Pahlawan Negara Awang Raweng

Awang Raweng diberi penghormatan Pengebumian Negeri esok
oleh Melvin Joni


KUCHING: Jasad mendiang pahlawan negara, Datuk (Sarjan) Awang Raweng, diberi penghormatan "Pengebumian Negeri" apabila disemadikan di Makam Pahlawan di sini, jam 11 pagi esok.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, berkata jasad mendiang kini ditempatkan di Dewan Suarah Kuching, untuk penghormatan terakhir oleh kenamaan dan orang awam.

Beliau berkata, jasad mendiang dibawa dari kediamannya di Sri Aman pagi tadi dan tiba di Dewan Suarah Kuching sekitar jam 12 tengah hari.

"Ini adalah penghormatan yang diberi oleh Kerajaan Sarawak mengikut peraturan pengebumian negeri dan protokol ketenteraan," katanya ketika hadir menyambut ketibaan jasad mendiang Awang di Dewan Suarah di sini, hari ini.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dan bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Alfred Jabu Numpang, pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan veteran tentera.

Mendiang Awang Raweng meninggal dunia pada usia 104 tahun, jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan uzur.

Beliau adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross daripada Kerajaan British dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari lahir Ratu Elizabeth II.

Selain pingat George Cross, beliau turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953

Malah, beliau juga dianugerahkan Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015

Mendiang yang tiga kali berkahwin, dikurniakan sembilan orang anak.
Hasil perkahwinan pertamanya dengan Jinap Minggu, dikurniakan seorang anak, Maling, yang kini berusia 72 tahun. Dua lagi anaknya hasil perkahwinan kedua dengan Ipah Mawing ialah Doris, 63, dan Punai (meninggal).

Perkahwinan terakhirnya bersama Sema Nuli, dikurniakan enam anak iaitu Menaul, 60, Kenyalang (meninggal dunia dua tahun lalu), Douglas, 53; Panggau, 52; Duke (meninggal) dan Lily, 50.

Mendiang mempunyai 28 orang cucu, 31 orang cicit dan seorang wit.



bharian



Comments