Masjid Kapitan Keling

 WAKAF adalah satu amalan yang dianjurkan di dalam Islam serta dipraktikkan sejak daripada zaman Baginda Rasulullah SAW. Ia turut digalakkan dalam al-Quran dan al-Sunnah agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Allah SWT menyebut betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang membelanjakan harta untuk mendapat keredaan-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. ( al-Baqarah: 261)

Masjid Kapitan Keling yang kini memasuki usia 219 tahun menjadi bukti bagaimana indahnya amalan mewakafkan harta demi kebaikan ummah.

Di Masjid Kapitan Keling yang merupakan antara masjid tertua di negeri ini, terselit kisah bagaimana seorang pedagang India Muslim yang kaya mewakafkan dan memanfaatkan hartanya bagi tujuan pengembangan syiar Islam di negeri ini.

Masjid dengan ciri binaan ‘Moorish’ itu diasaskan dan diwakafkan oleh seorang pedagang Islam daripada India Selatan, Cauder Mohudeen Maicar.

Masjid Kapitan Keling dibangunkan pada 1801 ketika Pulau Pinang menjadi lokasi tumpuan bagi masyarakat India Muslim menjalankan aktiviti perniagaan serta perdagangan rempah ratus, tekstil, kopi dan sebagainya.

Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Datuk Meera Mydin Mastan memberitahu, Cauder Mohudeen atau juga dikenali sebagai Kapitan Keling merupakan pedagang Islam yang kaya raya serta merupakan seorang kapten serta pemilik kapal dagang ketika awal 1800-an.

Meera Mydin menunjukkan ruang meletakkan pelita yang masih dikekalkan di dalam masjid.

 

“Pulau Pinang menjadi lokasi tumpuan perdagangan rempah pada masa itu dan Cauder Mohudeen merupakan antara pedagang Islam yang singgah berdagang di Pulau Pinang.

“Tempoh persinggahan yang lama memakan masa dua ke tiga bulan membuatkan Cauder Mohudeen dan masyarakat India Muslim yang berdagang memikirkan bahawa perlunya dibina sebuah masjid di negeri ini,” katanya.

Berpengalaman 20 tahun sebagai Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Keling, Meera Mydin berkata, pada awal pembinaannya, masjid itu hanyalah sebuah pondok yang berdindingkan papan dan atap nipah malah sumber pencahayaan untuk menerangi ruang solat ketika Subuh, Maghrib dan Isyak adalah menggunakan pelita.

Katanya, selepas itu, dengan perkembangan syiar Islam semakin ramai masyarakat Islam termasuk masyarakat India Muslim mengimarahkan masjid berkenaan yang memerlukan ruang lebih besar bagi menampung keperluan jemaah.

“Untuk membesarkan ruang masjid Cauder Mohudeen dilantik oleh masyarakat Islam yang ada ketika itu seperti pedagang Acheh dan Arab untuk berunding dengan penjajah British yang menjajah Pulau Pinang ketika waktu itu.

“Akhirnya setelah perundingan dijalankan British bersetuju untuk memberi kira-kira 4.2 hektar tanah berhampiran kawasan pelabuhan untuk tujuan pembangunan masjid,” katanya.

Tambah beliau, Cauder Mohudeen kemudiannya menguruskan pembinaan masjid dengan membawa pekerja-pekerja dari India Selatan.

“Malah dia juga menggunakan wang, kudrat dan tenaganya sendiri untuk memastikan masjid ini dapat disiapkan. Masjid ini juga melalui fasa-fasa pembesaran serta penambahbaikan secara berperingkat di mana menara masjid ini dibina pada 1917.

“Kubah masjid ini pernah dibaiki sekitar tahun 1995 hingga 2010 dan sehingga kini masjid ini masih lagi memerlukan penjagaan yang rapi bagi menjaga nilai-nilai sejarah yang ada di dalamnya,” katanya.

Meera Mydin menjelaskan terdapat juga beberapa barangan peninggalan sejarah seperti perigi, meriam serta makam Imam pertama masjid iaitu Imam Abu Hanifah dikekalkan sebagai bahan sejarah yang dapat dilawati oleh masyarakat.

Beliau menambah, keistimewaan Masjid Kapitan Keling ini juga menjadi bukti betapa konsep wakaf dan sedekah yang menjadi amalan pedagang Islam terdahulu membawa kebaikan sehingga ke zaman ini.

“Tanah seluas 1.2 hektar di sekitar Masjid Kapitan Keling ini juga diwakafkan hasil sumbangan serta sedekah pedagang terdahulu.

“Sumber yang diperoleh hasil daripada tanah wakaf Masjid Kapitan Keling yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam negeri ini disalurkan kembali kepada masjid-masjid yang tidak mempunyai dana mereka yang tersendiri.

“Pedagang Islam dahulu yang kaya-raya tidak melupakan agama ketika dikurniakan rezeki oleh Allah, malah mewakafkan pula harta untuk pembangunan ummah,” katanya.

Meera Mydin menambah, generasi masa kini perlu mengambil iktibar daripada kemuliaan hati pedagang-pedagang Islam seperti Cauder Mohudeen yang mewakafkan harta untuk mengembangkan syiar Islam di negeri ini.

“Masjid Kapitan Keling yang berdiri kukuh sehingga kini adalah hasil daripada wakaf dan sedekah, bayangkan pahala yang terus mengalir kepada mereka yang telah mewakafkan harta mereka kepada Allah,” katanya.


utusan

Comments