24 Sept 2020

bayang

 BAYANG

aku tak berjanji menjadi bayang
ketika panas meninggi
barangkali akan ada lapis awan
akan ada redup mentari
lebih bermakna dari seribu bayang
dan kau terasa sukar
membuat pilihan
begitu dalam waktu
ada yang menambat kuat
batin dan kalbu



22 Sept 2020

begitu kau pergi


 



BEGITU KAU PERGI


segalanya bakal termuat 

dalam kapal kenangan

helai-helai waktu yang luruh

dan aku tak lagi berada di situ

bukan menyungguhkan perpisahan

tetapi biarlah sebelum segalanya tiba

aku ingin bermohon setulusnya darimu

kusedari, akan ada guris rasa

dan calar jiwa dari segenap lakuku

atau tutur dan tingkah

begitu berbekas dan tidak pula kausebutkan

tetapi aku mengerti

pertemuan akan tertanda dengan tintanya

lakaran kecil bahagia

atau guris-guris pedih ngilu

kalau luka aku tak mampu menyembuhkan

kalau bahagia aku tak mampu meneruskan

maafkanlah khilaf dan salah

menjadi tanda sebaris pertemuan

muram dan memurungkan waktumu

janganlah pada waktu aku tak mampu melafazkan

kata maaf ini lagi

terulang sakit itu di kelopak sukmamu

aku tak mampu membawanya

jauh ke dalam kurungan kenangan

 

jangan menangis

kalau terasa pemergian ini ketiadaan

bukankah pada detik kita bertemu

sudah tertulis pula pamitan

kita tak bisa menjaring waktu

dan menatapnya kembali pada detik yang kita mahu

persis sungai mengalir pergi

kitapun akan begitu

catatan yang sangat indah (Bahagian 8)

 CATATAN YANG SANGAT INDAH (Bahagian 8)

"Hai Raja Mambang Molek ingat-ingat inilah gayung anak piatu jikalau disambut kena dua jikalau tiada disambut kena satu"
Tuanku Malim Deman memarangkan Raja Mambang Molek dan disambut oleh Raja Mambang Molek. Pertama kena di leher dan kedua kena dipinggang. Putuslah kedua-duanya akibat tetakan tadi.
Tapi Raja Mambang Molek tidak merasa apa-apa kle atas badannya dan masih berharap untuk memperisterikan Puteri Bongsu. Mambang Molek meminta diparang sekali lagi tetapi Tuanku Malim Deman menolak dan menyuruh Raja Mambang Molek bersegera menemui Tuan Puteri Bongsu.
Sebaik sahaja Mambang Molek menggerakkan dirinya kepalanya gugur ke bumi serta tubuhnya terpenggal dua. Rebahlah Mambang Molek di tengah gelanggang dan tidak bernafas lagi.
Saudara Mambang Molek, Mambang Indah Suara dan Mambang Gempita Sakti menerpa ke arah Tuanku Malim Deman. Berlaku pertarungan dan Tuanku Malim Deman melompat dengabn pantas dan memerangkan kedua-dua saudara Mambang Molek dengan pedang jenawi jantannya.
Mayat ketiga-tiga yang terkorban diambil oleh menteri dan ditanamkan di negeri asal mereka.
Bala tentera Raja Mambang Molek berpuluh ribu mengepung Tuanku Malim Deman. Berkat keramat wali Allah tuan sayid panjang janggut tiada satu pun senjata itu kena pada tubuh baginda. Sebaliknya rakyat Raja Mambang Molek mati akibat bertikam sesama sendiri..





Pahlawan Negara Awang Raweng

Awang Raweng diberi penghormatan Pengebumian Negeri esok
oleh Melvin Joni


KUCHING: Jasad mendiang pahlawan negara, Datuk (Sarjan) Awang Raweng, diberi penghormatan "Pengebumian Negeri" apabila disemadikan di Makam Pahlawan di sini, jam 11 pagi esok.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, berkata jasad mendiang kini ditempatkan di Dewan Suarah Kuching, untuk penghormatan terakhir oleh kenamaan dan orang awam.

