Doktrin Latihan Tentera Darat, Kolonel Radzi Abdul Hamid yang akan menyampaikan puisi ciptaan mereka sendiri.
Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat juga akan mempamerkan bakat mendeklamasi puisi.
utusan online
Bintang-Bintang Berpuisi II, Sabtu ini
Usaha Utusan Malaysia, UKM perkasa bidang sastera negara
NURFARHANA MOHAMED
18 Mei 2016 12:28 AM
KUALA LUMPUR 17 Mei - Peranan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sebagai akhbar yang mempunyai pengaruh besar dalam kalangan ahli masyarakat tidak pernah terhenti.
Acara Bintang-Bintang Berpuisi adalah antara program hebat terbitan akhbar berkenaan dalam usaha untuk membawa masyarakat, khasnya pelajar dalam memaknakan lagi erti hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan.
Bintang-Bintang Berpuisi yang mula dianjurkan pada 2015, kini kembali lagi menerusi siri kedua.
Majlis yang dinamakan Bintang-Bintang Berpuisi II itu sekali lagi mendapat kerjasama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang akan berlangsung pada Sabtu ini mulai pukul 10 pagi.
Menerusi acara yang dilihat sebagai salah satu cara memperkasakan bidang sastera negara, penonton juga akan berpeluang menyaksikan ahli politik, ahli akademi, budayawan seni dan artis terkenal memperlihatkan bakat dalam deklamasi puisi.
Bertemakan Obor Perjuangan, para deklamator akan menyampaikan puisi dengan penuh penghayatan dan semangat kemanusiaan.
Antara barisan artis yang akan menceriakan majlis yang berlangsung di bangunan Canselori, UKM, Bangi, Selangor itu ialah Najwa Latif, Fizz Fairuz, Anis Al-Idrus, Siti Nordiana dan Projector Band.
Menurut Fizz, 36, dia sememangnya teruja untuk menyertai program ini memandangkan kali pertama dia tampil sebagai deklamator puisi.
“Sebelum ini saya tak pernah lagi ada peluang untuk baca puisi tapi selepas menerima undangan daripada Utusan Malaysia sendiri, saya sahut cabaran itu. Saya memilih puisi Tok Janggut, karya penulis handalan, Allahyarham Rahimidin Zahari.
“Sesuai dengan tema Obor Perjuangan, saya akan cuba sampaikan dengan sebaiknya dan membawa penonton menghayati isi kandungan puisi berkenaan sedalam-dalamnya,”katanya.
Tok Janggut adalah karya yang dianggap sebagai masterpiece milik Rahimidin, karyawan yang cukup terkenal dalam bidang puisi-puisi kemanusiaan itu.
Sementara itu penyanyi Siti Nordiana, 31, berkata, dia akan menyampaikan puisi berkisar tentang perjuangan kaum wanita yang banyak menyumbang kepada keharmonian negara Malaysia yang kita cintai ini.
“Sumbangan kaum wanita juga sememangnya tidak ternilai dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan moden seperti hari ini. Justeru, puisi yang akan saya sampaikan itu nanti khusus buat mengenang wanita-wanita hebat yang sentiasa memberi dorongan kepada insan lain,”jelasnya.
Turut mendeklamasikan puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Pengarah Doktrin Latihan Tentera Darat, Kolonel Radzi Abdul Hamid yang akan menyampaikan puisi ciptaan mereka sendiri.
Antara tetamu kehormat lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat.
utusan online
14 May 2016
3 buah puisi hari guru
May 14, 2016 Mimbar Kata
kaulah yang mengesat airmata pada pedih dan pilu kalbu
kau telah memberikan yang terbaik untuk mereka
begitulah seorang guru
menjadi ungkap terindah
guruku
hujan untuk segala kemarau semangat
12 May 2016
Mak Yong Sindong
May 12, 2016 Mimbar Kata
Teater Makyong “Sindong” ini diarahkan oleh ‘Adiguru Rebab’, saudara Che Mat Jusoh, seorang penggiat muzik dan teater tradisional tanahair yang tidak asing lagi di Malaysia. Pementasan ini turut diserikan dengan lakonan oleh ‘Pak Yong Malaysia’ saudara Rosnan Rahman dari Istana Budaya serta beberapa orang aktivitis teater tradisional dan moden tempatan seperti Nurliyana Mohama, Muna, Norhelmi Othman, Murshid Md. Hussain Yusof Bakar, Ramnah Ramli, Andy Siti Nurhidayah Rahim, dan ramai lagi.
