Abdul Kadir Adabi

Abdul Kadir Adabi: Pemikir Bangsa dan Budaya Ulung Kelantan
Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Sejarah dan Latar Belakang Kehidupan Abdul Kadir Adabi

SEJARAH perjuangan dan kehidupan Abdul Kadir Adabi dalam perkembangan sejarah negeri Kelantan, dunia kesusasteraan dan dunia penerbitan di Kelantan bermula menerusi perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam perkembangan sejarah Kelantan. Selain itu, perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam sejarah Kelantan, sejarah kesusasteraan dan sejarah penerbitan Kelantan telah mengangkat keunggulan Abdul Kadir Adabi sebagai “Pemikir Bangsa dan Budaya Ulung Kelantan” dan “Tokoh Kesusasteraan Tersohor Kelantan” sebelum Perang Dunia Kedua.


Foto Abdul Kadir Adabi bin Ahmad sewaktu di usia 30-an di tahun 1930-an.

Abdul Kadir Adabi dilahirkan pada 17 Ogos 1901 di Kampung Sultan Dewa, Kota Bharu, Kelantan. Ayah Abdul Kadir Adabi bernama Encik Ahmad bin Yusuf, merupakan seorang Penghulu Diraja Sultan Dewa yang berasal dari Kampung Kemubu yang terletak lebih kurang 20 batu dari Kota Bharu. Seterusnya, ibu Abdul Kadir Adabi pula bernama Che Biru binti Abu Bakar berasal dari Kampung Sultan Dewa. Jelaslah bahawa sejarah kehidupan ibu bapa Abdul Kadir Adabi dan sejarah kelahiran Abdul Kadir Adabi menunjukkan bahawa beliau telah dilahirkan dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga diraja yang tinggal di dalam Istana Diraja Kelantan. Maka, tidak hairanlah Abdul Kadir Adabi memiliki pengetahuan menyeluruh tentang selok-belok kehidupan di dalam istana, budaya, adat istiadat, sejarah perebutan kuasa dan sejarah politik dalam istana Kerajaan Kesultanan Melayu Kelantan seperti yang telah diceritakan dalam novel Melati Kota Bharu dan majalah al-Hikmah bertarikh 21 Mac 1940 (al-Hikmah, 1940: 112).


Majalah Pengasuh antara majalah terawal di Tanah Melayu yang menyiarkan pelbagai makalah Abdul Kadir Adabi.

Sejarah latar belakang pendidikan awal Abdul Kadir Adabi bermula daripada pendidikan awal yang diajarkan oleh ayahnya sendiri dan Tuan Guru Syeikh Daud Banggul, iaitu seorang ulama terkenal di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua (Mohamad Yusuf al-Yubi, 1974: 27). Selain itu, Abdul Kadir Adabi turut mendapat pendidikan awal di Madrasah Muhamadiah Majlis Agama Islam pada tahun 1917. Madrasah Muhamadiah Majlis Agama Islam merupakan institusi keilmuan yang menekankan pendidikan agama sepenuhnya. Hal ini demikian jelas terbukti menurut Nik Muhammad bin Nik Mohd Salleh dalam British and Siamese Relations with Kelantan 1900-1910, bahawa pada tahun 1907 sudah terdapat sekolah Arab yang telah dibuka bernama Madrasah al-Khairiah al-Islamiah. Tegasnya, sejarah pembukaan Madrasah al-Khairiah al-Islamiah telah diceritakan dalam majalah al-Hikmah bersempena dengan tahun keenam penerbitan rasmi majalah al-Hikmah bilangan ke-239 yang diterbitkan pada 13 April 1939.

