AKU INGIN
aku ingin pulang ke dalam masa lalu
ketika segalanya menjadi biruan ombak
kejujuran menerima dan memberi
hati yang mengerti dan menatap jauh
segala liku dan onak sakit
kita yakin akan berjaya melalui sempit lorong itu
dan kau akan berpaut di bahuku
dan aku akan memegang tanganmu
bersama dan tak akan pergi
aku ingin mengesat sukar
yang berdamping dan bergayut panjang
tak mau lagi melihat segala sulit
melilit sakit tubuh dan jemarimu
aku bukan pemberi bahagia
tetapi seupaya diriku ingin benar
untuk menjadikan kau senyum selalu
dan tenteramlah
lupakanlah payah itu
dalam sunyi malam sebegini
aku ingin kembali
menjadi diriku yang kau percaya dan yakini
kerana aku tahu bagaimana
kau sedang mendamaikan hatimu
tapi ada yang tak bisa kau lenyapkan
sakit dan guris masa lalu
dan aku menunggu
untuk waktu yang lebih jauh
penawar dan penyembuh
segala itu
kerana sebelum
aku mengunci kata dan menutup pandang
biarlah dapat kusebutkan sekali lagi
bahawa kau yang terbaik
dan terindah bagiku
Comments
Post a Comment