TEATER ADALAH KEHIDUPAN
Oleh Dinsman
Minggu lalu seorang pensyarah teater di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Lena Farida Chin, melakukan penyelidikan mengenai Teater Elit, atau nama asalnya Grup Teater Elit (GTE), iaitu kumpulan teater yang saya tubuhkan bersama dengan Sutung Umar Rs (almarhum) dan Ajikik, pada tahun 1976.
(Mengapa dia melakukan penyelidikan itu, saya kira bukanlah persoalan kita di sini. Itu persoalan dia. Persoalan akademis.)
Selain menemubual beberapa orang yang mempunyai maklumat berkenaan (termasuk Jaafa HS yang kini menetap di Batu Pahat, Johor), Lena Farida juga menyelongkar bahan-bahan bercetak yang tersimpan di perpustakaan atau pusat dokumentasi sastera Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sumber penting yang ditemuinya ialah majalah Dewan Budaya.
Banyaklah gambar dan tulisan mengenai Teater Elit (GTE) yang ditemuinya dalam Dewan Budaya terbitan awal 80-an itu. Bukan sahaja tulisan-tulisan mengenai Teater Elit yang ditemui Lena Farida, tetapi juga tulisan-tulisan mengenai teater dan aktiviti teater waktu itu, yang membuatkan pengkaji ini sepontan merumuskan: “teater dulu lebih maju dibandingkan sekarang.”
Saya cuba persoalkan rumusannya itu, tetapi dia nampaknya telah menemui bukti-bukti yang menyokong pandangannya. Dan kami pun tak melanjutkan hujah masing-masing kerana ada hal lain yang meminta tumpuan waktu itu.
Namun saya berfikir-fikir juga akan rumusan Lena Farida itu, sambil terkenangkan beberapa peristiwa teater yang ditemui kembali olehnya. Antaranya seperti teater “Malam Suka-suka Keluarga Bujang Lapuk” yang dibuat di Kompleks Budaya Negara (KBN, sekarang di situ dibangunkan ASWARA), pada 16 Mac 1985; dan sebelum itu “Malam Seniman Bujang Lapuk” di Balai Budaya DBP, pada 25 Oktober 1984.
Saya teringat kepada dua persembahan GTE tersebut bukannya dalam konteks rumusan Lena Farida yang mengatakan “teater dulu lebih maju” itu, tetapi kerana kelainan sifatnya, berbanding dengan teater hari ini.
Pertamanya dalam hal perkumpulan. Sebahagian besar daripada mereka yang terlibat dalam persembahan tersebut adalah anak-anak muda yang sedang sangat ghairah dengan teater dan menumpang berteduh di bawah bumbung GTE waktu itu, di Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru. Di situlah mereka ‘bekerja’ di siang hari, dan pada malamnya berlatih teater di KBN, dan selepas itu pulang bermalam di situ.
Hampir setiap malam kami mengadakan latihan teater di KBN. Sebahagiannya berjalan kaki dari Kampung Baru ke KBN. Dan ada yang berulang-alik dari Seremban, untuk latihan ini. Dan latihan ini bukannya untuk sesuatu atau mana-mana skrip, tetapi sekadar latihan fizikal, vokal, menyanyi, penghayatan dan improvisasi biasa. (Terselit juga latihan berfikir).
Teater bukan sekadar lakonan bagi kami (yakni kumpulan ini) pada waktu itu, tetapi teater adalah kehidupan (cara dan gaya hidup). Saya tidak pasti berapa lama bertahannya keadaan yang seperti itu. Tanyalah Sani Sudin, Usop, Siso (dan mereka bertiga melahirkan kumpulan lagu puisi ‘Kopratasa’ pun di situ), Hazali Ramli, Rodzi Md Nor, Md Shah dan beberapa orang lagi. (Ada yang sudah meninggal).
Ini adalah satu fasa daripada beberapa fasa yang dilalui GTE. Fasa-fasa lainnya seperti fasa permulaan bertiga Sutung Umar Rs, Dinsman dan Ajikik. Diikuti fasa Puisi di Hotel Abad Century dan Kumpulan Teater Tari, dengan penglibatan Jaafa HS dan Ali Ishak (Has Danny), dan lain-lain.
Dan hasil daripada improvisasi yang dibuat di malam-malam latihan di KBN itu juga ialah tiga atau empat episod (saya tak pasti lagi) drama televisyen “Keluarga Bujang Lapuk”, yang diarah dan diterbitkan oleh Zainuddin Nordin, Ketua Drama RTM 1 waktu itu.
Tetapi itu tidak penting. Yang pentingnya ialah dua pementasan teater yang saya sebutkan tadi – “Malam Seniman Bujang Lapuk” (1984) dan “Malam Suka-suka Keluarga Bujang Lapuk” (1985) itu. Barangkali nama persembahan atau teater itu sangatlah tidak menarik dan tidak sesuai langsung kalau difikirkan dalam konteks hari ini. Tetapi isi persembahannya dan proses penciptaannya itu saya rasa masih lagi menarik.
Apa yang saya bersama pimpinan GTE yang lain waktu itu (Sutung Umar Rs dan Aziz HM – semoga Allah merahmati roh mereka) harapkan daripada latihan teater tiap malam di KBN itu ialah menjadikannya sebuah ‘Akademi Teater’, yang akan melahirkan tenaga-tenaga teater untuk mengaktifkan aktiviti teater di seluruh negara.
Malah, seperti yang selalu disebut oleh Sani Sudin di mana-mana selepas itu, bahawa kumpulan ini bukan sahaja menjalani latihan teater tetapi mereka juga menjalani latihan menulis. Mereka diwajibkan menulis catatan pengalaman mereka.
Dua daripadanya, misalnya, disiarkan dalam Dewan Sastera dan Dewan Budaya, iaitu catatan Izzaidah Khairan mengenai proses pembinaan lakonannya dalam teater ‘Projek Izie’; dan catatan Hazali Ramli mengenai pengalaman sebagai Pengurus Pentas bagi ‘Malam Seniman Bujang Lapuk’.
Apakah harapan kami itu tercapai atau tidak? Biarlah saya tidak menjawabnya. Atau barangkali Lena Farida boleh juga mengkajinya dari aspek ini, dan memberikan jawapannya.
Saya teringatkan dua persembahan tersebut (tiga kalau termasuk ‘Projek Izie’), dan juga latihan-latihan setiap malam itu, adalah kerana kelainan yang disebutkan tadi, yang melahirkan persembahan ‘Suka-suka Keluarga Bujang Lapuk’.
Dinamakan ‘suka-suka’ kerana memang ia dibuat sebagai suka-suka sahaja, yakni setelah beberapa bulan latihan maka semestinya semua orang mengharapkan ada pementasan, kerana pementasan adalah puncak bagi kehidupan teater.
Apakah hal dan suasana perkumpulan seperti itu dalam teater, masih relevan dengan rentak dan suasana kehidupan hari ini? Saya sekadar menimbulkan persoalannya. Terpulanglah kalau ada orang yang berminat memikirkan jawapannya.
(Dari kolum 'Tekad Budaya' dalam akhbar Amanah, 2.4.2017)
fb shamsudin osman

Comments
Post a Comment