Beliau berkata, jasad mendiang dibawa dari kediamannya di Sri Aman pagi tadi dan tiba di Dewan Suarah Kuching sekitar jam 12 tengah hari.

"Ini adalah penghormatan yang diberi oleh Kerajaan Sarawak mengikut peraturan pengebumian negeri dan protokol ketenteraan," katanya ketika hadir menyambut ketibaan jasad mendiang Awang di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang, pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan veteran tentera.

Mendiang Awang Raweng meninggal dunia pada usia 104 tahun, jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan uzur.

Beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross daripada Kerajaan British dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari lahir Ratu Elizabeth II.

Selain pingat George Cross, beliau turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953

Malah, beliau juga dianugerahkan Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015

Mendiang yang tiga kali berkahwin, dikurniakan sembilan orang anak.
Hasil perkahwinan pertamanya dengan Jinap Minggu, dikurniakan seorang anak, Maling, yang kini berusia 72 tahun. Dua lagi anaknya hasil perkahwinan kedua dengan Ipah Mawing ialah Doris, 63, dan Punai (meninggal).

Perkahwinan terakhirnya bersama Sema Nuli, dikurniakan enam anak iaitu Menaul, 60, Kenyalang (meninggal dunia dua tahun lalu), Douglas, 53; Panggau, 52; Duke (meninggal) dan Lily, 50.

Mendiang mempunyai 28 orang cucu, 31 orang cicit dan seorang wit.



bharian



6 Sept 2020

begitu kau pergi

 

BEGITU KAU PERGI


segalanya bakal termuat 

dalam kapal kenangan

helai-helai waktu yang luruh

dan aku tak lagi berada di situ

bukan menyungguhkan perpisahan

tetapi biarlah sebelum segalanya tiba

aku ingin bermohon setulusnya darimu

kusedari, akan ada guris rasa

dan calar jiwa dari segenap lakuku

atau tutur dan tingkah

begitu berbekas dan tidak pula kausebutkan

tetapi aku mengerti

pertemuan akan tertanda dengan tintanya

lakaran kecil bahagia

atau guris-guris pedih ngilu

kalau luka aku tak mampu menyembuhkan

kalau bahagia aku tak mampu meneruskan

maafkanlah khilaf dan salah

menjadi tanda sebaris pertemuan

muram dan memurungkan waktumu

janganlah pada waktu aku tak mampu melafazkan

kata maaf ini lagi

terulang sakit itu di kelopak sukmamu

aku tak mampu membawanya

jauh ke dalam kurungan kenangan

 

jangan menangis

kalau terasa pemergian ini ketiadaan

bukankah pada detik kita bertemu

sudah tertulis pula pamitan

kita tak bisa menjaring waktu

dan menatapnya kembali pada detik yang kita mahu

persis sungai mengalir pergi

kitapun akan begitu






5 Sept 2020

PERJALANAN

 PERJALANAN

perjalanan panjang
jalan jauh merempuh
tak akan ada keluh
memijak tanah bukan untuk berlabuh
tapi memeta arah dan gerak jarak
bukan mengemudi menebar sauh
tapi menggerakkan layar meluncur jauh
ombak dan badai adalah permainan
dalam perjalanan panjang



4 Sept 2020

Masjid Kapitan Keling

 WAKAF adalah satu amalan yang dianjurkan di dalam Islam serta dipraktikkan sejak daripada zaman Baginda Rasulullah SAW. Ia turut digalakkan dalam al-Quran dan al-Sunnah agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Allah SWT menyebut betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang membelanjakan harta untuk mendapat keredaan-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. ( al-Baqarah: 261)

Masjid Kapitan Keling yang kini memasuki usia 219 tahun menjadi bukti bagaimana indahnya amalan mewakafkan harta demi kebaikan ummah.

Di Masjid Kapitan Keling yang merupakan antara masjid tertua di negeri ini, terselit kisah bagaimana seorang pedagang India Muslim yang kaya mewakafkan dan memanfaatkan hartanya bagi tujuan pengembangan syiar Islam di negeri ini.

Masjid dengan ciri binaan ‘Moorish’ itu diasaskan dan diwakafkan oleh seorang pedagang Islam daripada India Selatan, Cauder Mohudeen Maicar.