Persembahan ini turut mendapat kerjasama dari Kumpulan Tarian Adikarma dari Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM serta turut diberi pendedahan berkaitan teater tradisional ini adalah kepada pelajar-pelajar dari program Tunas Budaya bersama USM iaitu Kumpulan Tunas Tari Sekolah Kebangsaan Minden Height, yang turut diberi peluang mengenali dan menyelami persembahan Teater Tradisional Malaysia.
Persembahan Teater Tradisional ini mengisahkan tentang seorang gadis yatim piatu bernama Sindong yang sering didera oleh ibu tirinya, Mek Bunga. Suatu hari, atas alasan tidak munasabah, Sindong telah dihalau dari rumah Mek Bunga. Maka Sindong pun membawa diri tanpa arah tujuan. Dengan kesaktian dan pertolongan Mak Cik Sedewa-dewa dari kayangan, Sindong telah dipulihkan tenaga dan diberikan sepersalinan pakaian yang akhirnya merubah nasib hidup beliau. Kisah sedih Sindong mendapat simpati daripada sepasang suami isteri, Mek Lijah dan Wak Leh yang kemudiannya telah mengambil Sindong menjadi anak angkat mereka. Tidak berapa lama kemudian, Sindong telah menemui Wan Kenari untuk mempelajari tarian. Wan Kenari yang bersimpati dengan nasib Sindong telah menerima Sindong sebagai anak didik tarinya. Walaupun kehadirannya tidak disenangi oleh beberapa rakan, namun Sindong tetap bersabar.
Sementara itu, di Istana Gunung Jerai, Raja Besar telah menganjurkan satu pesta keraian bagi mencari calon isteri Raja Muda Tengku Ahmad. Pertemuan mata antara Raja Muda Tengku Ahmad dan Sindong ketika persembahan di istana telah membibitkan rasa cinta dan akhirnya Raja Muda melamar Sindong menjadi isterinya. Apakah yang terjadi kepada Mek Bunga? Adakah Raja Muda memaafkannya. Sama- sama kita ikuti kisah selanjutnya.
Untuk sebarang maklumat lain, sila hubungi:
Puan Andy Siti Nurhidayah Rahim
Pegawai Kebudayaan
Bahagian Pengurusan Acara, Promosi dan Perhubungan Antarabangsa
Dewan Budaya
Universiti Sains Malaysia
Tel: 012-682 4449 / 04-5433888 – EXT: 3487
Email: andyidah@gmail.com, dewanbudaya@gmail.com
sumber fb dewan budaya usm
10 May 2016
di padang kecil
May 10, 2016 Mimbar Kata
kerana ia telah memilih untuk begini
aku menjual cinta
7 May 2016
kauberikan cinta
May 07, 2016 Mimbar Kata
6 May 2016
bagaimana cinta ibu?
May 06, 2016 Mimbar Kata
5 May 2016
cinta kreatif
May 05, 2016 Mimbar Kata
Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
MEMORI wanita berusia 66 tahun itu masih utuh menyimpan setiap peristiwa yang pernah dilalui sepanjang bergelar anak seni. Setiap soalan yang diajukan kepada beliau dijawab dengan lancar. Sesekali, beliau menyelitkan pantun dan madah untuk menjelaskan sesuatu perkara.
Perbualan hampir satu jam bersama Datuk Dr. Zurinah Hassan mengundang kekaguman tatkala menuturkan kata-kata yang cukup puitis.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya beliau mampu mencipta puluhan buah puisi dan sajak sehingga diangkat sebagai Sasterawan Negara ke-13 baru-baru ini.
Anak kelahiran Bakar Bata, Alor Setar, Kedah itu merupakan wanita pertama di Malaysia yang berjaya meraih gelaran tertinggi dalam bidang kesusasteraan.
“Alhamdulillah, anugerah ini merupakan rezeki daripada Allah selepas hampir empat dekad mengabdikan diri dalam bidang penulisan kreatif.
