cakap filem

Apabila menonton Daulat, minda saya segera membandingkannya dengan siri drama House of Cards (HOC) yang disiarkan di Netflix. Kenapa?

Sebab HOC menarik sebagai sebuah cerita politik yang realpolitik yang bersifat strategi politik dan kekuasaan. Strategi itu ditunjukkan melalui tindakan, bukannya sembang teori depan muka penonton. Analoginya kalau nak main catur, ya, kita tengok catur benar-benar dimainkan secara profesional tanpa perlu pemainnya berbisik kepada rakan sebelah, "Weh, aku nak makan Queen dia ni. Jadi aku kena gerakkan Knight aku ke sini untuk umpan Castle dia gerak ke sini, lepas tu Bishop aku akan makan Queen dia melalui sini".

Pemain catur sebenar hanya akan duduk diam tersenyum sinis. Semua benda hanya dalam kepala dia saja. Masing-masing akan terus berlagak 'cool' dan menyorokkan emosi mereka. Dalam permainan catur, semua tahu dah matlamat utama adalah untuk 'checkmate' King. Tapi bagaimana nak 'checkmate', tiada siapa akan tahu melainkan dirinya sendiri (dan Tuhannya; [barulah ada gaya Islamik sikit bila sebut begini]). Masing-masing menjadi manusia yang berwatak sinis dan licik. Siapa yang paling tangkas dan licik sahajalah yang akan memenangi permainan catur itu.

Jadi, dalam HOC musim pertama sebagai contoh, kita sudah tahu yang Frank Underwood matlamat dia adalah hendak jadi Secretary of State. Tapi sebab Presiden yang dia naikkan tu langgar janji dan dia tidak dapat menjadi Secretary of State, dia tidak gelabah dulu. Dia susun strategi untuk jatuhkan SOS semasa dan naikkan proksi dia jadi SOS, sebab matlamat terbaru dia ialah nak jadi Vice President pula.

Kita cuma tahu matlamat dia sahaja. Lepas tu kita akan menikmati cerita dengan melihat bagaimana Frank Underwood terus tenang susun catur dia dan pergunakan siapa untuk dia capai matlamat dia. Dia tidak perlu beritahu kepada sesiapa pun, "Untuk capai matlamat aku, kita perlu buat ini, dan ini, dan ini". Kita sebagai penonton tidak akan tahu pun apa yang ada dalam kepala Frank, melainkan menikmati bagaimana dia susun percaturan dia dengan apa cara sekalipun; sama ada baik ataupun jahat.

Ahli strategi politik sebenar tidak akan cakap tentang strategi penuh dia kepada sesiapa pun. Sebab, dalam dunia strategi, sekali strategi telah mula diberitahu walaupun kepada orang paling rapat sekalipun, itulah petanda awal bahawa strategi dia telah gagal. Ahli strategi akan memandang semua orang sebagai bidak catur, dan dia akan gerakkan setiap bidak dengan berhati-hati agar gabungan tindakan daripada semua bidak sebenarnya adalah sedang membantu dia mencapai matlamatnya tanpa mereka sedari.

Jadi, untuk kru telefilem Daulat, sila ambil maklum. Kekurangan telemovie Daulat bermula daripada awal cerita lagi, iaitu apabila Suri memberitahu penonton melalui perbincangan dengan Dato Seri Hassan tentang apakah strategi dia untuk menawan kerajaan semula pada PRU mendatang.

Walaupun penonton sekadar berada di luar 'scene' dan tidak boleh bagi impak pun kepada pergerakan cerita, tapi apabila watak lakonan dalam cerita itu sendiri sudah bocorkan rahsia strategi politiknya kepada penonton, maka ia samalah seperti 'spoiler' daripada telemovie itu sendiri kepada penonton daripada awal. Penonton yang faham ilmu strategi sudah dapat agak dah serba sedikit perjalanan cerita dan apa tindakan yang akan dibuat.

Jadi, mana penonton tak marah kalau 'spoiler' tu datangnya daripada pelakon telemovie itu sendiri. Baru nak tengok, 'spoiler' sudah diberi percuma. Kekurangan cerita ini bukannya pada pelakonnya, atau bajetnya yang sedikit, ataupun masa 'shooting' yang singkat. Itu semua adalah aspek teknikal yang boleh dimaafkan dan tidak kisah sangat pun.

Tapi kekurangannya adalah ada pada plot cerita, yang bermula daripada penulisan skrip filem, yang sudah tentu tidak ada kaitan dengan soal masa dan bajet (kecuali kalau penulis skrip buat kerja sambil lewa sebab dapat bayaran murah, yang saya rasa adalah mustahil kerana rasanya produksi Daulat adalah daripada gabungan rakan-rakan kru yang bekerjasama mencipta telefilem ini).

Untuk sebuah telefilem politikal sebegitu, pihak yang perlu dirunding bukannya sekadar dengan pengarah filem dan penulis skrip berwibawa, tetapi pihak paling utama perlu dirunding ialah dengan ahli strategi politik yang faham betul realpolitik itu bagaimana. Setidaknya dia dapat memberi nasihat tentang 'mood' realiti politik sebenar dan memahamkan apa maksud Machiavelli sebenar tanpa perlu petik kata-katanya atau tayang gambarnya besar-besar dalam cerita. Dan setidaknya, kalau nasihat itu dapat didengar dengan baik tanpa menolaknya mentah-mentah, pasti ada kelainan sedikit pada Daulat berbanding apa yang telah dilahirkan.

Ini pandangan dan cadangan saya. Jangan kata tidak sokong industri filem Melayu pula atau keluar kata-kata, "Dah pandai sangat, buatlah filem sendiri." Basi dah ayat macam tu. Zaman sekarang adalah zaman penonton filem mula kritis dengan hasil filem yang mereka tonton. Kalau anda nak terus berada di takuk lama yang percaya bahawa menyokong itu harus memuji, silakanlah. Bermakna industri perfileman kita akan terus ketinggalan di belakanglah kalau begitu.


fb ahmad muziru idham

Comments