Masjid Kapitan Keling dibangunkan pada 1801 ketika Pulau Pinang menjadi lokasi tumpuan bagi masyarakat India Muslim menjalankan aktiviti perniagaan serta perdagangan rempah ratus, tekstil, kopi dan sebagainya.

Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mastan memberitahu, Cauder Mohudeen atau juga dikenali sebagai Kapitan Keling merupakan pedagang Islam yang kaya raya serta merupakan seorang kapten serta pemilik kapal dagang ketika awal 1800-an.

Meera Mydin menunjukkan ruang meletakkan pelita yang masih dikekalkan di dalam masjid.

 

“Pulau Pinang menjadi lokasi tumpuan perdagangan rempah pada masa itu dan Cauder Mohudeen merupakan antara pedagang Islam yang singgah berdagang di Pulau Pinang.

“Tempoh persinggahan yang lama memakan masa dua ke tiga bulan membuatkan Cauder Mohudeen dan masyarakat India Muslim yang berdagang memikirkan bahawa perlunya dibina sebuah masjid di negeri ini,” katanya.

Berpengalaman 20 tahun sebagai Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Meera Mydin berkata, pada awal pembinaannya, masjid itu hanyalah sebuah pondok yang berdindingkan papan dan atap nipah malah sumber pencahayaan untuk menerangi ruang solat ketika Subuh, Maghrib dan Isyak adalah menggunakan pelita.

Katanya, selepas itu, dengan perkembangan syiar Islam semakin ramai masyarakat Islam termasuk masyarakat India Muslim mengimarahkan masjid berkenaan yang memerlukan ruang lebih besar bagi menampung keperluan jemaah.

“Untuk membesarkan ruang masjid Cauder Mohudeen dilantik oleh masyarakat Islam yang ada ketika itu seperti pedagang Acheh dan Arab untuk berunding dengan penjajah British yang menjajah Pulau Pinang ketika waktu itu.

“Akhirnya setelah perundingan dijalankan British bersetuju untuk memberi kira-kira 4.2 hektar tanah berhampiran kawasan pelabuhan untuk tujuan pembangunan masjid,” katanya.

Tambah beliau, Cauder Mohudeen kemudiannya menguruskan pembinaan masjid dengan membawa pekerja-pekerja dari India Selatan.

“Malah dia juga menggunakan wang, kudrat dan tenaganya sendiri untuk memastikan masjid ini dapat disiapkan. Masjid ini juga melalui fasa-fasa pembesaran serta penambahbaikan secara berperingkat di mana menara masjid ini dibina pada 1917.

“Kubah masjid ini pernah dibaiki sekitar tahun 1995 hingga 2010 dan sehingga kini masjid ini masih lagi memerlukan penjagaan yang rapi bagi menjaga nilai-nilai sejarah yang ada di dalamnya,” katanya.

Meera Mydin menjelaskan terdapat juga beberapa barangan peninggalan sejarah seperti perigi, meriam serta makam Imam pertama masjid iaitu Imam Abu Hanifah dikekalkan sebagai bahan sejarah yang dapat dilawati oleh masyarakat.

Beliau menambah, keistimewaan Masjid Kapitan Keling ini juga menjadi bukti betapa konsep wakaf dan sedekah yang menjadi amalan pedagang Islam terdahulu membawa kebaikan sehingga ke zaman ini.

“Tanah seluas 1.2 hektar di sekitar Masjid Kapitan Keling ini juga diwakafkan hasil sumbangan serta sedekah pedagang terdahulu.

“Sumber yang diperoleh hasil daripada tanah wakaf Masjid Kapitan Keling yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam negeri ini disalurkan kembali kepada masjid-masjid yang tidak mempunyai dana mereka yang tersendiri.

“Pedagang Islam dahulu yang kaya-raya tidak melupakan agama ketika dikurniakan rezeki oleh Allah, malah mewakafkan pula harta untuk pembangunan ummah,” katanya.