“Setiap perkataan yang tertulis di atas kertas adalah kurniaan Ilahi,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di rumahnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Menyingkap perjalanan karier Zurinah sebagai penulis puisi dan sajak, sejak lahir, penulis yang telah menghasilkan 19 buah buku antalogi sajak dan puisi itu tinggal bersama neneknya, Allahyarhamah Baayah Cik Mat di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.
Bapanya meninggal dunia sejak Zurinah dalam kandungan. Ibunya terpaksa tinggal berjauhan kerana bertugas sebagai jururawat di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Beliau membesar di sebuah teratak kecil yang dikelilingi dengan pohon-pohon merimbun. Suasana kediamannya sangat redup dan sunyi.
Disebabkan kedudukan rumahnya agak terpencil, Zurinah menjadikan radio sebagai teman di kala sunyi.
Saban hari, beliau duduk di rumah sambil ditemani lagu-lagu Melayu Asli yang sering berputar di radio pada ketika itu. Selain mendengar radio, Zurinah mempunyai hobi lain iaitu menyalin seni kata lagu di dalam sebuah buku. Seni kata tersebut kemudian dinyanyikan semula olehnya.
“Semasa zaman kanak-kanak, saya tidak mempunyai kawan dan kurang keluar bermain di luar seperti orang lain.
“Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan mendengar radio. Saya bukan sahaja mendengar malah menulis dan menghafal seni kata lagu,” ujar Zurinah sambil tersenyum mengenangkan peristiwa tersebut.
Menerusi hobi itu, beliau mula menghayati dan memikirkan keindahan setiap perkataan yang digunakan dalam seni kata lagu.
Antara lagu yang menjadi kegemaran Zurinah pada ketika itu ialah Alam Maya, Bulan dan Angin, Seri Mersing, Seri Tambak serta Tudung Saji.
Dek kerana sering menghayati sajak dan seni kata lagu, maka timbul minat beliau menulis puisi dan sajak.
Sebelum mula menulis, beliau gemar merenung keadaan sekeliling terutamanya haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang boleh dikaitkan dengan kehidupan manusia.
Beralih minat
“Daripada hobi menyalin seni kata, saya mula berminat menulis sajak dan puisi. Karya pertama saya terhasil ketika berumur 12 tahun.
“Oleh kerana terlalu dekat dengan radio, maka saya telah menghantar karya ke rancangan Taman Kanak-kanak yang dikendalikan oleh Siti Hawa Zain dan ruangan sajak di dalam akhbar,” ulasnya.
Antara puisi terawal yang dihasilkan oleh Zurinah ialah Rebolusi, Tanjung Dawai, Hari Jahanam, Darul Aman dan Terlantar.
Ketika buah fikiran Zurinah mula mencurah-curah, beliau telah diminta berhenti berkarya. Kegiatan Zurinah menghantar sajak ke ruangan akhbar tidak disenangi oleh pihak sekolah. Ketika itu, beliau menuntut di Sekolah Inggeris Sungai Petani, Kedah.
Rentetan itu, Zurinah telah dikenakan tindakan disiplin kerana dianggap dengan sengaja meletakkan nama dan alamat sekolah dalam akhbar untuk mencari populariti.
“Akibat peristiwa tersebut, saya dilarang menulis dan menghantar karya untuk disiarkan dalam akhbar. Saya amat sedih dan kecewa,” terang Zurina yang menjadikan Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang sebagai idolanya.
Ilham
Namun begitu, peristiwa tersebut tidak pernah sesekali memadamkan api cinta Zurinah terhadap bidang penulisan kreatif. Beliau akhirnya kembali bangkit lantaran sikapnya yang tidak mudah berputus asa.
Antara individu yang berjaya membakar kembali semangatnya untuk terus aktif menulis ialah pengasuh ruangan sajak Utusan Zaman, Zakry Abadi. Utusan Zaman merupakan salah sebuah akhbar tulisan jawi yang diterbitkan oleh syarikat persuratkhabaran, Utusan Melayu.
“Pengakuan Zakry mengenai bakat menulis puisi yang ada pada saya amat memberangsangkan.
“Beliau mahu saya terus menghantar karya kerana beranggap saya mampu menjadi seorang penulis sajak dan puisi yang baik,” katanya sambil merenung tajam ke satu sudut di halaman rumahnya.
