KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF KERTAS 1

 2216/1 – KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF KERTAS 1

CONTOH ITEM BAHAGIAN A – RESPONS TERHAD

[40 Markah]


CONTOH ITEM PUISI TRADISIONAL

Banyak udang banyak garam.
Banyak orang banyak ragam

Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.

Lain ulu lain parang,
Lain dahulu lain sekarang.

Dipetik daripada Resam Hidup Manusia (Pantun Dua Kerat) dalam antologi Nilai Insan

Nyatakan empat bentuk pantun yang terdapat dalam petikan puisi di atas. [4 markah]

CONTOH ITEM PUISI MODEN

Ketika turun pun
masih terasa
jari-jari mesra alammu
pada sungai setiamu
pada pohon sabarmu
pada lembah ghairahmu

Dipetik daripada sajak Belajarlah Memahaminya- Gunung Legenda karya Shapiai Muhammad Ramly

Berikan dua gaya bahasa berserta contoh berdasarkan petikan sajak di atas. [4 markah]

CONTOH ITEM PROSA TRADISIONAL

Maka sebermula Jepun yang lepas dua orang itu lalu mudik ke hulu Siam,
lalu ke Kemboja. Setelah sampai maka ia memberitahu segala tempat
di Kemboja itu, segala hal ehwalnya diberinya tahu. Maka segala Jepun
di Kemboja itu terlalu amarah lalu berlengkap akan mengadang Laksamana
itu. Setelah lengkap maka Jepun itu pun hilirlah lalu ke Benua Siam. Maka
kata panglima Jepun itu, “Di sinilah baik kita mengadang Laksamana itu.”
Maka lalu ia duduk di kuala itu.

Dipetik daripada Sastera Epik, Hang Tuah Di Utus Ke Siam dalam Antologi Nilai Insan

Nyatakan dua latar tempat berserta contoh yang terdapat dalam petikan prosa tradisional tersebut. [4 markah]

CONTOH ITEM CERPEN

Sesak nafasku seketika. Aku nyaris kehabisan ikhtiar. Tetapi aku tetap
berpegang pada prinsip selagi ada kemahuan, jalan keluarnya pasti akan
datang.
“Fik, ada tugasan untukmu,” ujar Ketua Pengarang.
Aku terima banyak soal. Ketika pesawat Singapore Airlines itu mendarat
dengan selamat di Lapangan Terbang Changi, aku mengucap syukur
berkali-kali. Aku belum bersedia untuk menjadi statistik mangsa
kemalangan udara seperti yang berlaku di Taiwan ketika pesawat dari
syarikat penerbangan ini meletup di landasan. Aku masih mahu mencari
Rosa di apartmennya.

Dipetik daripada cerpen Rindu Seorang Rafik karya Nisah Hj. Haron

Nyatakan dua perwatakan ‘aku’ berserta contoh yang terdapat dalam petikan
cerpen tersebut. [4 markah]


CONTOH ITEM DRAMA

ZAKI : Begitulah dengan ibuku, Anna, dia tidak bersalah apa-apa. Dia
kasihkan aku sebagai anaknya dan kasihkan engkau sebagai menantunya.
Dan amat kasihkan Tina, anak kita. Tapi, mengapa engkau seperti tak … .

ANNA : Engkau menyediakan aku penderitaan, Zaki. Aku meninggalkan
kebahagiaanku yang sebenar di England, meninggalkan daddy,
meninggalkan pengajianku. Kalau tidak, aku sekarang sudah menjadi
ahli ekonomi. Aku tinggalkan kampus universiti kerana engkau, Zaki.
Tapi rupa-rupanya engkau punya tanggungjawab yang besar dan penting
terhadap ibumu … .

Dipetik daripada drama Anna karya Kemala

Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan drama di atas. [4 markah]

CONTOH ITEM NOVEL

“Dunia memang terus berubah,” jawab tuan rumah. “Tetapi
mengapakah sikap mengambil berat pun turut berubah? Masalah
di Tubua ini bukan kecil. Sekurang-kurangnya, dengarlah pendapat
kami.”
“Kita di Ogonshoto sudah melupakan adat turun-temurun,” ujar
lelaki tua. “Dulu kala, jika ada pihak yang bermasalah, duduk
berkumpullah orang-orang kita di bawah pokok palma sambil berbincang
mencari jalan penyelesaian. Sekarang, baik penduduk Rai-Rapa dan Futu-
Ata, mahupun di Gora-Gora ini, sudah tidak menghargai cara turuntemurun
itu.”