Meera Mydin menambah, generasi masa kini perlu mengambil iktibar daripada kemuliaan hati pedagang-pedagang Islam seperti Cauder Mohudeen yang mewakafkan harta untuk mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

“Masjid Kapitan Keling yang berdiri kukuh sehingga kini adalah hasil daripada wakaf dan sedekah, bayangkan pahala yang terus mengalir kepada mereka yang telah mewakafkan harta mereka kepada Allah,” katanya.


utusan

CATATAN YANG SANGAT INDAH (Bahagian 7)

 CATATAN YANG SANGAT INDAH (Bahagian 7)

Ditikam ke kiri ia ke kanan
Ditikam ke kanan ia ke kiri
Ditikam ke hadapan ia ke belakang
Ditikam ke aatas ia menyusup ke bawah
Ditikam ke bawah ia melompat ke atas

Demikianlah tangkasnya Raja Mambang Molek menangis tikaman Tuanku Malim Deman menggunakan keris jalak jantan berkerawang pamur, di pangkal hujungnya kalimat Arab subhanallah.

Pertarungan berlaku apabila Raja Mambang Molek menyedari siapa yang menyabung ayam dengannya

"Hai Raja Mambang Molek engkau bertanyakan nama aku? Maka akulah yang bernama Tuanku Malim Deman putera Tuanku Gombang Malim Dewa cucu Tuanku Malim Perman raja di dunia yang memerintahkan negeri Bandar Muar. Sebab aku ke mari mengikut isteri aku Puteri Bongsu yang hendak dikahwinkan dengan engaku ini"

Tuanku Malim Deman amat murka dengan kebolehan raja Mambang Molek mengelak tikaman kerisnya. Baginda menyarungkan kerisnya dan menghunus pedang jenawi jantan dari ikat pinggangnya.






1 Sept 2020

CATATAN YANG SANGAT INDAH(Bahagian 6)

CATATAN YANG SANGAT INDAH(Bahagian 6)

Pakaian Tuanku Malim Deman digambarkan :

Seluar intan dikarang
Karangan Husin dan Hasan
Bajunya beledu tengkuk kuning
Kain cindai berambu kuning
Selempanmg kain Bugis Kembayat
Kerisnya jalak jantan
Berkerawang di pangkalnya
Di hujung subhana Allah,
Tengkolok kampuh pelangi
Bukan pelangi zaman sekarang
Pelangi zaman dahulu

Kemudian Tuanku Malim Deman bermohon untuk melihat orang manyabung ayam. Baginda meminta pinjam ayam biring milik Nenek Kebayan. Nenek Kebayan menangkap ayam itu dan memberikan kepada Tuanku Malim Deman.

Sebelum melangkah pergi Tuanku Malim Deman berkata "Auhai nenek, tinggallah nenek. Maka langkah beta ini langkah anak yatim berjalan seorang". Nenek Kebayan menangis mendengar kata-kata itu dan berdoa agar tuanku selamat.

Dalam perjalanan ke gelanggang sabung orang ramai termasuk raja dan rakyat jelata merasa hairan dengan cahaya wajah Tunaku Malim Deman yang gilang gemilang. Wajahnya dilihat persis matahari baharu terbit pagi daripada mercu gunung..

Tuanku Malim Deman kemudian berseru agar orang besar-besar dan juara sekalian menyabung ayam miliknya.

Seruan itu didengar Raja Mambang Molek dan terus menemui Tuanku Malim Deman dan sanggup untuk menyambung ayam borek emasnya dengan ayam milik Tuanku Malim Deman.

Ayam sabung kemudiannya dibulang oleh juara dengan dibubuh taji bentuk alang yang sangat bisa manakala ayam Tuanku Malim Deman membulang ayamnya taji golok. juga tajam dan bisa.

Raja Mambang Molek sebelu melepaskan ayam ke gelanggang maka diserulah ayamnya itu

Mahligai emas kemuncak intan
Tempat semayam seorang puteri
Tuahnya besar ayam tambatan
Dapaty kemenangan tujuh negeri

Tuanku Malim Deman turut menyerukan ayamnya

Lancang kuning bertiang tiga
Meriamnya tujuh di haluan
Mahligai emas baiklah juga
Di gelanggang jangan kemaluan

Masing-masing melepaskan ayam bersabung