Selepas kembali menulis, karyanya bertajuk, Sepanjang Jalan Ke Pulau Pinang yang di siarkan dalam Utusan Zaman pada Disember 1970 telah dijadikan lirik lagu dan dirakam oleh kumpulan Harmoni.
“Saya berasa cukup dihargai selepas sajak saya telah dijadikan lirik lagu. Lagu tersebut cukup popular sekitar awal 80-an,” ujar Zurinah sambil menyanyikan bait-bait lagu tersebut kepada penulis.
Minatnya terhadap penulisan semakin bercambah selepas berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1974.
Sebaik menamatkan pengajian, beliau telah diterima berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di ibu negara.
Walaupun sibuk dengan tugasan seharian dan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada lima orang cahaya mata, namun beliau tetap mencuri masa untuk menulis.
“Ilham untuk menulis selalunya datang tanpa mengira waktu. Kadang-kadang ketika dalam bas ke tempat kerja. Jadi, saya cepat-cepat catat di dalam buku.
“Selepas pulang ke rumah saya perlu luangkan masa dengan keluarga. Pada hujung minggu baru saya ada masa untuk menulis,” terang Zurinah sambil memaklumkan bahawa beliau pernah berhasrat untuk berhenti menulis kerana sibuk mengurus anak-anaknya yang masih kecil.
Perjalanan seni Zurinah kembali bersinar selepas berhenti kerja untuk memberi perhatian kepada penulisan sekitar tahun 1996.
“Saya berhenti kerja semata-mata mahu aktif menulis. Walaupun menulis tidak menjanjikan pendapatan lumayan, namun ia memberi kepuasan kepada diri. Saya akan menulis selagi terdaya,” kata Zurinah yang tiada seorang pun anaknya yang mengikut jejak langkah beliau.
Masa depan
Diangkat sebagai Sasterawan Negara, beliau perlu memainkan peranan dalam memastikan sastera Melayu terus subur.
Sehubungan itu, beliau menerima jemputan mendeklamasi sajak dan puisi di institut pengajian tinggi dan badan-badan korporat.
“Sebagai salah seorang Sasterawan Negara saya perlu pastikan bidang sastera dalam kalangan masyarakat terus mekar. Saya akan terus berjuang memartabatkan sastera Melayu walau seribu rintangan di hadapan,” terangnya.
Mengulas mengenai masa depan sastera di Malaysia, beliau yakin ia tidak akan lenyap kerana selagi wujudnya bangsa Melayu.
Katanya, situasi itu dapat dilihat menerusi penubuhan beberapa kumpulan yang aktif menghasilkan sajak dan puisi.
kosmo
pendidikan sastera membimbangkan
May 05, 2016 Mimbar Kata
Sambutan terhadap pendidikan sastera membimbangkan
JUANI MUNIR ABU BAKAR
26 April 2016 10:48 PM
PUTRAJAYA 26 April – Sambutan terhadap pendidikan sastera di negara ini dilihat agak membimbangkan kerana para pelajar lebih berminat untuk mengikuti bidang sains bagi menjamin masa depan ketika memasuki alam pekerjaan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persepsi dan pandangan tersebut perlu diubah dengan mendekati pelajar aliran sains dan memberi pemahaman yang betul tentang kesusasteraan.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut katanya, masalah yang menjadi halangan kepada pelajar daripada meminati bidang sastera wajar diselesaikan dengan segera seperti bayaran royalti terhad berbanding proses penulisan sesebuah karya atau tanggapan negatif masyarakat terhadap kerjaya penulis.
“Tanggapan yang positif serta contoh-contoh terhadap penulis yang berjaya di luar negara perlu dijadikan teladan kepada pelajar atau individu yang baharu menunjukkan minat dalam penulisan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-13 di sini hari ini.
Pada majlis itu, penyair terkenal, Datuk Dr. Zurinah Hassan, 67, menerima Anugerah Sastera Negara Ke-13 sekali gus meletakkan beliau sebagai wanita pertama di negara ini dipilih sebagai Sasterawan Negara.
Mahdzir pada 13 Oktober tahun lalu mengumumkan Zurinah dipilih sebagai Sasterawan Negara Ke-13 berdasarkan sumbangan cemerlangnya dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.
Pengurniaan itu melayakkan tokoh sastera tersebut menerima warkah penghormatan negara dan wang tunai RM60,000 serta penerbitan sebanyak RM50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Beliau juga mendapat kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.
