pendidikan sastera membimbangkan


Sambutan terhadap pendidikan sastera membimbangkan
JUANI MUNIR ABU BAKAR
26 April 2016 10:48 PM


Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan warkah pengiktirafan Anugerah Sastera Negara Ke-13 kepada penyair, Datuk Dr. Zurinah Hassan dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-13 di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad (tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Abdul Adziz Abas (kiri) dan Ketua Panel Anugerah Sastera Negara Ke-13, Prof Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar. Gambar: UTUSAN/RASHID MAHFOF

PUTRAJAYA 26 April – Sambutan terhadap pendidikan sastera di negara ini dilihat agak membimbangkan kerana para pelajar lebih berminat untuk mengikuti bidang sains bagi menjamin masa depan ketika memasuki alam pekerjaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persepsi dan pandangan tersebut perlu diubah dengan mendekati pelajar aliran sains dan memberi pemahaman yang betul tentang kesusasteraan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut katanya, masalah yang menjadi halangan kepada pelajar daripada meminati bidang sastera wajar diselesaikan dengan segera seperti bayaran royalti terhad berbanding proses penulisan sesebuah karya atau tanggapan negatif masyarakat terhadap kerjaya penulis.

“Tanggapan yang positif serta contoh-contoh terhadap penulis yang berjaya di luar negara perlu dijadikan teladan kepada pelajar atau individu yang baharu menunjukkan minat dalam penulisan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-13 di sini hari ini.

Pada majlis itu, penyair terkenal, Datuk Dr. Zurinah Hassan, 67, menerima Anugerah Sastera Negara Ke-13 sekali gus meletakkan beliau sebagai wanita pertama di negara ini dipilih sebagai Sasterawan Negara.

Mahdzir pada 13 Oktober tahun lalu mengumumkan Zurinah dipilih sebagai Sasterawan Negara Ke-13 berdasarkan sumbangan cemerlangnya dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Pengurniaan itu melayakkan tokoh sastera tersebut menerima warkah penghormatan negara dan wang tunai RM60,000 serta penerbitan sebanyak RM50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau juga mendapat kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan untuk menerbitkan karya dan penterjemahan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.

Sementara itu, Zurinah dalam ucapannya melahirkan perasaan bersyukur atas penganugerahan yang diberikan dan berharap lebih ramai Sasterawan Negara dapat dilahirkan bagi menyuburkan bidang sastera pada masa depan.

“Kepada pengkarya sastera, teruslah menghasilkan tulisan yang diikuti dan diminati untuk membina angkatan generasi yang mempunyai kekuatan diri.

“Semoga bertambah teguhlah kita sebagai bangsa berperibadi, beradat dan bertradisi,” katanya. - UTUSAN ONLINE

utusan

Comments