Dipetik daripada novel Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan

Berikan dua pengajaran berserta contoh yang terdapat dalam petikan novel di atas.
[4 markah


CONTOH ITEM KRITIKAN SASTERA

CONTOH 1

Banyak orang berangan-angan tinggi,
Ingin mencapai itu dan ini,
Tetapi tak mahu bersusah diri,
Untuk menyampaikan cita-cita pujaan hati,
Mereka suka minta tolong, minta beri.

Dipetik daripada Seloka Tak Berikhtiar Sendiri dalam antologi Nilai Insan

Berdasarkan maksud rangkap seloka tersebut, jelaskan satu kritikan sosial yang terdapat dalam petikan seloka tersebut. [4 markah]

CONTOH 2

“Ya, saya,” Anak muda itu mengangguk-angguk. Dia amat kecewa
kerana Pak Supir yang membawa hampir sepagi itu tidak dapat
membantu apa-apa untuk menyelesaikan masalahnya. ‘Ah Supir. Apa dia
tahu tentang ulama-ulama sufi itu. Dia hanya tahu mencari sesuap nasi
untuk anak isterinya. Barangkali sudah berapa puluh tahun dia dengan
teksi tuanya itu, berputar-putar di sekitar Kota Sibolga. Entah dia pun
tidak tahu Kota Sibolga itu disebut sebagai dataran sufi oleh segolongan
manusia yang cinta akan kesufian.’ Pemuda itu berbicara dalam
kalbunya.

Dipetik daripada cerpen Profesor Sufi Karya A. Rahmad

Berdasarkan gaya bahasa paradoks yang terdapat dalam petikan tersebut, jelaskan pandangan anda terhadap perwatakan Pak Supir [4 markah]

CONTOH ITEM PEMBANGUNAN INSAN

CONTOH 1

“Sekarang tidak ada, saya ulangi, tidak ada kolonial Eropah di
Ogonshoto. Kitalah yang sedang memerintah. Kitalah yang akan
menentukan masa depan Ogonshoto. Berapa lamakah hayat politik kita?
Hayat kita panjang kalau tiada penyakit. Hayat politik kita panjang kalau
tiada penentangan. Oleh itu setiap penentangan, seperti kuman yang
berbahaya, mesti dihapuskan seawal mungkin dengan apa-apa
cara sekalipun.”

Dipetik daripada Novel Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan

Berdasarkan petikan di atas, huraikan satu ciri kepemimpinan yang perlu ada dalam membentuk negara yang mapan. [4 markah]


CONTOH 2

Sebermula Raja Melaka hendak mengutus ke Benua Siam.
Maka pada hari baginda duduk semayam, maka baginda pun bertitah,
“Hai mamak Bendahara, akan sekarang kita hendak mengutus ke
Benua Siam, minta beli gajah pada raja barang empat ekor yang
jantan, dua ekor betina! Siapa baik kita suruhkan?” Maka sembah
bendahara, “Daulat Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun dan
kurnia; jikalau lain daripada Laksamana adalah lambat pergi datang.”
Maka raja pun memandang kepada Laksamana, Laksamana pun
menyembah, “Daulat tuanku, patiklah ke Benua Siam itu.” Maka titah
baginda, “Benarlah kata Laksamana itu. Pada bicara kita, kerana kita
ada mendengar khabar negeri baharu diperbuat, namanya Patani; pada
bicara kita, hendak suruh alahkan.” Maka sembah Laksamana,
“Daulat tuanku, barang kala patik lalu ke laut Patani itu patik singgah
melihat dia, tetapi, pada firasat patik, terlalu baik tempat kedudukan
Patani itu, tiada dapat dialahkan oleh musuh.” Maka titah raja,
“Karanglah surat dan bingkis oleh Bendahara.”
Dipetik daripada Sastera Epik; Hang Tuah Diutus ke Siam dalam Antologi Nilai Insan

Berdasarkan petikan prosa tradisional di atas, nyatakan satu keperibadian unggul
Laksamana berserta contoh. [4 markah]

CONTOH 3

Setelah beberapa tahun tanah bohor yang rang di kawasan Pak Mid
kian menghijau dengan pokok-pokok hutan yang ditanam. Belukar yang
sengaja tidak ditebas semakin tebal. Masakan orang lain tidak
memandang ganjil terhadap Pak Mid kerana orang lain hanya
meninggalkan belukar sebagai belukar. Sementara Pak Mid
menyuburkannya pula. Aku, anak-anak Pak Mid, dan kanak-kanak lain di
kampung terpencil ini mula bermain di bawah rendangan dahan-dahan
dan sekali-sekala meredah belukar yang semakin tebal itu.