Sementara itu, Zurinah dalam ucapannya melahirkan perasaan bersyukur atas penganugerahan yang diberikan dan berharap lebih ramai Sasterawan Negara dapat dilahirkan bagi menyuburkan bidang sastera pada masa depan.
“Kepada pengkarya sastera, teruslah menghasilkan tulisan yang diikuti dan diminati untuk membina angkatan generasi yang mempunyai kekuatan diri.
“Semoga bertambah teguhlah kita sebagai bangsa berperibadi, beradat dan bertradisi,” katanya. - UTUSAN ONLINE
utusan
Zurinah Hassan : SN13
May 05, 2016 Mimbar Kata
27 April 2016
PUTRAJAYA, 27 April — Penulis dan penyair wanita tanah air Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena Haniruz malam tadi menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-13.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan anugerah tersebut kepada Zurinah - wanita pertama menerima penghormatan itu.
Beliau menerima wang tunai RM60,000, Warkah Penghormatan Negara dan tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Pada 13 Okt lalu, Mahdzir mengumumkan Zurinah sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.
Mula dikenali dengan sajak "Sesayup Jalan" yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 67, mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan puisi "Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour", 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Antara kejayaan lain beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (Sea Write Award) 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara Asean (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana.
Zurinah juga menghasilkan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil tulisan ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990).
Beliau juga menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiographi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak 1963.
Beberapa karya puisi dan sajak beliau juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.
Anugerah Sastera Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan. — Bernama
themalaymailonline
Wanita Pertama Dinobatkan Sebagai Sasterawan Negara
Oleh NORAZLINDA MISRAN
Dato’ Dr. Zurinah Hassan, pengarang ulung negara telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang ke-13. Beliau merupakan wanita pertama yang memegang gelaran tersebut.
Penganugerahan ini diberikan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan yang bermutu tinggi. Karya yang bermutu tinggi ini berjaya mengetengahkan ketinggian nilai isi dan mutu teknik sebagai hasil seni yang bermanfaat kepada pengalaman, perkembangan intelek, pembentukan kebudayaan kebangsaan serta ketinggian martabat manusia.
Malam Anugerah Sastera Negara ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia Merangkap Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13 pada 26 April 2016 yang lalu di Hotel Marriott, Putrajaya. Antara yang turut hadir pada majlis gilang-gemilang itu ialah Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Prof. Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah DBP, Sasaterawan-sasterawan Negara, golongan penulis, pegawai tinggi kerajaan dan diplomat negara asing.
Menurut Dato’ Seri Mahdzir, pengiktirafan ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan menghargai sumbangan dan peranan penulis yang meneruskan tradisi penulisan budaya tinggi berwahana bahasa Melayu. Bidang penulisan, tidak kira bidang ilmu dan genre, memainkan peranan yang amat besar dalam pembinaan negara yang berdaulat. Hal ini adalah kerana ilmu dan karya yang ditulis dalam bahasa ibunda sesebuah negara itulah yang boleh meningkatkan martabat masyarakatnya. Maka, kerajaan sentiasa berusaha mengangkat martabat sastera kebangsaan dan seterusnya mengiktiraf penulis yang berkarya demi kepentingan masyarakat dan negara.
Seterusnya dalam ucapan penerimaan anugerah oleh Dato’ Dr. Zurinah Hassan, beliau menceritakan saat beliau mula menceburi bidang penulisan ini. “Saya mula mencintai buku dan penulisan sejak 40 tahun yang lalu, ketika orang tua-tua masih bertengkar adakah wajar membenarkan anak perempuan belajar di sekolah menengah yang semuanya jauh di bandar. “
Semoga anugerah ini akan memberikan semangat kepada beliau untuk terus berkarya dan menyumbangkan keintelektualan ke arah pembangunan minda dan sahsiah bangsa. Turut diadakan pada malam tersebut ialah persembahan fragmen karya Sasterawan Negara ke-13.
2 May 2016
mutiara yang kau ungkap
May 02, 2016 Mimbar Kata
hujan untuk segala kemarau semangat
sepotong kata
May 02, 2016 Mimbar Kata
1 May 2016
sunyi
May 01, 2016 Mimbar Kata