Sasterawan Negara ke-14 Dr Siti Zainon Ismail




Buka akses luas bahan sastera kepada pelajar - Siti Zainon

KUALA LUMPUR: Golongan pelajar perlu diberi peluang untuk mendapat lebih banyak akses kepada bahan sastera, sejajar usaha membudayakan bahan sastera dalam kalangan anak muda.



Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Dr Siti Zainon Ismail, berkata selama ini pelajar kurang menerima bahan sastera negara yang menjadi satu sumber diperlukan oleh generasi muda yang bakal memimpin.

“Kita perlukan penerus (pewaris) generasi supaya generasi kita yang bakal menjadi pemimpin tahu apa maknanya susastera, iaitu sastera yang indah, penuh adab dan penuh akal fikiran.

“Ia untuk bangsa dan negara kita yang hargai. Tradisi seni sastera tidak bererti ia kuno kerana ada sejarah dan ilmu di sebalik setiap sastera yang boleh dikaji masyarakat,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perancangannya dalam dunia kesusasteraan.

Antara karya nukilan Siti Zainon adalah Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi (DBP 1986), Percikan Seni (DBP 1989) dan Alam Puisi (DBP 1990), Kasih Bonda dan Kampung Paya Kami terbitan DBP 2008.

Menjadi wanita kedua meraih anugerah itu selepas Datuk Dr Zurinah Hassan, Siti Zainon menjelaskan peranan wanita penting dalam memupuk nilai positif yang terkandung dalam sesebuah karya sastera.

“Sememangnya ramai penulis wanita tetapi karya-karya mereka belum dikaji secara penuh (menyeluruh). Peranan kaum ibu umpamanya (dipaparkan) jika membeli karya Zurinah Hassan... boleh menceritakan nilai dan warisan yang terkandung dengan anak-anak.

“Ini ialah warisan... untuk moden, kita teruskan tapi harus diingat, moden tidak akan ada kalau tiada warisan kerana ia hadir di sekitar kita dan kita perlu menghargainya,” katanya yang pernah merangkul beberapa anugerah sepanjang pembabitannya dalam seni sastera.

Dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak, Siti Zainon adalah alumni Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) di Yogyakarta, Indonesia pada 1969-1974 sehingga memperoleh Sarjana Muda Seni Lukis.

Sejak 1985, beliau telah menghasilkan 20 buku kajian yang menjadi rujukan budayawan, pengkaji budaya mahupun pelajar di dalam dan luar negara. – BERNAMA

bharian



Agong sampaikan watikah Sasterawan Negara kepada Siti Zainon
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada novelis, Dr Siti Zainon Ismail pada majlis Anugerah Sastera Negara ke-14 di sini, malam ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau menerusi karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.

Katanya, Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu yang memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

“Beliau turut terbabit dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam sembah kenal majlis berkenaan malam ini.

Turut mencemar duli ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir Pengerusi, Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Mohamed Harta Shaharom.

Maszlee yang juga Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-14, berkata dalam proses keputusan untuk memilih Siti Zainon sebagai Sasterawan Negara, beliau turut menghubungi sasterawan negara lain.

Katanya, hampir semua sasterawan mengatakan Siti Zainon pilihan terbaik.

“A Samad Said mengatakan Siti Zainon kaya dengan karya menyentuh kepelbagaian budaya. Kata Prof Muhammad Salleh pula, Siti Zainon sepatutnya sudah lama bergelar Sasterawan Negara,” katanya.

Siti Zainon, 69, ialah anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur dan pernah menghasilkan karya novel (tiga); kumpulan cerpen (10); kumpulan puisi (25); antologi cerpen (tujuh) dan antologi puisi (lima).

Beliau turut menghasilkan 18 kajian ilmiah (buku); esei kajian dalam buku - bab (21) dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog (21).

Siti Zainon juga pernah menerima pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa, termasuk SEA Write Award (1989) dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) - Anugerah Tokoh Seni Budaya 2015.

bharian


Sumbangan sastera Siti Zainon melangkaui sempadan
Oleh Siti Haliza Yusop


KUALA LUMPUR: Pemilihan budayawan dan penyair, Dr Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-14, tepat berdasarkan sumbangannya menyuburkan sastera tanah air melangkaui ke luar negara.

SN, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata Siti Zainon bukan setakat membawa sastera tanah air ke Asia Tenggara, bahkan hingga Eropah, Russia dan Jepun.

“Usia kepengarangannya juga lebih lama. Bagi pemilihan tahun ini, saya yakin dan bersetuju Siti Zainon adalah calon yang layak dan tepat,” katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Semalam, Tokoh Sasterawan Perak, Malim Ghozali PK, membuat kenyataan mempertikai pengumuman Siti Zainon.

Beliau mendakwa pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) sudah dibuat ‘secara sebulat suara’ kira-kira enam bulan lalu.

Muhammad berkata, beliau yang sudah terbabit dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara lebih dari 10 kali dan atas kapasiti sebagai pengkaji, penulis dan pengkarya sastera, arif dengan proses pemilihan SN.

“Ia bukanlah sebuah anugerah untuk membuang seseorang dan menaikkan seseorang yang lain,” katanya.


Sasterawan Negara (SN), Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Mahzir Mat Isa

Siti Zainon yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 1989 menjadi pengarang wanita kedua menerima gelaran SN selepas penyair, Datuk Dr Zurinah Hassan.

Selain menghasilkan novel, cerpen dan kumpulan puisi, Siti Zainon yang juga anak kelahiran Gombak, turut menghasilkan kajian ilmiah berbentuk buku.

Enam kali memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), ketokohan Siti Zainon dalam ranah sastera tanah air turut diiktiraf di luar negara termasuk menerima Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) membabitkan Anugerah Seni Budaya 2015.

bharian


Comments