Hala tuju penyajak generasi Y
ABD. AZIZ ITAR
11 September 2016
SEJAK lebih sedekad lalu sehingga menjelang 2020, karya-karya sastera dalam bentuk puisi dijangka akan terus dominan serta menjadi pilihan ramai pengkarya dan peminat dalam genre tersebut.
Trend itu berkait rapat dengan pelbagai situasi yang sedang berlaku terutama dalam perkembangan dunia politik dan ekonomi hari ini yang semakin mencabar serta diperkatakan secara terbuka.
Golongan penulis menggunakan puisi sebagai saluran yang lebih mudah dan cepat untuk menyatakan luahan hati serta pandangan mereka berbanding medium sastera lain seperti cerpen dan novel.
Menurut Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Saifullizan Yahaya, topik berkaitan dunia politik dan ekonomi pula mudah menjadi perhatian terutama dalam kalangan generasi Y.
Ini kerana katanya, dua topik itu paling popular diperbincangkan termasuk melalui media-media sosial dan ia juga dekat dengan generasi Y yang semakin prihatin terhadap isu-isu yang timbul.
“Dalam konteks ini, ia dipanggil ‘sajak-sajak senyap’ yang telah banyak menarik perhatian generasi Y. Contohnya, dalam isu-isu politik yang hangat sejak berlakunya era ‘reformasi politik’ pada 1998.
“Selepas era itu, generasi Y di negara ini dilihat semakin meminati genre puisi sama ada mereka menulis atau sekadar menghayati sesuatu karya itu sebagai tanda minat masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Sastera Katalistiwa 2 anjuran Makespace, International Youth Centre dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia di Quill City Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam forum yang turut menampilkan aktivis sastera, Lan Sinaganaga dan Wani Ardy sebagai ahli panel serta Pok Pok sebagai moderator itu, banyak isu berkaitan perkembangan puisi dibincangkan.
Katanya, dalam era sekarang, banyak karya sastera yang radikal serta lebih menonjol dihasilkan oleh golongan karyawan indie dan dijangkakan genre puisi akan menguasai trend itu sehingga 2020.
Ujarnya, sebelum ini, telah ada era-era tertentu seperti era kegemilangan novel dan cerpen yang menonjol tetapi kini puisi pula yang lebih ketara sejak era puisi moden bermula pada 1933.
Senario itu dapat dilihat apabila munculnya semakin ramai golongan penyair muda yang aktif menulis puisi, mendeklamasikan karya-karya mereka dan seterusnya menerbitkannya dalam buku antologi.
Penyair generasi Y, Aloy Paradoks misalnya, telah membukukan himpunan puisi karyanya dalam buku antologi bertajuk Sajak-Sajak Jahanam yang sehingga kini mencecah jualan hampir 20,000 naskhah.
Pencapaian itu kata Lan Sinaganaga jauh berbeza dengan apa yang pernah berlaku kira-kira dua dekad lalu apabila genre puisi dikatakan agak malap dan kurang menarik perhatian ramai pembaca.
Penyair muda
Malah, selain Aloy terdapat ramai lagi penyair generasi Y seperti Cik Shapa, Anis Khalidi, Dhabitah Zainal, Lisa Ali, Abi Madyan, Fatih Hamzah, Asyraf Rosdi, Fazallah Pit, Jamal Raslan dan Fatih Hamzah antara yang aktif dalam dunia ini.
“Semasa saya bekerja di syarikat Dawama dulu yang ketika itu banyak mencetak buku, pihak DBP hampir menghentikan penerbitan buku-buku puisi kerana sambutannya yang kurang baik.
“Tetapi sekarang sambutan terhadap buku-buku puisi semakin banyak. Senario itu juga selaras dengan tahap pendidikan, kesedaran dan teknologi yang kini semakin berkembang,” ujarnya.
Puisi yang dikatakan daripada gabungan istilah ‘penuh isi’ juga banyak menarik perhatian golongan muda kerana elemen emosi yang terdapat di dalamnya mudah dihalakan kepada pelbagai dimensi.
Ia antara lain membuai pelbagai perasaan selain melontarkan idea serta kritikan yang sentiasa berbolak-balik sifatnya berdasarkan frekuensi perkembangan semasa yang berlaku di mana-mana.
Justeru, Wani Ardy menyifatkan puisi yang semakin berevolusi itu berdasarkan situasi semasa yang sedang berlaku sama ada dalam dunia politik dan ekonomi sehingga berjaya menyuburkan genre ini.
Namun, pada masa sama pokok pangkal dalam mentafsir kelangsungan trend kemunculan puisi-puisi moden yang dihasilkan oleh generasi Y harus berpaksikan kepada sifat-sifat jujur para pengkaryanya.
Jelasnya, tanpa kejujuran dalam berkarya serta menggunakan latar masa, tempat dan isu-isu yang dibangkitkan dalam puisi maka ia sukar untuk menerpa ke dalam pemikiran para audiensnya.
“Puisi adalah emosi penulis karya itu. Ia adalah tentang kejujuran dalam diri. Ini kerana, untuk menghasilkan sesuatu karya yang baik, mereka harus ‘menelanjangkan’ minda masing-masing.
“Tetapi kalau mereka menipu itu terpulang kepada etika sendiri. Puisi juga dalam erti kata lain adalah untuk tujuan memproses data dan kalau salah niat maka tujuannya juga akan tersasar,” katanya.
Cuma dalam konteks gaya pemikiran yang cuba diterapkan oleh penyajak zaman dulu terutama ketika pasca kemerdekaan dengan yang ada pada hari ini terutama generasi Y ia agak berbeza.
Mesej serta perjuangan yang lazimnya ditunjangi oleh golongan karyawan dulu lebih ke arah perjuangan menentang penjajah tetapi yang ada pada hari ini adalah soal kendiri hidup seharian.
Justeru, bagi menilai sumbangan para karyawan hari ini dalam puisi-puisi mereka, kaitkannya dengan peristiwa pada masa akan datang sama ada ia kena atau tidak dengan karya-karya tersebut.
utusanonline
Comments
Post a Comment