Pendidikan formal Abdul Kadir Adabi selama tiga tahun di Madrasah Muhamadiah Majlis Agama Islam Kelantan telah bermula pada tahun 1917. Hal ini demikian kerana sistem pendidikan formal di Madrasah Muhamadiah Majlis Agama Islam Kelantan berkonsepkan sekolah madrasah majlis yang bersifat sekolah rendah yang mampu menampung para pelajar yang sudah belajar di sekolah lain (Asaad Shukri, 1969). Antara mata pelajaran yang diajarkan di Madrasah Muhamadiah Majlis Agama Islam Kelantan ialah mata pelajaran penulisan dan penterjemahan yang telah dikendalikan oleh Haji Mohamad bin Hj. Mohd. Said (Abdul Rahman Al-Ahmadi, 2004: 45). Namun begitu, tiada rekod pencapaian pelajar yang pernah menyatakan bahawa Abdul Kadir Adabi termasuk dalam senarai pelajar yang memperoleh hadiah ujian peperiksaan pada tahun 1920. Seterusnya, dalam peperiksaan selepas tahun 1920 Abdul Kadir Adabi telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik dalam Mata Pelajaran Ilmu Penulisan Madrasah Muhamadiah Majlis Agama Islam. Pencapaian terbaik Abdul Kadir Adabi dalam mata pelajaran ilmu penulisan dinilai dari segi ketajaman fikiran. Keunggulan Abdul Kadir Adabi sebagai pelajar terbaik dalam mata pelajaran ilmu penulisan diceritakan dalam makalah pertamanya bertajuk “Permintaan” yang disiarkan dalam majalah Pengasuh bertarikh 21 Julai 1921.


Antara makalah Abdul Kadir Adabi dalam majalah Kenchana.

Pengalaman awal Abdul Kadir Adabi bekerja di dalam Istana Diraja Kelantan bermula sebagai Bendahari Raja kepada Yang Teramat Mulia Tengku Sri Indra Mahkota. Hal ini demikian kerana Yang Teramat Mulia Tengku Sri Indra Mahkota begitu tertarik akan kehalusan budi bahasa yang dimiliki oleh Abdul Kadir Adabi. Pada tahun 1919, Yang Teramat Mulia Tengku Sri Indera Mahkota telah mengajak Abdul Kadir Adabi untuk mengiringi baginda ke Singapura bagi menyambut ketibaan Yang Terutama Gabenor Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baharu, iaitu Sir Lawrence Guilllemard. Perjalanan Abdul Kadir Adabi mengiringi Baginda Yang Teramat Mulia Tengku Sri Indera Mahkota ke Singapura telah diceritakan dalam majalah Pengasuh terbitan bulan Januari 1920 (Pengasuh, Januari, 1920: 21).

Perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam Sejarah Kelantan

Pada peringkat awal perjuangan kehidupan Abdul Kadir Adabi dalam dunia sejarah Kelantan telah mencetuskan satu detik hitam dalam kehidupan Abdul Kadir Adabi ketika Abdul Kadir Adabi bertugas sebagai Bendahari Diraja, beliau telah difitnah berzina dengan seorang perempuan di dalam istana yang telah menyebabkan Abdul Kadir Adabi dijatuhi hukuman. Hal ini demikian kerana hukuman berzina ketika itu merupakan hukuman yang sangat berat. Namun begitu, berkat ketangkasan ayah Abdul Kadir Adabi, beliau telah berjaya dilarikan dan disembunyikan di kampung halaman kelahiran ayahnya, iaitu di Kemubu, Kok Lanas. Tegasnya, Abdul Kadir Adabi turut disembunyikan di Gondang, Pangkal Kalung, Tok Kong dan Paloh Rawa (Mohamad Yusuf Al-Yubi Ismail, 1966).

Faktor perjalanan ke tempat persembunyian Abdul Kadir Adabi memakan masa selama berhari-hari dan berlanjutan selama dua tahun. Oleh hal yang demikian, ayah Abdul Kadir Adabi secara perlahan-lahan telah merisik dan berunding dengan pihak istana agar pihak istana dapat memaafkan kesalahan anaknya. Akhirnya, pihak istana telah membebaskan Abdul Kadir Adabi setelah Abdul Kadir Adabi dibebaskan, beliau terus menulis pelbagai makalah yang membicarakan nasib bangsa Melayu, selain mengunjungi Patani dan pelbagai daerah di Selatan Thailand pada tahun 1922 (al-Hikmah, Julai 1939: 20).