Dipetik daripada cerpen Namun Itulah Hakikat Karya Nazel Hashim Mohamad

Berdasarkan petikan, Pak Mid digambarkan sebagai seorang yang berpandangan jauh.

Berikan satu tindakan berserta contoh yang dilakukan oleh Pak Mid. [4 markah]


CONTOH 4

Kautahu Lin, nenek moyangmu itu jarang sekali menyakiti kami.
Mereka tidak membuang segala-segala ke laut kerana laut itu segalagalanya
bagi mereka. Mereka tidak tamak mengumpul harta yang
berlambak-lambak kerana bahagia mereka bukan pada benda-benda itu.
Mereka kagum melihat butir-butir pasir pada putih pantai dan indah kulitkulit
siput dalam sinar suria. Pada koloni bunga-bunga karang, mereka
melabuhkan sauh kehidupan.

Dipetik daripada cerpen Kami Akan Mati. Lin karya Saroja Theavy Balakrishnan

Nyatakan dua citra masyarakat yang terdapat dalam petikan tersebut. [4 markah]


CONTOH ITEM BAHAGIAN B – RESPONS TERBUKA

[60 Markah]


CONTOH ITEM PUISI MODEN

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Kubentang Sehelai Peta

Di atas meja cengal pusaka nenek
kubentang sehelai peta enam dekad
pada peta itu mengalir diriku
pada diriku terbit sebuah rakit.

Di atas rakit ini kukayuh kenanganku
mudik ke hulu zaman kecilku
yang kuhabiskan di lumpur sawah
yang menyabarkanku di mata pancing.

Di atas rakit ini kurempuh kesulitan
menajamkan kalam dan berkaki ayam
menyusur denai basah ke sekolah
meninggalkan ibu di anak tangga.

Di atas rakit ini kusanggah badai
yang turun pada zaman remajaku
antara mengasah bakat menulis puisi
dengan mengasah perasaan melayani hati.

Di atas rakit ini kukayuh usiaku
mudik ke hulu hari mencari diri
kumasuki petang yang tenang matang
mencari erti kewujudanku di maya ini.

Di atas meja cengal pusaka nenek
kubentang sehelai peta enam dekad
pada peta ini berdiri gunung
pada puncak gunung berdiri aku.

T.Alias Taib
Antologi Tanah Nurani, 2009
Dewan Bahasa dan Pustaka

(a) Huraikan maksud rangkap ketiga sajak tersebut. [4 markah]
(b) Jelaskan empat gaya bahasa pengulangan dalam sajak tersebut. [8 markah]
(c) Cipta sebuah sajak yang bertemakan pengorbanan. Sajak tersebut hendaklah
antara 12 hingga 15 baris . [8 markah]

CONTOH ITEM PUISI TRADISIONAL

Baca gurindam di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Gurindam Beberapa Petua Hidup

Orang malas jatuh sengsara,
Orang rajin banyak saudara.

Barang siapa mungkir janji,
Namanya tentu menjadi keji.

Kalau diri kena angkara,
Turutlah susah sanak saudara.

Segala maksiat ada di dunia,
Ikhtiarkan diri menjauhi dia.

Hukuman bagi orang berdosa,
Dengan tiada memandang bangsa.

Orang perempuan manusia juga,
Kehormatan dirinya wajib dijaga.

Kalau tiada emas di pinggang,
Sanak saudara menjadi renggang.

Ada wang badan tak sihat,
Tidak bernikmat apa dibuat.

Jika diturut kehendak hati,
Kelak boleh menjadi mati.

