bakat

Bakat besar pelukis amatur, autisme



Hazrita ingin mengetengahkan bakat seni pelukis amatur menerusi Art Market Malaysia

JIKA selama ini naskhah contengan seni hanya dipamerkan untuk tatapan pengunjung galeri, kini ia boleh singgah untuk melewati setiap kornea mata pengunjung pusat beli-belah.

Malah, ia juga merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan cabang seni lukisan seperti catan dan media campuran kepada khalayak umum.

Tidak mustahil, ia mampu menyuntik minat dalam kalangan kanak-kanak atau remaja untuk menceburi bidang seni lukis yang pasarannya semakin luas di Malaysia.

Menariknya kali ini, deretan lukisan memukau yang dipamerkan di ruang legar pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor itu tidak melibatkan penyertaan pelukis profesional. Ia hanya disertai pelukis amatur dan remaja autisme.

Menurut Pengasas Art Market Malaysia, Hazrita Hatta, penganjuran pameran itu merupakan projek amal bagi mengutip dana yang diusahakan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

“Secara peribadi, saya sangat mengagumi lukisan-lukisan ini. Jika dilihat dengan mata kasar, ia tidak seperti dilukis oleh artis amatur atau penghidap autisme,” ujarnya yang ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Antara kanvas pertama yang mencuri perhatian ialah lukisan catan bertajuk Triple Erato karya Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 15.

Pelukis muda yang didiagnos dengan autisme ini bijak menzahirkan ‘dunia kecil’ dalam mindanya pada sehelai kanvas polos. Ia memaparkan tiga karakter wanita yang mengenakan baju kebaya dalam tiga elemen warna berbeza.

Karakter merah jambu menjadi signatur dirinya dan ungu pula mewakili adik perempuannya, Wan Jemima, 14, manakala hijau menggambarkan ibunya, Ar. Norhashimah Mohamad Nordin, 56.


RASHIDTOP menerapkan elemen tradisional dan kehidupan masyarakat di Malaysia dalam lukisannya

Simbolik

Simboliknya, Triple Erato merupakan keakraban ketiga-tiga anak-beranak itu yang sering menghabiskan masa bersama terutamanya untuk pergi bercuti.

Selain itu, terdapat juga lukisan berunsur media campuran karya Abdul Rashid Matop, 65, atau lebih mesra dengan nama Rashidtop yang bertajuk Rumah Panjang Iban, Sarawak.

Ia dihasilkan pada tahun 2014 yang menggabungkan seni catan akrilik pada kanvas yang dikemaskan dengan perincian mata pena.

Penggunaan seni yang halus dan teliti pada naskhah itu membuatkan terjemahannya kelihatan seolah-olah ‘bernyawa’.

“Saya banyak menggunakan kaedah pemerhatian dan menerapkan elemen tradisional pada lukisan termasuk menceritakan realiti kehidupan masyarakat di Malaysia secara umum,” hurainya.

Jelas Rashidtop, kisah di sebalik lukisan itu berkisar kepada kegiatan petang di sebuah perkampungan Iban di Sarawak yang masih mengamalkan aktiviti laga ayam.

Biarpun aktiviti pertaruhan jaguh laga ayam kini tidak lagi meluas seperti dulu, namun adakalanya ia tetap dilakukan mengikut permintaan penduduk kampung terutama pada hari keraian.

kosmo

Comments