RAJA SEBAGAI TIANG SERI NEGARA BANGSA
(Utusan Malaysia 24 April 2017)
Oleh: Ku Amirul Faiz Ku Seman
“YANG di-Pertuan Besar akan menjadi ketua negara, tetapi baginda mestilah menjadi raja berperlembagaan. Oleh itu, baginda mesti bertindak atas nasihat menteri bagi segala yang berkaitan dengan tindakan eksekutif. Baginda akan menjadi simbol perpaduan negara.”- Perenggan 58, Laporan Suruhanjaya Reid.
Tanggal 24 April 2017, Malaysia sekali lagi bertuah kerana berpeluang menyaksikan pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15. Ini bermakna sejak tertubuhnya negara ini, Malaysia berpeluang menyaksikan 15 kali pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dalam kalangan raja-raja Melayu. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang berdasarkan kaedah penggiliran ini menambahkan lagi keunikan sistem ini.
Corak pemerintahan beraja bukanlah sesuatu yang asing, kerana sebelum wujudnya sistem pemerintahan seperti yang ada kini, institusi istana adalah satu elemen penting dalam sistem masyarakat. Namun melalui proses kolonisasi, ada negara yang terpaksa mengetepikan serta melenyapkan institusi raja dan digantikan dengan sistem pemerintahan ‘moden’ seperti republik. Kesan ini boleh dilihat di Indonesia serta India.
Malaysia masih bertuah, kerana sekalipun halangan berliku, Tanah Melayu beroleh kemerdekaan dengan meletakkan Sultan sebagai ketua negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara sebagaimana yang ditegaskan dalam Perkara 32 Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan. Secara ringkas, Seri Paduka dilantik hasil daripada muafakat Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 38(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Majlis Raja-Raja itu sendiri adalah salah satu komponen terpenting dalam institusi raja-raja di Malaysia dan adalah sebuah majlis yang ditubuhkan lebih awal, sebelum Perlembagaan Persekutuan dirangka lagi. Peranan dan fungsinya dinyatakan secara jelas di bawah Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan dalam kes Phang Chin Hock v Public Prosecutor (No. 2) menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi-fungsi seperti berikut: 1) Fungsi eksekutif seperti hal yang melibatkan pelantikan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalannya; 2) Fungsi rujukan pula boleh dilihat dalam peranan Majlis Raja-Raja berkaitan hal-hal yang termaktub di bawah Perkara 153; dan 3) Fungsi perunding boleh dilihat melalui peranan Majlis Raja-Raja dalam perkara seperti pembentukan polisi dan lain-lain perkara yang difikirkan sesuai.
Namun waima Malaysia bakal menyambut kemerdekaan kali ke-60 Ogos ini, masih terdapat pandangan pesimis terhadap institusi raja-raja di Malaysia. Ada yang berpendapat sistem ini tidak relevan untuk terus diamalkan.
Dalam menjawab tuduhan ini, penulis menjemput mereka yang bernada sumbang ini untuk berfikir secara logik tentang bagaimana masih terdapat negara-negara maju seperti Jepun, Britain, Belanda dan Denmark yang mengamalkan sistem beraja.
Negara jiran Malaysia seperti Thailand juga masih kuat berpegang teguh kepada institusi beraja. Rakyat mereka bukan saja tidak mempersoalkan kedudukan raja-raja dalam sejarah pemerintahan negara mereka tetapi yang lebih utama, rakyat negara-negara ini bersumpah taat setia kepada institusi raja-raja mereka.
Pasca kolonisasi, institusi raja-raja Melayu sudah tidak lagi mengamalkan monarki mutlak tetapi beralih kepada sistem raja berperlembagaan yang membawa maksud segala tindakan haruslah selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru penulis tidak bersetuju sekiranya dikatakan institusi raja-raja hanyalah simbol semata-mata dan tidak mempunyai tanggungjawab yang aktif.
Contohnya, peruntukan di bawah Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan menunjukkan pentingnya peranan raja-raja Melayu, yang berfungsi sebagai ketua agama di negeri-negeri sendiri, manakala bagi negeri-negeri yang tidak beraja pula, ketua agama Islam adalah Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan secara langsung memberikan kedudukan yang tinggi kepada agama Islam kerana diketuai oleh ketua agama Islam di peringkat negeri dan di peringkat Persekutuan.
Pengaruh serta ketinggian Islam juga dapat dilihat dengan lafaz ikrar jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang mana Yang di-Pertuan Agong berikrar akan memelihara agama Islam.
Selain itu, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan juga menunjukkan betapa beratnya peranan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja Melayu dalam mengekalkan leluhur yang telah dipersetujui.
Perkara 153(1) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Peruntukan ini meletakkan amanat yang besar kepada institusi raja-raja Melayu untuk melindungi dan mempertahankan setiap hak serta keistimewaan rakyat seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Tuntasnya, institusi raja-raja Melayu harus terus dipelihara serta dijunjung tinggi oleh rakyat. Dan bersempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-15 ini, molek kiranya dikenang akan wasiat Sultan ‘Alauddin Riayat Syah kepada anakandanya, seperti yang diriwayatkan dalam Sulalatus Salatin yang dikalamkan Tun Sri Lanang: “Raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala.
Rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikian raja-raja itu dengan segala rakyatnya.”
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).
Comments
Post a Comment