Kunci hati ialah iman,
Kepada kelakuan jadi pedoman

Kalung Bunga, 2008
Dewan Bahasa dan Pustaka

(a) Buktikan puisi tersebut ialah gurindam. [6 markah]
(b) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam puisi tersebut. [6 markah]
(c) Cipta empat rangkap gurindam bertemakan kepentingan menuntut ilmu.
[8 markah]

CONTOH ITEM PROSA TRADISIONAL

Berdasarkan Sastera Panji dalam Antologi Nilai insan:

(a) Jelaskan tiga ciri sastera panji dalam prosa tradisional tersebut. [6 markah]
(b) Sang Nata merupakan seorang watak yang mempunyai nilai positif.
Huraikan tiga nilai terpuji yang ada pada watak Sang Nata. [6 markah]

CONTOH 2

“ Hai anakku, sekali-kali tidak bonda suka engkau beristerikan
Ken Tambohan itu! Ia itu anak celaka dan anak jarahan. Mengapakah
anakku mengambilnya buat isteri?”
“Hai Ken Tambohan! Jika kuturut hatiku, sekarang juga kau
kujadikan abu!

Berdasarkan petikan, Permaisuri merupakan watak antagonis.
Sarankan dua perwatakan yang sepatutnya ada pada Permaisuri. [8 markah]

CONTOH ITEM CERPEN

CONTOH 1

Berdasarkan Cerpen Bukit Emas karya A. Muhfidah Hanum;
(a) Huraikan satu persoalan. [4 markah]
(b) Jelaskan empat perwatakan Sahat. [8 markah]
(c) Berdasarkan keseluruhan cerpen tersebut, hasilkan sebuah karya adaptasi dalam bentuk sajak.
Sajak anda hendaklah antara 12 hingga 15 baris. [8 markah]

CONTOH 2

Berdasarkan Cerpen Air Mata Dalang karya Rahimidin Zahari;
(a) Huraikan dua latar tempat. [4 markah]
(b) Huraikan dua unsur keagamaan. [8 markah]
(c) Jelaskan dua keperibadian unggul pada watak Pak Yasok yang dapat membentuk jati diri seseorang. [8 markah]

CONTOH ITEM DRAMA

CONTOH 1

Berdasarkan drama Anna karya Kemala:

(a) Huraikan dua pengajaran. [4 markah]
(b) Jelaskan dua isu masyarakat. [8 markah]

ANNA: Ya, selepas ini hendaknya hati saya akan tenang. Saya harap
doktor akan berjaya mengubat mata ibu Zaki. Mungkinkah dia dapat
melihat kembali?
DR. CHAN: Terima kasih. Terima kasih. Sama-samalah kita doakan,
hendaknya Mak Munah akan melihat semula. Minggu depan saya
akan melakukan operation.
Dipetik daripada drama Anna karya Kemala
(c) Berdasarkan kreativiti anda, sambungkan dialog tersebut supaya menjadi skrip drama yang mengandungi tidak kurang daripada enam dialog. [8 markah

CONTOH 2

Berdasarkan drama Mat Piah dan Mr Blackway karya Mahizan Husain:
(a) Jelaskan dua citra masyarakat yang terdapat dalam drama tersebut. [4 markah]
(b) Jelaskan dua unsur patriotisme yang ada pada watak Mat Piah. [8 markah]
(c) Adaptasi drama tersebut dalam bentuk cerpen yang memaparkan konflik antara Mat Piah dan Mr. Blackway apabila Mat Piah mengetahui bahawa Inggeris telah merampas Pulau Pinang dengan cara tipu helah.

Panjang cerpen tersebut hendaklah antara 100 hingga 120 patah perkataan.
[8 markah]

CONTOH ITEM NOVEL

Berdasarkan novel Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan Sasterawan Negara:
(a) Jelaskan tiga nilai murni yang terdapat dalam novel tersebut. [6 markah]
(b) Jelaskan tiga ciri kepemimpinan Presiden [6 markah]

Sabtu tiba. Tengah hari ini para tetangganya mula menolong mengatur kerusi meja.
Setiap meja beralaskan kain putih, cukup degan piring, pinggan, mangkuk sup, pisau dan garfu ... .

(c) Berdasarkan kreativiti anda, sambung petikan novel tersebut supaya menjadi sebuah cerita yang menarik yang bertemakan kerjasama dalam kalangan masyarakat.
Panjang cerita hendaklah antara 80 hingga 100 patah perkataan. [8 markah]

sumber : Buku Format SPM 2021 2216 Kesusasteraan Melayu Komunikatif




sila download format pdf







Comments