Abdul Kadir Adabi dalam Dunia Kesusasteraan dan Penerbitan di Kelantan

Perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam dunia kesusasteraan dan dunia penulisan makalah yang berkaitan dengan dunia penerbitan bermula pada tahun 1923 ketika beliau bekerja sebagai penolong penulis sehingga digelar sebagai “Petition Writer” kepada Mat Saman bin Jambul, iaitu bapa saudara Abdul Kadir Adabi. Selain itu, bapa saudara Abdul Kadir Adabi terkenal dengan gelaran “Tok Loyar” dalam dialek Kelantan kerana amat bijak dalam urusan menulis surat-surat rayuan dan petisyen kepada pihak kerajaan. Malah, Abdul Kadir Adabi turut menggunakan peluang bekerja sebagai penolong penulis untuk terus menulis pelbagai makalah dalam majalah Pengasuh dan majalah yang diterbitkan di luar negeri Kelantan seperti Idaran Zaman dan Saudara (Haji Hussein Latiffi Yahya, 1939).


Majalah Pengasuh antara majalah terawal di Tanah Melayu yang menyiarkan pelbagai makalah Abdul Kadir Adabi.

Sebelum era Perang Dunia Kedua, Abdul Kadir Adabi gemar membaca akhbar dan majalah dari Indonesia yang telah diterbitkan di Jakarta, Bandung, Surabaya dan Medan. Selain itu, minat Abdul Kadir Adabi membaca pelbagai akhbar dan majalah dari Indonesia telah mempengaruhi corak penulisan makalah Abdul Kadir Adabi. Hal ini demikian jelas terbukti menerusi makalah pertama tulisan Abdul Kadir Adabi yang bertajuk “Permintaan” yang disiarkan dalam majalah Pengasuh bertarikh 21 Julai 1921 telah menimbulkan persoalan tentang dunia penulisan dan kemajuan berdasarkan persoalan-persoalan kajian seperti yang berikut:

1. Apakah kewajipan ke atas setiap penulis yang menulis makalah?
2. Apakah asas bagi setiap kemajuan?
3. Benarkah bahawa kemuliaan seseorang tersebut boleh meluluskan apa
jua kehendaknya?
(Pengasuh, 21 Julai 1921: 3)

Pada keseluruhannya, tiga persoalan kajian penting dalam bidang penulisan makalah yang diajukan oleh Abdul Kadir Adabi telah mendapat perhatian dan jawapan daripada Hj. Mohamad Said Gunung berdasarkan petikan yang berikut:

“Bahawa kewajipan bagi setiap orang yang bermakalah itu ialah mengisi dalam setiap perkataannya dengan ajaran al-Quran, hadis dan teladan daripada kisah kehidupan para sahabat, hukama dan attiba dari pelbagai hikayat dan nawadir yang dapat mengisi hati para pendengarnya. Seorang itu tidak menjadi apa-apa kalau seruan-seruan itu tidak dikerjakan oleh orang lain, tetapi seboleh-bolehnya kalau tidak dikerjakan semuanya, sekurang-kurangnya mendapat faedahnya seperti ibarat hujan kalau tidak lebat setitik pun jadilah. Adapun, asas kemajuan itu ialah “benar” dari benar-benar terbit bersatu kata dengan perbuatan. Mengenai pertanyaan terakhir memang seseorang dipandang mulia kalau ia mendapat meluluskan kehendaknya.”
(Pengasuh, 21 Julai 1921: 3)

Demikianlah secara keseluruhannya kajian tentang perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam dunia sejarah Kelantan, kesusasteraan Melayu moden di Kelantan dan penerbitan di Kelantan yang jelas membuktikan bahawa keunggulan Abdul Kadir Adabi dalam memperjuangkan bidang kesusasteraan Melayu moden di Kelantan seiring dengan peranan karya sastera sebagai cerminan masyarakat. Oleh hal yang demikian, perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam membicarakan persoalan tentang masyarakat dalam dunia kesusasteraan Melayu moden di Kelantan telah diceritakan dalam novel Melor Kota Bharu, selain menegakkan perjuangannya dalam sejarah Kelantan dan perjuangannya dalam sejarah penerbitan di Kelantan. Perjuangan Abdul Kadir Adabi dalam sejarah, kesusasteraan dan penerbitan di Kelantan melambangkan keunggulan pemikiran Abdul Kadir Adabi dari era pramerdeka sehingga kini dikenali sebagai “Pemikir Bangsa dan Budaya Ulung Kelantan.”

klikweb

Comments